PENDAHULUAN
Persidangan Kebangsaan DAP dengan rendah hati menyedari sepenuhnya bahawa

  • Sepanjang lebih lima dekad kewujudan DAP, parti ini telah berkembang menjadi sebuah parti yang mampu membentuk kerajaan yang baik dan mampu menghimpun segala macam daya sosial yang berkongsi wawasan untuk membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang tidak perkauman, tidak rasuah, saksama dan demokratik.
  • Bahawa terdapat bermacam-macam cabaran di peringkat global, serantau, dalam negeri dan antara parti yang perlu ditangani kerana dampaknya terhadap parti dan negara – bahawa DAP perlu memantapkan keupayaannya untuk bertindak balas secara kreatif terhadap faktor-faktor berkenaan serta hakikat zaman yang cepat berubah; bahawa parti ini perlu menerajui perjuangan menegakkan Keadilan Sosial, Kemakmuran Saksama dan Solidariti Sejagat di kalangan semua rakyat Malaysia.

Persidangan Kebangsaan DAP 2014 dengan itu memutuskan;

PENGHORMATAN:

  1. Bahawa sebagai sebuah bangsa, Malaysia berdukacita berikutan tragedi MH17 dan MH370 yang berlaku pada tahun ini; DAP MENYATAKAN SEMANGAT SOLIDARITI TIDAK BERBELAH BAGI dengan setiap seorang yang terlibat dan terkesan dengan tragedi itu tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan.
  2. Bahawa parti ini telah ditimpa ujian besar apabila tiga orang wakil rakyatnya yang juga merupakan pemimpin kanan parti yang telah lama mengharungi perjuangan bersama rakan-rakan lain dalam parti telah meninggal dunia; bahawa ingatan terhadap Sdr. Karpal Singh, Sdr. Wong Ho Leng dan Sdr. Seah Leong Peng akan DIPELIHARA, DISUBURKAN DAN TERPAHAT DALAM JIWA setiap seorang yang mengenal mereka sehingga ke akhir masa.

SABAH DAN SARAWAK:

  1. Untuk MENYERU kerajaan agar menilai semula sama ada impian dan cita-cita rakyat Sabah dan Sarawak telah dipenuhi setelah lima dekad Malaysia terbentuk; dan MENGHORMATI pandangan bahawa perlu dinilai semula persetujuan yang telah dicapai antara kedua-dua negeri itu dan Persekutuan melalui kajian semula yang mendalam terhadap Perjanjian Malaysia.
  2. Untuk MELAHIRKAN KEKECEWAAN BESAR, rasa tidak percaya, kurang senang dan terkejut dengan laporan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja berkenaan Pendatang Tanpa Izin di Sabah; untuk MENGULANGI seruan kita agar laporan itu dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Sabah agar pihak yang terlibat boleh diadili, dan didedahkan kepada umum semua kesalahan yang telah dicabul dan telah menghina hak kerakyatan untuk golongan yang benar-benar berhak ke atasnya.
  3. Untuk MENGHARGAI semangat dan keberanian anggota pasukan bersenjata yang telah berjuang menentang para pemberontak asing yang menceroboh Lahad Datu, serta menuntut kerajaan untuk mengukuhkan tahap keselamatan di sempadan dengan memberikan tumpuan khusus kepada pantai timur Sabah; untuk MENDESAK agar proses pemerolehan tentera dinilai kembali secara menyeluruh bagi memastikan ketelusan dan agar anggota tentera Malaysia mendapat peralatan yang terbaik bagi mempertahankan tanahair kita.
  4. Untuk MENGHORMATI semangat di sebalik Batu Sumpah Keningau yang membentuk tiga asas bagi pembentukan Malaysia pada tahun 1963, iaitu kebebasan beragama, hak negeri ke atas tanah, dan menghormati serta menegakkan kebudayaan dan warisan penduduk peribumi Sabah.

JANJI:

  1. Untuk menyatakan TEKAD bagi membina keupayaan semua anggota parti ke arah menjadi pejuang demokrasi sosial dan untuk membina barisan pemimpin masa depan; dan untuk terus MENGUKUHKAN barisan pemimpin dan ahli dewan perundangan yang ada sekarang ke arah menjadikan DAP sebagai Parti yang membawa Idea dan Penyelesaian terulung di Malaysia.
  2. Untuk MENEGUHKAN SEMULA komitmen bukan hanya DAP, malah juga MENGGALAKKAN komitmen semua parti komponen Pakatan Rakyat terhadap Kerangka Kerja Dasar Bersama Pakatan Rakyat, Buku Jingga dan juga Perisytiharan Shah Alam; dan MENEGASKAN bahawa DAP akan teguh berpegang dengan persetujuan yang telah lama dicapai antara parti-parti Pakatan Rakyat bahawa pelaksanaan Hudud tidak akan dimasukkan dalam agenda perundangan mahu pun urus tadbir Pakatan sama ada di peringkat negeri mahu pun kebangsaan.
  3. Untuk MENEGUHKAN SEMULA perjuangan asas parti untuk membentuk Malaysia bagi bangsa Malaysia, dengan menyediakan jalan yang jelas ke arah suasana sosial, politik, dan ekonomi baru di mana perwakilan berasaskan kaum dianggap lapuk dan tidak lagi perlu.
  4. Untuk MENGGANDAKAN USAHA mengembangkan parti dengan meneroka wilayah sokongan baru dan pada masa yang sama MEMPERKUKUH asas sokongan sedia ada dengan meneruskan budaya keterbukaan dan kemenyeluruhan; menegaskan bahawa DAP adalah untuk semua rakyat Malaysia.

MEMALAYSIAKAN MALAYSIA:

  1. Untuk SECARA TEGUH DAN TANPA GOYAH meneruskan projek Memalaysiakan Malaysia, di mana setiap seorang daripada kita BERIKRAR untuk bertindak berdasarkan persamaan yang ada di antara kita; MENDAKAP kekuatan yang terdapat dalam kepelbagaian kita, dan menjadi lebih matang dengan meraikan dan menyedari keindahan pada perbezaan yang wujud di kalangan kita.
  2. Untuk MENYOKONG reformasi meluas terhadap sistem Pendidikan Kebangsaan, termasuk Untuk MENERIMA pendidikan berbahasa ibunda sebagai satu kekuatan yang dapat menghasilkan jatidiri Malaysia yang sejati; dan MENGUTUK tanpa teragak-agak tindakan UMNO mengapi-apikan sentimen perkauman dengan mempersendakan hak pendidikan bahasa ibunda yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan; MENGULANGI seruan agar UEC diiktiraf dan peruntukan sistematik diberikan kepada pendidikan bahasa ibunda.

MEMULIHKAN KEYAKINAN TERHADAP INSTITUSI NEGARA:

  1. Untuk MENINGKATKAN SERUAN ke arah pendemokrasian sejati segenap kehidupan masyarakat Malaysia, termasuk wibawa polis, proses penyaluran maklumat, tatacara ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan urus tadbir kerajaan tempatan, dengan penekanan terhadap usaha menghidupkan semula pilihanraya kerajaan tempatan.
  2. Untuk MENGUTUK penindasan politik menerusi kekerasan oleh Barisan Nasional, terutama dengan keengganan mereka untuk memansuhkan undang-undang lapuk seperti Akta Hasutan walaupun mereka telah berjanji untuk berbuat demikian menjelang pilihanraya umum yang lalu; MENGKRITIK Perdana Menteri kerana membuat helah dengan menyalahgunakan istilah ‘Moderat’ apabila menggunakan Akta Hasutan, seperti yang dilakukan terhadap Sdr. Anwar Ibrahim dan banyak lagi orang yang sedang berdepan dengan tuduhan, serta MENYATAKAN SOLIDARITI SEPENUHNYA dengan mangsa-mangsa tuduhan.
  3. Untuk MENGUPAYAKAN para pengundi bagi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap ketidakseimbangan pada sistem pilihanraya; dan MENGULANGI TUNTUTAN TEGAS kita agar Suruhanjaya Pilihanraya benar-benar bebas, dengan merujuk kepada proses persempadanan semula kawasan pilihanraya yang bakal dilaksanakan.
  4. Untuk MEMPERSOALKAN kuasa mutlak pendakwaan yang berada di tangan Peguam Negara kerana isu-isu lama dan perkembangan terbaru yang menunjukkan tiada pertanggungjawaban pada kuasa itu dan ia terdedah kepada salah guna; dan untuk MENYARANKAN pembaharuan menyeluruh ke atas proses pelantikan dan pemilihan Peguam Negara.
  5. Untuk MENEGASKAN SEMULA seruan ke arah penubuhan IPCMC bagi memulihkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan polis, dengan merujuk kepada peningkatan jumlah kematian dalam tahanan di Malaysia.
  6. Memandangkan Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN bermula pada tahun 2015, untuk MENDESAK agar kerajaan Malaysia menerajui pelaksanaan Pembaharuan Sektor Keselamatan serantau bagi MEMERANGI ancaman dalam diam dan halus terhadap proses menegakkan keamanan dan hak asasi manusia, peningkatan jenayah rentas sempadan, penyeludupan dan pemerdagangan manusia dan; MENGUTUK secara tegas gerakan IS yang sedang menyusup ke dalam masyarakat Malaysia dan menyeru kerajaan agar tidak berlengah dalam mengambil semua tindakan yang perlu bagi mencegah agenda penyebaran kepercayaan agama militan IS.
  7. Untuk MENEGASKAN SEMULA seruan agar kuasa pendakwaan diberikan kepada SPRM dan agar bidang kuasa ke atas SPRM dipindahkan daripada Jabatan Perdana Menteri ke bawah Parlimen bagi memastikan usaha membasmi rasuah dapat dijalankan secara serius dan tidak berpihak.

EKONOMI HIJAU:

  1. Untuk MEMASTIKAN perkembangan ekonomi selari dengan dasar alam sekitar yang lestari dan tidak akan membawa kepada kemudaratan ekonomi dan sosial dalam jangka panjang.
  2. Untuk MENGALIHKAN ekonomi Malaysia semasa yang terlalu bergantung pada bahan bakar berasaskan karbon kepada ekonomi yang mengutamakan sumber tenaga boleh diperbaharui, meningkatkan kecekapan tenaga dan memajukan teknologi hijau.
  3. Untuk MENERAPKAN DAN MENJUARAI dasar pemuliharaan air bagi mengurangkan penggunaan air per kapita dan mengurangkan kadar pengaliran Air Tidak Berhasil (NRW); dan untuk MENGIKTIRAF kejayaan besar pengurusan air di Pulau Pinang.

PRO KEMANUSIAAN:

  1. Untuk MENGUTUK penggunaan AUKU bagi mengekang kebebasan berkumpul dan bersuara mahasiswa universiti serta menyekat suara nurani anak muda menerusi larangan-larangan bersifat kuku besi ke atas wacana dan perbahasan politik yang wajar.
  2. Untuk MENGALU-ALUKAN keputusan sebulat suara yang baru-baru ini dicapai oleh tiga orang hakim Mahkamah Rayuan bagi mengesahkan kembali bahawa Orang Asli di Semenanjung mempunyai hak ke atas tanah leluhur mereka berdasarkan undang-undang.

WANITA DAN ANAK MUDA:

  1. Untuk MENGAKUI DAN MENJUARAI konsep Pekerjaan Baik untuk Semua seperti yang dirumuskan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa yang telah menempa kesepakatan antarabangsa di kalangan kerajaan, majikan, pekerja, kesatuan pekerja, dan masyarakat sivil, bahawa Pekerjaan Baik dan produktif adalah unsur utama untuk mencapai gobalisasi yang saksama, disokong oleh lokalisasi serta usaha mengurangkan kemiskinan dan mencapai pembangunan yang saksama, inklusif dan lestari.
  2. Untuk MENGUTUK semua jenis diskriminasi sosioekonomi dan politik terhadap wanita dan anak muda, selain sebarang bentuk penindasan yang mungkin timbul dalam soal urus tadbir dan dasar.
  3. Untuk MENGUTUK sebarang bentuk penyeludupan dan pemerdagangan manusia, khususnya perdagangan seks haram yang sedang berleluasa sekarang, dan sebarang bentuk eksploitasi pendatang asing yang lain; MENEGAKKAN kesetaraan sejagat dan tahap keselamatan paling tinggi di tempat kerja tanpa mengira latar kewarganegaraan atau jawatan.
  4. Untuk MENGHARGAI pengagihan peluang ekonomi, kerjaya, dan perkembangan individu yang saksama serta menyedari bahawa semua itu adalah unsur utama yang dapat membawa kepada pembaharuan yang baik, iaitu sesuatu yang boleh dicapai dengan membentuk kaedah yang mantap bagi menjamin kesaksamaan dalam proses pemantauan gender dan pembuatan keputusan yang peka gender.
  5. Untuk MENGANJURKAN perkembangan dan pembangunan yang baik dengan membentuk dasar-dasar yang wajar bagi memastikan penyertaan gender yang seimbang dan proses pembuatan keputusan yang logik dan mencerminkan pilihan yang sihat dan beretika; kuota minimum 30% wanita yang dicadangkan adalah bukti ketulusan dan kesungguhan DAP untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam politik.
  6. Untuk MENGUPAYAKAN DAN MENGUKUHKAN sikap mandiri, percaya diri dan autonomi di kalangan wanita dan anak muda dengan mendakap nilai-nilai yang teguh dan pendidikan yang terbuka, serta menyokong perkembangan moral yang boleh membawa kepada pembangunan masyarakat yang dapat membantu menangani radikalisme, ekstremisme dan lain-lain bentuk penindasan, dengan cara menyemai rasa setiakawan yang kuat tanpa mengira agama, kaum atau gender.

SOLIDARITI SERANTAU

  1. Untuk MENDESAK Jeneral Prayuth Chan-ocha dari Thailand, dengan kedudukannya sebagai ketua tentera yang menerajui rampasan kuasa terhadap kerajaan yang dipilih secara demokratik pada Mei tahun ini, untuk segera mengadakan semula pilihanraya bebas dan adil agar rakyat Thailand dapat memilih kerajaan mereka.
  2. Untuk MENYUARAKAN KEBIMBANGAN kerana beberapa peruntukan yang tidak demokratik masih wujud dalam perlembagaan Myanmar yang dirangka di bawah pemerintahan junta tentera, antaranya peruntukan yang menghalang penerima Hadiah Nobel Aung San Suu Kyi daripada bertanding dalam pilihanraya presiden serta kuota 25% kerusi parlimen untuk junta dan sekutunya; serta mengungkapkan semangat setiakawan terhadap semua pihak di Myanmar yang sedang berusaha untuk menghapuskan peruntukan-peruntukan berkenaan.

Muat Turun Ketetapan-ketetapan Jawatankuasa Tertinggi Pusat