1. Para Perwakilan Kebangsaan DAP berkumpul di Shah Alam, Selangor, pada 8hb Januari 2012, di ambang Pilihan Raya Umum Ke-13, untuk melakar masa depan Malaysia dalam saat yang genting ini dalam keadaan negara yang sudah lumpuh.
  2. Macam-macam telah berlaku dalam tempoh antara Persidangan Kebangsaan yang lepas pada 17 Januari 2010 dan Persidangan Kebangsaan ini, yang antara lainnya termasuk:
    1. Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu pada 16 Mei 2010 dan Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 16 April 2011 merupakan dua detik yang signifikan untuk DAP. Perubahan corak mengundi di Sarawak dan kemungkinan juga di Sabah akan membawa perubahan yang ketara kepada persada politik negara kita;
    2. Dalam hal-ehwal organisasi parti, DAP telah terus berkembang sejak Persidangan Kebangsaan yang lalu, dengan bilangan ahli meningkat kepada lebih kurang 130,000 daripada 100,000, manakala bilangan cawangan yang berdaftar telah meningkat daripada 700 kepada 1,200. Antara beberapa kejayaan kecil termasuklah penyertaan ahli-ahli dari kalangan Melayu, Iban dan Kadazan-Dusun-Murut yang muda dan cemerlang serta dari kaum wanita dan para profesional. Adalah diharapakan bahawa ini merupakan satu petanda bagi masa depan DAP yang bukan sahaja berbilang kaum dan berbilang agama dari segi penampilan sahaja tetapi juga dari segi keahlian, jasad dan jiwa;
    3. Meskipun berhadapan dengan pelbagai halangan, Pakatan Rakyat yang merangkumi DAP bersama Parti Islam SeMalaysia dan Parti Keadilan Rakyat, telah berjaya membuktikan salah ramalan-ramalan negatif musuh-musuh. Bukan sahaja Pakatan Rakyat selamat, tetapi lagi diperkukuhkan. Selain daripada Kerangka Kerja Dasar Bersama yang dibentangkan pada bulan Disember 2009, Pakatan Rakyat telah mengetengahkan Buku Jingga dan Belanjawan Alternatif 2012 Pakatan Rakyat bagi mengukuhkan dasar bersama kita untuk masa depan Malaysia.
    4. Kerajaan-kerajaan Negeri di mana DAP merupakan rakan dalam pentadbiran, termasuk Pulau Pinang dan Selangor, telah menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding dengan negeri-negeri Barisan Nasional, justeru membuktikan kepada rakyat bahawa Pakatan Rakyat dan DAP bukan semata-mata pembangkang yang kuat tetapi juga kerajaan yang cekap dan berkesan serta berintegriti dan berwawasan. Bukan sahaja Kerajaan-kerajaan Negeri PR mencatatkan belanjawan lebihan setiap tahun, malah Kerajaan-kerajaan tempatan atau badan-badan berkanun kerajaan yang dahulunya mengalami defisit semasa zaman pemerintahan BN telah dibaikpulih menjadi organisasi-organisasi yang sihat dengan lebihan bajet. Sementara hutang Kerajaan Persekutuan semakin meningkat, Kerajaan Negeri PR telah berjaya mengurangkan hutang Kerajaan Negeri dengan mendadak sekali, lantas membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa Kerajaan-kerajaan Negeri PR boleh mentadbir dengan lebih baik berbanding dengan Kerajaan Persekutuan.

Gambaran besar

  1. Pilihan Raya umum yang akan datang bakal menjadi pilihan raya yang paling kotor dalam sejarah negara, kerana buat julung kali, perubahan kerajaan di peringkat pusat sudah menjadi satu kemungkinan. Untuk kali pertama, parti-parti pembangkang akan bertanding di bawah payung Pakatan Rakyat, suatu prospek yang menawarkan alternatif yang tulen untuk pengundi Malaysia. Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan demokratik yang paling lama berkuasa di dunia. Mereka akan melakukan apa-apa sahaja dan segala-segalanya untuk terus mengekalkan kuasa tanpa mengambil kira pertimbangan perlembagaan, perundangan atau keadilan.
  2. Serangan bertubi-tubi yang berbaur perkauman oleh UMNO dan sekutu-sekutunya seperti Utusan dan Perkasa, yang kebanyakannya ditumpukan kepada DAP, telah dipergiatkan dalam tempoh antara dua Persidangan Kebangsaan yang lalu dan kini. Melalui penghinaan perkauman dan fitnah yang berniat jahat, UMNO berharap untuk mewujudkan keraguan di kalangan pengundi Melayu tentang kebolehan DAP dan Pakatan Rakyat sebagai alternatif kepada Barisan Nasional. Pemimpin-pemimpin PR telah pun memenangi kes-kes saman fitnah terhadap Utusan Malaysia. Walau bagaimanapun, masih lagi sukar untuk menembusi bukan sahaja kabus propaganda BN yang memomokkan DAP sebagai anti-Melayu, tetapi juga kesekatan media terhadap orang Melayu, terutamanya yang tinggal di luar bandar.
  3. Sejak ditubuhkan pada tahun 1966, DAP tidak pernah memperjuangkan keperluan sesuatu masyarakat tertentu sahaja. DAP bercita-cita dan berusaha untuk menjadi sebuah parti Malaysia untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira warna kulit, agama, fahaman dan gender.
  4. Dalam Persidangan Kebangsaan pada bulan Mac 2006, DAP telah mengutarakan konsep “Utamakan Rakyat Malaysia” yang menandakan keinginan untuk menjadikan Malaysia negara terulung, serta komitmen untuk memastikan kepentingan rakyat didahulukan sebelum apa-apa kepentingan lain termasuk masyarakat masing-masing.
  5. Dalam Persidangan Kebangsaan pada bulan Januari 2010, DAP telah membincangkan idea strategik “Jalan Tengah Malaysia”, dengan menarik tumpuan parti dan negara kepada hakikat bahawa tiada satu pun parti atau pakatan yang boleh membentuk sebuah kerajaan yang mapan tanpa sokongan daripada semua rakyat Malaysia. “Jalan Tengah Malaysia” yang akan menjadi penentu. Ia merangkumi pesanan kesederhanaan yang menjanjikan harapan, perubahan dan rejuvenasi yang dapat membawa negara ke tahap yang lebih tinggi.
  6. Biarlah kita mengingati bahawa, dalam Pilihan Raya Umum 2008, DAP telah mencapai kejayaan-kejayaan cemerlang seperti yang berikut:
    1. Dasar gender inklusif yang lebih ketara. Parti kita telah meletakkan 19 orang calon wanita di seluruh negara, di mana 14 orang daripada mereka telah dipilih, lantas menjadikan kontinjen wakil wanita DAP kontinjen yang terbesar dari segi nisbah di kalangan parti-parti politik di Malaysia;
    2. Dasar kepelbagaian etnik yang lebih ketara. DAP telah meletakkan jumlah calon etnik India yang paling ramai dan kini mempunyai jumlah wakil-wakil rakyat kaum India yang terbesar di antara semua parti kebangsaan di negara kita.
    3. Generasi baru. Satu pertiga daripada calon-calon DAP berumur 30 tahun ke bawah dan di kalangan wakil-wakil rakyat, lebih daripada satu pertiga wakil DAP berada di bawah 40 tahun.
  7. Sehubungan dengan itu, parti kita harus memberi tumpuan bukan sahaja kepada pengukuhan organisasi, penjanaan dana yang agresif untuk memenuhi sasaran pilihan raya dan penyebaran maklumat yang komprehensif, tetapi juga harus mengeratkan hubungan perpaduan dalam parti. Serangan awam sesama sendiri di kalangan pemimpin-pemimpin parti seperti yang dilihat pada bulan lalu bukan sahaja telah memerangkapkan diri dalam jerat media BN tetapi juga memenuhi harapan BN untuk melihat DAP dalam keadaan yang merugikan diri sendiri, di samping mencemari imej parti dan mengecewakan penyokong. Walaupun DAP tidak akan dimusnahkan dengan sebegitu mudah, setiap pemimpin dan ahli parti mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan bahawa hal-ehwal parti diselesaikan melalui saluran dalaman. Perbezaan pendapat adalah perkara biasa, tetapi perbalahan secara umum dan melalui media yang dikawal oleh BN adalah amalan yang tidak sihat. Tidak cukupkah kita dengan gelagat media yang dikawal oleh BN serta Suruhanjaya Pilihan Raya yang menjanjikan pilihan raya yang terkotor dalam sejarah? Janganlah kita terus melemahkan diri dengan memberikan gambaran berpecah-belah. Marilah kita tampil sebagai satu pasukan yang bersatu bukan atas dasar kekuatan, tetapi melalui matlamat perubahan dan pendukungan prinsip-prinsip kebebasan, keadilan, kebenaran, demokrasi dan integriti.
  8. Justeru, marilah kita maju ke depan dengan mengiktirafkan kepentingan penyertaan dan penglibatan orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak dalam DAP. Biarlah ini menjadi agenda utama kita, dan melalui solidariti semua rakyat Malaysia, kita akan membawa perubahan demi membentukkan Malaysia yang lebih mampan.

Muat Turun Laporan Jawatankuasa Tertinggi Pusat