AM

  1. Persidangan Kebangsaan 2014 diadakan di One City, USJ 25, Subang Jaya, Selangor pada 14 Disember 2014, selepas Kongres Kebangsaan Ke-16 diadakan pada 15 dan 16 Disember 2012 di Pulau Pinang and selepas pengundian semula untuk Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) yang sedia ada dilaksanakan pada 29 Disember 2013 di Petaling Jaya, Selangor.
  2. Tema Persidangan kali ini adalah “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.” Ini adalah peribahasa Melayu lama yang mencerminkan komitmen DAP terhadap solidariti rakyat Malaysia ke arah perpaduan, toleransi, keadilan sosial dan peluang saksama untuk semua.

KEDUDUKAN PARTI

  1. DAP lawan ROS

    Sejak kejayaan DAP dalam pilihanraya umum 2008, Barisan Nasional yang dikuasai oleh UMNO telah menyerang Parti kita siang dan malam. Sebabnya mudah sahaja: Jika rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu, boleh menerima DAP atau politik bukan-kaum, ia akan menghancurkan politik perkauman di negara ini. Tindakan-tindakan hasad dengki UMNO-BN yang tak henti-henti itu telah menjangkau pula kepada tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang mahu mengharamkan DAP menjelang PRU ke-13 tahun lalu. Kita tidak berundur dan dengan itu, kita menang pusingan pertama.

    Kemudian ROS datang menyerang kita lagi. Dan sekali lagi, kita bertempur di medan perundangan dan kita menang dalam perjuangan politik kita. ROS terpaksa tunduk di mahkamah selepas disaman oleh DAP, iaitu ROS perlu menerima hakikat bahawa arahan ROS yang menyatakan jawatankuasa tertinggi pusat Parti yang sah yang dipilih pada 29 September 2013 tidak boleh membuat keputusan untuk DAP kerana ia tidak diiktiraf, adalah tidak terikat dengan undang-undang.

    Walaupun DAP terpaksa bersetuju dengan tuntutan awal ROS supaya Parti kita mengadakan pemilihan semula – jika tidak, Parti menghadapi risiko diharamkan, dan kita tetap mengadakan pemilihan semula itu walapun dengan bantahan, kita tetap berjuang dengan semangat solidariti dan telah membuktikan bahawa kita tidak akan dapat dikalahkan. Walaupun ancaman terhadap Parti masih ada, kita akan terus dengan perjuangan kita. Kita penuh yakin bahawa setiap ahli Parti akan melakukan yang terbaik untuk mempertahankan hak kita untuk terus wujud dan berjuang.

  2. Perginya para pemimpin yang kita sayangi

    Dengan rasa sedih dan dukacita kita mengenang pemergian tokoh-tokoh Parti kita yang telah berkorban jiwa raga sepanjang hidup mereka untuk membina Malaysia baru yang berasaskan demokrasi sebenar, keadilan dan peluang saksama. Kita mengucapkan selamat tinggal kepada mereka dan menyampaikan salam takziah kepada ahli keluarga masing-masing.

    1. Sdr Karpal Singh

      Pengerusi Parti kita Sdr Karpal Singh, yang terkenal sebagai suara hati nurani kepada negara, telah dengan sedihnya meninggalkan kita pada 17 April 2014. Namun hingga di saat-saat akhir, beliau tetap berjuang dengan perjuangannya yang kita semua sanjungi dan menyokongnya sebagai seorang pemimpin yang berani. Apabila beliau meletak jawatan sebagai Pengerusi Parti pada 29 Mac 2014 untuk mengelakkan Parti daripada dilibatkan dengan tekanan UMNO-BN, kita melihat keikhlasan semangat perjuangan sebenar Karpal dan kepimpinannya yang tiada tandingan, selaras dengan gelaran harimau yang diberikan oleh rakyat kepada beliau. Sdr Tan Kok Wai telah mengambil alih tugas sebagai pemangku Pengerusi Kebangsaan.

    2. Sdr Seah Leong Peng

      Pemergian Sdr Seah Leong Peng, pemimpin veteran Ahli Dewan Undangan Negeri selama tiga penggal dan sebagai Ahli Parlimen kali pertama selepas PRU13, benar-benar menyedihkan Parti. Beliau menjadi bukti dan teladan kepada kesungguhan, dedikasi dan usaha gigih dalam meningkatkan sokongan akar umbi.

    3. Sdr Wong Ho Leng

      Parti sekali lagi dilanda dengan kepiluan apabila mendapat berita sedih pada 21 Jun 2014 bahawa bekas Pengerusi DAP Sarawak Sdr Wong Ho Leng telah meninggal dunia selepas sakit untuk tempoh yang lama. Oleh kerana beliau dihormati oleh kawan dan lawan politik, pemergian beliau telah mendapat penghormatan besar daripada kedua-dua pihak. Legasi Sdr Ho Leng akan terus kekal dalam kepimpinan DAP Sarawak yang telah beliau bina sejak bertahun-tahun lamanya.

PERISTIWA POLITIK BESAR

  1. Pilihanraya umum ke-13

    Walaupun dengan kelebihan yang amat besar di segi kewangan, jentera dan media di pihak BN, Pakatan Rakyat tetap menang dengan tambahan 7 kerusi Parlimen, meningkat daripada 82 pada 2008 kepada 89 pada 2013 dengan memperolehi 52 peratus undi popular. Pakatan berjaya menambah 32 kerusi Dewan Undangan Negeri di mana DAP berjaya dengan kemenangan yang meyakinkan 22 kerusi, PKR 8 kerusi dan PAS 2 kerusi.

    DAP mencatatkan prestasi terbaik dalam sejarah dengan memenangi 28 kerusi Parlimen dan 107 kerusi DUN. Kita mempunyai wakil rakyat dari pelbagai kaum – Melayu, Cina, India dan wakil rakyat Kadazandusun kita yang pertama. Kita bangga kerana mempunyai Ahli Parlimen dan Adun wanita pertama dari kalangan kaum India. DAP juga secara purata mempunyai wakil rakyat yang paling muda berbanding parti-parti lain. Daripada 37 Ahli Parlimen DAP, empat dilahirkan selepas 1980; daripada 104 Adun, 21 dilahirkan selepas 1980. Lima daripada 13 Adun DAP Johor dilahirkan selepas 1980. DAP juga mempunyai nisbah wanita paling tinggi di kalangan calon-calon. Inilah kekuatan yang mesti kita terus membinanya untuk menjadikan DAP sebagai parti pilihan semua rakyat Malaysia. Kita telah buktikan bahawa perjuangan kita adalah pelaksanaan kata-kata kita.

  2. Pilihanraya kecil Bukit Gelugor dan Teluk Intan

    Kerusi Parlimen Bukit Gelugor dikosongkan setelah pemergian Sdr Karpal. Dengan 89% pengundi memilih DAP, maka parti menyambut kehadiran Sdr Ramkarpal Singh di barisan hadapan politik Malaysia. Kerusi Parlimen Telik Intan dikosongkan setelah pemergian Sdr Seah Leong Peng. Walaupun tewas pada 31 Mei dengan hanya majoriti 238 undi, wajah baru yang muda Sdr Dyana Sofya Mohd Daud telah mampu mencapai cita-cita, menyahut cabaran dan memenuhi tuntutan rakyat dalam usaha merealisasikan hasrat MeMalaysiakan Malaysia.

  3. Selangor – dari Langkah Kajang kepada Menteri Besar Selangor yang baru

    Langkah Kajang telah menimbulkan perbahasan di ruang awam serta di dalam Parti. DAP telah terjebak dalam pertikaian politik untuk menentukan Menteri Besar yang baru untuk menggantikan pemegang jawatan yang bermasalah, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari PKR. Episod politik itu telah sedikit-sebanyak mencalar imej Pakatan Rakyat termasuk karenah pimpinan tertinggi PAS dalam mengendalikan isu tersebut, kerana ia telah memberi gambaran kepada umum bahawa tidak wujud perpaduan di dalam koalisi kita. Keputusan yang diperolehi selepas kemelut itu bagaimanapun telah berjaya memecahkan kebuntuan politik. Pihak CEC dan pimpinan DAP Selangor akan terus memainkan peranan sebagai rakan yang tegas dan kuat dalam demokrasi.

  4. Tuduhan hasutan terhadap pemimpin DAP & Pakatan Rakyat

    Sdr Teresa Kok, Sdr R S N Rayer, Sdr Karpal Singh; ini adalah para pemimpin dan saudara-saudari kita yang menghadapi serangan keras Akta Hasutan 1948. Sdr Khalid Samad, Sdr N Surendran, Sdr Tian Chua juga merupakan mangsa kepada undang-undang penjajah yang zalim ini, bersama-sama dengan pemimpin dan aktivis masyarakat sivil seperti Prof Azmi Sharom, Sdr Susan Loone, Sdr Safwan Anang, Sdr Abu Bakar Baikalani Abu Hassan, Ustaz Wan Ji Wan Hussein dan banyak lagi. Tindakan kejam ini juga mendedahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai seorang pemimpin yang tidak boleh dipercayai lagi kata-katanya kerana beliau telah berjanji untuk memansuhkan undang-undang zalim tersebut, namun beliau sendiri mungkir janji, semata-mata mahu menjaga hati puak pelampau dalam UMNO sewaktu perhimpunan agung UMNO baru-baru ini.

  5. Kes Datuk Seri Anwar Ibrahim

    Dua perbicaraan kes liwat yang tidak masuk akal serta memalukan telah dibawakan oleh UMNO-BN terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghancurkan pengaruh beliau serta agenda reformasi yang dibawanya. Kini kita hanya menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan. DAP berdiri teguh penuh solidariti kepada Sdr Anwar dan akan memberi apa-apa sokongan yang perlu kepada beliau, keluarganya dan sesiapa sahaja yang terlibat, jika mahkamah memutuskan untuk menjatuhkan hukuman penjara terhadap DSAI.

GAMBARAN BESAR

  1. DAP adalah dan akan terus menjadi parti bukan-kaum yang meraikan kepelbagaian kaum yang mana matlamat utamanya ialah untuk mendemokrasikan Malaysia berdasarkan kebebasan, keadilan sosial dan peluang saksama untuk semua. Ia tidak pernah menjadi parti yang hanya berjuang untuk satu-satu kaum atau agama. Ia adalah parti untuk semua.

    Dengan matlamat yang murni itu, UMNO-BN sentiasa tidak senang dengan kewujudan DAP. Dengan kemenangan pada 2008 dan sekali lagi pada 2013, DAP menjadi sasaran jentera propaganda UMNO yang semakin menggila dengan niat mahu menghancurkan kewibawaan Parti kita; ia menyebarkan pembohongan, fitnah dan khabar angin tentang DAP, khususnya kepada orang Melayu. UMNO paling takut jika orang Melayu pada suatu hari nanti menolak politik kaum, dan tanpa sokongan orang Melayu, ia bererti berakhirnya era UMNO.

    DAP sejak 1966 telah berusaha gigih untuk menarik ahli daripada semua kaum. Tetapi akibat strategi dan taktik kotor UMNO dan agensi-agensi kerajaan, ia telah menyukarkan Parti kita untuk mendekati kaum Bumiputera, terutamanya orang Melayu. Namun DAP tidak pernah mengalah dan akan terus mencari jalan untuk menarik sokongan semua rakyat Malaysia.

    Tema Persidangan Kebangsaan 2014 – “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” – adalah jawapan DAP kepada cabaran-cabaran masa kini. Menjelang kegawatan ekonomi yang bakal menimpa kita semua, jentera UMNO yang sentiasa menyebarkan kebencian dijangka akan terus menyerang DAP dan Pakatan Rakyat.

    Ketidaksamaan ekonomi dan jurang pendapatan di Malaysia adalah antara yang terburuk di Asia, hasil daripada dasar-dasar pemerintahan UMNO-BN sejak enam dekad lalu. Bagaimanapun ketidaksamaan bukanlah isu kaum dan ia tidak boleh ditangani melalui kaedah kaum atau perkauman. Jangan sekali-kali kita melakukan kesilapan dengan melihat segala-galanya dari sudut kaum; itu adalah permainan UMNO-BN. Menjelang kemerosotan ekonomi dan keadaan kewangan yang bakal merudum nanti, DAP mesti menawarkan mesej yang memberi harapan di samping menjelaskan kepada rakyat bahawa kita sebenarnya mempunyai hasil yang lebih daripada cukup untuk semua rakyat, dan bukannya untuk menjadi habuan kepada kroni-kroni UMNO yang terpilih sahaja.

    Apa yang lebih penting bagi DAP, selain berada di barisan hadapan yang menyeru ke arah Malaysia yang sederhana dan moderat, ialah menyedari betapa pentingnya perdebatan tentang ekonomi pada tahun-tahun mendatang ini. Kita mesti menyediakan wawasan ekonomi untuk meyakinkan semua bahawa Malaysia boleh menjadi kuasa ekonomi dan sebuah negara yang besar, dengan adanya kerajaan yang baru. Dan menjadi kuasa ekonomi yang besar bermakna mempunyai kitaran sihat gaji yang lebih tinggi, tenaga kerja yang lebih mahir dan hasil produktiviti yang lebih baik; tanpa korupsi, tanpa monopoli atau oligopoli, di samping adanya kerajaan yang memimpin dengan wawasan, melaksanakan tanggungjawab tanpa takut serta tidak memilih bulu, dan menyediakan khidmat masyarakat yang terbaik seperti pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan perumahan yang adil yang akan menggerakkan negara ke hadapan. Untuk bergerak maju, kita juga mesti menangani masalah jurang geografi bagi membolehkan usaha menyediakan peluang-peluang yang lebih baik kepada Sabah, Sarawak dan semua kawasan separa bandar. Negara yang bersolidariti dengan rakyatnya yang sama-sama berkongsi masa depan adalah jawapan kita kepada ancaman perkauman, pelampau agama, kebencian dan sikap suka memisahkan antara satu sama lain.

INISIATIF BARU

  1. Roketkini.com dan The Rocket – Edisi Bahasa Malaysia

    Pada Mei 2011, DAP telah melancarkan laman web berita pertamanya dalam Bahasa Malaysia, iaitu Roketkini.com. Tujuannya ialah untuk mendekati pembaca Bahasa Malaysia, khususnya orang Melayu. Dengan jumlah kakitangan kecil seramai 5 orang, Roketkini telah mampu menyebarkan berita dan maklumat tentang Parti di alam internet. Kakitangan Roketkini juga mengendalikan akhbar cetak The Rocket – Edisi Bahasa Malaysia yang kini diterbitkan secara berkala setiap bulan untuk diedarkan secara percuma kepada semua cawangan yang membuat tempahan dengan Ibu Pejabat.

  2. Sekolah Demokrasi

    Bagaimanapun, menyedari bahawa publisiti Parti melalui laman web serta Facebook sahaja tidak mencukupi, DAP telah melancarkan Sekolah Demokrasi (SekDem) pada akhir 2011. Tujuannya ialah mengumpulkan sekumpulan anak muda yang berbahasa Malaysia, kebanyakan mereka orang Melayu, pad setiap sesi untuk belajar dan berkongsi idea tentang demokrasi, sosial demokrasi dan perjuangan DAP. Kita telah mengadakan lebih kurang sedozen program yang membabitkan kira-kira 150 peserta. Para peserta adalah mereka yang berumur di antara 18 dan 30 tahun. Antara pemimpin parti yang telah hadir untuk memberi syarahan dan berkongsi idea dalam SekDem Sdr Anthony Loke, Sdr Tony Pua, Sdr Liew Chin Tong, Sdr Zairil Khir Johari, Sdr Steven Sim, Sdr Wong Shu Qi and Sdr Dyana Sofya (Dyana juga adalah alumni SekDem). Kakitangan Roketkini.com Sdr Edry Faizal and Sdr Iza Suraiya adalah penyelaras SekDem bersama dengan ketua jurulatih Ustaz Hakim Ramlee.

    Impian kita adalah untuk menjadikan mereka sebagai Demokrat Malaysia. Matlamat kita ialah membawa mereka – jika tidak semua pun, seberapa ramai yang boleh – untuk bersama dengan Parti, bagi memenuhi harapan berkhidmat kepada rakyat melalui DAP. Ini bermakna kita berharap para demokrat Melayu Malaysia ini tidak lama lagi mampu menjadi pemimpin cawangan, pemimpin negeri, Ahli Majlis, dan mungkin sebagai calon pilihanraya pada masa depan. Ini adalah harapan kita untuk hari esok yang lebih baik.

  3. Impian Malaysia

    Impian Malaysia adalah inisiatif DAP untuk menyampai, mengilham, mendidik, melibat urus dan memberdayakan rakyat Malaysia. Ia mahu kepada satu masyarakat majmuk, berpadu sebagai satu bangsa yang menjangkaui perbezaan kaum, agama, budaya dan bahasa; dan meraikan kepelbagaian, tolak ansur dan fikiran terbuka, dan menolak kebencian, prejudis dan ekstremisme. Impian Malaysia adalah usaha berkongsi dan bersama dengan rakyat melalui aktiviti-aktiviti seperti membina projek infrastuktur pedalaman, menyertai program pendidikan dan mengambil bahagian dalam inisiatif memberdayakan anak muda. Semua aktiviti ini adalah ceria, menyeronok dan menggembirakan; dan ia telah berjaya menarik penyertaan golongan muda.

    Program-program Impian Malaysia telah bermula sejak 2013 dengan pelancaran Impian Sarawak di mana para pemimpin dan ahli DAP bersama dengan sukarelawan bergotong-royong dengan penduduk kampong tempatan untuk membina kemudahan asas seperti jalan kampong, bekalan air dan elektrik, dan infrastruktur lain. Dari Sarawak ke Impian Sabah, dan kini projek-projek Impian hadir di Semenanjung bersama dengan masyarakat Orang Asli.

    Kita berharap untuk menarik penyertaan dari kalangan generasi muda Melayu yang masih amat berkurangan pada masa ini. Kita berharap dengan adanya lebih banyak interaksi dan penyelarasan di kalangan alumni SekDem dan ahli-ahli baru dari kalangan orang Melayu dengan ahli-ahli muda pelbagai kaum Parti kita, ia dapat mencetuskan lebih banyak program yang bersifat inklusif mulai 2015 nanti.

  4. Retreat Kebangsaan pada Jun 2014

    Pihak CEC juga memutuskan dan mengadakan satu retreat Kepimpinan Kebangsaan untuk semua wakil rakyat Parti yang bertemakan “Politik baru, wilayah baru”. Hasil retreat itu adalah pembentukan beberapa kaukus separa rasmi, iaitu Kaukus Urustadbir Bandar, Kaukus Separa Bandar, Kaukus Impian Malaysia dan Kaukus Hijau. Semua kaukus ini akan menjadi platform untuk perbahasan dan perbincangan sesama pimpinan parti di samping meningkatkan pengetahuan ahli-ahli dengan tahap baru wacana dasar untuk sebaran umum.

  5. Kaukus Urustadbir Bandar pada 24 Julai 2014

    Susulan daripada pembentukan Kaukus Urustadbir Bandar, semua ahli-ahlinya mengadakan mesyuarat dasar selama dua hari di Pulau Pinang yang dikendalikan oleh DAP Pulau Pinang. Mesyuarat itu menghasilkan beberapa kumpulan kecil yang menumpukan kepada Pengangkutan dan Mobiliti, Pengurusan Sisa Buangan, Perancangan Bandar dan Pembinaan Masyarakat. Hasil lain adalah persetujuan ramai bahawa perlu ada penyusunan kaukus yang menyediakan platform untuk berkongsi amalan yang terbaik, dan kaukus utama serta kumpulan kecilnya meneruskan hubungan dan komunikasi untuk perbincangan yang lebih mendalam.

  6. Mesyuarat Kaukus Deklarasi Gelang Patah pada 25 Julai 2014

    Pada 31 Mac 2013, Deklarasi DAP Gelang Patah “Wawasan dan Strategi untuk Pemberdayaan Kaum India” telah dilancarkan di Gelang Patah dalam satu perjumpaan yang bersejarah yang dihadiri oleh pimpinan DAP Kebangsaan, Negeri dan Tempatan. Pada 25 Julai 2014, satu persidangan telah diadakan untuk melanjutkan perbincangan tentang dasar-dasar yang telah dilaksanakan dan tindakan-tindakan yang dijanjikan dalam deklarasi tersebut; dan juga menggubal rancangan-rancangan yang lebih tegas untuk mengukuhkan agenda yang ditentukan oleh deklarasi berkenaan.

  7. Mesyuarat Kaukus Separa Bandar pada 19 & 20 September 2014

    Kita telah mengenal pasti bahawa kawasan-kawasan separa bandar adalah kawasan yang menawarkan peluang paling baik untuk Parti berkembang. Kaukus Separa Bandar telah menganjurkan satu persidangan di Johor, khusus untuk menumpukan kepada aspek politik bagi memasuki kawasan-kawasan separa bandar, dengan menjemput para pemimpin yang mempunyai pelbagai pengalaman berkaitan untuk berkongsi pandangan dan kaedah yang telah membantu menjayakan usaha mereka selama ini. Perbincangan turut melibatkan dasar seperti agenda mengutamakan masyarakat tempatan, pertanian, hortikultur dan perikanan, di samping membincangkan hasil-hasil kajian di kawasan separa bandar.

Muat Turun Laporan Jawatankuasa Tertinggi Pusat