http://dapmalaysia.org Forward Feedback
Tangguhkan Arahan Larangan Kegiatan Menyembelih Ayam di Pasar Awam
oleh
Fong Po Kuan (Parlimen, Isnin):
Saya menggesa YAB Menteri Besar Negeri Perak, Datuk Seri Mohd Tajol
Rosli Ghazali menangguhkan arahan larangan menyembelih ayam dan itik
di pasar dengan segera sehingga satu penyelesaian bersama bagi
kepentingan penjual ayam dan orangramai dipersetujui. Saya telah
menerima aduan daripada penjual ayam itik di pasar Batu Gajah dan
Pasir Pinji telah menerima arahan daripada pihak Majlis Daerah dan
Majlis Bandaraya Ipoh masing-masing mengarahkan mereka menghentikan
pemyembelihan dan pemprosesan ayam di pasar pada 14hb April ini. Mereka
sekarang di dalam kerisauan akan sumber pendapatan mereka akan
terjejas. Menurut laporan, Persatuan Penternak dan Peniaga Ayam
Negeri Perak sebulat suara turut tidak bersetuju dengan arahan
larangan pihak Kerajaan Negeri tersebut. Menurut
arahan tersebut, mereka dikehendaki berbuat demikian di atas arahan
Kerajaan Negeri Perak bagi mengawal merebaknya virus selsema burung.
Penjual ayam dikehendaki memindahkan kerja-kerja menyembelih dan
memproses ayam ke tempat khas. Saya ingin
menegaskan bahawa pihak saya dan saya juga percaya penjual ayam dan
itik ini menyokong keperluan langkah-langkah mencegah merebaknya virus
selsema burung tetapi tindakan tergesa-gesa serta tanpa perancangan
teliti dan rapi daripada kerajaan negeri Perak ini amat tidak
munasabah dan menyulitkan penjual ayam serta kemungkinan besar akan
menimbulkan masalah pengawalan virus ini di masa kelak. Pertama,
buat masa ini, tidak ada sebarang kes selsema burung berlaku. Dengan
itu,ia memberi masa kepada pihak Kerajaan Negeri untuk membuat satu
perancangan langkah mencegah dengan rapi dan teliti. Arahan tersebut
yang mengkehendaki mereka menghentikan kegiatan menyembelih di pasar
dan berpindah ke kawasan khas, tetapi, kecewanya, pihak Kerajaan
Negeri tidak menyediakan kawasan khas tersebut. Kedua, jika
penjual ini melakukan aktiviti menyembelih di tempat pilihan
masing-masing, ia berkemungkinan akan menyebabkan pihak berkuasa lebih
sukar untuk mengawal merebaknya virus selsema burung. Tambahan,
sistem saliran yang tidak elok, kerja-kerja membersihkan tahi-tahi
ayam dan sisa sembelih akan menjejaskan kebersihan longkang
persekitaran. Ketiga,
sejak mulanya berlaku selsema burung, sumber pendapatan penjual ayam
dan itik ini telah terjejas. Permintaan daging ayam telah turun
dengan mendadak. Jika mereka dilarang menyembelih ayam di pasar,
beban kos ke atas mereka akan meningkat. Kos pengangkutan ddan
tenaga pekerja akan bertambah. Tambahan kesegaran daging ayam juga
akan terjejas. Keempat,
penjual ayam dan itik ini adalah individu yang (direct contact) dengan
ternakan ini. Oleh itu, mereka juga risaukan kesihatan mereka dan
ahli keluarganya. Saya
percaya niat baik dan sebarang langkah-langkah mencegah penularan
virus selsema burung yang diambil oleh pihak Kerajaan Negeri akan
mendapat kerjasama pihak saya dan juga penjual ayam jika satu
perancangan yang rapi dan teliti di ambil.
(10/04/2006)
*
Fong Po Kuan, Ahli Parlimen Kawasan Batu Gajah |