http://dapmalaysia.org Forward Feedback
Ahmad Shabery Cheek
wajar meminta maaf kepada Teresa Kok dan Lim Kit Siang kerana
tuduhan-tuduhan liar yang beliau lemparkan terhadap kedua-dua orang
wakil rakyat itu. Lau
Weng San (Petaling Jaya, Selasa):
Saya membaca kenyataan Ketua Penerangan UMNO
Terengganu Ahmad Shabery Cheek yang diterbitkan oleh Utusan
Malaysia pada 25hb Disember 2005 yang bertajuk “Gambar
bogel: Teresa wajar bayar ganti rugi aib” dengan perasan kesal
dan kecewa kerana Ahmad Shabery terus memutar-belit peristiwa sebenar.
Dalam kenyataannya, Ahmad Shabery Cheek menyatakan
bahawa Teresa bukan saja perlu memohon maaf tetapi wajar membayar
ganti rugi atas aib yang diterima oleh wanita Melayu itu dan
keluarganya.
Kenyataan Ahmad Shabery Cheek ini jelas menunjukkan
bahawa sehingga sekarang Ahmad Shabery Cheek masih belum dapat
membezakan apa itu benar dan silap.
Sebelum ini, Ahmad Shabery Cheek pernah mengeluarkan
kenyataan bahawa tindakan Teresa dan Lim Kit Siang yang mendedahkan
peristiwa ini di Parlimen bermaksud untuk menjatuhkan maruah polis dan
mereka patut dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan
Rakyat kerana tindakan mereka ini telah memesong Dewan apabila wanita
dalam klip itu terbukti ialah seorang wanita Melayu dan bukannya
seorang wanita China.
Teresa Kok telah menyanggah tuduhan liar ini kerana
beliau tidak pernah mengatakan bahawa mangsa video klip itu ialah
seorang wanita China atau Melayu.
Polis yang perlu minta maaf, bukan Teresa.
Apa yang memang jelas kepada kita ialah
anggota-anggota polis menyalahgunakan kuasa dalam perkara ini secara
khususnya dan PDRM secara amnya yang perlu memohon maaf kepada wanita
berkenaan (sekiranya kedua-dua pihak ini didapati bersalah oleh
Suruhanjaya Siasatan Bebas) berasaskan dua sebab seperti di bawah:
Pertama, polis gagal dalam
memastikan prosedur semak badan dipatuhi dengan ketat. Beberapa orang
anggota kanan PDRM, sama ada OCPD Petaling Jaya Penolong Komander Mohd
Hazam Abdul Halim atau Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Musa
Hassan mengatakan bahawa ketuk ketampi hanya dihadkan kepada mereka
yang disyaki melakukan jenayah dan kesalahan yang melibatkan dadah
sahaja.
Manakala pada masa yang sama, Lans Korporal Wan Zawati
alias Zalina Wan Ismail, iaitu anggota polis wanita dalam video klip
berkenaan memberitahu Suruhanjaya Siasatan Bebas yang diketuai oleh
Tun Dzaiddin bahawa beliau mengarahkan semua tahanan lokap untuk
berketuk-ketampi kerana tindakan disiplin akan diambil terhadapnya
jika mana-mana tahanan lokap membawa barang larangan ke dalam lokap.
Ini setidak-tidaknya menunjukkan ketidak-konsistenan polis dalam
menjalankan tugas mereka.
Kedua, pasukan polis gagal
menjaga disiplin dalam pasukan polis sehingga ada anggota polis yang
boleh mengintai proses semak badan itu, malahan merakamkannya dan
menyebarkannya yang mana ini merupakan punca pengaiban mangsa
berkenaan.
Hujah Ahmad Shabery tidak bernas.
Oleh itu, hujah-hujah Ahmad Shabery Cheek selama ini
adalah tidak bernas berlandaskan dua sebab berikut.
Pertama, Ahmad Shabery
Cheek juba mendakwa bahawa Teresa Kok dan ketua Pembangkang Parlimen,
Lim Kit Siang telah menjatuhkan maruah polis sedangkan mereka yang
menjatuhkan maruah polis dan mengaibkan air muka negara ialah
anggota-anggota polis yang tidak profesional. Demi menjaga maruah
negara, rakyat dan kerajaan perlu mengetahui kesilapan anggota-anggota
polis supaya langkah-langkah pembetulan dapat dilaksanakan dengan
pengetahuan dan input daripada orang ramai.
Dalam pada itu, Ahli-ahli Parlimen yang merupakan
wakil suara rakyat dalam Parlimen, badan legislatif yang terunggul di
negara kita memainkan peranan terpenting dalam pada itu. Adalah tidak
sesuai untuk mana-mana Ahli Parlimen untuk cuba menyapu segala masalah
ini di bawah tikai.
Kedua, Ahmad Shebery Cheek
bukan sahaja gagal mengambil tahu fakta-fakta yang diterangkan tadi,
malahan terus meminta Teresa Kok untuk membayar ganti rugi terhadap
aib besar yang ditanggung oleh mangsa itu, sedangkan mereka yang
merakam dan menyebarkan klip video ini ialah anggota-anggota polis
yang jelas telah melanggari peraturan PDRM. Kenyataan Ahmad Shabery
ini tidak selari dengan peranannya sebagai wakil rakyat yang mana
kenyataan-kenayataan mesti berpandukan fakta yang betul.
Dengan kenyataan-kenyataan beliau yang memesongkan
selama ini, Ahmad Shabery Cheek wajar meminta maaf kepada Teresa Kok
dan Lim Kit Siang kerana tuduhan-tuduhan liar yang beliau lemparkan
terhadap mereka.
(27/12/2005)
*
Lau Weng San, Setiausaha
Penerangan DAP Selangor |