Parti Tindakan Demokratik (DAP) adalah anggota komponen gabungan parti politik yang membentuk Pakatan Harapan. DAP juga merupakan anggota Kerajaan Persekutuan yang dipilih oleh rakyat untuk mengambil alih kuasa dalam pilihan raya umum pada 9 Mei 2018.

Ia merupakan kali pertama Malaysia bertukar kuasa pentadbiran dan membentuk sebuah kerajaan baharu sejak Malaya merdeka pada tahun 1957 dan sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Inilah era baru yang digambarkan oleh media massa dan para pemerhati politik sebagai Malaysia Baharu.

Namun, selepas 22 bulan berkuasa, kerajaan Pakatan Harapan tumbang akibat pengkhianatan sekumpulan pemimpin parti-parti komponen yang bersekongkol dengan UMNO dan PAS. Mulai 1 Mac 2020, Pakatan Harapan kembali kepada tiga parti asal – DAP, Amanah dan PKR – sebagai pembangkang bersama dengan kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Warisan di Sabah.

Pada masa yang sama ada yang belum mengenali atau masih keliru dengan DAP. Ini adalah kerana sepanjang hayatnya sebagai pembangkang sejak tahun 1966, DAP sentiasa menjadi mangsa fitnah oleh kumpulan-kumpulan pelampau kaum.

Atas sebab inilah masih ada rakyat Malaysia, khususnya kalangan orang Melayu dan Bumiputera, yang belum benar-benar mengenali, memahami dan menerima DAP sebagai sebuah parti politik yang sah. Ramai belum sedar bahawa DAP sebenarnya adalah:

  • Parti pelbagai kaum yang sah
  • Parti yang terbuka keahlian kepada warganegara Malaysia daripada mana-mana kaum, agama, gender, budaya dan wilayah
  • Parti yang berideologi sosial demokrasi
  • Parti yang berjuang demi keadilan, demokrasi, hak asasi, peluang saksama dan hak-hak saksama yang sah, dan
  • Parti yang mahu membawa rakyat bersama negara ke arah keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran bersama tanpa mengira kaum, agama, gender dan wilayah.    

Kebebasan dan hak

Pemenang Anugerah Nobel, Amartya Sen, yang juga merupakan ahli ekonomi tersohor kerana tumpuannya terhadap warga miskin, telah menulis bahawa pembangunan itu adalah proses perkembangan kebebasan. Beliau telah mengenal pasti 5 jenis kebebasan yang menyumbang ke arah keupayaan seseorang untuk hidup dengan lebih bebas:

  1.   Kebebasan politik
  2.   Kemudahan ekonomi
  3.   Peluang sosial
  4.   Jaminan ketelusan
  5.   Perlindungan keselamatan

Prinsip-prinsip ini menjadi pegangan DAP yang memperjuangkan demokrasi, keadilan, kedaulatan undang-undang, peluang saksama, keadilan sosial, hak asasi, pentadbiran baik, dan kebebasan. DAP menentang rasuah, korupsi, perkauman, salah guna kuasa, kezaliman, dan sekatan hak asasi manusia. Semua prinsip ini terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan yang dicapai oleh pejuang kemerdekaan 1957 dan 1963. Ini adalah pegangan setiap warganegara Malaysia.

Selaras dengan Perlembagaan Persekutuan

Dasar-dasar DAP seiring sejalan dengan Perlembagaan Persekutuan, yang antara lain menegaskan matlamat untuk:

  • Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153;
  • Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan;
  • Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum;
  • Memansuhkan atau meminda semua akta dan undang-undang yang zalim serta melanggar hak asasi; dan 
  • Menjamin semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara Persekutuan dan negeri-negeri, termasuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak di bawah perjanjian Malaysia 1963.