BM 中文 English

Piagam DAP dengan Malaysia Pertengahan 2010

Ucapan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Konvensyen Kebangsaan DAP di Ipoh pada hari Ahad, 17 Januari 2010:

Apabila saya mengambil alih sebagai Setiausaha Agong DAP pada tahun 2004, saya dan rakan seperjuangan bertekad untuk memimpin sebuah Parti yang beraspirasi membentuk Kerajaan dan bukan sebuah Parti yang akan kekal sebagai Pembangkang. Sesebuah parti politik yang tidak mempunyai aspirasi mencapai kuasa politik bagi melaksanakan program yang memanfaatkan Rakyat tidak layak untuk terus wujud.

Apabila DAP pertama kalinya mengetengahkan visi ini pada tahun 2005 untuk menjadi sebuah rakan kongsi kuasa dalam Kerajaan dalam tempoh masa 10 tahun, tidak ramai yang berkongsi harapan kita. Tetapi kita telah menaruh harapan kita pada Rakyat Malaysia yang mengidamkan perubahan. DAP cekal dalam perjuangan sejak 1966 kerana kita menaruh harapan pada Rakyat Malaysia, sama ada Muslim ataupun bukan Muslim yang inginkan keadilan, kehidupan yang aman dan harmoni, kekayaan bersama dan yang inginkan anak mereka hidup di suatu dunia yang lebih baik daripada dunia lama mereka.

Pemimpin DAP telah bertungkus lumus sepanjang perjalanan kita yang penuh kesukaran akibat daripada penindasan oleh sistem perundangan yang tidak adil dan penindasan politik yang keji. Kita cekal hanya berbekal dengan kepercayaan bahawa Malaysia ialah sebuah negara untuk semua Rakyat dan menaruh harapan kita pada Rakyat Malaysia. Ramai yang berpendapat bahawa perjuangan kita adalah sia-sia kerana mereka telah hilang keyakinan mereka pada Rakyat yang padahal berkongsi kepercayaan tersebut dan mengidamkan Malaysia yang lebih baik. Tetapi pemimpin dan ahli DAP yang tulen serta tabah tidak pernah berputus asa.

Pilihan raya umum 2008 di mana berlakunya apa yang dikatakan sebagai tsunami politik telah mengubah segala-galanya. Tiada sesiapa yang menyangka bahawa perubahan akan berlaku dengan begitu pantas sekali. Rakyat telah menaruh kepercayaan mereka ke atas kita dan kita mestilah membalas keyakinan mereka tersebut. Walaupun kita tidak berpengalaman, kita telah mempelajari selok-belok pentadbiran Kerajaan dan kita percaya bahawa Pakatan Rakyat telah mentadbir jauh lebih baik dalam masa dua tahun ini daripada pemerintahan BN yang 20 tahun lamanya.

Sebagai contoh, di Perak, tanah telah diberikan kepada Rakyat yang memerlukannya tanpa mengira bangsa. Di Pulau Pinang, kemiskinan tegar telah dibasmi dalam tempoh masa setahun sahaja walaupun BN tidak dapat menghapuskannya dalam 51 pemerintahan mereka. Di Selangor pula, air diberikan secara percuma. Di semua negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, wang duit disalurkan semula kepada Rakyat, dan sekolah Cina, Tamil, mubahligh serta sekolah agama rakyat menerima peruntukkan kewangan tahunan buat pertama kalinya. Negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat juga menerima pujian daripada Ketua Auditor Negara kerana berjaya mencatatkan lebihan belanjawan negeri dan pengurusan kewangan yang baik dan pada masa yang sama, Pulau Pinang turut dipuji oleh Transparency International kerana ketelusan pentadbiran. Kita juga menjamin kepentingan generasi masa depan dengan menerajui usaha ke arah menghentikan fenomena perubahan iklim melalui initiatif mengurangkan penggunaan beg plastic. Usaha ini yang merupakan pertama kali dilaksanakan di Malaysia. Apa-apa yang kita laksanakan tidak didorong oleh sebarang kebencian ataupun ketakutan tetapi dipersembahkan kepada segala Rakyat Malaysia dengan niat baik dan kasih saying.

Rakyat di negeri-negeri Pakatan Rakyat dapat melihat, menyentuh dan merasa dengan sendiri bahawa pentadbiran kita adalah jauh lebih baik daripada zaman pemerintahan BN. Kepimpinan Pakatan Rakyat bukanlah bertanding untuk menang semua pihak melobakan segala-galanya, tetapi kita ingin memberikan setiap orang peluang untuk mengecapi kejayaan, malah lebih baik jika kejayaan itu lebih tinggi daripada kita. Kita masih sedang belajar dan nescaya akan menjadi lebih baik lagi selagi kita berpegang teguh pada prinsip kita dan pengajaran yang diperoleh.

Sekian lama ini, kita cekal memperjuangkan pembaharuan dengan mendukung prinsip kejujuran dalam kepimpinan and pentadbiran demokratik berpaksikan kebebasan, keadilan, kebenaran, kebajikan Rakyat dan patuh pada nilai-nilai keagamaan. Prinsip-prinsip ini mestilah menjadi panduan kita dan juga batu ukuran kepada kejayaan. Kita boleh kompromi pada kaedah, tetapi tidak sama sekali kompromi pada matlamat. Walau bagaimanapun hanya sekadar menyatakan niat baik tidak mencukupi jika kita tidak menterjermahkan prinsip-prinsip tersebut kepada tindakan dan pencapaian.

Apa yang telah dipelajari ialah perlunya untuk terus mendengar suara Rakyat, untuk mengamalkan kepimpinan melalui teladan, merendahkan diri dan tidak takut untuk mengaku salah jikalau telah melakukan kesilapan, perlunya segera melaksanakan pembaharuan ke atas perkhidmatan awam supaya cekap dan bertanggungjawab serta “Utamakan Rakyat Malaysia”. Kita tidak ingin menyertai segolongan kecil ekstrimis yang menakut-nakutkan Rakyat Malaysia dengan kenyataan mereka. Kita mestilah mengisi kedudukan tengah di kalangan pengundi yang begitu pelbagai dan bersatu, sederhana dan rasional, konsisten dan relevan kepada Rakyat Malaysia yang biasa. Kita mestilah menjadi “Malaysia Pertengahan”

Malaysia Pertengahan lebih sukakan kerjasama dan bukannya konflik, konsultasi dan bukannya konfrontasi dan sebuah masyarakat bersama yang inklusif iaitu merangkumi semua dan bukannya ekslusif. Sesebuah masyarakat bersama itu meraikan kepelbagaian dan memberikan peluang kepada semua warganya dengan menjamin:

  • Penyertaan secara demokratik

  • Hormat kepada kepelbagaian dan kemuliaan maruah manusia

  • Memberikan peluang yang saksama; dan

  • Perlindungan daripada diskriminasi

Malaysia Pertengahan adalah milik semua Rakyat Malaysia. Berbeza dengan Malaysia UMNO, di Malaysia Pertengahan, kemuliaan sifat lebih penting daripada warna kulit. Berbeza dengan Malaysia BN, di Malaysia Pertengahan, kita memandang satu sama lain sebagai saudara dan saudari, ayahanda dan bonda dan sebagai anak-anak Malaysia. Berbeza dengan Malaysia Kroni, Malaysia Pertengahan menghormati dan meraikan setiap Rakyat dengan kepercayaan bahawa kemakmuran, peluang dan sumber Malaysia adalah hakmilik semua Rakyat Malaysia.

Pada tahun 2008, apabila Pulau Pinang meletakkan papan tanda dwi-bahasa dengan Bahasa Malaysia sebagai bahasa utama dan diiringi sama ada bahasa Arab, Mandarin, Tamil atau Inggeris, golongan ekstrimis dalam BN menolak sekeras-kerasnya. Walau bagaimanapun, tindakan Kerajaan Negeri ini telah diterima oleh Rakyat sebagai mencerminkan imej kita yang pelbagai bangsa, pelbagai budaya dan berciri global. Orang Melayu tidak mempunyai masalah dengan papan tanda dwi-bahasa, dan pada masa yang sama di kawasan 100% orang Cina, tiada masalah meletakkan papan tanda bahasa Arab. Inilah Malaysia Pertengahan di mana kita melindungi satu sama lain atas semangat kekitaan yang kukuh.

DAP menegaskan bahawa dalam pada kami mendukung kebebasan hak beragama, kita menghormati Islam sebagai agama Persekutuan. Inilah sebabnya Kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang telah menggandakan peruntukkan Bajet 2010 untuk hal ehwal agama Islam kepada RM24.3 juta berbanding dengan RM12.5 juta di bawah Bajet 2008 BN (Bajet 2009 PR ialah RM20.5 juta)

DAP mengulangi kecaman dan rasa jijik terhadap serangan bukan sahaja ke atas gereja di Malaysia, tetapi semua tempat beribadat termasuk masjid dan kuil. Isu agama tidak patut dibiarkan menjadi masalah yang tidak terkawal oleh sebab penghitungan politik yang mementingkan diri. Kita mengecam pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mencampuradukkan agama dengan politik dalam keghairahan untuk memenangi sokongan yang telah hilang di kalangan orang Melayu dan umat Islam.

Cadangan terkini oleh BN untuk menyelesaikan krisis dengan melarang penggunaan kalimah “Allah” di Malaysia Timur bagaikan satu penghinaan kepada slogan 1Malaysia dan mencerminkan penghitungan politik yang tidak bertanggungjawab. Pihak berkuasa mestilah menanggung tanggungjawab sepenuhnya kerana gagal menguruskan kontroversi ini sehingga dibiarkan menjadi satu krisis yang memalukan Malaysia di pesada antarabangsa.

Kita bukan sebuah negara yang sedang dalam perang sesama sendiri. Tetapi kekecohan yang kita saksikan pada hari ini ialah UMNO sedang berperang dengan nilai-nilai keterbukaan, pemikiran logik dan konsep saling hormat-menghormati. Apabila BN bercakap tentang garis ukur antarabangsa, persoalan yang timbul ialah mengapa Islam global yang dipraktik dari Timur-Tengah ke Indonesia membenarkan orang Kristian menggunakan kalimah “Allah” tetapi tidak di Malaysia? DAP tidak menafikan bahawa isu ini sensitif, tetapi penyelesaian kepada pertelingkahan ini bukanlah melalui konfrontasi tetapi melalui konsultasi dan bukan dengan keganasan tetapi dengan perbincangan secara aman.

Justeru, DAP bangga dengan pendirian berprinsip yang diambil oleh rakan kita dalam Pakatan Rakyat, terutamanya PAS dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa umat Kristian di Malaysia boleh menggunakan kalimah “Allah”, satu perkataan am untuk merujuk kepada “Yang Maha Esa” di Timur Tengah yang digunakan oleh semua penganut agama samawi Abrahamik dengan syarat tidak disalahgunakan untuk mengelirukan umat Islam. PR amat konsisten manakala BN berubah-ubah mengikut selera sendiri. Inilah Malaysia Pertengahan PR, toleransi dan saling hormat-menghormati, berbanding dengan Malaysia Ekstrimis BN yang menakut-nakutkan semua orang dengan ketidak-toleransi dan ketakutan.

Perebutan Kuasa Haram di Perak oleh BN dan Kematian Teoh Beng Hock

Di antara Kongres Kebangsaan yang ke-15 pada 23 Ogos 2008 dan Persidangan ini, dua peristiwa yang penting telah berlaku yang membawa darah, keringat, air mata dan, kita harap, kekuatan pada penghujungnya.

Pertama sekali, kematian Sdr. Teoh Beng Hock akan menjadi saat yang paling sedih dalam sejarah DAP buat selama-lamanya; walau apa jua, kita akan menegakkan keadilan untuk beliau dan kita tidak akan lupakan Beng Hock. Kita telah menubuhkan satu tabung untuk anak beliau dan nescaya anak beliau akan mendapat peluang pendidikan yang sebaik-baiknya. Kerana ingatan Beng Hock ini, kita akan terus memperjuangkan kebenaran dan keadilan walaupun menghadapi risiko penindasan dan tahanan yang tidak adil.

Keduanya, perebutan kuasa di Perak yang keji, tidak demokratik dan haram menyedihkan kita semua tetapi juga mengukuhkan tekad kita untuk berjuang menegakkan demokrasi dan keadilan. DAP menegaskan pendirian kami untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak bagi mengembalikan kuasa kepada Rakyat untuk memilih Menteri Besar dan EXCO mereka. Sehinggalah pembubaran DUN erlaku, Menteri Besar dan EXCO yang sah dan Tuan Speaker yang berani ialah mereka yang telah dipilih oleh Rakyat Perak di Pilihan Raya Umum 2008.

Pada masa yang sama, komrad-komrad kita termasuk Pengerusi Kebangsaan, Setiausaha Organisasi Kebangsaan, Setiausaha Publisiti Kebangsaan, Ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta pemimpin dan ahli peringkat kebangsaan, negeri dan cawangan telah ditahan, disiasat, didakwa dan ditindas ataupun menghadapi risiko-risiko sedemikian; kita sebulat suara mengistiharkan sokongan padu kepada mereka.

PENCAPAIAN

Dalam masa satu tahun yang lepas, DAP telah menerajui perbincangan isu-isu yang menyelubungi Malaysia dan telah berjaya dalam kempen kita supaya tindakan diambil terhadap isu-isu tersebut. Pemimpin Parlimen kita Sdr Lim Kit Siang melalui usaha yang cekal memberi tekanan kepada Kerajaan untuk mendedahkan kebenaran skandal RM12.5 billion Zon Bebas Perlabuhan Klang (PKFZ) sejak 2007 telah menyebabkan satu laporan audit oleh PriceWaterHouse Coopers dan siasatan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam dan juga beberapa pihak didakwa di Mahkamah berikutan salahguna kuasa dan pemalsuan dokumen kewangan. Kerajaan telah menyatakan bahawa ramai lagi individu yang akan didakwa untuk jenayah berkaitan dengan skandal PKFZ tersebut.

DAP juga telah melancarkan kempen anti-ISA yang berjaya memberi tekanan kepada Kerajaan untuk membebaskan komrad-komrad kita Sdr M Manoharan dan Sdr V Ganabathirao, pemimpin Hindraf serta tahanan ISA yang lain. Kita memuji keberanian mereka semua.

Parti kita juga berada di baris hadapan dalam memberikan cadangan yang membina sebagai penyelesaian kepada isu-isu kebangsaan yang lama terbelangkai. Pada awal 2009, DAP telah menghantar suatu cadangan yang terperinci dan kos-efektif untuk mengambilalih konsesi tol yang mencatatkan keuntungan lumayan berlebihan dan merugikan Rakyat selepas Kerajaan menyah-rahsiakan perjanjian konsesi tersebut. DAP juga melancarkan Bajet Alternatif 2010 yang bertujuan untuk tranformasi asas ekonomi Malaysia, dan merangsang pembangunan ekonomi negara serta mencapai potensi kita sepenuhnya.

Kita percaya bahawa dengan memberikan fokus kepada industri berteknologi tinggi serta berasaskan pengetahuan, barulah ekonomi negara akan berjaya mencapai satu transformasi menjadi sebuah ekonomi pendapatan tinggi menjelang 2020, dengan pendapatan per kapita USD15,000 melonjak daripada USD7,000 pada masa kini. Dua perkara utama ialah kecekapan ekonomi melalui sistem tender terbuka dan juga satu sistem pendidikan berasaskan merit-keperluan yang berupaya menggalakkan kecemerlangan, dengan penekanan pada sains dan teknologi untuk melatih, menakung dan menarik bakat baru. Kita perlulah segera menghentikan aliran keluar tenaga kerja kita ke negara jiran. Sebagai contoh, pelajar terbaik di Singapura bagi dua tahun berturut-turut merupakan Rakyat Malaysia. Tanpa bakat terbaik kita, Malaysia akan menghadapi kegagalan, hanya dengan bakat terbaik kita pulang ke tanah air untuk berkhidmat, kita mempunyai peluang untuk mengecapi kejayaan.

Tidak hairan mengapa Malaysia masih terperangkap dalam campuran ekonomi kemahiran rendah, produktiviti rendah dan upah rendah. Mengikut satu laporan daripada Bank Dunia, hanya 25% daripada tenaga kerja kita terlibat dalam kerja-kerja berkemahiran. 60% keluarga Malaysia hidup dengan pendapatan seisi rumah bulanan yang kurang daripada RM3,000. Rakyat Malaysia yang berkemahiran mestilah mengundi dengan bijak kerana Negara kita telah mengupah satu populasi besar buruh tak terlatih yang terdiri daripada warga asing.

Pada masa yang sama, belanjawan kebangsaan telah berkembang sebanyak tiga kali ganda dalam tempoh masa satu dekad yang lalu, dengan perbelanjaan operasi meningkat dua kali ganda dalam lima tahun ini. Jumlah dalam perkhidmatan awam di peringkat Persekutuan pula bertambah sebanyak tiga kali ganda dalam tempoh masa yang sama, dari sejumlah yang kurang daripada 900,000 orang bertambah sehingga 1.3 juta orang.

Malangnya kenaikan perbelanjaan wang Rakyat ini bagaikan sia-sia sahaja apabila kita boleh melihat dengan ketara satu kemerosotan dalam sistem penghantaran kerajaan dari segi harta benda awam ataupun perkhidmatan awam, diantaranya termasuklah kemerosotan keselamatan awam, kemerosotan kualiti pendidikan dan penjagaan kesihatan dan kerja projek-projek awam yang disiapkan dengan kualiti yang amat rendah sekaligus merbahayakan nyawa pengguna serta memburukan imej Negara.

Kita juga menyaksikan gejala rasuah, kronisme, komplot dan mencuri secara terang-terang dalam kes kehilangan dua enjin jet pejuang dan banyak lagi kes-kes lain. Kekayaan Negara kita, terutamanya petroleum telah dirakus tanpa membawa faedah sebenar kepada Rakyat. Penswastaan yang tidak terancang terus merugikan Rakyat Malaysia.

Berdekad-dekad lamanya kebencian, perkauman dan ketidaktoleransi agama telah bersarang di Malaysia padahal kita sebenarnya patut menjadi satu Negara model antarabangsa untuk kepelbagaian etnik, budaya dan agama yang hidup dengan toleransi, saling hormat-menghormati dan mengamalkan persefahaman.

Satu-satunya maklumbalas daripada Kerajaan hari ini ialah untuk melontarkan satu siri usaha luaran ataupun berbentuk kosmetik yang digelar Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tanpa sebarang kemahuan politik untuk berdepan dengan cabaran pembaharuan dari segi struktur yang mengambil kira perubahan global dan mengambil kira Rakyat Malaysia yang mengidamkan sebuah masyarakat yang lebih bebas, lebih demokrasi dan lebih adil serta Kerajaan yang bersih.

MUAFAKAT TRANSFORMASI MALAYSIA

Pendek kata, Malaysia sedang menanti-nantikan satu perubahan yang mendalam tetapi kita tidak mempunyai satu kepimpinan ke arah itu. Bersama-sama dengan rakan kita dalam Pakatan Rakyat, ianya menjadi tanggungjawab kita terhadap Rakyat Malaysia generasi ini dan juga yang belum mengundi ataupun belum dilahirkan untuk mengundi, untuk menyahut seruan mengisi kekosongan kepimpinan Negara bagi menuju ke arah perubahan dan pembaharuan. Biarlah kita sekali lagi mengulangi komitmen kita terhadap satu gabungan Pakatan Rakyat yang kukuh untuk mempersembahkan satu alternatif kepada Barisan Nasional dan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan di Pilihan Raya Umum yang akan datang berdasarkan Rangkakerja Dasar Bersama Pakatan Rakyat “Muafakat Rakyat”.

Kita mestilah berupaya untuk membawa pembaharuan yang tulen dengan segera di negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat. Prestasi kita di negeri-negeri tersebut sama ada baik atau buruk akan menjadi batu loncatan ataupun batu halangan kepada kita untuk mengecapi kuasa Persekutuan. Kita mestilah menjangkaui perubahan secara luaran sahaja.

Kita tidak boleh terus menjadi pilihan secara lalai ataupun “default” kepada pengundi hanya kerana musuh tradisi kita kian hari menuju kemusnahan akibat pergolakkan dalaman mereka. Kita mestilah menjadi satu tarikan tersendiri kepada para pengundi.

Selepas kemenangan besar dalam pilihan raya umum Mac 2008, Parti telah bertungkus lumus bekerja keras bersama-sama rakan kita dalam Pakatan Rakyat. Pada hari ini, kita telah berjaya menjalinkan hubungan silaturrahim dengan rakan-rakan kita tersebut. Kita bertekad untuk membuktikan bahawa gabungan baru ini boleh bertahan walau apa jua perbezaan dalaman serta menangkis serangan daripada Barisan Nasional. Ini telah terbukti dengan penganjuran Konvensyen Pakatan Rakyat yang julung kali baru-baru ini di mana Rangkakerja Dasar Bersama telah berjaya dilancarkan.

Adalah amat penting untuk mengetahui bahawa dalam politik Malaysia, hanya ada satu golongan pertengahan, dan golongan inilah yang akan menentukan segala-galanya. Percayalah bahawa Malaysia Pertengahan akan menentukan parti mana yang mentadbir pada masa hadapan.

Untuk mendekati Malaysia Pertengahan, Pakatan Rakyat mestilah bersifat sederhana, inklusif dan menjauh serta membezakan diri kita daripada golongan ekstrimis, perkauman dan ekslusif.

DAP menekankan bahawa perpaduan nasional yang tulen hanya boleh dicapai jikalau Negara kita mempraktikan semangat Utamakan Rakyat Malaysia yang merangkumi nilai-nilai sejagat demokrasi, kebebasan, keadilan, kejujuran dan kemuliaan manusia serta memberikan peluang yang adil kepada semua, mengakhiri pemisahan berdasarkan kaum, agama, kepercayaan dan gender dan menyatupadukan seluruh Rakyat Malaysia untuk menghadapi cabaran dunia yang semakin rancak sebagai satu Bangsa. Kita menyeru kepada semua parti dalam Pakatan Rakyat supaya bersungguh-sungguh mewujudkan suatu muafakat baru di kalangan Rakyat Malaysia bagi melahirkan proses pembinaan-negara yang kedua.

Kita juga meluahkan keprihatian kami terhadap Rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak yang telah sekian lama terpinggir dan ketinggalan dalam semua aspek pembangunan dan bertekad untuk merapatkan jurang antara kedua-dua belah Laut China Selatan serta mempertingkatkan kebajikan semua.

18 BULAN YANG AKAN DATANG

Pilihan Raya Umum berkemungkinan besar akan diadakan dalam masa 18 bulan yang akan datang dan kemungkinan besar juga negeri Sarawak dan Perak akan menghadapi pilihan raya negeri. Keputusan pilihan raya ini akan menentukan hala tuju dan nasib Negara kita pada masa hadapan.

Justeru, kita mestilah bersiap sedia dengan sepenuhnya supaya kita tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk membawa perubahan yang sebenar-benarnya buat Malaysia dan supaya kita tidak menyalahkan diri kita pada masa hadapan nanti, serta anak cucu kita tidak menyalahkan kita kerana tidak mencuba mengorak perubahan. Di sini, Parti ingin mengarahkan semua pemimpin dan ahli pada setiap peringkat untuk bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum dan pilihan raya negeri Sarawak dan Perak.

Sejak Konvensyen Kebangsaan yang lalu, DAP terus berkembang dengan pesat, dengan jumlah ahli bertambah lebih 50% dan jumlah cawangan berdaftar telah mencecah rekod 700 buah. Parti kita sentiasa bertekad untuk mengambil lebih ramai ahli yang berpegang kepada prinsip demokrasi sosial dan mereka yang boleh membantu kita melaksanakan visi mewujudkan sebuah pentadbiran Kerajaan yang cekap, akauntabel dan telus.

Bagi menguatkan lagi jentera Parti, pemimpin dan ahli pada setiap peringkat diarahkan untuk mengukuhkan organisasi Parti di peringkat kawasan Parlimen supaya kita mempunyai uni yang lebih utuh bagi menghadapi perang yang akan membentuk masa depan Malaysia. Pemimpin DAP, wakil-wakil Rakyat dan pegawai lantikan di pelbagai pihak berkuasa negeri Pakatan Rakyat mestilah sentiasa ingat dan sedar akan ideologi, platform, visi dan misi serta program Parti dalam perjuangan mereka untuk membawa perubahan kepada Negara melalui mandat yang diberi kepada mereka, dan mestilah sentiasa ingat kepada harapan besar pengundi-pengundi kita.

Ingat bahawa DAP tidak menang secara bersendirian. Kita telah memenangi semua kerusi yang ditandingi calon Parti di Negeri Sembilan, tetapi masih tidak dapat untuk membentuk Kerajaan. Kita mestilah menang sebagai satu gabungan; sebagai rakan kongsi kuasa dalam Pakatan bersama.

Dalam aspek ini, kita juga mengharapkan rakan-rakan kita dalam Pakatan Rakyat faham platform kita dan membina serta meluaskan pendirian bersama. Yang penting, kita mestilah sentiasa mengingatkan diri sendiri bahawa hasrat Malaysia Pertengahan adalah yang paling penting.

Kita sedar kita tidak berpunya apa-apa sekiranya tanpa penyokong yang setia bersama dengan Parti walau hujan ataupun matahari terik. Di sini, kita merayu kepada penyokong setia Parti supaya menyertai kita dalam perjalanan untuk menukar Kerajaan Persekutuan yang penuh berliku ini, serta memerlukan banyak pengorbanan, kesabaran dan kesefahaman.

Kita juga sedar bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat akan menjadi satu garis pengukur terhadap keupayaan kita untuk menunaikan janji yang diberi. Kita mestilah bekerja keras bagi memenuhi harapan besar tinggi Rakyat Malaysia agar komrad-komrad kita di negeri lain berpeluang untuk menang. Tetapi, objektif yang paling utama tetap Putrajaya.

Apa yang kita sedang lakukan sekarang sah satu sejarah baru buat Malaysia – untuk menubuhkan Kerajaan pertama yang berjiwa Rakyat yang menaruh harapan pada Rakyat Malaysia, sebuah Kerajaan yang mencerminkan semangat Malaysia yang tulen di mana pemimpin Melayu menjaga kebajikan orang Cina, pemimpin India menjaga kebajikan orang Melayu, pemimpin Cina menjaga kebajikan orang Iban dan pemimpin Iban menjaga kebajikan orang Kadazan dan pemimpin Kadazan menjaga kebajikan orang India, di mana semua Rakyat boleh menaruh kepercayaan bahawa Kerajaan PR bukan sahaja menjaga kepentingan mereka malah kepentingan generasi anak cucu cicit pada masa hadapan.