BM 中文 English

Ucapan Polisi Untuk Persidangan Parti 2014

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Gunung sama didaki, lurah sama dituruni.
Biar putih tulang, jangan putih mata.

Pendahuluan

Salam Ubah dan Salam Bersih kepada semua

Saya ucapkan terima kasih kepada semua tetamu undangan, perwakilan dan pemerhati kerana hadir pada hari ini, terutama sekali kepada mereka yang telah datang dari jauh.

Hari ini kita berkumpul dalam Persidangan Parti DAP 2014 di Subang Jaya ini untuk merangka masa depan parti dan Malaysia kerana kita percaya bahawa bersama-sama dengan semua rakyat Malaysia lain yang progresif, kita memegang anak kunci ke Putrajaya dan Malaysia yang baru dan lebih baik.

Menjelang bulan Mei 2015, genap dua tahun selepas Pilihanraya Umum 2013 dan hampir separuh penggal sebelum kita menghadapi Pilihanraya Umum ke-14. Pilihanraya negeri Sarawak pula kian menjelang.

Persidangan Kebangsaan 2014 diadakan sesudah Kongres Kebangsaan ke-16 pada 15 dan 16 Disember 2012 di Pulau Pinang dan pemilihan semula untuk Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) di Kongres Khas Kebangsaan pada 29 September 2013 di Petaling Jaya untuk menggagalkan perancangan jahat dan niat buruk Pendaftar Pertubuhan untuk menghancurkan parti.

Pemilihan semula CEC dengan kumpulan pemimpin yang sama seperti sebelumnya membolehkan DAP muncul lebih bersatu-padu dan kuat sebagai sebuah parti. Kini DAP telah sedia untuk bersatu, melakukan pembaharuan dan berkembang.

Kita mesti menetapkan agenda untuk pilihanraya akan datang dan juga untuk generasi akan datang. Jika kita tidak menetapkan agenda untuk menyatukan semua rakyat Malaysia ke arah tujuan yang sama dan nasib yang dikongsi bersama, kita akan terpaksa menerima agenda UMNO dan BN untuk memecahbelahkan dan memusnahkan Malaysia melalui ekstremisme, salah guna kuasa dan rasuah.

Tema persidangan kali ini ialah “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, yang mencerminkan komitmen DAP terhadap solidariti, perkongsian dan pengorbanan semua rakyat Malaysia ke arah perpaduan, toleransi, keadilan sosial dan peluang saksama untuk semua. Mesej solidariti, perkongsian dan pengorbanan adalah amat penting, terutama di saat kita berhadapan krisis ekonomi yang semakin meruncing dan akan membawa akibat buruk kepada golongan miskin, dengan diterajui sebuah kerajaan yang telah buntu dan hanya boleh bereaksi dengan melanggar janji-janji dan menyalahkan masalah ekonomi kepada golongan minoriti dan musuh-musuh khayalan Islam, Melayu dan Raja-Raja tanpa rasa segan silu.

Penghormatan

2014 mungkin akan dikenang sebagai annus horribilis (tahun yang mengerikan) bagi Malaysia dalam beberapa dekad ini, tetapi kita percaya dengan rakyat Malaysia bahawa kita akan bangkit sebagai sebuah bangsa bagi mengatasi cabaran yang mendatang.
Sebagai sebuah bangsa, rakyat Malaysia merasa hampir lumpuh akibat tragedi berkembar MH17 dan MH370; dan DAP melahirkan rasa simpati, sokongan dan solidariti kepada ahli-ahli keluarga mangsa yang terlibat. Kami akan menyokong semua usaha untuk mendapatkan keadilan bagi mereka yang telah terbunuh dalam MH17 dan juga usaha mencari MH370 yang hilang.

Dengan rasa sedih yang mendalam, kita menangisi pemergian orang kuat parti yang telah berdiri bersama-sama dengan kita untuk sebuah Malaysia yang baru berasaskan demokrasi, keadilan dan peluang saksama. Kita mengucapkan selamat tinggal dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga masing-masing.

Sdr Karpal Singh

Pengerusi Parti kita, Sdr Karpal Singh, yang telah menjadi salah satu suara hati nurani yang paling lantang untuk negara kita, meninggalkan kita dengan tragis sekali pada 17 April 2014. Namun begitu, walaupun sehingga saat-saat akhir, beliau telah melawan kuasa-kuasa yang menindas tanpa rasa takut – kuasa-kuasa yang mahu menukar watak dan identiti Perlembagaan Persekutuan. Sdr. Tan Kok Wai dilantik sebagai pemangku Pengerusi Kebangsaan.

Sdr Wong Ho Leng

Parti sekali lagi terjerumus ke lembah kesedihan, apabila pada 21 Jun, bekas Pengerusi DAP Sarawak Sdr Wong Ho Leng, meninggal dunia selepas perjuangan yang panjang melawan barah. Legasi Sdr Ho Leng akan kekal kukuh dalam pengaruh yang semakin berkembang kepimpinan DAP Sarawak yang telah dibinanya selama bertahun-tahun.

Sdr Seah Leong Peng

Kematian Sdr Seah Leong Peng pada 1 Mei membawa satu lagi episod kesediahan kepada parti. Beliau merupakan bukti kuasa dedikasi dan kerja keras dalam membina sokongan akar umbi yang kuat yang membolehkan PR dan DAP memenangi 55% undi popular dalam pilihanraya umum 2013.

Hari jadi Dr Chen Man Hin ke-90

Dalam perkembangan yang lebih ceria, saya ingin melaporkan kepada Persidangan Kebangsaan bahawa pengerusi pengasas kita Sdr. Chen Man Hin telah mencatatkan pencapaian yang sangat jarang berlaku dalam kehidupan manusia dengan menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke-90 pada bulan November. Dr Chen adalah seorang ‘towering Malaysian’ yang mengabadikan hidupnya untuk berusaha ke arah Malaysia yang lebih baik, tanpanya DAP tidak akan wujud. Kita mendoakan kesihatan yang baik untuknya.

Pilihanraya kecil

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin dan ahli yang telah berkempen dengan bertungkus lumus sewaktu pilihanraya kecil Bukit Gelugor, Teluk Intan dan Kajang calon-calon DAP dan Pakatan Rakyat, dan kita juga mengucapkan terima kasih kepada pengundi atas sokongan mereka. Kita mengalu-alukan Sdr Ramkarpal atas penyertaan ke dalam delegasi parlimen. Kami juga memberi tabik hormat kepada ketabahan Sdri Dyana Sofya yang telah memberi cabaran yang baik dalam pilihanraya. Dan kita mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah kerana kembali menjadi wakil rakyat.

Keadaan parti

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para perwakilan atas mandat dan kepercayaan yang diberikan kepada Jawatankuasa Tertinggi Pusat yang telah dipilih sebanyak dua kali di kedua-dua pemilihan pada 15 Disember 2012 dan pemilihan semula pada 29 September 2013.

Sejak kejayaan pilihanraya tahun 2008, Barisan Nasional yang dikawal Umno telah menyerang DAP siang dan malam. Sebabnya mudah: jika rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu, boleh menerima politik bukan-perkauman DAP, integriti dalam kepimpinan, dan tadbir urus yang baik, ia bermakna ajal BN dan UMNO sudah hampir. Kebencian tanpa henti oleh UMNO-BN ini malah membawa kepada percubaan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengharamkan DAP pada ambang Pilihanraya Umum ke-13 pada tahun 2013. Kita enggan mengalah dan telah menang dalam pusingan pertama.

Kemudian ROS datang menyerang lagi. Dan sekali lagi, pertempuran besar di mahkamah telah dimenangi oleh Sdr Gobind Singh Deo, apabila ROS terpaksa mengalah di mahkamah bahawa ROS tidak boleh enggan mengiktiraf hak Jawatankuasa Tertinggi Pusat, yang dipilih pada 29hb September 2013, untuk membuat keputusan. Walaupun DAP telah terpaksa bersetuju dengan permintaan ROS sebelum itu menjalankan pemilihan semula, atau menanggung risiko dibatalkan pendaftaran, dan kita adakan pemilihan semula ini walaupun dengan bantahan, kita terus bekerja dalam semangat setiakawan dan membuktikan bahawa kita tidak akan tunduk.

Kami menjangka ROS untuk datang menyerang lagi untuk kali ketiga, keempat, kelima dan seterusnya. Inilah sebebnya kita mencadangkan beberapa pindaan terhadap perlembagaan parti bukan hanya untuk menguji ROS tetapi untuk melindungi parti daripada sabotaj di ambang pertempuran pilihanraya. Walaupun ancaman tetap wujud, kita akan teruskan perjuangan kita. Kami percaya dengan ahli-ahli parti, bahawa setiap seorang daripada kita akan melakukan yang terbaik demi mengelakkan pembatalan pendaftaran dan memastikan survival parti.

Lima tahun akan datang, dan lima puluh tahun kemudiannya

Bidalan Inggeris menyebut “When the going gets tough, the tough get going”. DAP telah melalui ujian dan dugaan sepanjang 48 tahun yang lalu, sejak parti ditubuhkan pada 18 Mac 1966. Dalam masa kurang daripada satu setengah tahun, pada 18 Mac 2016, kita akan menyambut ulangtahun DAP yang ke-50. Sdr Liew Chin Tong telah ditugaskan dengan sambutan ulangtahun ke-50 yang akan menjadi tapak pelancaran bagi pilihanraya umum ke-14.

Sementara DAP tetap berpegang teguh kepada komitmennya terhadap perjuangan untuk Malaysia yang demokratik dan adil, dengan peluang saksama untuk semua, sejak tsunami politik pada 8 Mac 2008; DAP diharapkan untuk memainkan peranan sebagai pembangkang yang berprinsip dan berkesan dan juga sebagai rakan kongsi kuasa yang dalam kerajaan-menunggu.

DAP perlu menawarkan wawasan ke arah kesederhanaan, kesaksamaan, keadilan, kebebasan, dan pertumbuhan ekonomi bagi jangka masa panjang melalui satu set dasar yang wajar dan boleh dicapai oleh rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang etnik dan agama, dari Batu Sumpah di Sabah ke Sarawak dan seterusnya ke Johor dan Bukit Kayu Hitam di Perlis.

Kita perlu mengakui bukan sahaja sumbangan rakyat Malaysia tetapi juga rakyat Sabah dan Sarawak sebagai salah satu daripada tiga (bukan salah satu daripada 13 negeri) yang merupakan rakan kongsi yang penting dan setara dengan Semenanjung Malaysia yang membentuk Malaysia pada tahun 1963. Ketiga-tiga bahagian ini membentuk sebuah Malaysia – tanpa Sabah atau Sarawak tidak akan ada Malaysia.

Pindaan perlembagaan parti

Jawatankuasa Tertinggi Pusat akan membentangkan beberapa cadangan untuk meminda perlembagaan parti demi memperkukuhkan parti dan juga meningkatkan penyertaan wanita, yang merupakan kunci untuk memenangi Pilihanraya Umum ke-14. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Sdr. Loke Siew Fook kerana mengetuai Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan, serta ahli-ahli CEC yang turut memegang jawatan dalam Jawatankuasa tersebut, atas usaha mereka dalam membantu parti untuk mengukuhkan struktur organisasi.

Kami mencadangkan agar keanggotaan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) ditambah dari 20 kepada 30 anggota terpilih bagi memberi lebih banyak peluang kepada ahli untuk mendapatkan jawatan dalam parti, terutamanya sebagai “parti untuk anak muda dan wanita.” DAP berbangga kerana mempunyai pemimpin muda paling banyak di peringkat kepimpinan pusat dan di kalangan anggota dewan perundangan. 21 daripada 104 wakil rakyat DAP sekarang lahir selepas tahun 1980.

Cadangan juga dikemukakan agar kuota 30% untuk wanita ditetapkan bagi jawatan-jawatan yang melibatkan pemilihan, bertujuan memastikan sekurang-kurangnya 9 daripada 30 anggota CEC yang terpilih adalah wanita. Bagaimanapun, DAP percaya bahawa wanita adalah rakan kongsi yang setara dalam perjuangan dan parti ini komited untuk memperjuangkan kesetaraan gender. Selain pemimpin-pemimpin seperti Sdr. Karpal, Kit Siang, Kok Wai, Seng Giaw, dan saya sendiri yang pernah ditindas dan dihukum, dan pemimpin-pemimpin baru seperti Anthony Loke, Tony Pua, Ng Wei Aik, Phee Boon Poh, R.S. Rayer yang juga menghadapi tekanan yang sama, para pemimpin wanita kita, seperti Teresa Kok dan Teo Nie Ching, turut didakwa dengan tuduhan menghasut.

Penggal untuk Jawatankuasa Negeri dipanjangkan daripada dua tahun kepada tiga tahun supaya selaras dengan penggal bagi CEC, manakala Jawatankuasa Cabang daripada setahun kepada dua tahun dengan harapan penggal yang lebih lama itu akan membolehkan mereka mengukuhkan sokongan terhadap parti di peringkat akar umbi. Jawatankuasa Perhubungan Parlimen dirombak bentuknya untuk lebih bersedia bagi menjalankan kerja penyelarasan pilihanraya untuk menyiapkan parti menghadapi pilihanraya.

Had sebanyak tiga penggal bagi pengerusi negeri adalah satu langkah bagi memastikan parti sentiasa segar dan bagi melatih pemimpin di peringkat negeri. Lebih sedekad lalu, DAP menjadi parti pertama yang menghadkan tempoh memegang jawatan bagi pemimpin tertinggi, iaitu Setiausaha Agung. Hari ini, kita sekali lagi mencatat sejarah dan mengorak langkah maju untuk membataskan pula tempoh memegang jawatan pengerusi negeri.

Saya dengan rendah hati memohon saudara-saudara menyokong pindaan-pindaan yang dikemukakan untuk mengukuhkan DAP bagi menghadapi cabaran lebih besar serta untuk merebut peluang yang menanti kita.

Parti gagasan dan parti masa depan

Bagaimanapun kita perlu ingat bahawa struktur parti hanya boleh membantu kita sehingga ke suatu tahap. Perkara yang paling utama dan penting adalah gagasan-gagasan yang dapat memberi makna kepada parti. Kita perlu melihat DAP sebagai sebuah “parti gagasan” (party of ideas), “parti masa depan” dan “parti harapan”.

Salah satu usaha teras untuk menjadikan DAP parti masa depan ialah dengan meninggalkan jejak bakti yang berkekalan di jiwa rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak yang selama ini diabaikan oleh Barisan Nasional kerana kedua-dua negeri itu dilihat sebagai “deposit tetap” BN.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berkenaan pendatang haram di Sabah yang diumumkan baru-baru ini adalah satu usaha untuk menyembunyikan ketidakadilan selama 40 tahun yang telah dilakukan terhadap rakyat Sabah yang kini menjadi orang asing di negeri mereka sendiri. Pihak yang bertanggungjawab atas kesalahan ini, di peringkat pembuat dasar dan juga pelaksana, perlu didedahkan dan didakwa menurut undang-undang. Mereka perlu dihukum kerana mengkhianati saudara senegara mereka sendiri selain kerana merendahkan harga kewarganegaraan Malaysia.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menegaskan sokongan pimpinan Pusat terhadap Perisytiharan Bintulu yang dibuat oleh DAP Sarawak dalam konvensyen negeri itu pada 26 Oktober 2014. Konsep Perkongsian Setara dengan Sarawak dan juga Sabah seharusnya menjadi prinsip pemandu yang diterima-pakai oleh semua pihak.

Lebih sedikit daripada setahun yang lalu, DAP telah melancarkan kempen Impian Sabah dan Impian Sarawak menurut wawasan Impian Malaysia, untuk mendorong agar berlaku anjakan paradigma dari segi persepsi dan sokongan politik di kalangan pengundi luar bandar Malaysia, khususnya di Malaysia Timur. Jalan ke Putrajaya menjalar menerusi Sabah dan Sarawak.
Projek-projek yang dijalankan, daripada penyediaan air menggunakan sistem graviti di kampung-kampung yang telah dinafikan kemudahan asas air sebelum ini, pembinaan kemudahan jalan yang asas untuk kampung kampung-kampung yang tidak mempunyai akses kenderaan, sehingglah projek membina jeti, jambatan, pusat kemasyarakatan, dan rumah ibadat, telah menangkap imaginasi penduduk luar bandar Sabah dan Sarawak.

Pasukan Impian sejak itu telah meningkatkan ruang lingkup kegiatannya dengan turut menjalankan projek-projek peningkatan kesejahteraan ekonomi penduduk luar bandar. Antaranya, menyediakan kemudahan pinjaman mikro kepada para pengusaha kecil sawit, penubuhan Kedai Impian yang dikendalikan oleh penduduk kampung, dan menganjurkan seminar seni dan kraftangan untuk golongan wanita.

Kita juga telah mula menganjurkan Kem Pendidikan Impian bagi meningkatkan minat kanak-kanak luar bandar terhadap mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik, dan Sains selain untuk menekankan kepentingan pendidikan kepada para ibu-bapa. Pada bulan Januari nanti, kita akan mengadakan Kem Kesihatan Impian buat kali pertama untuk penduduk luar bandar yang tersisih. Projek ini disokong oleh sekumpulan sukarelawan yang terdiri daripada doktor dan pakar.

Saya mahu berterimakasih kepada Sdr. Tony Pua atas usaha dan kepimpinan beliau serta kepada semua pemimpin pusat yang terlibat. Izinkan saya berhenti sejenak di sini untuk menayangkan video ringkas berkenaan kerja-kerja yang dijalankan di bawah Impian Malaysia.

DAP berbangga kerana telah menyempurnakan lebih daripada 30 projek besar dan kecil, memberi manfaat kepada lebih daripada 800 keluarga dan melibatkan 150 sukarelawan daripada pelbagai kaum dan latar belakang dari seluruh Malaysia. Kita mengucapkan tahniah dan berterimakasih kepada para sukarelawan terbabit kerana menjunjung semangat Impian Malaysia, semangat “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.”

Semoga semua pemimpin DAP memberikan komitmen dengan memastikan semua wakil rakyat pergi ke Sarawak sekurang-kurangnya sekali sebelum pilihanraya umum negeri akan datang.

DAP memasuki fasa yang disifatkan Sdr. Lim Kit Siang sebagai “fasa kedua dengan memberikan tumpuan terhadap kawasan separa-bandar yang selama ini tidak begitu tersentuh oleh DAP. Sebahagian besar kerusi marginal berada di kawasan separa-bandar. DAP tidak seharusnya hanya menjadi parti gagasan, tetapi juga mesti memastikan gagasannya terlaksana, bermula dengan Perisytiharan Gelang Patah yang berkaitan dengan penanganan masalah yang dihadapi oleh masyarakat India yang tersisih di Pulau Pinang. Ayuh kita lihat satu lagi video.

Bahtera yang sama

Rakyat Malaysia berada di atas bahtera yang sama. Pemimpin DAP akan tetap bersama-sama dengan rakyat Malaysia di atas bahtera ini walau apa pun yang terjadi. Tidak seperti pemimpin BN yang mempunyai status penduduk tetap di negara-negara asing, kita tidak ada tempat lain selain Malaysia. Namun kita mesti mengakui bahawa kita berdepan perjuangan yang sukar dalam persepsi yang berakar umbi dan terus membarah akibat pembohongan UMNO bahawa DAP adalah anti-Melayu dan anti-Islam.

Apabila kita mendedahkan rasuah dan kekejaman polis kita dituduh anti-Raja kerana Raja-Raja Melayu melantik mereka yang mengetuai institusi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM dan pihak polis, yang diterajui oleh orang Melayu. Apabila kita bercakap mengenai fatwa agama Islam atau fatwa yang memberi kesan kepada orang Islam sahaja dan tidak ada kena-mengena dengan orang bukan Islam, kita dituduh sebagai anti-Islam kerana campur tangan dalam hal-ehwal agama Islam.

Pun begitu apabila kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang menggandakan peruntukan belanjawan tahunan untuk hal-ehwal agama Islam berbanding dengan kerajaan negeri BN sebelum ini, MCA dan Gerakan mengkritik sehingga kita dilabel anti-orang bukan-Islam. Tidak ada pemimpin UMNO pun yang mempertahankan kerajaan negeri PR Pulau Pinang daripada MCA atau Gerakan kerana menggandakan peruntukan tahunan untuk hal-ehwal Islam di Pulau Pinang.

DAP menyokong Raja-Raja, kedudukan Islam dan Melayu dan melindungi hak-hak sah orang bukan-Melayu dan bukan-Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Terus-terang saya katakan bahawa DAP tidak anti-Melayu ataupun anti-Islam ataupun anti bukan-Islam. Kami hanya anti-rasuah. Dan anti-BN kerana BN adalah ibu kepada semua rasuah. DAP akan sentiasa menjadi parti berbilang kaum yang berjuang untuk semua.

Akan ada serangan yang lebih ganas daripada UMNO terhadap DAP ketika semakin ramai anak muda Melayu melihat DAP sebagai platform yang berpotensi untuk memperjuangkan impian yang dikongsi bersama ke arah Malaysia yang lebih baik. Kita mesti meyakinkan orang Melayu bahawa DAP sebagai salah satu komponen dalam PR, tidak akan menjejaskan kepentingan orang Melayu tetapi sebaliknya, memberikan kehidupan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu.

Semua rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu, mesti secara terang menentang ekstremisme perkauman dan pelampau agama, khususnya politik tidak bertamadun Perkasa dan ISMA dan juga unsur-unsur perkauman dalam UMNO. Kami sepenuhnya menyokong surat terbuka oleh 25 bekas penjawat awam yang menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan sayap kanan yang sedang membajak Islam dengan menyalahguna dan merosakkan sifat sederhana agama Islam untuk menjadi alat kepada kebencian dan keganasan.

Masanya telah tiba bagi Perdana Menteri untuk berkelakuan sebagai seorang pemimpin – untuk memimpin melalui tauladan dan bukan menurut dari belakang. Kesederhanaan dalam Islam adalah tentang kebenaran, kesetaraan dan keadilan. Tidak wujud kesetaraan apabila Datuk Seri Najib enggan menjawab soalan mengenai hutang 1MDB bernilai RM 42 bilion. Tidak ada keadilan apabila Akta Hasutan digunakan terhadap pemimpin pembangkang dan ahli akademik. Tidak ada kebenaran apabila Najib memungkiri janjinya yang diulang tiga kali untuk memansuhkan Akta Hasutan, tetapi akhirnya mahu memperkasakannya, atau janji membayar BR1M sebanyak RM950 sedangkan BN menjanjikan bayaran sebanyak RM1200 ketika pilihanraya umum yang lalu.

UMNO sudah tidak lagi menyebut tentang 1Malaysia. Hanya kedengaran bahasa pembohongan, kebencian dan keganasan digunakan oleh golongan rasis dan pelampau yang mendakwa bahawa kekuatan ekonomi Cina datang daripada kegiatan haram dalam perjudian dan pelacuran. Atau lebih teruk lagi kegagalan untuk bertindak terhadap pembohongan berbahaya dan provokatif bekas Timbalan Menteri Dr Mashitah Ibrahim yang menyalahkan masyarakat Cina kononnya telah membakar Al-Quran sebagai sebahagian daripada upacara sembahyang mereka, walaupun Menteri Besar Kedah telah mengumumkan bahawa Al-Quran dalam kes tersebut telah dikoyak oleh seorang individu Melayu Islam yang mempunyai masalah mental dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

Sebuah pakatan boleh menang yang layak menjadi kerajaan yang sebaik rakyatnya

Oleh kerana itu perlu ada perubahan kerajaan dari sebuah kerajaan yang penuh kebencian menjadi sebuah kerajaan penuh kasih sayang terhadap saudara seMalaysia dan membebaskan diri kita daripada nasib yang dibebani hutang kerajaan dan hutang peribadi. Kita tidak boleh menjadi sebuah negara yang penuh dengan “ah long”, dan kita tidak boleh menjadi negara kroni dan parasit politik. Kita mesti menjadi sebuah negara yang mempunyai ekonomi yang bermaruah dan mampu menjana kekayaan yang produktif.
Saya amat percaya bahawa UMNO dan Barisan Nasional akan tumbang dalam pilihanraya umum akan datang, tetapi untuk kemenangan Pakatan Rakyat, ia mestilah menjadi pakatan yang berkesan, dengan asas yang meluas, dan boleh menang demi menyatukan semua kuasa dalam masyarakat untuk mengalahkan UMNO dan Barisan Nasional secara meyakinkan. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pun turut mengakui bahawa terdapat kemungkinan untuk BN kalah akibat ayunan 2% dalam undian yang akan menyebabkan BN hilang kuasa dengan hanya memenangi 103 kerusi Parlimen.

Sementara UMNO semakin merasa tidak selamat, pertuduhan menghasut terus digunakan terhadap para pengkritik selain sentimen perkauman yang semakin meningkat untuk menambah sokongan terhadap UMNO. Percubaan keji untuk menyumbat Datuk Seri Anwar Ibrahim ke penjara adalah satu lagi perbuatan terdesak. Kita berdiri bersama Anwar dan semua pemimpin lain yang dianiaya.

UMNO berhak untuk kalah seperti Parti Kongres India. Tetapi untuk membuktikan bahawa kita layak menjadi kerajaan adalah sangat berbeza daripada menunjukkan bahawa kita adalah pembangkang yang berkesan. Kita mesti memenangi jalan tengah, dan ‘Middle Malaysia’ hanya boleh dimenangi sekiranya PR boleh menunjukkan bahawa urus tadbir kita yang baik adalah lebih unggul dan lebih bersih berbanding BN serta memberi faedah dan tidak memudaratkan rakyat.

Kita mesti membentangkan agenda dasar yang koheren dan konsisten dan boleh meyakinkan golongan atas pagar, kerana asas partisan dari setiap pihak Pakatan Rakyat tidak cukup untuk membawa kita pergi lebih jauh. Biar saya berterus-terang. Tidak boleh ada lagi ulangan krisis Menteri Besar Selangor dan segala akibat perpecahan darinya yang dipamerkan kepada awam. Pakatan Rakyat tidak akan dapat menyertai pilihanraya akan datang jika tidak boleh bersetuju siapa yang akan menjadi Perdana Menteri, mahupun tanpa pendirian jelas dan pasti bahawa tidak akan ada undang-undang hudud.

Ini adalah cita-cita golongan moderat dalam ‘Middle Malaysia’. Koalisi Pakatan Rakyat yang boleh menang mestilah mempunyai dasar yang jelas yang memenangi kalangan semua kumpulan etnik, terutamanya majoriti orang Melayu, dan di seluruh Sabah dan Sarawak juga.

Saya menyeru kepada semua pemimpin Pakatan Rakyat untuk menyahut cabaran bagi mewujudkan satu gabungan yang boleh menang yang membawa bersama-sama semua kekuatan progresif dalam masyarakat untuk melaksanakan misi bersejarah untuk mengalahkan UMNO secara meyakinkan. Kita berhutang kepada 52% pengundi yang menyokong kita sebuah tanggungjawab untuk memastikan masa depan ekonomi mereka selamat. Dengan kejatuhan harga minyak dan nilai ringgit, Malaysia akan berdapan dengan masa yang sukar. Sebagaimana tidak ada gantian untuk tadbir urus yang baik, tidak ada juga alternatif untuk kerja keras.

Ekonomi, tiada lain selain ekonomi

Tema Persidangan Kebangsaan 2014 – “Berat Sama dipikul, ringan Sama dijinjing” – adalah respons DAP terhadap masalah ketidaksamaan pendapatan, kekurangan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan peluang saksama.

Percanggahan asas dalam ekonomi Malaysia adalah bahawa 2 juta rakyat Malaysia separa mahir dengan pencapaian pendidikan yang tinggi bekerja di luar negera tetapi, 6.7 juta warga asing tidak mahir, yang didokumenkan atau tidak mempunyai dokumen, bekerja di Malaysia.

Hari ini, 7-Eleven pun mengupah pekerja asing untuk menjaga kedai-kedai, manakala kontraktor-kontraktor swasta bergantung kepada mereka untuk membersihkan sampah kita. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mencuba pendekatan yang berbeza melalui Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dengan menamatkan semua kontrak pembersihan dan kutipan sampah dengan kontraktor swasta yang kebanyakannya mengupah pekerja asing tidak mahir dengan gaji rendah.

Sebaliknya MPSP mengupah 2,469 rakyat Malaysia dengan gaji RM1,500 ke atas setiap bulan. Dahulu kontraktor sampah ini, yang mungkin merupakan kroni kerajaan, telah menggunakan pekerja asing demi menambah keuntungan mereka. Walaupun kos kini telah meningkat sebanyak 50%, kita telah berjaya mencipta peluang pekerjaan untuk 2,469 keluarga biasa di Malaysia yang mampu membuktikan bahawa mereka boleh menjadikan Pulau Pinang semakin bersih dan hijau.

Jika ekonomi secara umumnya boleh membayar pekerja pembersih perbandaran atau yang sama dengannya pada kadar RM1,500 setiap bulan, mengapa graduan baru tidak boleh mendapatkan pekerjaan? Di kebanyakan negara-negara lain, walaupun ekonomi bergantung kepada buruh asing yang tidak berkemahiran, kerajaan sendiri tidak akan menggaji pekerja asing tidak mahir.

Kita mahu tunjukkan bahawa kerajaan negeri PR Pulau Pinang adalah model tadbir urus yang baik kerana kita percaya kepada ideal sebuah kerajaan yang sebaik rakyat, terutamanya mereka yang jujur dan rajin. Malah, lebihan belanjawan tahunan dan pujian yang diberikan kepada Pulau Pinang dalam Laporan tahunan Ketua Audit Negara dan juga oleh Transparency International, membuktikan bahawa kerajaan yang bersih boleh melakukan lebih baik berbanding sebuah pentadbiran yang korup.

Lebihan belanjawan setiap tahun tercapai walaupun hampir menggandakan perbelanjaan pembangunan berbanding dengan kerajaan BN sebelum ini dan memperuntukkan hampir 12% daripada belanjawan untuk bantuan wang tunai, kadar tertinggi di kalangan semua kerajaan negeri. DAP telah membuktikan bahawa kita merupakan parti pembangkang yang berkesan dengan suara yang tidak mengenal erti takut dan membela rakyat, tetapi rekod kita di Pulau Pinang, menunjukkan kita juga boleh mentadbir bersama-sama Pakatan Rakyat jauh lebih baik daripada BN.

DAP menggesa harga bahan api yang lebih murah. Walaupun penurunan lebih dari 40% dalam harga minyak antarabangsa dari USD$105-110 setong kepada kurang daripada USD$ 60 setong, harga minyak di Malaysia tidak pula melihat penurunan 40% yang sama. Harga runcit bagi RON97 dan RON95 turun sekadar hanya sembilan sen kepada RM2.46 seliter dan empat sen (RM2.26 seliter) sementara harga diesel pula meningkat sebanyak tiga sen kepada RM2.23 seliter dan ini tidak boleh diterima.

DAP menentang pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015. Pertama, memandangkan lebih 60% daripada penduduk menerima BR1M, kos sosial pendapatan boleh guna yang kian berkurang bagi keluarga berpendapatan rendah akan menjadi sangat tinggi. Kedua, GST sangat mungkin menyebabkan inflasi yang akan mengurangkan penggunaan domestik, dan memperlahankan pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh. Ketiga, pelaksanaan GST mungkin akan menghapuskan sektor perniagaan tidak formal dan perniagaan kecil.

DAP berpendapat bahawa tidak ada keperluan untuk GST jika rasuah, ketidakcekapan dan pembaziran boleh dibasmi seperti yang digariskan dalam Laporan tahunan Ketua Audit Negara. Kroni tidak dihukum, sebaliknya rakyat Malaysia pula yang perlu membayar harga kegagalan BN dalam tadbir urus yang baik.

Penutup

DAP dan PR menawarkan formula alternatif bagi pembangunan negara melalui sebuah parti gagasan yang tidak berasaskan perkauman dan ekstremisme, yang memberi manfaat kepada orang ramai dan bukan kepada kroni individu, menyelamatkan dan bukannya mencuri masa depan anak-anak kita.

Kita tidak boleh bergantung kepada retorik ekstremisme dan perkauman tetapi bekerja dengan kesungguhan bahawa tidak ada gantian untuk tadbir urus yang baik yang bagi meraih kehidupan yang lebih baik untuk diri kita, masa depan yang lebih baik untuk anak-anak kita dan harapan untuk mewujudkan sebuah negara yang maju dengan ekonomi yang bermaruah dan menghormati hak asasi manusia. Sebuah negara di mana kita semua bersolidariti dan berkongsi pahit manis secara bersama.

Berat sama dipikul, ringgan sama dijinjang.
Gunung sama didaki, lurah sama dituruni.
Biar putih tulang, jangan putih mata