BM 中文 English

Biodata of Lim Kit Siang

Pertama kali dilantik menjadi Ahli Parlimen Kota Melaka pada 1969, Lim Kit Siang adalah salah seorang ahli paling senior Dewan Rakyat yang mulia.

Kecuali pada tahun 1999 – 2004, Kit Siang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di beberapa kawasan di dalam empat negeri:

  • Bandar Melaka (1969 – 1974);
  • Kota Melaka (1974 – 1978);
  • Petaling Jaya (1978 -1982);
  • Kota Melaka (1982 – 1986);
  • Tanjong (1986 – 1999);
  • Ipoh Timur (2004 – 2013);
  • Gelang Patah (2013 – sekarang)

Beliau juga pernah mewakili kawasan berikut sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri:

  • Kubu, Melaka (1974 – 1982)
  • Kampong Kolam, Pulau Pinang (1986 – 1990)
  • Padang Kota, Pulau Pinang (1990 – 1995)

Kit Siang juga adalah Ketua Pembangkang yang paling lama berkhidmat, daripada 1974 – 1999, dan 2004 – 2008.

Menjadi suara lantang rakyat di dalam dan luar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, memperjuangkan cita-cita dan harapan mereka, beliau sudah berulang kali ditindas secara politik oleh pihak lawannya di kalangan kelompok pemerintah.

Pada tahun 1969, Kit Siang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 18 bulan. Sepuluh tahun kemudian, beliau disabitkan kesalahan dengan lima pertuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana mendedahkan jualbeli senjata yang dibuat secara tidak betul antara pihak kerajaan dengan sebuah syarikat Swiss. Beliau sekali lagi menjadi mangsa ISA ketika Ops Lalang pada tahun 1987 dan ditahan tanpa bicara selama 18 bulan.

Kit Siang mula-mula muncul ke pentas politik Malaysia apabila beliau dilantik menjadi Setiausaha Organisasi DAP bagi tahun 1966 sehingga 1969. Pada masa yang sama beliau turut diamanahkan sebagai pengarang akhbar organ parti, The Rocket. Laluan politik beliau berubah apabila dilantik menjadi Setiausaha Agung pada 1969 setelah memangku jawatan itu untuk tempoh singkat ketika negara sedikit bergolak. Beliau memimpin parti dengan kapasiti tersebut sehingga tahun 1999 apabila dilantik menjadi Pengerusi.

Pada tahun 2004, Kit Siang ditugaskan memimpin Suruhanjaya Polisi dan Perancangan Strategik Pusat.

Dalam Pilihanraya Umum 2008, Kit Siang mengekalkan kerusi sebagai Ahli Parlimen Ipoh Timur dan dilantik menjadi Ketua Parlimen DAP.

Kit Siang meninggalkan kerusi parlimen Ipoh Timur untuk bertanding di Gelang Patah yang disebut sebagai kubu kuat BN sewaktu pilihanraya umum tahun 2013. Kerusi tradisi MCA itu ditandingi Dato Haji Abdul Ghani Othman (UMNO) yang juga merupakan Menteri Besar Johor dari 1995 sehingga PRU 2013. Pertandingan antara Kit Siang dengan Abdul Ghani menjadi acuan kepada apa yang dikenali sebagai ‘Pertempuran Gelang Patah’ yang dimenangi Kit Siang dengan majoriti 14,762 undi.

Kit Siang telah menerbitkan 34 buah buku sejak tahun 1978.