Pandangan & Cadangan Terhadap Program Latihan Khidmat Negara dan
Akta Latihan Khidmat Negara 2003 Oleh DAP Perak
Cadangan
-
dikemukakan kepada Jawatankuasa Pilihan Perpaduan Negara serta Khidmat
Negara
by
DAPSY Perak
(Parlimen,
Jumaat):
Objektif Program Latihan Khimat
Negara (PLKN) adalah:
a) menanam semangat patriotism,
b) pembentukan perwatakan positif dan
c) perpaduan kaum,
tetapi daripada pelbagai masalah dan aduan yang timbul dari segi
perlaksanaan PLKN, kami berpendapat kerajaan sepatutnya menjalankan banyak
pengubahsuaian dan kajian semula terhadap program ini.
Kelemahan perlaksanaan Program ini jelas dilihat bukan sahaja daripada
sekadar kelemahan penyediaan infrastruktur tetapi juga latihan kepada para
jurulatih/arahan kepada Komandan Kem dan kandungan Program tersebut.
Kejadian terkini adalah seorang peserta didakwa beliau dipukul oleh seorang
jurulatih serta dimarahi dengan kata-kata yang tidak sopan/menghina. (The
Star, 28.4.2005).
1. Sensitiviti Agama
Program ini yang sepatutnya bertujuan menguatkan semangat perpaduan di
kalangan peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum, tetapi banyak insiden
salahfaham dan kekurangan sensitiviti dan pemahaman terhadap
agama dan cara hidup pelbagai kaum telahpun timbul, yang mana menunjukkan
kekurangan sensitiviti dan kepekaan pada pihak komanden dan jurulatih kem.
Contohnya, peserta bukan Islam mengadu bahawa mereka diwajibkan untuk
menyertai doa Islam dan dipaksa mengangkat tangan mereka.
2. Interaksi dan Pemahaman Dua Hala
Oleh kerana salah satu objektif PLKN ini adalah untuk memupuk semangat
perpaduan, jadi adalah penting bagi kandungan program ini dan
perlaksanaannya membolehkan para peserta mengenali dan memahami agama, adat,
kepercayaan dan cara hidup pelbagai kaum. Para peserta seharusnya diberi
peluang untuk belajar dan menghormati agama dan budaya pelbagai kaum,
tetapi kesalnya, kurikulum yang digunapakai sekarang kelihatan
kurang mengambilkira dan memberi penghormatan kepada realiti kepelbagaian
kaum dan agama sehingga mencetuskan banyak ketidakpuasan di kalangan peserta,
khususnya golongan bukan Islam.
Jadi, kami mencadangkan supaya kerajaan memberi lebih penekanan kepada
pemahaman pelbagai agama, adat dan cara hidup pelbagai kaum dalam Latihan
Khimat Negara untuk mengelakkan konflik di kalangan peserta yang terdiri
daripada pelbagai kaum..
Sensitiviti terhadap kepelbagaian kaum dan agama ini haruslah dibayangkan
dari segi penyediaan makanan, nyanyian lagu, cara pemakaian dan cara hidup (khususnya
dari segi pembersihan diri). Di kebanyakan kem, makanan yang disediakan
adalah makanan yang sesuai untuk sesuatu kaum sahaja, selain itu, lagu dan
muzik yang dimainkan semasa rekreasi juga hanya lagu Bahasa Melayu sahaja.
Sebenarnya, sekiranya lagu dan makanan peserta yang terdiri daripada kaum
India, Cina, Kadazan, Iban, Murut dan lain-lain dapat diadakan di dalam kem
latihan, ia pun dapat merapatkan jurang “perbezaan” di antara para
peserta dan menyumbang kepada perpaduan kaum.
3. Perhubungan Jantina
Kami difahamkan terdapatnya kem latihan yang melaksanakan pengasingan
peserta perempuan dan lelaki dalam program mereka, misalnya pada waktu makan
bersama, adalah fenomena yang tidak sihat, sebaliknya PLKN seharus
mengambil kesempatan latihan khidmat negara ini untuk menyampaikan
pengajaran penghormatan dan sensitiviti jantina. Larangan terhadap pergaulan
bersama dan pengasingan peserta perempuan dan lelaki adalah
kurang sihat.
4. Kelemahan Dalam Akta Latihan Khidmat Negara
a) Pengwajiban Menjalani PLKN
Objektif dan tujuan PLKN bukannya untuk kerahan tenaga tetapi lebih kepada
pembentukan dan penanaman nilai-nilai positif terhadap seseorang peserta dan
ke atas negara tercintanya.
Akta Latihan Khidmat Negara 2003 yang terpakai pada mereka yang berumur di
antara 16-35 tahun menyatakan jika seseorang terpilih adalah diwajibkan
untuk menjalani PLKN. (S. 3 ) Ini bermaksud akta ini berunsur “paksaan”/wajib.
Menurut laporan, terdapat lebih kurang 480,000 orang di Malaysia yang
berumur 18 tahun. Di kalangan mereka ini, hanya lebih kurang 20% yang
dipilih secara rawak untuk mengikuti PLKN ini.
Sebenarnya, sekiranya PLKN dijalankan dengan lebih unsur keseronokan (fun
and cool) seperti apa yang dinyatakan oleh Menteri dalam pembentangan
Akta ini, kerajaan tidak perlu mewajibkan penyertaan peserta tetapi para
pemuda-pemudi ini tentu akan datang menyertai program ini secara suka-rela.
Jadi kami mencadangkan supaya seksyen 3 dalam akta ini dipinda agar
menjadikan penyertaan PLKN sebagai pilihan dan kesukarelaan seseorang
individu.
b) S. 18 – Hukuman Terhadap Pelarian PLKN
Sehubungan dengan itu, kami juga mencadangkan supaya fasal 18 berkenaan
hukuman terhadap mereka yang tidak ingin menyertai PLKN juga dimansuhkan (iaitu
hukuman denda tidak melebihi RM3000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau
kedua-duanya ke atas mereka yang gagal hadir jika telah dipilih).
Kesimpulan
Secara keseluruhan, perlaksanaan dan pendekatan yang digunakan dalam PLKN
telah menyebabkan PLKN gagal mencapai ketiga-ketiga objektifnya, terutamanya
dari segi memupuk perpaduan kaum dan menanam semangat patriotism apabila :-
a) Program adalah pemilihan ke atas hanya 20% remaja yang dipilih
secara rawak;
b) Kehadiran program adalah secara wajib dan bukannya secara sukarela;
c) Program hanya dijalankan selama 90 hari;
d) Pelbagai masalah/aduan dalam perlaksanaannya;
e) Pendekatan perlaksanaan yang kurang sensitif dan kurang menekankan
pemahaman kepelbagian kaum dan agama.
Jadi, walaupun kami mengakui bahawa nilai-nilai displin dan pembentukan
watak positif boleh dicapai melalui PLKN tetapi sekiranya kelemahan di atas
tidak diubahsuai, maka program tersebut akan tetap gagal mencapai
objektif perpaduan dan patriotisme.
(29/4/2005)
|