BM 中文 English

Ketetapan-ketetapan Jawatankuasa Tertinggi Pusat 2008

Bahawa Kongres ini mengambil ketetapan untuk:

  1. MENGUCAPAKN TERIMA KASIH kepada rakyat Malaysia yang mengambil keputusan yang berani dalam pilihanraya umum ke-12 yang lalu sehingga mencetuskan tsunami politik yang menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional di Parlimen dan memilih DAP sebagai kerajaan negeri di Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
  2. MEMPERTAHANKAN asas perjuangan DAP iaitu sebuah Negara Malaysia yang mempunyai ciri-ciri kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya yang merupakan asas kekuatan Negara dan kita tetap mempertahankan semangat Perlembagaan Persekutuan 1957 yang mendukung prinsip Negara sekular demokrasi.
  3. MEMBERIKAN SOKONGAN PENUH kepada usaha Kerajaan-kerajaan Negeri yang disertai oleh DAP untuk merealisasikan agenda pentadbiran yang berunsurkan ciri-ciri Cekap, Akauntabel dan Telus.
  4. TERUS MEMPERJUANGKAN pembaharuan dan reformasi dalam agenda ekonomi negara supaya pengagihan kekayaan negara berdasarkan peluang yang samarata untuk semua rakyat Malaysia dan sebuah ekonomi yang bebas dari unsur-unsur rasuah, kronisme dan nepotisme serta mengambil langkah-langkah spesifik untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi golongan miskin tanpa mengira kaum dan golongan yang terpinggir khasnya masyarakat India, Kadazan-Dusun-Murut, orang asli dll yang tidak mendapat perhatian kerajaan Barisan Nasional.
  5. MENGUTUK Kerajaan Persekutuan yang enggan memansuhkan undang-undang yang tidak menghormati hak asasi manusia termasuk ISA, OSA, AUKU, Akta Hasutan, Akta Percetakan dan lain-lain. Kongres ini juga MENDESAK kerajaan segera membebaskan 5 pemimpin HINDRAF dan semua tahanan yang lain dari Akta Keselamatan Dalam Negeri secepat mungkin tanpa sebarang syarat.
  6. MENGUTUK kegagalan pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam agenda memerangi rasuah yang semakin parah di Malaysia dan MENDESAK supaya kerajaan mengamalkan sikap toleransi sifar terhadap sebarang bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
  7. TERUS MENDESAK Kerajaan Persekutuan supaya mengiktiraf hak rakyat Malaysia untuk belajar bahasa ibunda masing-masing dan memberikan peruntukan yang samarata kepada semua jenis aliran sekolah serta membina Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di mana-mana lokasi yang mempunyai permintaan dan keperluan.
  8. TERUS KOMITED dalam memperjuangkan pemulihan pilihanraya kerajaan tempatan di seluruh negara yang merupakan asas demokrasi yang paling penting di peringkat akar umbi.
  9. MENDESAK Kerajaan Persekutuan melaksanakan sistem meritokrasi yang tulen dalam akses dan peluang dalam penggajian tinggi untuk semua Anak Malaysia dan memastikan pemberian biasiswa kepada semua pelajar cemerlang tanpa mengira kaum dan agama.
  10. MENGUTUK SEKERAS-KERASNYA kumpulan yang bertindak ekstrem dalam menghalang perbincangan mengenai masalah yang timbul berikutan dengan konflik undang-undang agama dan sivil seperti yang berlaku dalam seminar berkenaan isu pemelukan Islam yang dianjurkan oleh Majlis Peguam baru-baru ini, dan MENGESA kerajaan supaya memberikan galakan yang sewajarnya kepada sesi-sesi dialog antara-agama yang memupuk persefahaman agama dikalangan rakyat jelata.

Muat Turun Ketetapan-ketetapan Jawatankuasa Tertinggi Pusat