http://dapmalaysia.org Forward Feedback
Dasar Ekonomi Baru masih diperlukan? (Parlimen, Rabu):Perdana Menteri
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi disifatkan sebagai seorang jurutera
sosial yang bagus dan RMK 9 menjadi bukti bahawa beliau seorang
“Political inclusivist par excellence” sebab beliau telah dapat
memberi Dasar Ekonomi Baru, yang dilancarkan oleh mendiang Tun Abdul
Razak, satu nafas dan nyawa yang baru dengan melanjutkan tarikh
pencapaian kepada tahun 2020, iaitu tahun sasar Malaysia berharap
menjadi sebuah Negara maju, satu wawasan yang dibawa oleh Tun Dr
Mahathir Mohamad. Perdana Menteri telah
menamakan pendekatan ini sebagai MISI NASIONAL yang merupakan satu
rangka kerja bagi agenda pembentukan masyarakat Malaysia yang
benar-benar maju yang berasaskan kepada pengagihan kekayaan yang lebih
saksama dan penyertaan semua kumpulan masyarakat supaya dapat
mengukuhkan perpaduan dan mengurangkan polarisasi kaum. Sebagai pengamatan awal,
Misi Nasional lebih merupakan satu harapan Perdana Menteri untuk
meninggalkan legacy sebagai pemimpin yang boleh mencapai dua matlamat
penting iaitu matlamat Dasar Ekonomi Baru dan Wawasan 2020 sekaligus
pada tahun 2020, matlamat-matlamat yang gagal dicapai oleh Perdana
Menteri sebelumnya. Ganjarannya amat besar
sekali bagi beliau iaitu beliau akan menjadi pemimpin UMNO yang dapat
menrealisasikan agenda Melayu untuk mengawal sekurang-kurang 30
peratus equiti kekayaan dalam satu tempohmasa Malaysia sudah mencapai
status negara maju dan pada masa yang sama mengukuhkan lagi ketuanan
Melayu ke atas Negara ini. Apabila ganjarannya besar,
juga dengan cabarannya sebab Perdana Menteri sebelumnya telah gagal
mencapai matlamat-matlamat ini dalam erti kata yang sebenar. Sebagai sebuah parti
politik berfahaman sosial demokrasi, DAP boleh setuju dengan matlamat
untuk mewujudkan keseimbangan sosio-ekonomi melalui usaha- usaha
mengembangkan dan mengagihkan semula pertumbuhan ekonomi Negara pada
masa akan datang secara beransur melalui penyertaan secara aktif dan
langsung semua pihak dalam proses penjanaan pertumbuhan ekonomi. Tetapi kami tidak akan
merestui perlanjutan satu dasar berdiskrimisai mengikut ras dan agama
seperti Dasar Ekonomi Baru yang selalu disifatkan sebagai “world’s
most notorious system of positive discrimination” kerana apa yang kami
lihat bukan sekadar diskriminasi dalam bidang ekonomi sahaja tetapi
ianya berlaku dalam bidang politik, agama, pendidikan, budaya dan
sosial. Penyelewangan dalam
pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru ini telah menyebabkan dua generasi
rakyat Malaysia merasa teranaiya dan menuntut keadilan dan merasa hak
dan kepentingan mereka telahpun dikorbankan, masing-masing dengan
alasan yang berlainan. Walau bagaimanapun, kita
semua boleh setuju bahawa pelaksanaan yang kurang baik dan pemantauan
yang kurang berkesan telah menyebabkan ketirisan dan penyelewangan di
mana manfaat hanya dinikmati dengan lebih banyaknya oleh sekumpulan
kecil sahaja. Dasar seperti ini sememangnya akan gagal apabila ada
pemimpin yang masih anggap sudah memadai apabila beberapa jutawan
dapat dihasilkan manakala majoriti rakyat yang menjadi sasaran tidak
dapat menikmati faedahnya sebagai kumpulan tersasar. Perdana Menteri sendiri
telah mengakui bahawa Dasar Ekonomi Baru perlu diperbaiki kerana dasar
ini telah menyemaikan orang Melayu bukan dengan semangat keusahawanan
yang diharapkan tetapi sebaliknya ia telah melahirkan golongan yang
terlalu bergantung kepada pemberian kontrak kerajaan dan kroni
kapitalist adalah nama yang diberikan kepada golongan ini yang
mempunyai pertalian politik dengan orang yang boleh buat keputusan. Semakin ramai rakyat
Malaysia, baik orang Melayu mahu pun orang bukan Melayu sudah
menyoalkan sama ada Dasar Ekonomi Baru masih diperlukan. Anwar Ibrahim, bekas
Timbalan Perdana Menteri merasa segala bentuk “affirmative action”
perlu dihapuskan dan Tok Guru Nik Aziz juga setuju sebab menurutnya
agama Islam tidak membenarkan diskriminasi kaum. Kami rasa kecewa RMK 9
telah melanjutkan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru sebagai satu terus
yang penting kerana pelaksanannya sememangnya akan mengagalkan apa
yang sudah dicapai dan menimbulkan soal sama ada kita boleh
menghasilkan modal insan yang terbaik untuk bersaing dalam era
globalisasi ini. Pendik kata, Dasar
Ekonomi Baru dihubungkaitkan dengan masalah ketidakseimbangan sosial,
pengagihan pendapatan yang tidak adil dan amalan rasuah yang memeluasa.
Tambahan pula, ia sinonim dengan masalah perhubungan kaum, ketuanan
kaum dan agama, asimilasi budaya dan bahasa dan apa yang tidak boleh
kita membanggakan. Nampaknya pelanjutan
matlamat equiti dalam Dasar Ekonomi Baru sebagai satu teras RMK 9
tidak secocok dengan teras-teras yang lain, lebih buruknya tidak akan
menyumbang kepada proses pembinaan Negara, Wawasan 2020 dan Bangsa
Malaysia. Misalnya, teras kedua
untuk memupuk “Minda Kelas Pertama” serta melihat rakyat sebagai asset
Negara yang paling berharga tidak mungkin mencapai sasaran sepenuhnya
selagi ada sistem quota berlandaskan kepentingan etnik dan bukan
berdasarkan kepada sistem meritokrasi. Pembangunan modal insan
dan anjakan minda dan pemikiran warga merupakan salah cabaran terbesar
tetapi pemimpin kita masih tidak anjakan minda mereka yang masih ingin
melaksanakan sistem quota yang lebih mementingkan pengisian mengikut
etnik daripada menghasilkan modal insan yang diperlukan. Begitu banyak
sumber kewangan kerajaan dibelanjakan tetapi kadangkala hasilnya tidak
dapat memenuhi kehendak Negara. Amatlah sukar untuk
memupuk “Minda Kelas Pertama” selagi dasar-dasar kita masih dibelenggu
oleh pertimbangan etnik. Apabila Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan,
kerajaan telah memberi jaminan bahawa tidak ada satu kumpulan etnik
perlu merasa tertinggal atau dirampas hak-hak dan kepentingan.
Masalahnya ia menghasilkan satu “zero sum game” yang menyebabkan
setiap kumpulan etnik merasa mereka masih belum mendapat keadilan yang
sewajarnya. Hakikatnya Dasar Ekonomi Baru dan penyelewangan dalam
pelaksananya menjadi antithesis kepada usaha untuk memupuk Negara yang
mempunyai “Minda Kelas Pertama”. Teras ketiga untuk
menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi masih diperlukan kerana
pada hakikatnya Dasar Ekonomi Baru telah gagal mencapai
matlamat-matlamat yang ditetapkan dan tambahan pula ia telah
menyumbangkan kepada masalah perpaduan nasional dan polarisasi kaum
masih wujud sehingga sekarang. Amat dikesali bahawa
Perdana Menteri mengambil pendirian bahawa keadaan ketidakseimbangan
jika tidak ditangani, diibaratkan duri dalam daging dan seterusnya
beliau memberi amaran bahawa ia akan menjadi punca yang boleh
menggugat pepaduan kaum dan kestabilan Negara. Bukankah lebih baik untuk
Perdana Menteri menyoalkan bagaimana dengan kuasa politik, jentera
kerajaan, peruntukan kewangan, dasar-dasar yang melindung dan segala
kemudahan di samping meletak halangan kepada kumpulan etnik yang lain,
matlamat-matlamat membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat
masih dianggap tidak dapat berjaya. Sebelum mendapat jawapan
yang menyakinkan mengapa usaha-usaha lampau yang terbukti masih tidak
berjaya, Perdana Menteri sanggup menggunakan pendekatan yang sama
iaitu Misi Nasionalnya yang berharap menangani jurang sosio-ekonomi
melalui pertumbuhan kek ekonomi yang semakin membesar, tanpa menafikan
hak mana-mana kumpulan. Di manakah kepastian
bahawa pertumbuhan kek ekonomi boleh menjadi cukup besar sehingga ia
boleh mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti
Bumiputera di samping memastikan hak lain-lain kumpulan tidak
dinafikan? Strategi Misi Nasional ini nampaknya tidak boleh “reconcileable”. Untuk mencapai matlamat
ini, kerajaan sudah sedia mengambil tindakan yang amat tegas seperti
menetapkan bahawa 70 peratus semua procurement dan kontrak dikhaskan
untuk kaum bumiputra. Apakah impak strategi ini
kepada kumpulan yang lain dan apakah impaknya kepada pembangunan
Negara secara amnya. Kita dapat lihat bahawa
Misi Nasional akan menyebabkan peratusan pemilikan ekuiti bagi
masyarakat Cina menjunam dari 39 peratus pada kini kepada 27 peratus
menjelang tahun 2020 yang membabitkan pemindahan capital yang bernilai
beratus-ratus billion ringgit. Pemindahan dan
pengurangan capital ini akan membawa impak yang amat besar kepada
masyarakat Cina. Selain daripada itu,
apakah peranan yang akan terus dimainkan oleh equiti asing dalam
menjana pembangunan Negara dan menyediakan peluang pekerjaan dalam
sektor pembuatan. Apakah dalam meningkat
equiti bumiputra, akan menyebabkan equiti asing dikurangkan dalam
jangka masa yang panjang dan sejauh manakah perubahan dan pemindahan
ini akan menjejaskan usaha kita menarik pelaburan langsung asing dan
seterusnya menjejaskan kedudukan Negara dalam World’s Competitive
Index. Apakah kerjaan sudahpun
mengkaji sejauh mana penekanan semula tentang soal equiti akan
menyebabkan foreign dan domestic capital flight dari Malaysia kepada
Negara-negara jiran yang mungkin menawarkan iklim pelaburan yang lebih
menarik. Perdana Menteri dalam
memberi penekanan semula kepada matlamat mencapai sasaran yang
ditetapkan tetapi belum dicapai sepenuhnya juga harus mendekati
pemasalahan yang kritikal iaitu selagi orang Melayu boleh menjual
saham dan equiti untuk mengaut keuntungan secara pantas, equiti 30
peratus tidak akan dicapai walaupun dilanjutkan. Andaikata bumiputra
Melayu memegang saham-saham yang diagihkan kepada mereka dan bukan
menjual saham-saham ini untuk keuntungan pantas, equiti bumiputra
sudahpun tercapai pada tempohmasa yang ditetapkan. Mengikut satu kajian kes
bertajuk “Penswastaan Pelabuhan-Pelabuhan: Satu Kajian Kes Malaysia”
oleh Associate Professor Malcolm Tull dan Dr James Revely dari Murdoch
University mendapati hampir 41 peratus saham-saham dalam syarikat
penswastaan yang dipegang oleh Melayu yang kaya telahpun bertukar
tangan. Ini merupakan 12.9 peratus equiti. Ini bermakna apabila
diambilkira pada keseluruhannya equiti bumiputra yang terdiri dari
equiti individu, institusi, agensi amanah, syarikat-syarikat nominees
dan juga saham-saham yang sudah bertukar tangan, jumlah equiti
Bumiputra pada tahun 1990 telah sampai 40 peratus. Satu kepincangan yang
telah menggagalkan usaha untuk membangunkan Negara melalui pelaksanaan
projek-projek pembangunan adalah ketirisan dan kebocoran dan RMK 9
juga tidak akan dikecualikan daripada menghadapi masalah yang sama.
Akibat berlakunya korupsi, rent-seeking ataupun pembaziran, RMK 9
mungkin berjaya sekadar mewujudkan satu kelas bumiputra yang kaya yang
bertambah kaya dan meminggirkan lagi golongan bumiputra dan bukan
bumiputra yang tidak berada. Selain daripada isu-isu
ini, Perdana Menteri juga telah memberi tekanan kepada dasar
penswastaan sebagai satu jentera untuk meningkatkan equiti bumiputra
dan jelasnya pemilikan equiti bumiputra dalam syarikat konsessi
penswastaan telah mencapai 51.7 peratus berbanding dengan equiti bukan
bumiputra 8.9 peratus dan pelabur asing 8.2 peratus. Walaupun dasar
penswastaan telah mencapai matlamat untuk melaksanakan projek-projek
kemudahan asas akan tetapi saya menyeru kerajaan untuk menambahbaik
dasar penswastaan supaya kepentingan rakyat tidak tergadai. Kita tidak ingin melihat
satu keadaan di mana oleh kerana dasar penswastaan menjadi jentera
penting untuk membantu bumiputra, segala kepincangan boleh diketepikan
sehingga perjanjian konsessi membebankan kerajaan dan rakyat yang
menggunakan kemudahan asas ini. Kita lihat beberapa
contoh di mana syarikat konsessi yang mempunyai pertalian politik
dengan pemegang kuasa politik dipilih walaupun syarikat berkenaan
tidak mempunyai cukup kelayakan untuk mengendalikan projek penswastaan.
Apa pula dengan RMK 9 dari segi pengagihan kontrak-kontrak pembangunan
sehingga Perdana Menteri perlu menafikan dakwaan bahawa hampir 80
peratus dari kontrak RMK 9 akan ditawarkan kepada kroni-kroni beliau. Dasar penswastaan akan
terus menimbulkan banyak kontroversi. Kita tidak mahu melihat satu
keadaan di mana projek-projek penswastaan berprofil tinggi diambilalih
semula oleh kerajaan atau diselamatkan melalui “bailouts”. Contohnya
bukan kurang, seperti MAS, Projek Bakun, Indah Water Konsortium,
Pernas, DRB-Hicom dan Perwaja telah diambil semula tetapi setiap kali
kerajaan tidak telus tentang jumlah wang rakyat yang dikorbankan untuk
mengambilalih hutang-hutang entiti penswastaan. Di Malaysia,
penswastaan kadangkala berakhir dengan gejala “privatization of
profits, nationalization of debts.” Walaupun dalam RMK 9,
kerajaan bercadang untuk memberi penekanan semula dan mengadakan
strategi baru kepada dasar penswastaan, saya rasa kalau kerajaan ingin
benar-benar telus untuk mengatasi segala kepincangan, ia harus
mengkaji semula dan meminda Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang mengandungi
peruntukan seperti “government tender documents and any other
documents or materials which ministers and public officials may
arbitrarily deem secret or confidential.” Lebih dahsyat lagi ialah
berkenaan dengan keputusan untuk mengkelaskan satu dokumen sebagai
rahsa rasmi tidak boleh dicabar dalam mahkamah. Kita menyambut baik dasar
baru untuk mengadakan tender terbuka bagi projek-projek penswastaan
yang akan datang dan sehubungan ini saya ingin menyeru kerajaan
mengkaji semula perjanjian konsessi yang berat sebelah dan membatalkan
sistem “first come, first serve” dalam penawaran sebarang projek. Ini
termasuk Projek Lingkaran Jalan Luar Pulau Pinang. Di samping itu, saya
menyeru kerajaan melaksanakan projek Jambatan Kedua Pulau Pinang dan
Projek Monorel dari peruntukan RM200 billion dalam tempoh RMK 9 dan
bukan melalui PFI (Private Financial Initiatives). Saya boleh memerhatikan
bahawa RMK 9 mempunyai pelbagai teras, strategi dan program yang ingin
membawakan agenda Melayu tetapi dipakejkan sebagai agenda bumiputra
dan agenda bangsa Malaysia dan diberikan nama Misi Nasional. Ia semestinya akan
membawa perubahan yang banyak kepada Malaysia, apa yang kita minat
ialah apakah perubahan yang dicorakkan akan membantu proses pembinaan
Negara kita atau sebaliknya melemahkan proses ini. Saya merasa khuatir
melihat perjalanan proses pembinaan Negara yang sudah menyimpang. Kita
ingin melihat supaya rakyat Malaysian diutamakan, bukan orang Melayu,
Cina, India, Kadazan dan Iban diutamakan. Kita ingin melihat Malaysian
dapat menang dalam pertandingan dengan dunia, bukan rakyat Malaysian
berlawan sama rakyat Malaysian. Kita perlu anjakan minda dan perubahan
pandangan dan ikuti dengan strategi dan program yang boleh mencapai
matlamat Malaysian First iaitu Malaysia unggul berbanding dengan dunia
yang lain dan rakyatnya unggul kerana bangsa Malaysian diutamakan
dahulu. Cabarannya ialah
bagaimana kita melakukannya. Apabila Perdana Menteri mengambilalih
pucuk pemerintahan Negara ini, rakyat Malaysia dari semua kumpulan
etnik dan kelas sosial merasa tidak sabar-sabar untuk melihat apakah
perubahan yang akan dibawa itu, sama ada ia merupakan kesinambungan
kepada keadaan sedia ada ataupun mengubah konsensus pelbagai kaum yang
mewujudkan rangkakerja pada tahun 1957. Kita
berharap Misi Nasional akan membawa Malaysia dengan dasar-dasar
inclusion yang memupuk toleransi kaum yang selama ini merupakan
landasan kuat dalam proses pembinaan Negara dan pertumbuhan ekonomi.
DAP akan memastikan kami akan memainkan peranan kami untuk memastikan
segala percubaan untuk menggugatkan ciri-ciri asasi tertubuhnya
Malaysia akan dibantah dengan sekeras-kerasnya.
(19/04/2006)
*
Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh |