Penubuhan Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis bermotif politik dan bertujuan untuk menakuti rakyat

Kami merujuk kepada laporan Utusan Malaysia bertarikh 21 Mac 2014 yang menyatakan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mewujudkan satu unit khas bertujuan memantau aktiviti pengguna media sosial.

Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, unit ini yang dikenali sebagai Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis atau Cyber Investigation Response Centre (CIRC) akan dipayungkan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

Buat masa ini, jenayah siber dikendalikan oleh Unit Jenayah Siber PDRM di bawah JSJK dan juga agensi lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pantauan media sosial mengekang lagi hak bersuara

Pertama sekali, tindakan ini secara tidak langsung akan mengehadkan lagi kebebasan bersuara di negara ini. Seperti yang umum mengetahui, kebebasan bersuara rakyat telah lama dikekang melalui pelbagai undang-undang drakonian seperti Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (Emergency Ordinance, EO).

Walaupun ISA dan EO sudah dimansuhkan, akta-akta gantian baru seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau SOSMA serta Akta Pencegahan Jenayah terus digunakan oleh pemerintah untuk menghalang rakyat, khususnya ahli pembangkang dan aktivis sosial, daripada menyuarakan pandangan secara bebas.

Tambahan pula, media arus perdana seperti akhbar, radio, dan televisyen semuanya dikawal ketat oleh kerajaan pusat. Berdasarkan Indeks Kebebasan Media (Press Freedom Index) 2013 yang diterbitkan oleh agensi antarabangsa Reporters Without Borders, Malaysia menduduki tangga ke-145 di belakang Bangladesh (144) dan Kemboja (143).

Fokus kepada jenayah bukan Facebook

Keduanya, mengapakah PDRM menumpukan perhatian terhadap media sosial seperti Facebook dan Twitter sedangkan masalah jenayah masih berleluasa. Malah, laporan Suruhanjaya Diraja Polis Tun Dzaiddin 2005 juga mengesyorkan agar PDRM meletakkan kempen melawan jenayah sebagai keutamaan.

Sementara itu, masalah kekurangan anggota polis dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) masih belum diselesaikan. Menurut Ketua Polis Negara sendiri, seorang pegawai penyiasat (investigating officer, IO) terpaksa mengendalikan sehingga 19 kes sebulan secara purata, manakala IO di kawasan “hot spot” jenayah terpaksa mengendalikan 20 sehingga 30 kes sebulan. Keadaan ini sangat sangat jauh daripada cadangan Laporan Tun Dzaiddin yang mengesyorkan agar seorang IO sepatutnya mengendalikan hanya lima kes sebulan.

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa JSJ memerlukan 21,300 anggota pada tahun 2004. Angka ini merupakan keperluan 10 tahun lalu, namun pada masa kini PDRM masih lagi belum mencapai sasaran tersebut malah kekurangan sebanyak 11,300 anggota.

Jelas, PDRM masih tidak mempunyai anggota yang mencukupi untuk melawan jenayah. Justeru, tidakkah lebih wajar PDRM menumpukan sumber dan perhatian kepada pemerkasaan JSJ daripada memberi keutamaan kepada mengejar khabar angin di Facebook dan Twitter?

Adakah sekatan media sosial bermotif politik?

Ketiga, persoalan juga timbul sama ada tindakan untuk mengekang media sosial ini bermotifkan politik. Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu, Barisan Nasional telah mengalami kekalahan teruk di kalangan segmen masyarakat yang mempunyai capaian media sosial yang baik, seperti di kawasan bandar dan orang muda.

Hal ini kerana media sosial di Malaysia telah menjadi alat yang memudahcarakan penyampaian maklumat tanpa penapisan dan kawalan oleh kerajaan, tidak seperti media arus perdana yang berfungsi sebagai lidah propaganda Barisan Nasional semata-mata.

Maka, adakah tindakan untuk memantau media sosial ini bertujuan untuk menakut-nakutkan penyokong Pakatan Rakyat serta memperluaskan kawalan kerajaan terhadap penyebaran maklumat?

Kesimpulan

Kami ingin menegaskan bahawa setakat ini, tiada keperluan untuk menubuhkan Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis, lagi-lagilah apabila SKMM telah ditubuhkan untuk menyiasat sebarang kesalahan siber.

Oleh itu, kami menyeru PDRM untuk menghentikan langkah tersebut dan memberikan keutamaan sumber dan kakitangan terhadap kempen melawan jenayah yang menggugat keselamatan rakyat.

Steven Sim Chee Keong
Ahli Parlimen Bukit Mertajam
Ahli Parlimen Bukit Bendera
Kenyataan media bersama oleh Steven Sim Chee Keong dan Zairil Khir Johari di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 1 April 2014