MUKADIMAH

i) Bahawasanya tidak dapat disangkalkan Negara kita sedang menanti satu perubahan yang menyeluruh, dan ianya adalah satu fakta bahawa kerajaan masa kini tidak berupaya untuk mengubah system pentadbiran yang diselubungi kepentingan persendirian, ketidakadilan, kekejaman dan rasuah;

ii) Bahawasanya dunia tidak terhenti daripada pembangunan semata-mata bagi menunggu Malaysia untuk turut maju. Kita sedang menghadapi risiko melihat Asia berubah dengan ekonominya berkembang pesat dan kita melihat bukan sebagai sebahagian daripada kemajuan tersebut, tetapi hanya sebagai penonton sahaja jikalau kita tidak berusaha mengecapinya;

iii) Bahawasanya adalah kewajipan bersama untuk menyelamatkan pentadbiran Malaysia daripada terus merosot, menyelamatkan ekonomi daripada terus menjunam dan menyelamatkan Rakyat daripada terus dizalimi ketidakadilan;

iv) Bahawasanya Parti Tindakan Demokratik (DAP) melalui kerjasama dengan parti-parti Pakatan Rakyat yang lain serta masyarakat sivil secara amnya bertekad untuk membawa perubahan kepada Malaysia melalui satu muafakat baru

  • Dengan membetulkan segala kepincangan dalam Perlembagaan, perundangan dan sistem pentadbiran,

  • Dengan mengembalikan amalan saling menghormati di kalangan Rakyat Malaysia pelbagai bangsa, budaya dan agama,

  • Dengan memperbaharui kepercayaan dan keyakinan Rakyat terhadap institusi awam dan perkhidmatan keselamatan,

  • Dengan merangsangkan perkembangan ekonomi,

  • Dengan pemuliharaan alam sekitar,

  • Dengan merombak sistem pendidikan Negara,

  • Dengan menanam semula harapan pada masa depan kita sebagai sebuah Negara;

v) Perwakilan Kebangsaan DAP berhimpun di Ipoh, Perak pada 17 haribulan Januari 2010 di permulaan dekad baru ini dan pada saat-saat Negara mengalami krisis berterusan, untuk merangka satu masa depan baru buat Malaysia, satu masa depan yang berbeza daripada keadaan semasa yang kian tenat dan dengan ini menetapkan untuk:

PRINSIP

1. MENEGASKAN aspirasi mulia kami sejak pembentukan Parti untuk membina sebuah Negara yang “Utamakan Rakyat Malaysia” berpandukan nilai-nilai sejagat seperti demokrasi, kebebasan, integriti dan maruah insan (“human dignity”), yang memansuhkan segala diskriminasi kaum, agama, kepercayaan dan gender, dan yang menyatupadukan semua Rakyat Malaysia untuk menghadapi cabaran global sebagai satu Bangsa Malaysia;

2. MENJAMIN bahawa sebuah masyarakat yang berpandukan nilai-nilai sejagat konsep “Utamakan Rakyat Malaysia” tidak akan meminggirkan mana-mana komuniti ataupun individu serta akan mendukung setiap Rakyat yang memerlukan bantuan;

3. MENEGASKAN semula matlamat kami untuk menubuhkan sebuah pentadbiran demokrasi sosial di Malaysia berpandukan prinsip keadilan sosial, kesamarataan, persaudaraan, keamanan dan kemampanan, dengan penekanan tambahan kepada persoalanan tentang keadilan inter-generasi;

4. MENYATAKAN tekad kami ke arah sebuah pentadbiran yang cekap, berkesan, berperikemanusiaan, bersih dan beretika berpandukan prinsip-prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT);

PENGIKTIRAFAN

5. MENGIKTIRAFKAN sumbangan dan pengorbanan pemimpin dan ahli-ahli DAP yang telah memelihara api demokrasi sepanjang era kemalapan Parti;

6. MELUAHKAN takziah kami kepada keluarga Sdr. Teoh Beng Hock, pembantu politik DAP yang telah meninggal dunia semasa disoal oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) pada 16 haribulan Julai 2009 dan tiada kata-kata yang boleh mengambarkan kesedihan serta kemarahan kami terhadap kematian berunsur politik seorang Saudara seperjuangan dan pada masa Kerajaan Persekutuan terus menafikan sebab kematian beliau;

7. MENYATAKAN sokongan padu dan solidariti bersama dengan Rakyat Perak dan kepimpinan serta seluruh keahlian DAP Perak yang cekal menghadapi cabaran yang disebabkan oleh perebutan kuasa yang hina, tidak berdemokratik dan haram di sisi undang-undang yang dipelopori oleh sesetengah pihak di Kerajaan Persekutuan, MENGECAM pihak yang merancang dan melaksanakan coup d’état tersebut dan MENYERU supaya pilihan raya Negeri Perak diadakan segera bagi menyelesaikan krisis perlembagaan yang paling teruk di Negeri tersebut;

8. MENYOKONG pemimpin dan ahli-ahli Parti yang menjadi mangsa politik Kerajaan Persekutuan melalui salah guna kuasa dalam institusi seperti perkhidmatan awam, polis, SPRM dan badan kehakiman, yang telah ditahan, disiasat, didakwa dan dijatuhkan hukuman ataupun menghadapi ancaman-ancaman tersebut di bawah undang-undang zalim seperti Akta Hasutan, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Polis dsb; MENYATAKAN sokongan kepada dan solidariti dengan komrad-komrad tersebut, termasuklah Pengerusi Kebangsaan, Setiausaha Agong, Setiausaha Organisasi Kebangsaan, Setiausaha Publisiti Kebangsaan, Ahli-ahli Parlimen, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan pemimpin serta ahli di peringkat kebangsaan, negeri dan cawangan dalam perjuangan mereka untuk keadilan, demokrasi dan kesaksamaan bagi semua Rakyat Malaysia selaras dengan perjuangan DAP;

KOMITMEN

9. MENGULANGI komitmen kami untuk pembentukan kerjasama dalam Pakatan Rakyat sebagai alternatif kepada Barisan Nasional dan membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru pada pilihan raya yang akan datang berpandukan Rangkakerja Dasar Bersama Pakatan Rakyat “Muafakat Rakyat”

10. MENYATAKAN sokongan kami terhadap Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP untuk menjadikan Parti kita sebagai Parti pilihan semua Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama ataupun kepercayaan;

11. MENEGASKAN sokongan kami terhadap Kerajaan Negeri yang dianggotai oleh DAP bagi melaksanakan perubahan dan pembaharuan yang diidamkan oleh seluruh Rakyat Malaysia;

UTAMAKAN RAKYAT MALAYSIA

12. MENEKANKAN bahawa perpaduan nasional yang tulen hanya akan tercapai jikalau Negara melaksanakan prinsip Utamakan Rakyat Malaysia yang merangkumi nilai-nilai sejagat dan memberikan kesamarataan peluang kepada semua; dan dalam konteks ini, MENGECAM keras manipulasi isu kalimah “Allah” oleh UMNO dan keganasan yang sebelum ini tidak pernah berlaku;

13. MENYERU semua parti-parti dalam Pakatan Rakyat untuk cekal membentuk sebuah muafakat baru di kalangan Rakyat Malaysia bagi mengalu-alukan proses pembinaan Negara yang ke-dua dan untuk mengasingkan diri kita daripada formula perkauman yang sempit UMNO/Barisan Nasional; dan dalam konteks ini, MENGECAM propaganda perkauman yang diinstitusikan (“institutionalized racism”) oleh Biro Tata Negara dan MENEGASKAN semula pendirian kami bahawa Biro tersebut wajar dimansuhkan;

14. MENYATAKAN keprihatian kami terhadap Rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak yang telah sekian lama terpinggir dan ketinggalan dalam semua aspek dan BERTEKAD untuk merapatkan jurang antara kedua-dua belah Lautan China Selatan serta mempertingkatkan kebajikan semua;

PEMBAHARUAN YANG DIINSTITUSIKAN (“INSTITUTIONAL RENEWAL”)

15. MENGIMBAS kembali bahawa DAP berada di baris hadapan untuk menjadikan Parlimen Malaysia sebagai Parlimen Taraf Dunia Pertama dan MENYATAKAN semula kempen kami untuk melaksanakan amalan terbaik (“best practices”) di Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri bagi memastikan supaya Kerajaan menjadi Cekap, Akauntable dan Telus;

16. MEGIMBAS kembali bahawa salah satu platform utama DAP adalah mendemokrasikan pentadbiran setempat di mana pilihan raya kerajaan tempatan merupakan salah satu bahagian yang penting dan MENYERU supaya Kerajaan Persekutuan menganjurkan pilihan raya sedemikian sebelum, ataupun sewaktu dengan, pilihan raya umum yang akan datang;

17. MENYATAKAN komitmen tidak berbelah bahagi terhadap kedaulatan perundangan dan Kehakiman yang bebas sebagai penting kepada sesebuah masyarakat yang berfungsi dan MENYATAKAN semula seruan kami untuk pembaharuan menyeluruh Kehakiman yang mengalami kemerosotan sejak krisis 1988;

18. MENGAMBIL PERHATIAN bahawa pilihan raya yang bersih, bebas dan adil merupakan syarat yang asas sesebuah demokrasi dan MENYATAKAN sokongan kami terhadap tuntutan BERSIH Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil, termasuk seruan untuk satu senarai pengundi yang baru dan bersih, pendaftaran pengundi secara automatic dan penurunan umur layak mengundi kepada 18 tahun;

19. MENYERU pembaharuan bagi membetulkan perhubungan berat sebelah antara Persekutuan dan Negeri, terutamanya dari segi sumber kewangan, untuk memastikan Kerajaan Negeri dapat melaksanakan mandat oleh Rakyat secara berkesan;

20. MENGAMBIL PERHATIAN bahawa keselamatan awam merupakan asas kepada keyakinan dalam sesebuah masyarakat dan sesebuah masyarakat itu tidak akan berfungsi tanpa keyakinan, sama ada dalam mempercayai satu sama lain ataupun kepercayaan terhadap institusi awam, dan BAHAWA kadar jenayah yang kian meningkat telah memberi ancaman kepada semua pihak; MENEGASKAN semula seruan kami untuk penubuhan sebuah Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (“Independent Police Complaints and Misconducts Commission – IPCMC”) dan melaksanakan 125 cadangan laporan Suruhanjaya DiRaja 2005, serta MENEGASKAN semula seruan kami supaya Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan meletak jawatan kerana telah gagal untuk membawa pembaharuan kepada PDRM sepanjang pentadbiran beliau yang juga diselubungi oleh peningkatan berleluasa kadar jenayah;

21. MENYESALI gejala rasuah yang membinasakan – terbukti dengan kemerosotan Malaysia yang berterusan dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International – dan dalam konteks ini, MENGULANGI seruan supaya satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan bahawa Kerajaan telah kerugian RM100 billion melalui pelbagai rancangan penipuan dan manipulasi semasa era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad;

22. MENYERU supaya satu pembaharuan dwi-parti ke atas perkhidmatan awam dan pasukan bersenjata untuk mengkaji keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan-perkhidmatan tersebut, serta pakej gaji kepada anggota perkhidmatan bagi mempertingkatkan semangat, integriti dan prestasi mereka;

23. MENYERU Kementerian Pertahanan untuk mendedah kepada pengetahuan awam satu Kertas Putih Pertahanan (Defense White Paper) yang menjelaskan visi strategic dan dasar am kementerian untuk membolehkan penelitian rasional oleh masyarakat awam dan Parlimen berkenaan pilihan proses pembelian, program dan perbelanjaan; dan dalam konteks ini, MENYERU kepada Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan satu penyiasatan bebas terhadap kes kehilangan enjin jet perjuang;

24. MERAKAMKAN rasa terkilan dengan layanan keji dan tidak berperikemanusian terhadap komuniti orang asal di Negara ini, termasuk kekurangan bantuan sosio-ekonomi yang mencukupi kepada komuniti-komuniti Orang Asli di Semenanjung, serta dakwaan rogol gadis dan wanita Penan di Sarawak, serta MENYERU supaya satu Suruhanjaya DiRaja Penyiasatan Kebajikan dan Kemajuan Komuniti Orang Asal Malaysia melaporkan secara menyeluruh merangkumi cadangan-cadangan untuk melindungi kebajikan dan cara hidup komuniti orang asal dan pada masa yang sama memastikan bahawa mereka diberi peluang untuk maju bersama dalam perkembangan Negara secara amnya;

PEMBANGUNAN YANG PESAT DAN BERPERIKEMANUSIAAN

25. MENEKANKAN hasrat kami yang terkandung dalam Bajet Alternatif DAP 2010 untuk mendemokrasikan ekonomi Malaysia melalui disentralisasi fiskal, penstrukturan semula dan pengagihan semula sumber, dan memperkasa serta mengupayakan Rakyat Malaysia, supaya potensi Rakyat Malaysia dapat menjana pertumbuhan yang lebih tinggi;

26. MENGAMBIL PERHATIAN bahawa ekonomi Malaysia pada masa kini terperangkap dalam kombinasi kemahiran rendah, produktiviti rendah dan gaji rendah di mana 60% keluarga di Malaysia hidup dengan gaji seisi rumah bulanan yang kurang daripada RM3,000 dan pada masa yang sama, kroni-kroni menikmati keuntungan lumayan menghisap darah Rakyat; dan, dalam konteks ini, MENGULANGI pendirian kami bahawa jika Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk kepimpinan Kerajaan Persekutuan, perjalanan melalui Lebuhraya Utara-Selatan akan dijadikan percuma dalam tempoh masa tujuh tahun;

27. MEMBERI komitmen kami untuk menggunakan proses tender terbuka bagi perbelanjaan wang awam, mengurangkan pembaziran, menjadikan kewangan Petronas terbuka kepada masyarakat awam melalui penelitian Parlimen, dan seterusnya mengurangkan beban cukai Rakyat Malaysia, dan dalam konteks ini, MENYATAKAN penentangan kami terhadap pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (“Goods and Services Tax – GST”) yang akan menambahkan beban Rakyat Malaysia dan sememangnya dapat dielakkan jikalau pembaziran dapat dikurangkan;

28. MENGIKTIRAFKAN kepentingan industri dan perniagaan kecil dan sederhana dalam mewujudkan peluang pekerjaan kepada Rakyat Malaysia dan juga dalam memacukan inovasi dalam ekonomi kita, dan MEMBERI komitmen untuk mewujudkan satu suasana yang lebih ramah kepada perniagaan dan industri jenis tersebut;

29. MENYOKONG perlaksanaan sistem upah minima sebagai satu dasar yang membolehkan Malaysia dibebaskan daripada kitar upah rendah, dan MENGULANGI pendirian kami bahawa satu revolusi pendidikan adalah amat penting untuk membolehkan tenaga kerja Negara bergerak ke arah kemahiran tinggi dan produktiviti tinggi;

30. MENGINGATI bahawa antara semua parti politik di Malaysia, DAP mempunyai paling ramai wakil Rakyat wanita, dan MEMBERI komitmen kepada matlamat 30% penyertaan wanita dan pada masa yang sama MENGALAKKAN pertambahan kadar penyertaan tenaga kerja wanita Negara daripada 46% pada masa kini kepada 60% dalam tempoh masa 10 tahun dengan menambahbaik pelbagai perkhidmatan yang akan membantu wanita dalam pasaran kerja seperti perkhidmatan jagaan kanak-kanak dan jagaan warga tua supaya para wanita boleh menjadi pemandu kepada perkembangan modal insan dalam fasa ekonomi Negara yang akan datang;

31. MENGINGATI bahawa antara semua parti politik di Malaysia, DAP mempunyai paling ramai wakil Rakyat daripada kalangan mereka di bawah umur 40 tahun, dan MENGAMBIL PERHATIAN bahawa 75% daripada jumlah penduduk Malaysia adalah berumur kurang daripada 40 tahun dan kebanyakkan mereka adalah dalam kategori belia; dan juga MEMBERI komitmen untuk menambahbaik persekitaran kepada pemuda-pemudi serta keluarga yang muda dari segi pekerjaan, peluang pendidikan dan perumahan untuk membolehkan mereka menonjolkan potensi mereka dan seterusnya membolehkan Negara berkembang dengan lebih maju lagi;

AGENDA HIJAU

32. MENGAMBIL PERHATIAN bahawa perubahan iklim dan isu berkaitan alam sekitar menjadi kian penting kebelakangan ini, MENYATAKAN rasa kecewa kami terhadap hasil Perjumpaan Kopenhagen 2009 dan MENYERU supaya Kerajaan Malaysia menunjukkan kepimpinan teladan dalam memastikan ekonomi dunia yang lestari;

33. MENGIKTIRAF bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan kemudiannya Kerajaan Negeri Selangor berada di baris hadapan “Kempen Tiada Plastik”;

34. MENGIKTIRAF bahawa kecekapan tenaga (“energy efficiency”) merupakan kunci kepada Agenda Hijau, dan justeru MENOLAK pembinaan Kabel bawah laut Empangan Bakun sepanjang 650km dan bernilai RM10 billion bagi membekalkan tenaga elektrik daripada Sarawak, memandangkan Kapasiti Simpanan Elektrik (“Electricity Reserve Capacity”) untuk Semenanjung Malaysia sudah berada pada tahap yang amat tinggi 52%, dan sebaliknya, MENCADANGKAN supaya margin simpanan daripada Bakun disalurkan ke Sabah untuk menyelesaikan isu tenaga di Negeri tersebut tanpa perlu membina sebuah penjana elektrik bahanapi batu arang di situ; dan, dalam konteks ini, MENYERU supaya satu pembaharuan menyeluruh dilaksanakan ke atas sektor Pengeluar Tenaga Bebas (“Independent Power Producers”);

35. MENCADANGKAN satu kaji-semula menyeluruh dijalankan untuk meneliti kos jangka panjang ke atas alam sekitar dan ke atas masyarakat berikutan subsidi kepada Proton dan pengeluar kereta nasional yang lain, AP kereta impot, dan lobi untuk projek pembinaan jalan raya; dan angka kematian jalan raya dan kemalangan yang tinggi; serta perlunya untuk meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam bagi meningkatkan kecekapan guna tenaga secara keseluruhan;

36. MEMBERI komitmen untuk perlindungan, pemeliharaan dan pemuliharaan hutan, kawasan takungan air, tanah paya dan persisiran pantai, dan merangkumi pemantauan serta menghentikan pencerobohan terhadap hutan simpan dan meneliti supaya penebusan tanah di persisiran pantai adalah menepati garis panduan mesra alam sekitar, dan MENGECAM tindakan akibat daripada ketamakan manusia seperti memusnahkan hutan simpanan, pemburuan haiwan haram dan jualbeli haiwan liar, dan MENEGASKAN komitmen kami untuk meletakkan alam sekitar, ekologi dan nyawa manusia di kedudukan utama sebelum perkara-perkara lain;

SOLIDARITI ANTARABANGSA

37. MENOLAK, selaras dengan kedudukan Sosialist International sifat “kapitalisme kasino” pasaran kewangan antarabangsa dan MENYERU supaya Kerajaan Malaysia melaksanakan pembaharuan berbentuk struktur untuk mengelak dan menakis krisis pada masa hadapan;

38. MENYESALI kegagalan kepimpinan Kerajaan Malaysia di peringkat ASEAN untuk menyelesaikan krisis berlarutan di Myanmar dan MENYERU supaya Kerajaan Malaysia memastikan bahawa Mekanisme Hak Asasi Manusia yang dijanjikan dalam perlembagaan ASEAN akan mempunyai impak yang positif;

39. MENENTANG semua bentuk keganasan dan ketidakadilan dan MENYATAKAN solidariti dengan mangsa-mangsa akibat konflik di serata dunia, termasuk Rakyat Palestine;

40. MEMBERI komitmen bahawa jika DAP dan rakan dalam Pakatan Rakyat berjaya membentuk Kerajaan, Malaysia akan bangun sebagai kuasa serantau yang penting yang mendukung kedudukan berprinsip berpandukan nilai-nilai keadilan, solidariti antarabangsa dan keamanan;

ORGANISASI PARTI

41. MEWAJIBKAN pemimpin DAP, wakil-wakil Rakyat dan pegawai yang dilantik di pelbagai pihak berkuasa negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat untuk sentiasa mengetahui tentang ideologi Parti, platfom Parti, visi dan misi Parti dan program-program Parti dalam perjuangan mereka untuk membawa perubahan kepada Negara melalui mandat yang diberi kepada mereka, dan perlu ingat selalu untuk memenuhi yang harapan tinggi oleh pengundi;

42. MENGIKTIRAF kepentingan untuk mengukuhkan organisasi Parti pada peringkat Parlimen sebagai persediaan menghadapi pilihan raya yang akan datang;

43. MEMBERI komitmen bahawa Parti memberi sokongan penuh kepada Jawatankuasa Negeri di Sarawak dan Perak dalam persediaan menghadapi pilihan raya yang akan datang;

44. MENGARAHKAN pemimpin dan ahli-ahli pada semua peringkat Parti untuk bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang yang akan menentukan nasib Negara kita yang tercinta untuk dekad dan generasi seterusnya.

Muat Turun Resolusi Ipoh: MUAFAKAT TRANSFORMASI MALAYSIA