Laporan Jawatankuasa Tertinggi Pusat 2016

Mukadimah

  1. Persidangan Kebangsaan DAP pada hari ini, 4 Disember 2016 di Shah Alam merupakan satu persidangan yang amat bersejarah untuk parti kerana seluruh pimpinan dan perwakilan berkumpul di sini untuk meraikan sambutan ulangtahun ke-50 penubuhan parti yang bertemakan “[email protected] – Terus Berjuang” dan mengorak langkah serta meletakkan asas perjuangan parti untuk 50 tahun yang akan datang dalam persada politik Malaysia.
  2. Persidangan Kebangsaan yang lepas diadakan pada 14 Disember 2014 di Subang Jaya. Persidangan tahun ini sepatutnya diadakan pada bulan Jun yang lalu namun terpaksa ditundakan ke penghujung tahun kerana seluruh pimpinan parti memberikan fokus sepenuhnya untuk membantu DAP Sarawak menghadapi Pilihanraya Negeri Sarawak pada bulan Mei 2016.
  3. Penggal Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) ini bermula dari 29 September 2013 selepas pemilihan semula diadakan seperti yang diarahkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan berakhir pada 29 September 2016. Namun, mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat pada 18 Julai 2016 telah memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan seperti yang diperuntukkan dalam Fasal VIII (1), Perlembagaan Parti.
  4. Penangguhan pemilihan parti membolehkan seluruh pimpinan dan jentera organisasi parti untuk memberi fokus yang sepenuhnya untuk membuat persediaan menghadapi kempen Pilihanraya Umum yang ke-14 yang dijangka akan diadakan pada pertengahan kedua tahun 2017.

Status ROS vs DAP

  1. Status siasatan ROS terhadap parti masih status quo. Sepanjang 2 tahun yang lalu, ROS tidak meluluskan sebarang permohonan cawangan baru dari Ibupejabat DAP. Malah, pindaan Perlembagaan Parti yang diluluskan oleh para perwakilan dalam Persidangan Parti 2014 masih belum diluluskan oleh ROS. Namun begitu, perjalanan dan pentadbiran organisasi parti diteruskan seperti biasa. Semua mesyuarat agung tahunan cawangan, Jawatankuasa Perhubungan Parlimen serta konvensyen-konvensyen negeri dijalankan seperti biasa mengikut Perlembagaan Parti.
  2. Pimpinan tertinggi parti amat menghargai komitmen dan kepercayaan ahli-ahli akar umbi yang terus memberi sokongan yang tidak berbelah bagi dan berdiri teguh di belakang CEC untuk berdepan dengan tekanan yang berterusan daripada ROS. Cabaran yang perlu dihadapi oleh parti akan berterusan namun semangat perpaduan yang tinggi yang ditunjukkan oleh semua ahli akan dapat memastikan keutuhan parti walau apa pun cubaan untuk membatalkan pendaftaran parti oleh ROS.

Berakhirnya Pakatan Rakyat

  1. Dua perkara besar berlaku dalam bulan Februari 2015 memberi kesan yang amat dalam kepada perkembangan politik negara dan bermulanya keretakan Pakatan Rakyat. Pada 10 Februari 2015, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan penjara selama 5 tahun oleh Mahkamah Persekutuan. Dua hari selepas beliau dipenjarakan, Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz pula meninggal dunia. Pemenjaraan Anwar dan pemergian Allahyarham Tok Guru Nik Aziz merupakan kehilangan yang besar untuk Pakatan Rakyat kerana ketokohan dan kepimpinan mereka berdua memainkan peranan yang cukup penting untuk memastikan keberlangsungan Pakatan Rakyat pada ketika itu.
  2. Kerjasama DAP bersama PKR dan PAS dalam kerangka Pakatan Rakyat berakhir secara rasminya pada 6 Jun 2015 selepas Muktamar PAS Pusat telah meluluskan satu usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP. Masalah di antara DAP dan PAS bermula apabila Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang tetap meneruskan usaha untuk membentangkan usul Rang Undang-undang Persendirian di Parlimen untuk membolehkan hukum hudud dilaksanakan khususnya di Kelantan walaupun tidak mencapai konsensus dalam Majlis Presiden Pakatan Rakyat. Pendirian DAP amat konsisten bahawa Hudud bukan merupakan agenda bersama Pakatan Rakyat dan justeru itu, tindakan PAS tersebut telah melanggari prinsip bersama Pakatan Rakyat.

Kesinambungan melalui Pakatan Harapan

  1. Muktamar PAS 2015 telah menukar wajah PAS dari kesederhanaan kembali kepada konservatisme dan pimpinan baru yang dipilih menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan UMNO. Hampir kesemua pemimpin PAS yang sederhana dan pro-Pakatan Rakyat telah ditewaskan oleh golongan konservatif dalam pemilihan parti mereka. Golongan sederhana yang diketuai oleh Mohamad Sabu dan Salahuddin Ayub telah meninggalkan PAS secara beramai-ramai dan akhirnya mereka menubuhkan wadah perjuangan yang baru melalui Parti Amanah Negara yang ditubuhkan pada 16 September 2016.
  2. Pimpinan Parti Amanah Negara telah menunjukkan komitmen secara terbuka bahawa misi mereka ialah meneruskan kesinambungan perjuangan Pakatan Rakyat iaitu membawa perubahan dengan menggantikan Barisan Nasional sebagai Kerajaan Persekutuan. Justeru itu, pimpinan tertinggi DAP, PKR dan Amanah yang bermesyuarat pada 22 September 2015 telah memutuskan untuk melancarkan Pakatan Harapan sebagai gabungan parti pembangkang yang baru untuk meneruskan perjuangan membawa perubahan politik di Malaysia. Sejak dilancarkan, Pakatan Harapan telah meneruskan fungsi gabungan parti pembangkang utama di Parlimen. Konvensyen pertama Pakatan Harapan peringkat kebangsaan juga telah diadakan pada 12 November 2016.

Kerjasama dengan kuasa politik baru

  1. Pemecatan mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dari UMNO telah menyebabkan penubuhan sebuah parti politik baru yang menarik keahlian bekas ahli-ahli UMNO iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir memainkan peranan penting dalam PPBM dan melancarkan serangan politik yang bertubi-tubi terhadap pentadbiran Najib. Penubuhan PPBM merupakan satu perkembangan yang boleh menggugat kedudukan UMNO dan telah menwujudkan satu senario politik yang baru yang memerlukan perhatian dan respons daripada kami.
  2. Kerjasama kami secara tidak rasmi dengan Tun Dr. Mahathir telah bermula pada 4 Mac 2016 apabila Sdr Lim Kit Siang hadir bersama beliau dalam gerakan Deklarasi Rakyat yang bertujuan untuk mendesak perletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia selepas pendedahan skandal dana RM2.6 billion dalam akaun peribadi Najib.
  3. Cabaran yang terbesar dalam Pilihanraya Umum yang ke 14 ialah untuk mengubah pola pengundian masyarakat Melayu kepada Pakatan Harapan dan menamatkan pentadbiran Najib. Untuk mencapai visi tersebut, kuasa-kuasa politik pembangkang perlu disatukan terutamanya kuasa yang boleh memecahkan hegemoni dan pengaruh UMNO. Justeru itu, kerjasama dengan PPBM dalam kerangka Pakatan Harapan merupakan satu keperluan strategik untuk mencapai tujuan tersebut. Namun, kerjasama dengan PPBM juga berlandaskan kerangka dasar bersama yang perlu dipersetujui oleh semua parti dalam Pakatan Harapan supaya agenda reformasi dan perubahan perlu diutamakan sekiranya Pakatan Harapan berjaya menguasai Putrajaya.

Dakwaan terhadap Sdr Lim Guan Eng

  1. Seluruh pimpinan di semua peringkat parti tetap memberikan sokongan penuh kepada Setiausaha Agung Sdr Lim Guan Eng untuk terus memimpin parti walaupun beliau didakwa di mahkamah pada 30 Jun 2016 berkenaan pembelian rumah beliau. Biro undang-undang yang diketuai oleh Sdr Gobind Singh akan berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan beliau dalam perbicaraan di mahkamah kelak. Sebagai respons terhadap dakwaan tersebut, CEC telah memutuskan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang untuk menyerahkan semula mandat kepada rakyat dalam Pilihanraya Negeri. Namun, keputusan tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana rakan komponen dalam Pakatan Harapan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Prestasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor

  1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor terus menunjukkan prestasi yang baik dalam isu urus tadbir khususnya dalam pengurusan kewangan yang berhemah. Kesan positif daripada urus tadbir kewangan yang baik telah membawa manfaat yang terus kepada rakyat Pulau Pinang dan Selangor khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan ia diterjemahkan dalam pelbagai inisiatif dan dasar serta program kebajikan kepada rakyat.
  2. Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh Setiausaha Agung DAP juga berjaya menyiapkan pelbagai projek pembangunan dan produk-produk pelancongan yang bertaraf antarabangsa untuk memacu pembangunan ekonomi Pulau Pinang. Pelbagai usaha akan diteruskan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri contoh dan membuktikan dasar yang diperjuangkan oleh DAP boleh membawa kesejahteraan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Prestasi Ahli-ahli Parlimen DAP

  1. 37 wakil parti di Dewan Rakyat terus memainkan peranan penting untuk membawa suara rakyat di Parlimen dan lantang mengkritik sebarang salah laku Kerajaan Barisan Nasional. Ahli-ahli Parlimen DAP ialah antara yang paling aktif dalam perbahasan di Dewan. Setiausaha Publisiti dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Sdr Tony Pua pula diiktiraf sebagai antara pemimpin yang memainkan peranan yang paling penting dalam membongkarkan isu skandal 1MDB.

Pilihanraya Negeri Sarawak

  1. DAP Sarawak telah bertanding di 30 kawasan DUN dalam Pilihnaraya Negeri Sarawak yang berlangsung pada 7 Mei 2016. Pillihanraya Negeri pada kali ini merupakan satu rekod baru untuk parti kerana buat pertama kalinya, lebih separuh daripada kerusi yang kami tandingi ialah kerusi-kerusi Bumiputera di kawasan pendalamanan. Walaupun keputusan yang dicapai oleh parti tidaklah begitu baik iaitu kami hanya menang di 7 kerusi berbanding 12 kerusi pada tahun 2011, namun ramai bakat muda telah dikenalpasti dan kami mendapat pengalaman yang amat bernilai dalam penglibatan kami dalam politik luar bandar. Keputusan ini tidak akan mematahkan semangat perjuangan kami tetapi mendorong pemimpin dan ahli di Sarawak untuk bekerja lebih keras untuk menghadapi Plihnaraya Umum yang ke-14.
  2. Inisiatif Impian Sarawak dan Impian Sabah yang dimulakan beberapa tahun yang lalu untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur kecil di kawasan pendalaman dan membantu masyarakat miskin di luar bandar akan diteruskan. Walaupun inisiatif ini tidak memberikan impak positif dalam Pilihanraya Negeri Sarawak namun kami percaya perjuangan untuk memenangi hati pengundi di luar bandar mesti diteruskan dalam tempoh jangka panjang.

Penutup

  1. Persidangan Kebangsaan ini merupakan pembuka tirai kepada persiapan parti untuk menghadapi Pilihanraya Umum yang ke-14. Semua aspek persiapan mental dan fizikal di semua peringkat mesti digerakkan secara serta-merta. Rundingan dengan Pakatan Harapan dan kerjasama dengan parti lain akan dimuktamadkan kelak untuk menyatukan kekuatan pembangkang melawan Barisan Nasional. Marilah semua kuatkan semangat perjuangan dan tingkatkan azam untuk menjayakan misi menyelamatkan Malaysia dalam PRU 14. Parti telah mengharungi 50 tahun yang penuh dengan pelbagai cabaran dan rintangan. Namun, pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli DAP tidak pernah berputus-asa untuk merealisasikan impian kami untuk membentuk sebuah negara dan masyarakat yang adil, demokratik, maju dan penuh dengan integriti.

    Kami bertekad untuk terus berjuang dan meletakkan asas yang kukuh pada hari ini supaya generasi muda boleh terus membawa obor perjuangan DAP untuk 50 tahun yang akan datang!

TERUS BERJUANG!

Muat Turun Laporan Jawatankuasa Tertinggi Pusat 2016