Malaysia yang demokratik, progresif dan maju untuk marhaen

Para sahabat dan rakan seperjuangan sekelian,

Mukadimah

Kita semua sebagai para wakil DAP kebangsaan berkumpul hari ini untuk menghadiri Kongres Khas Kebangsaan seperti mana yang telah diarahkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya parti mengadakan, sekali lagi, pemilihan baru untuk Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC). Kita telah pun membuat keputusan untuk akur dengan arahan ROS ini walaupun kita melaksanakannya dengan bantahan atau “under protest”.

Sejak Persidangan Kebangsaan pada 4 Disember 2016, kita telah kehilangan dua tokoh kebangsaan DAP, iaitu bekas Setiausaha Agung yang juga rakan universiti saya, Sdr. Kerk Kim Hock, dan bekas Pengerusi DAP Perak yang merupakan salah seorang pemimpin yang paling awal menyertai parti, Sdr. Lau Dak Kee. Kedua-dua mereka telah menjadi mangsa tahanan tanpa bicara Akta Keselamatan Dalam Negeri sewaktu Ops Lalang pada 1987. Mari kita bertakafur untuk memberi penghormatan kepada Sdr Kerk dan Sdr Lau atas sumbangan mereka kepada Parti dan kepada Malaysia, terutamanya pada waktu-waktu yang genting.

1. Krisis dan kepimpinan

Sebelum saya menjelaskan lebih lanjut tentang kongres khas ini, mari kita sama-sama menyuarakan solidariti DAP bersama rakyat Pulau Pinang yang dilanda bencana taufan dan banjir pada 4 & 5 November lalu. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan malapetaka yang tidak dijangkakan itu.

Bagi pihak DAP, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Pulau Pinang dan seluruh Malaysia yang telah membantu mangsa-mangsa sewaktu kesusahan dan penderitaan itu. Terima kasih juga saya ucapkan kepada mereka yang masih lagi membantu hingga ke saat ini. Bantuan, sumbangan dan derma ikhlas anda akan dikenang buat selama-lamanya. Ramai sukarelawan datang ke Pulau Pinang untuk membantu kami, dan saya tahu anda di sini juga adalah antara mereka yang telah memberi bantuan dan sumbangan tersebut.

Sehingga jam 7.30 pagi hari ini Ahad 12 November, DAP Pulau Pinang yang telah melancarkan tabung bantuan banjir sudah menerima sejumlah RM7,554,058.16 juta hasil sumbangan orang ramai, dan masih banyak lagi yang terus menghulurkan derma.

Saya bersama dengan Pengerusi DAP Pulau Pinang Sdr. Chow Kon Yeow kagum dengan semangat solidariti rakyat Malaysia bersama dengan penduduk Pulau Pinang. Kutipan derma itu akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dan saya berjanji bahawa setiap sen akan dibelanjakan bagi memulihkan kembali kehidupan mangsa-mangsa bencana itu.

Saya menghargai kerjasama Kerajaan Persekutuan atas tindakan pantasnya terhadap rayuan saya memohon bantuan pada hari yang malang itu pada awal pagi 5 November. Saya berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan Menteri Besar Selangor dan Perak, Datuk Seri Azmin Ali dan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, serta Menteri-menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Noh Omar atas pertolongan mereka.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Bomba, Polis, RELA dan semua agensi Negeri dan Persekutuan, serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, kerana berani dan bersungguh-sungguh membantu dengan ikhlas.

Walaupun sedih dan pilu, ada hikmahnya di sebalik bencana di Pulau Pinang. Ia berjaya mendekatkan kita sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau politik. Kini kita tahu tentang jasa bilal Sapno Tukijo yang membuka surau jagaannya di Taman Free School kepada 70 mangsa bukan-Islam; kita sedar tentang Kuil Kew Ong Yeah di Jalan Megat Harun di Bukit Mertajam yang menempatkan lima keluarga mangsa banjir orang Islam; dan banyak NGO orang Islam dan bukan-Islam yang menghulurkan bantuan tanpa mengira kaum, agama atau politik.

Pepatah Melayu mengatakan “berat mata memandang berat lagi bahu memikul”. Saya seperti dapat menyelami perasaan setiap orang dan keluarga yang terpaksa melalui keperitan bencana ini, terutamanya mereka yang masih berada di pusat-pusat bantuan banjir.

Memang banyak lagi yang perlu dilakukan selepas bencana ini. Saya sedar betapa susahnya keadaan ini, dan Kerajaan Negeri sedang melakukan yang terbaik untuk rakyat. Saya memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul sewaktu kami sedang berusaha untuk memulihkan keadaan.

Dalam krisis yang besar dan meruncing sebeginilah kepimpinan kita diuji dan dibuktikan sama ada kita teguh atau tidak. Kita tidak bersembunyi, kita tidak lari, dan kita tidak akan menghilangkan diri. Kita sentiasa berada bersama dengan rakyat apabila bencana melanda, dan kita terus memimpin rakyat menghadapi cabaran getir itu. Tiada siapa yang mampu menyekat bencana yang begitu besar. Dengan perubahan iklim atau climate change, tiada siapa dapat membuat ramalan yang tepat.

Seminggu setelah bencana berlaku, Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang telah melalui empat fasa untuk menghadapi cabaran:

Pertama, sewaktu fasa menyelamatkan mangsa, kita telah mengenalpasti betapa besarnya bencana itu sejak awal lagi. Kerana itulah saya menghubungi Datuk Seri Zahid pada jam 3.30 pagi pada Ahad 5 November untuk memohon bantuan. Barangkali kerana panggilan itu, apabila rakyat di seluruh negara bangun pada pagi itu, semua orang tahu bahawa ia adalah krisis besar di mana kita perlu mengetepikan segala-galanya, termasuk perbezaan politik, demi menyelamatkan mangsa.

Kedua, mencuci dan membersihkan rumah serta kawasan akan menjadi masalah logistik yang besar kepada Kerajaan Negeri. Dan kami baru sahaja memulakannya di beberapa kawasan yang airnya sudah surut di Seberang Perai. Sedih apabila melihat keluarga-keluarga terpaksa membuang perabot, gambar-gambar kenangan, dan barang-barang peribadi lain yang menghimbau memori.

Ketiga, kita memang ada pelan. Setelah lima hari menangani bencana, saya telah membentangkan satu pelan di Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang untuk menggariskan rancangan RM100 juta untuk membina semula negeri. Pelan ini yang dinamakan “Pulau Pinang Bangkit” atau “Penang Bounces Back”. Ia mempunyai tiga komponen, iaitu: a) Bantuan Kerajaan dan usaha-usaha lain; b) Mengajak sukarelawan menyertai Hari Sukarelawan Pulau Pinang Bangkit, dan c) Kerjasama dengan pihak swasta seperti membawa dua syarikat pesaing pengangkutan e-panggilan Grab dan Uber untuk bekerjasama demi Pulau Pinang.

Keempat, membina ketahanan melawan perubahan iklim akan menjadi salah satu agenda kita. Sementara kita sedar masih ada orang yang mempertikaikan wujudnya perubahan iklim, kekerapan bencana alam di banyak bandaraya besar dunia bermakna kita tidak boleh lari lagi daripada menerima hakikat perubahan iklim ini. Seperti yang saya umumkan dalam Bajet Negeri pada 2 November lalu, sebelum berlakunya bencana itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited kepada usaha membina ketahanan melawan perubahan iklim. Sebagai parti idea yang bercita-cita mulia, DAP akan menjadi parti pertama di Malaysia yang bakal menggariskan dasar jelas untuk menangani perubahan iklim.

Sekali lagi, saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk berdiri bersama dengan rakyat Pulau Pinang agar kita dapat menghadapi cabaran dan kembali semula dengan penuh keyakinan.

2. Pendaftar Pertubuhan dan Kongres Khas

Kita berada di sini hari ini untuk satu sebab sahaja – iaitu kerana ROS telah memaksa kita mengadakan pemilihan baru untuk CEC DAP. Sebagai parti yang patuh kepada undang-undang, kita telah pun mengkaji isu itu secara sah dari sudut perundangan. Tetapi setelah berbulan-bulan meneliti hal ini, kita membuat kesimpulan bahawa kita akan akur dengan tuntutan ROS walaupun keputusan pihak ROS itu pelik, tidak masuk akal dan sepatutnya tidak perlu dilaksanakan sama sekali. Ini adalah penting kerana DAP diancam dengan kemungkinan dibatalkan pendaftarannya sebagai sebuah parti yang sah.

Dengan itu, kita bersetuju untuk mengadakan pemilihan baru CEC ini, menggunakan senarai yang sama seperti yang ada pada pemilihan 15 Disember 2012. Kita juga bersetuju untuk melantik auditor bebas untuk mengendalikan pemilihan baru ini. Bagaimanapun, kita perlu sedar bahawa, banyak ahli parti tidak dapat hadir Kongres Khas hari ini kerana ROS telah menghadkannya untuk perwakilan sahaja. Tiada demokrasi, tiada penyertaan; ia seperti menonton permainan bolasepak di dalam sebuah stadium tanpa penonton.

Tidak ada parti-parti politik lain di Malaysia yang dipaksa mengadakan pemilihan CEC selama tiga kali (2012,2013 dan 2017) dengan menggunakan senarai wakil yang sama. Ia seolah-olah kita berada dalam satu fiskyen sains di mana jam telah diputar ke belakang. Saya yakin ada antara anda di sini yang ingat tentang sebuah filem Hollywodd yang berjudul Back to the Future. Dan hari ini kita akan mengundi untuk memilih CEC bagi penggal 2012 pada tahun 2017 sedangkan tempoh penggal tersebut hanyalah tiga tahun sahaja.

Pada pemilihan 15 Disember 2012, berlaku satu kesilapan kecil berhubung cetakan spreadsheet tetapi musuh-musuh politik kita telah membesar-besarkan perkara itu. Pada 18 April 2013, dua hari sebelum penamaan calon Pilihanraya Umum 2013, DAP telah diancam untuk tidak dibenar menggunakan simbol Roket dalam PRU13. Dengan bantuan dan sokongan rakan-rakan Pakatan Rakyat pada masa itu, kita berjaya melepasi ancaman tersebut.

Pada 30 Julai 2013, ROS mengarahkan DAP untuk mengadakan pemilihan semula untuk CEC. Tetapi ROS tidak pula memberi sebarang penjelasan mengapa perlu diadakan pemilihan baru sedangkan DAP telah pun membuat penjelasan tentang pemilihan 2012 setelah diminta oleh ROS untuk berbuat demikian. Namun, sebagai parti yang akur dengan undang-undang, DAP menurut arahan ROS untuk mengadakan Kongres Khas bagi pemilihan semula itu pada 29 September 2013. Auditor bebas telah dilantik untuk memantau perjalanan pemilihan itu yang dibuat berdasarkan senarai wakil bagi 2012.

Setelah selesai pemilihan semula itu, kita terpaksa menunggu selama dua bulan sebelum ROS menghantar surat kepada DAP pada 11 November semata-mata untuk menyatakan CEC yang baru sahaja dipilih itu telah “digantung” sehingga ROS benar-benar berpuas hati. Menyedari betapa tidak masuk akalnya keadaan itu, DAP memfailkan semakan kehakiman atau judicial review pada 22 Januari 2014 terhadap surat ROS itu.

Pada 23 September 2014, ROS bersetuju untuk menyelesaikan semakan kehakiman itu dengan mengakui bahawa ia tidak mempunyai kuasa untuk “menggantung” CEC. Dengan penyelesaian itu, kita telah menarik balik permohonan semakan kehakiman. Nampaknya seperti semua telah selesai dengan baik.

Tetapi dari sudut pandang ROS, keadaan DAP seperti tergantung. Tiba-tiba, selepas hampir 4 tahun kemudian, ROS mengeluarkan kenyataan media pada 7 Julai 2017 mengarahkan DAP untuk mengadakan pemilihan semula untuk CEC. Menurut ROS, dan saya petik di sini, “pemilihan DAP (pada 2013) sepatutnya perlu mengikut senarai pada 15 Disember 2012 yang mempunyai 2,576 wakil yang layak”.

Sekali lagi kita berada di persimpangan. Kita telah menurut segala arahan dan tuntutan daripada ROS sejak Disember 2012. Kita telah menggunakan senarai wakil 2012 untuk pemilihan semula pada 2013 seperti yang diarahkan oleh ROS. Malah, ia telah disahkan oleh para auditor yang bebas.

DAP telah memberi kerjasama penuh kepada ROS dengan mengemukakan segala dokumen yang diminta. Kita telah menyerahkan surat-surat, serta senarai wakil-wakil dan cawangan-cawangan yang layak kepada ROS tepat pada masanya. Kali terakhir ROS meminta kita memberi dokumen-dokumen adalah pada November 2014.

Namun, sehingga hari ini, ROS tidak pernah memberitahu kita sama ada kita telah melakukan kesalahan. Kita tidak pernah dimaklumkan sama ada apa yang kita lakukan adalah betul atau salah apabila kita mengikut arahan ROS bagi pemilihan 2013. Malah, apabila beberapa kali pertanyaan dibangkitkan di Parlimen, jawapan daripada Menteri Dalam Negeri adalah sama sahaja, iaitu “ROS sedang menyiasat”.

Walau apa pun kita tidak akan biarkan DAP dimatikan. Kerana itulah kita sanggup menerima kezaliman yang dipaksakan ini untuk kita mengadakan Kongres Khas walaupun tanpa sebarang sebab yang munasabah. DAP telah dijadikan mangsa oleh ROS yang mempunyai motif politik. Kita telah dihukum kerana kita bersikap jujur dan ikhlas. Tetapi untuk memastikan parti tidak dihancurkan, kita tidak ada pilihan lain kerana risiko diharamkan begitu tinggi sekali.

Hari ini saya berharap segala-galanya akan selesai di sini. Seperti yang saya kerap katakan, kita adalah parti yang patuh kepada undang-undang, tetapi saya harap jangan ada sesiapa yang sengaja mahu menguji kesabaran kita. Saya juga berharap saingan-saingan politik kita supaya bersikap adil dan professional.

3. PRU14 – Kita bukan lagi dalam suasana biasa-biasa!

Namun, hampir mustahil untuk kita harapkan musuh-musuh politik kita bersikap adil dan profesional menjelang PRU14. Perdana Menteri telah menggelar PRU14 sebagai “ibu kepada semua PRU”. Dengan kata lain, rakyat Malaysia perlu bersedia untuk menghadapi PRU yang paling kotor.

Dalam PRU yang lalu, mantan Pakatan Rakyat memperolehi 51% undi popular tetapi gagal mendapat kuasa kerana kerusi Parlimen disusun oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) secara sistematik dan tidak adil.

Pada PRU13, Najib belum lagi dibebankan dengan skandal 1MDB, cukai GST dan hal-hal buruk yang lain. Beliau mempunyai banyak wang untuk dibelanjakan semasa kempen, dan disokong sepenuhnya oleh media yang dikawal oleh kerajaan atau berkaitan dengan kerajaan di samping agensi-agensi yang berkempen untuk BN. Namun BN hanya memenangi 47% undi popular, dan hanya berjaya di 60 daripada 133 kerusi yang dimenanginya dengan majoriti yang kecil. Ini bermakna BN telah kalah dalam pertandingan siapa yang layak menjadi Perdana Menteri, di antara pemimpin mereka Datuk Seri Najib dan pemimpin Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Senario untuk PRU14 yang akan datang adalah berbeza. Datuk Seri Anwar sekali lagi berada di dalam penjara, dan tidak boleh bertanding. PAS pula sekadar menjadi rakan de facto UMNO dan BN; manakala BN semakin rancak bermain isu perkauman dan sentimen agama semata-mata mahu memenangi undi Melayu.

Matlamat BN adalah untuk memperlihatkan Pembangkang sebagai gabungan yang diterajui DAP – iaitu DAP digambarkan sebagai parti orang Cina semata-mata – yang dianggap bahaya untuk orang Melayu. Sdr Kit Siang digambarkan sebagai ahli politik yang paling dibenci dalam sejarah Malaysia semata-mata mereka mahu DAP dilihat sebagai racun kepada pengundi Melayu; dan mana-mana parti majoriti Melayu yang bekerjasama dengan DAP juga menjadi racun kepada orang Melayu.

Namun tiada siapa menjangka UMNO akan berpecah sekali lagi, dan membawa kepada perdamaian di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Sdr. Anwar Ibrahim. Kerjasama mereka membawa kepada pensejajaran Pakatan Harapan pada 14 Julai 2017 yang telah mengubah wajah politik negara.

Jika BN menang, skandal 1MDB akan kekal sebagai luka yang parah untuk rakyat Malaysia dan menyakiti kita dengan kerugian berpuluh bilion Ringgit dalam masa mendatang ini. Jika BN menang, GST akan kekal, dan akan terus meningkat kadarnya seperti mana trend dunia. Jika BN menang, pendapatan sebenar kita akan gagal berkembang dan kos sara hidup akan meningkat lagi.

Jika BN menang, tidak akan wujud perpaduan nasional kerana rakyat Malaysia akan diasing-asingkan dalam ruang kaum – di mana orang Melayu dianggap tidak cukup berjaya, orang Cina dituduh tamak dan tidak boleh dipercayai, dan orang India dipersalahkan dalam masalah gangsterisme; dan Sabah dan Sarawak pula dilayan seperti jajahan British sedangkan mereka sepatutnya menjadi rakan setara dengan Semenanjung dalam Persekutuan Malaysia.

Jika BN menang, kemungkinan besar pembangkang kalah teruk, dan Malaysia bakal berada di bawah pemerintahan kleptoratik untuk bertahun-tahun lamannya. Inikah yang anda mahu untuk masa depan anak anda?

4. Bangsa Malaysia – membaharui Impian Malaysia untuk generasi akan datang

Biar kita jelas di sini. Oleh kerana Najib dan UMNO tahu mereka boleh kalah dalam PRU14 kerana lemah dalam pentadbiran dan ekonomi, maka satu-satunya senjata mereka adalah membakar sentimen kaum dan agama. Dan DAP akan terus menjadi parti yang mereka buli kerana Najib mahu menakut-nakutkan pengundi Melayu daripada mengubah selera kepada Pakatan Harapan.

PRU kali ini adalah di antara persaingan di antara rasa takut dan harapan!

Pakatan Harapan perlu menawarkan harapan dan semangat solidariti serta muhibah kepada semua rakyat Malaysia di kala UMNO dan BN sedang berusaha untuk memecahbelahkan kita semua. Kita perlu meyakinkan semua orang, sama ada Melayu atau bukan-Melayu, bahawa kita DAP bukanlah ancaman kepada sesiapa, malah kita akan membina negara yang kita cintai ini bersama dengan semua rakyat Malaysia.

Kadangkala agak lucu melihat bagaimana mereka mencipta pelbagai pembohongan sehingga mereka sendiri lupa untuk mengikut skrip mereka sendiri. Kadang-kadang pembohongan mereka bertentangan sesama sendiri. Ini mendedahkan mereka sebagai pembohong dan talam dua muka.

Sebagai contoh, sewaktu mesyuarat agung MCA di Kuala Lumpur pada 5 November lalu, Najib dalam ucapan perasmiannya berkata bahawa mustahil DAP boleh menubuhkan Kerajaan Persekutuan walaupun DAP menang besar dalam PRU14. Beliau berkata demikian untuk meyakinkan pengundi Cina bahawa mengundi MCA adalah pilihan yang lebih baik kerana BN akan memerintah sampai bila-bila, walaupun kita tahu ia cuma angan-angan mereka sahaja.

Sedangkan di Kuala Ketil, Kedah pada 17 Januari lalu, Najib memberitahu hadirin Melayu bahawa jika Pakatan Harapan menang PRU14, DAP lah yang menguasai kerajaan baru. Malah, dia mendakwa jika Bersatu, PKR dan Amanah menguasai kerusi majoriti sekali pun, DAP tetap mengawal kerajaan baru Pakatan Harapan selepas PRU14.

Mengapa beliau berbohong begitu? Kerana dia mahu menakut-nakutkan orang Melayu supaya percaya bahawa DAP adalah parti orang Cina yang akan menguasai kerajaan majoriti Melayu, dan dengan itu, tidak akan memberi faedah kepada orang Melayu jika Pakatan Harapan menang.

Kita ingin ingatkan Najib dan sesiapa sahaja yang mahu bermain dengan api perkauman bahawa DAP adalah parti pelbagai kaum sejak ia ditubuhkan pada 1966. Kita tidak pernah berniat atau mahu menjadi parti berasaskan kaum. DAP akan terus memperjuangkan Impian Malaysia kerana ia adalah cita-cita yang diimpikan oleh ramai rakyat Malaysia. Walaupun DAP menyesuaikan strategi dan taktik sepanjang 50 tahun kewujudannya, kita tidak pernah melanggar atau mengkhianati prinsip-prinsip asas kita.

Kini kita bersama Pakatan Harapan kerana kita sedar bahawa realiti politik di Malaysia tidak akan membolehkan mana-mana satu parti untuk memerintah negara. Ini adalah baik kerana ia membawa kita untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak atas prinsip dan platform bersama.

Sudah terbukti musuh-musuh politik kita akan memecahbelahkan perpaduan rakyat dengan mengapi-apikan sentimen kaum dan agama semata-mata kerana mereka mahu memenangi PRU akan datang. Peranan penting Pakatan Harapan adalah untuk membina Bangsa Malaysia yang berasaskan daya empati, saling hormat-menghormati dan percaya antara satu sama lain. Ini adalah perlu untuk melawan kebencian, perpecahan dan syak-wasangka yang ditabur oleh UMNO dan BN.

Pakatan Harapan dan DAP juga mahu menawarkan Sabah dan Sarawak satu Tawaran Baru untuk merundingkan semula federalisme Malaysia dan menyerahkan lebih banyak kuasa dan tanggungjawab kepada Sabah dan Sarawak untuk mereka memastikan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat Sabah dan Sarawak.

Ini bukan sekadar untuk memenangi PRU14. PRU14 akan menentukan sama ada negara kita mempunyai suratan penentu (manifest destiny) bagi kegemilangan kita atau hanya mengesahkan bahawa BN yang akan menang. Dan kita tahu jika BN menang rakyat akan terus menderita. Misi kita dalam PRU14 adalah untuk membina sebuah negara yang lebih baik bagi generasi akan datang.

5. Idea-idea ekonomi untuk semua

Ekonomi merupakan bidang yang lemah untuk BN. Tetapi ia juga bidang yang memerlukan Pakatan Harapan menawarkan visi yang jelas untuk masa depan bagi meyakinkan rakyat Malaysia bahawa perubahan adalah penting kerana ia membawa kebaikan. Sudah tiba masanya untuk sebuah negara Malaysia yang demokratik, progresif dan maju untuk marhaen. Kita mempunyai idea-idea ekonomi dan pengalaman sebenar mentadbir kerajaan di Pulau Pinang dan Selangor untuk menjadikan impian ini sebagai satu kenyataan.

BN lemah dari segi ekonomi kerana:

Pertama, ia terbeban dengan pelbagai skandal termasuk 1MDB, Felda dan MARA di samping korupsi di banyak peringkat yang telah menjejaskan mutu hidup rakyat Malaysia. Skandal-skandal ini – 1MDB, Felda dan MARA – telah melenyapkan kepercayaan dan kesetiaan rakyat Malaysia terhadap Najib dan Barisan Nasional.

Kepada ramai penyokong BN, mereka sedar BN kini berbeza dengan BN dahulu. Ramai penyokong setia BN terkejut dengan skala korupsi yang begitu besar serta penyalahgunaan kuasa sewenang-wenangnya secara berleluasa. Malah, semata-mata kerana namanya disebut dalam satu afidavit kes saman di mahkamah di negara asing, iaitu di United Kingdom, yang melibatkan dakwaan bayaran RM90 juta kepada sebuah parti politik, bekas Pengerusi BERSIH Dato Ambiga Sreenevasam boleh disiasat oleh polis. Sedangkan ancaman bunuh terhadap saya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Jika anda rasa keadaan pada zaman dahulu adalah buruk, sekarang keadaannya jauh lebih teruk! Penyokong-penyokong BN sedia mengubah sokongan mereka tetapi persoalannya sekarang adalah sama ada Pakatan Harapan mampu mengisi kepimpinan dan boleh dipercayai untuk memacu ekonomi ke arah yang lebih baik bagi semua rakyat Malaysia.

Kedua, sikap boros BN kini membebankan rakyat. Biasanya memang rakyat yang menanggung beban akibat salah urus kerajaan yang zalim. Lihatlah bagaimana pelaksanaan GST yang mana sebelum ini tidak perlu diwujudkan. Sedangkan Malaysia sebelum ini sebagai sebuah negara yang kaya mampu membekalkan rakyatnya dengan makan minum, membangunkan sekolah dan kemudahan awam, malah membina Putrajaya tanpa perlu ada GST.

Bagi rakyat Malaysia, apa yang mereka tahu tentang kerajaan BN hari ini berbanding BN pada era sebelum ini adalah:

a) Ia menguatkuasakan pelaksanaan GST pada 1 April 2015;

b) Ia menyebabkan nilai Ringgit jatuh sehingga 30% sejak Oktober 2014;

c) Ia mengurangkan perbelanjaan untuk kebajikan, pendidikan tinggi, sekolah dan hospital sejak 2015 yang telah menyebabkan banyak keluarga menderita;

d) Ia tergila-gila mengutip cukai sampai ke peringkat “mengugut” perniagaan yang sah bagi menampung perbelanjaan kerajaan sedangkan kroni-kroni BN seperti Jho Low dibiarkan begitu sahaja; dan

e) Ia menanggung hutang yang besar melalui pelbagai projek mega serta projek 1MDB yang akan membebankan generasi akan datang.

Memang wujud krisis tersembunyi sekarang. Walaupun ia jelas dan terang kepada semua orang, hanya BN yang masih enggan mengakui masalah besar ini.

Ketiga, Najib tidak mempunyai strategi pertumbuhan untuk generasi akan datang. Sehinggakan GLC dan GLIC turut mencari pelaburan di luar Malaysia kerana menganggap pulangan pelaburan atau ROI di Malaysia terlalu rendah. Malah, keputusan melabur di negara asing dibuat selepas GLC ditawarkan dengan pelbagai faedah, insentif, keutamaan dan keistimewaan dalam pasaran Malaysia dan himpitan keluar atau crowding out modal swasta tempatan.

Semakin ramai rakyat Malaysia terpaksa bekerja di luar negara untuk mencari nafkah tambahan. Dan semakin banyak pekerja asing yang tidak mahir, sama ada yang sah atau tidak, diimport ke Malaysia di bawah pentadbiran Najib. Keadaan ini menjejaskan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, dan mengakibatkan kebekuan gaji.

Untuk Malaysia berkembang maju, kita perlu mengutamakan rakyat Malaysia. Matlamat ekonomi negara adalah untuk memenuhi keperluan dan aspirasi rakyat Malaysia, dan bukannya menjaga kepentingan GLC, kroni-kroni kaya-raya atau spekulator asing.

Malaysia memerlukan ekonomi yang mampu menyediakan pekerjaan yang sesuai untuk rakyat Malaysia, iaitu pekerjaan yang memastikan produktiviti tinggi, kemahiran tinggi dan pendapatan tinggi. Kita memerlukan kerajaan yang menggalakkan inovasi, pendidikan dan penambahbaikan teknologi, dan bukannya konsesi dan habuan untuk kroni-kroni bisnis. Kita memerlukan ekonomi yang mempunyai struktur pentadbiran yang memberi ganjaran kepada yang rajin, dan bukan kepada mereka yang mempunyai kabel politik.

We telah berjaya melaksanakannya di Selangor dan Pulau Pinang, dan saya yakin kita boleh mencipta kejayaan yang sama untuk Malaysia. Kita perlukan satu perubahan yang mana para penyokong BN pun akan menyokong usaha kita. Kita memerlukan sebuah ekonomi untuk rakyat marhaen, dan bukan untuk segelintir orang sahaja.

6. Kuasa rakyat

DAP kini digambarkan sebagai musuh utama UMNO kerana DAP adalah parti berprinsip yang sudah teruji kekuatannya serta mendapat sokongan penuh daripada rakyat.

Apabila kita imbas kembali sejarah; ingatlah bahawa sehingga 10 November 2007, tiada tanda-tanda BN akan menghadapi masalah dalam PRU 2008. Apa tidaknya, BN menang 91% kerusi Parlimen dan 64% undi popular apabila ia diterajui Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2004. Tetapi segala-galanya berubah selepas itu; atau lebih tepat lagi, perubahan itu berlaku pada minggu ini 10 tahun yang lalu.

Selepas lebih dua tahun berkempen melawan SPR, parti-parti pembangkang dan NGO-NGO bekerjasama menganjurkan himpunan BERSIH yang pertama yang telah membawa kehadiran puluhan ribu rakyat pada 2007. Dua minggu kemudian, HINDRAF menghadirkan pula puluhan ribu rakyat di jalanan pada 25 November 2007. Ini adalah detik-detik penentu yang mengubah landskap politik pada PRU 2008.

Kepada mereka yang rasa Pakatan Harapan tiada harapan unuk menang dalam PRU14 nanti, serta kepada pakar-pakar strategi Najib yang angkuh dengan ketokohan pemimpin mereka, eloklah kita ingatkan mereka bahawa sehingga Februari 2008, malah sewaktu awal kempen PRU 2008 pun, tidak ramai yang menyangka pembangkang mampu menguasai lima kerajaan negeri.

Para sahabat dan rakan seperjuangan semua, kita hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum PRU14. Kemenangan bukanlah sesuatu yang mustahil lagi.

Jika hanya DAP dan Pakatan Harapan sahaja, tentulah kita tidak mampu melawan Najib yang mempunyai jentera plihanraya gergasi. Dia mempunyai banyak wang, alat propaganda untuk berbohong dan menyebarkan berita palsu, serta mempergunakan agensi-agensi kerajaan dan sumber-sumber awam untuk berkempen.

Namun, seperti yang dibuktikan sepanjang satu dekad ini, apabila keadaannya menjadi “rakyat lawan Barisan Nasional”, kita tahu BN boleh dan akan kalah.

Kita DAP mesti berada di pihak rakyat, di pihak majoriti, dan bukan di pihak segelintir penguasa zalim. Kita perlu berada di pihak yang bakal menentukan sejarah. Pihak ini adalah rakyat Malaysia.

Saya ingin mengingatkan anda semua serta diri saya sendiri dengan apa yang saya ucapkan lima tahun lalu di Kongres Kebangsaan DAP 2012, iaitu “Saya mahu kita semua beringat bahawa bukan bilangan ahli, dan bukan kekuatan kuasa mahupun wang, yang diambil kira dalam politik. Itu adalah elemen penting dalam politik Barisan Nasional. Tetapi dalam politik DAP, sebenarnya prinsip kita, idea kita, dan cita-cita kita menjadi ukuran. Ingat – kompas moral kita lah yang mentakrif dan membezakan DAP daripada parti-parti Barisan Nasional”.

Apabila kita berdepan dengan “ibu segala PRU”, DAP akan membaharui kepimpinan hari ini, dan bersama-sama kita menumpukan segala-galanya bagi memenangi PRU akan datang ini. Kita juga mahu menang bagi memastikan kemenangan ini menjadi milik generasi akan datang yang akan hidup selesa di dalam sebuah negara bernama Malaysia yang bersatu demi semua, yang mengamalkan demokrasi sebenar, dan menikmati peluang saksama serta bebas daripada ketakutan dan kebuluran, menghormati maruah dan hak asasi setiap warganegara sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Negara ini juga akan memberi ganjaran kepada mereka yang rajin dan akan menggalakkan budaya cemerlang; dan memastikan keamanan, undang-undang dan peraturan sebagai hak asasi yang tetap untuk setiap rakyat, dan bukannya keistimewaan yang boleh diberi atau ditarik balik.

Kongres Khas DAP ini diadakan dengan agenda ketat yang ditentukan oleh ROS semata-mata untuk mengadakan pemilihan semula kepimpinan kita. Tiada siapa boleh hadir atau berucap melainkan wakil-wakil parti yang layak dan sah. Tetapi kita juga ingin mengingatkan setiap orang tentang visi kita untuk membina sebuah negara Malaysia yang kita semua dapat berbangga dengannya.

Rakyat Malaysia sudah muak dan benci dikaitkan dengan skandal 1MDB, dengan negara kleptokratik atau negara paling korup di dunia. Marilah kita sama-sama berganding bahu membawa Malaysia ke arah kesejahteraan demi anak-anak kita. Sebuah negara Malaysia yang demokratik, progresif dan maju untuk marhaen!

Bangkit, bangkit! Bangkit Rakyat! Ubah, Ubah! Ubah Malaysia!

Muat Turun Ucapan Kongress Khas Parti DAP 2017

Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Bagan
Ucapan oleh Lim Guan Eng di Kongres Khas Kebangsaan di IDCC Shah Alam, Selangor pada hari Ahad, 12 November 2017