Pengenalan

1. Para Perwakilan Kebangsaan DAP hari ini berhimpun di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA), Bayan Baru, Pulau Pinang, pada 15 dan 16 Disember 2012, untuk Kongres DAP kali ke-16 untuk menetapkan hala tuju parti dan memilih kepimpinan baru untuk tempoh tiga tahun akan datang. Pilihan Raya Umum ke-13 mungkin akan diadakan dalam masa seratus hari lagi, dan para Perwakilan Kebangsaan DAP berkumpul untuk memikir dan mencorak masa depan Malaysia.

Tema Kongres kali ke-16 ialah “Perubahan di Tanganmu”

Ini adalah mesyuarat perwakilan kebangsaan yang pertama, tidak kira sama ada kongres atau persidangan kebangsaan, yang diadakan di Pulau Pinang sejak tahun 1991 apabila Deklarasi Tanjung dipersetujui.

2. Kongres tearkhir kita telah diadakan pada 23 dan 24 Ogos 2008 di Kuala Lumpur dengan tema “Cekap, Akauntabiliti Ketelusan”.

3. Dua Persidangan Kebangsaan telah diadakan dalam tempoh antara Kongres ke-15 dan ke-16:

  1. Sebuah Persidangan Kebangsaan dengan tema “Ubah sekarang, Selamatkan Malaysia” telah berlangsung di Ipoh, Perak, pada 17 Januari 2010.
    1. Setiausaha Agung telah membincangkan konsep “Jalan Tengah Malaysia” memandangkn Persidangan Kebangsaan tersebut telah diadakan ketika memuncaknya kontroversi ke atas penggunaan kalimah “Allah” oleh orang bukan Islam yang telah dieksploitasi oleh kumpulan sayap kanan dengan tujuan memecahbelahkan Pakatan Rakyat.
    2. Setiausaha Agung berkata bahawa “Adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa hanya ada satu jalan tengah dalam politik Malaysia, dan ia adalah jalan tengah yang penting. Jalan Tengah Malaysia lah yang akan memutuskan gabungan mana yang akan mentadbir seterusnya.”
    3. “Untuk ‘mengimani’ Jalan Tengah Malaysia, Pakatan Rakyat mestilah dilihat sebagai sederhana dan inklusif, menjarak dan membezakan diri kita dari lawan kita yang eksklusif, rasis dan pelampau.”
    4. Persidangan Kebangsaan Ipoh memperkuat komitmen DAP kepada Pakatan Rakyat sebagai sebuah “Muafakat rakyat” peringkat nasional yang baru dan menyokong Common Policy Framework-nya yang ketika itu masih baru.
  2. Sebuah Persidangan Kebangsaan dengan tema “Impian Bangsa Malaysia” telah diadakan di Shah Alam, Selangor, pada 8 Januari 2012.
    1. Deklarasi Shah Alam yang disepakati di Persidangan Kebangsaan tersebut antara lain menyebut:
      • Untuk mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan raja berperlembagaan bagi negeri-negeri; dan komited untuk mendukung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di negara ini dan menghormatinya sesuai dengan semangat Perlembagaan Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.
      • Untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di samping melindungi hak-hak kaum lain seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
      • Untuk melindungi kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sambil memelihara kebebasan agama-agama lain untuk diamalkan secara aman dan harmoni, seperti yang termaktub dalam Perkara 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.
      • Untuk memuliakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, di samping menggalakkan penggunaan dan pengajian bahasa Inggeris dan lidah ibu dalam usaha untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang cemerlang melalui kepelbagaian bahasa.
      • Untuk mengiktiraf semangat perkongsian samarata yang wujud dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak.
    2. Persidangan Kebangsaan Shah Alam juga meminda Perlembagaan Parti untuk membolehkan parti untuk melanjutkan tempoh Kongres sehingga 6 bulan.

Organisasi

4. Secara organisasi, parti telah berkembang secara pesat sejak Kongres ke-15 pada tahun 2008.

  1. Bilangan cawangan berdaftar meningkat dari 311 pada tahun 2008 kepada 1128.
  2. Bilangan Perwakilan Nasional meningkat daripada 948 pada tahun 2008 kepada 2576 orang..
  3. Bilangan ahli berbayar meningkat daripada 84,000 pada tahun 2008 kepada 150,000..

5. Ibu Pejabat DAP Kebangsaan telah berpindah dari No 24, Jalan 24/9, Petaling Jaya, ke Jalan Yew, Off Jalan Pudu, Kuala Lumpur pada tahun 2010.

Wakil Rakyat
6. Dari segi wakil rakyat, parti kini mempunyai

  1. 28 Ahli Parlimen pada tahun 2008, Sdr. Wong Ho Leng menyertai kaukus parlimen DAP selepas kemenangan bersejarah dan menakjubkan di Sibu dalam pilihan raya kecilnya pada 16 Mei 2010.
  2. Seorang ADUN di Sabah dan 70 ADUN di negeri-negeri Semenanjung, selepas ADUN Jelapang dan Malim Nawar meninggalkan parti, menyebabkan kejatuhan Kerajaan Negeri Perak pada tahun 2009.
  3. 12 ADUN dipilih dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 16 April 2011, menambahkan bilangan wakil DAP dua kali ganda berbanding enam yang terpilih dalam Pilihanraya Negeri 2006.
  4. Seorang Ketua Menteri dan 7 Ahli Exco dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta 3 Ahli Exco dari Kerajaan Negeri Selangor, serta Speaker Dewan Negeri Selangor.
  5. Dua orang Senator, iaitu Sdr. Dr Ariffin Omar (Pulau Pinang, sejak Mei 2012) dan Sdr. Chandra Mohan (Selangor, sejak Disember 2012).

Keadaan Parti
7. Pilihan raya umum 2008 merupakan satu titik bersejrah untuk politik Malaysia dan pastinya merubah permainan politik DAP. Barisan Nasional (BN) telah dikalahkan dan digantikan dengan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Kedah dan Kelantan. Kita juga telah mencapai yang berikut:

  1. Keterangkuman gender yang lebih besar. DAP menurunkan 19 calon wanita di seluruh negara, 14 daripada mereka telah terpilih.
  2. Keterangkuman multi-etnik lebih besar. Hampir tiga puluh peratus daripada calon-calon kita adalah berketurunan India dan 7 daripada mereka telah dipilih sebagai Ahli Parlimen dan 12 lagi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri. Kepada mereka yang berniat jahat menggambarkan DAP sebagai parti mono-etnik, kita mahu memberitahu mereka bahawa DAP mempunyai lebih wakil rakyat etnik India berbanding MIC.
  3. Generasi baru. Satu pertiga calon DAP berumur 30 tahun ke bawah. Dari kalangan wakil rakyat kita, lebih satu pertiga berusia bawah 40 tahun apabila mereka dipilih pada tahun 2008.
  4. Memperluas tarikan DAP. Anggaran menunjukkan bahawa calon-calon kita telah mendapat undian purata 20 peratus lebih tinggi bagi undi Melayu di pusat-pusat bandar.

8. Melangkah ke hadapan, DAP berhasrat untuk dikenali bagi yang berikut:

  1. Sebuah parti yang benar-benar Malaysia – dari segi sejarah, DAP adalah parti politik Pan-Malaysia yang pertama. Secara geografi, DAP adalah satu-satunya parti di Malaysia yang mempunyai kehadiran yang ketara di setiap negeri Malaysia; CEC telah meletakkan penekanan di Johor, Sabah dan Sarawak sebagai negeri barisan hadapan manakala Jawatankuasa Negeri Perlis telah ditubuhkan secara rasmi antara Kongres lepas dan yang ini.
  2. Dalam tempoh empat tahun sejak kongres ke-15, kita telah membuat kemajuan yang signifikan di Sabah di mana ramai yang menyertai DAP dari kalangan etnik Kadazan Dusun Murut manakala Majlis Perundingan Dayak telah ditubuhkan untuk menyampaikan aspirasi masyarakat Dayak di Sarawak.
  3. Meskipun DAP bangga untuk dilihat sebagai parti pilihan semula jadi keturunan India untuk disertai dan diundi, kita juga mahu dikenali sebagai parti yang menarik bagi orang Melayu, terutama Melayu bandar, untuk ikut serta dan mengundi. Dengan pertubuhan Roketkini.com, portal berita harian DAP dalam Bahasa Malaysia, dan Sekolah Demokrasi, sebuah program pendidikan politik dalam Bahasa Malaysia, serta menarik pemikir Melayu untuk menyertai barisan kita, kemajuan dalam sektor ini sedang berkembang pesat.
  4. Parti yang mempunyai ide-ide yang terbaik – kita bercita-cita untuk menjadi parti pilihan untuk semua rakyat Malaysia yang percaya dalam mengubah negara ke arah yang lebih baik dengan idea-idea baru. Parti sentiasa bersedia untuk memperbaharui wacana sambil sentiasa berpegang teguh kepada nilai-nilai kebebasan, keadilan dan perpaduan. Sebagai contoh, DAP berhasrat untuk menjadi parti hijau pertama di Malaysia. Kita adalah parti politik pertama yang menggaji seorang pegawai alam sekitar sepenuh masa di ibu pejabat pada tahun 2007. Hari ini, agenda pembangunan mampan adalah berkepentingan tinggi dalam agenda negara, terutama selepas pemberontakan awam yang dinyalakan sejak kemelut Lynas.
  5. Parti yang mesra anak muda – DAP mahu dikenali bukan sahaja kerana mempunyai banyak ahli muda tetapi juga untuk mempunyai bilangan pemimpin muda yang tinggi dan boleh berdiri di atas kaki mereka sendiri untuk mengambil cabaran politik. Kongres DAPSY pada 9hb Disember 2012 membuat langkah berani untuk menurunkan had umur daripada 40 ke 35 supaya sayap pemuda “bukan sahaja muda di hati tetapi muda fizikal.” Kita mesti mengambil kira bahawa 72 peratus daripada rakyat Malaysia adalah di bawah umur 40 tahun manakala 48 peratus adalah di bawah 25 tahun. Sebuah kepimpinan DAPSY yang baru telah dipilih pada Kongres DAPSY untuk meluaskan ruang politik bagi perwakilan anak muda dalam politik kebangsaan.
  6. Parti yang memperjuangkan hak wanita – DAP berkeinginan untuk menjadi parti pilihan pertama untuk wanita berdasarkan kepercayaan kita dalam kesaksamaan gender dan ruang luas yang ditawarkan oleh DAP kepada wanita bukan sahaja di sayap wanita tetapi juga dalam arus perdana. Wanita DAP telah mengadakan Kongres sulungnya pada 9 Disember 2012 dengan kepimpinan yang baru dipilih untuk mengambil sayap parti tersebut ke tahap yang lebih tinggi dalam perjuangan kita untuk memajukan kesaksamaan gender.
  7. Parti yang bersekutu dengan pasukan progresif – antara Kongres ke 15 dan kongres ini, masyarakat sivil Malaysia telah berubah dengan ketara, terutamanya dengan usaha mobilisasi gergasi untuk perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 dan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012, serta perhimpunan anti-Lynas pada 26 Februari 2012 dan Langkah Lestari pada 25 November 2012, antara banyak perhimpunan yang lain. Kita menyokong kepentingan masyarakat sivil sebagai tunggak demokrasi yang matang dan bersedia untuk menjadi rakan kongsi yang konstruktif.

9. Prestasi Kerajaan Negeri
DAP boleh berasa bangga dengan rekod kita dalam kerajaan negeri di Pulau Pinang dan Selangor.

  1. Kedua-dua negeri telah terus menarik pelaburan langsung tertinggi terutama dalam sektor perkilangan. Sejak tahun 2009 hingga 2011, Selangor dan Pulau Pinang keduanya menerima RM50b dalam jumlah pelaburan yang meletakkan kedua-dua negeri ini di tangga No.1 dan No.2 dalam carta pelaburan. Kedua-dua negeri digabungkan menyumbangkan 36 peratus atau lebih daripada satu pertiga daripada jumlah pelaburan di seluruh negara dalam tempoh ini. Rekod ini adalah satu gambaran pentadbiran yang cekap dan telus daripada kerajaan yang diterajui Pakatan Rakyat di kedua-dua negeri. Rekod ini juga harus menutup mulut mana-mana pengkritik yang mengatakan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat adalah tidak stabil dan akan mengakibatkan negara menjadi huru-hara. Sesungguhnya orang-orang yang menyokong kestabilan berbanding huru-hara sebenarnya perlu mengundi Pakatan Rakyat kerana ia adalah sahajalah gabungan yang boleh memastikan negara diurus dengan baik memandangkan di bawah kerajaan BN, Malaysia menuju ke arah huru-hara ekonomi akibat hutang, rasuah yang semakin meningkat, dan penyalahgunaan kuasa.
  2. DAP juga boleh berbangga dengan hakikat bahawa kedua-dua kerajaan negeri di Pulau Pinang dan Selangor telah memperkenalkan pembaharuan legislatif yang penting di samping langkah-langkah urus tadbir. Kedua-dua negeri telah memperkenalkan Enakmen Kebebasan Maklumat mereka sendiri yang membolehkan akses yang lebih meluas kepada dokumen-dokumen yang berkaitan dengan kerajaan negeri. Kerajaan Negeri Pulau Pinang berbangga dengan pentadbiran yang berjalan mengikut prinsip Cekap, Akauntabel, Telus (CAT) manakala Dewan Undangan Negeri Selangor telah memperkenalkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) untuk mengadakan pendengaran awam bagi menyiasat isu-isu penting berkaitan dengan pentadbiran negeri. Kedua-dua negeri telah memperkenalkan tender terbuka untuk kontrak perolehan besar. Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang giat mencari jalan untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan manakala kerajaan negeri Selangor telah bereksperimen dengan mengadakan pilihan raya untuk jawatan ‘Ketua kampung’ di tiga kampung baru Cina. Pulau Pinang baru-baru ini memperkenalkan undang-undang anti lompat parti yang bersejarah dan Selangor menjadi badan perundangan negeri pertama yang menamakan wakil pembangkang BN negeri sebagai ketua Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC). Malangnya, UMNO menghalang wakil negeri sendiri daripada mengambil peranan ini.
  3. Kita juga boleh berbangga dengan rekod kedua-dua kerajaan negeri di Pulau Pinang dan Selangor kerana berjaya membero perkhidmatan kewangan terbaik bagi kedua-dua negeri. Pengurusan kewangan berhemat yang diamalkan oleh kedua-dua negeri telah membenarkan jumlah yang lebih besar daripada bajet negeri untuk diagihkan kepada kebajikan sosial yang pergi terus kepada rakyat. Di Pulau Pinang sebagai contoh, belanjawan kerajaan negeri yang paling terkini, RM20 juta telah diperuntukkan untuk membasmi kemiskinan di negeri ini menjelang akhir tahun 2013. Ini hasil daripada pembasmian kemiskinan tegar di negeri ini melalui mekanisme kebajikan sosial yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri.

10. Gambaran Jelas

  1. Pilihanraya Umum akan datang akan menjadi ibu kepada segala pilihan raya kerana ia adalah kali pertama perubahan kerajaan adalah mungkin, sejak Perikatan memenangi pilihan raya tahun 1955. Perikatan / Barisan Nasional kini berkhidmat sebagai kerajaan paling lama di dunia. DAP dan Pakatan Rakyat mesti bersedia untuk menghadapi kempen paling jijik oleh Barisan Nasional, yang sudah pun jelas sejak empat tahun yang lalu, dan akhirnya muncul sebagai johan untuk melindungi masa depan Malaysia untuk semua.
  2. DAP sedar akan segala cabaran yang mendatang untuk DAP, Pakatan Rakyat dan Malaysia sambil kita berusaha untuk membentuk Malaysia menjadi sebuah negara yang demokratik, bersatu, saksama dan mapan, yang dipandu oleh nilai-nilai kebebasan, keadilan dan perpaduan.
  3. Mandat yang sedang dicari oleh DAP daripada pengundi Malaysia adalah untuk berkhidmat sebagai rakan kongsi gabungan yang bertanggungjawab dalam kerajaan bersama-sama dengan Parti KEADILAN Rakyat dan Parti Islam SeMalaysia dalam rangka kerja Pakatan Rakyat untuk merealisasikan agenda bersama yang ditetapkan dalam Rangka Dasar Bersama dan Buku Jingga.
  4. Kita menyeru kepada semua pemimpin, ahli dan penyokong DAP, PKR dan PAS untuk memberi tumpuan bagi memenangi warga pertengahan Malaysia (Middle Malaysia) dan menjuarai agenda bersama Pakatan Rakyat untuk Malaysia baru. Pakatan Rakyat mesti memenangi majoriti 2.9 juta pengundi kali pertama serta pengundi atas pagar yang lain. Tanpa memenangi 4 juta pengundi jalan tengah, tidak akan ada Kerajaan Persekutuan baru pimpinan Pakatan Rakyat.
  5. Misi yang paling penting dalam Kerajaan Persekutuan Pakatan Rakyat yang baru dengan DAP sebagai rakan kongsi gabungan adalah untuk melaksanakan pendemokrasian penuh dalam semua aspek kehidupan rakyat Malaysia untuk sebuah negara Malaysia yang bersatu.
  6. Adalah juga penting untuk Kerajaan Persekutuan Pakatan Rakyat yang baru dengan DAP sebagai rakan kongsi untuk memperjuangkan falsafah ekonomi yang bukan sekadar berkhidmat untuk kroni tetapi bersolidariti dengan majoriti 99 peratus, untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang berkongsi; yang mengiktiraf rasuah sebagai halangan yang paling penting bagi ekonomi Malaysia untuk bergerak ke tahap seterusnya; dan memberi tumpuan kepada meningkatkan pendapatan isi rumah kelas 60 peratus ke bawah untuk merangsang permintaan domestik dan seterusnya ekonomi negara secara keseluruhan untuk semua.

Mari kita bersama-sama maju ke hadapan untuk mengUBAH Malaysia ke arah yang lebih baik.

Muat Turun Laporan Jawatankuasa Tertinggi Pusat