http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance
Taman Asuhan Kanak-kanak & Tadika Harus Diadakan Dalam Kementerian Yang Sama

 


Speech

by Teresa Kok


 

(Parliament, Friday): Taman Asuhan Kanak-kanak merupakan institusi yang amat diperlukan dalam dunia moden ini dengan peningkatan wanita yang berpendidikan tinggi dan wanita berrmahtangga yang mempunyai kerjaya sendiri.  Saya merasa kesal bahawa keperluan untuk mengadakan lebih taman asuhan kanak-kanak dan tadika anjuran kerajaan tidak dipentingkan, kerana isu yang begitu penting ini malah tidak termaktub dalam Rancangan Malaysia Ke-9.

 

Kekurangan taman asuhan kanak-kanak dan tadika yang mampu dibayar oleh para ibubapa, khususnya golongan yang papa-miskin pun menyebabkan ramai wanita yang berkahwin terpaksa berhenti kerja selepas mereka beranak. Ini merupakan satu bentuk pembaziran dari segi tenaga kerajaan.

 

Selain itu, kekurangan taman asuhan kanak-kanak dan tadika yang bermutu juga menyebabkan kita terpaksa mengimport beribu-ribu pembantu rumah asing wanita dari Indonesia, Filipina dan negara-negara jiran yang lain.  Keadaan ini pun menyebabkan wang negara kita dialir ke negara lain, di samping itu, kemunculan beribu-ribu pembantu rumah asing ini juga telah mendatangkan banyak masalah sosial kepada negara kita.

 

Saya mendapati rang undang-undang ini merupakan rang undang-undang yang kosmetik,  kerana Akta Taman Asuhan Kanak-kanak ini tidak menghendaki agensi kerajaan ataupun korporasi besar untuk menubuhkan taman asuhan kanak-kanak bagi pekerja wanita mereka. Ini menunjukkan Kementerian gagal dari segi mempromosi penubuhan taman asuhan kanak-kanak di kalangan agensi kerajaan, selain itu, daripada jawapan Parlimen yang terima daripada kementerian pada tahun lepas, saya difahamkan bahawa kementerian hanya telah menubuhkan 10 taman asuhan kanak-kanak di seluruh negara sehingga hari ini, bukankah angka ini terlalu kecil dan tidak sejajar dengan populasi wanita yang bekerja di negara kita?

 

Soalan saya ialah, apakah kementerian mempunyai rancangan untuk menambahkan bilangan taman asuhan kanak-kanak anjuran kerajaan di seluruh negara sebagai langkah untuk membantu para ibu yang bekerja, khususnya ibu tunggal yang papa-miskin?

 

Saya mempunyai beberapa soalan terhadap rang undang-undang ini:

 

i) Mengikut sistem sekarang, taman asuhan kanak-kanak adalah untuk mendidik kanak-kanak di bawah umur 4 tahun manakala tadika adalah untuk kanak-kanak yang berumur 4 dan atas. Masalahnya ialah taman asuhan kanak-kanak didaftar di bawah kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, manakala tadika didaftar di bawah kementerian pendidikan.

 

Soalannya ialah, kenapakah kedua-dua institusi untuk kanak-kanak ini dipisahkan dan dikehendaki untuk berdaftar di dua kementerian yang berlainan? Kenapakah pengurus taman asuhan kanak-kanak tidak dibenarkan untuk mengurus tadika pada waktu yang sama? Keadaan ini pun akan menyusahkan ibubapa yang mempunyai anak-anak yang berbeza umur, kerana mereka terpaksa menghantar anak di bawah umur 4 tahun ke taman asuhan kanak-kanak di satu tempat manakala anak yang berumur 4 tahun ke atas ke tadika di tempat lain.  Saya mencadangkan kerajaan akan membenarkan pengurus taman asuhan kanak-kanak dan tadika yang berpengalaman mengintegrasi taman asuhan kanak-kanak dan tadika, kerana kedua-dua institusi ini adalah memberi penjagaan dan pendidikan pra-sekolah kepada kanak-kanak, dan ini akan memudahkan ibubapa yang mempunyai kerjaya sendiri.

 

ii) Rang undang-undang ini adalah untuk membenarkan pembaharuan lesen dalam tempoh 5 tahun dan fi dibayar kepada kementerian setiap 5 tahun. Masalahnya ialah, kerajaan tempatan sekarang seperti DBKL hanya membenarkan pembaharuan lesen bagi taman asuhan kanak-kanak setiap 3 tahun. Jadi, sekiranya lesen sesebuah taman asuhan kanak-kanak dihentikan oleh majlis perbandaran manakala lesennya dengan kementerian masih sah, apakah taman asuhan kanak-kanak ini masih dibenarkan untuk beroperasi? Soalan saya ialah, kenapakah kementerian tidak mengadakan tempoh lesen taman asuhan kanak-kanak yang selaras dengan kerajaan tempatan untuk mengelakan masalah seperti ini daripada berlaku?

 

iii) Bagi fi yang dibayar semasa pendaftaran pula, berapakah fi yang akan dibayar oleh pengurus taman asuhan kanak-kanak dengan kementerian? Apakah kementerian akan menghendaki pengurus taman asuhan kanak-kanak untuk membayar fi yang terlampau tinggi sehingga RM1,500 seperti apa berlaku pada klinik tempatan yang dihendaki untuk membayar fi yang tinggi kepada Kementerian Kesihatan?

 

iv) Dalam rang undang-undang ini, ketua pengarah dan pegawai Kebajikan Masyarakat diberi kuasa untuk mengelak (ataupun power to seal) taman asuhan kanak-kanak yang tidak berdaftar. Pada pandangan saya, kuasa untuk mengelak tidak harus dihadkan kepada taman asuhan kanak-kanak yang tidak berdaftar sahaja, tetapi ia harus diperluaskan kepada taman asuhan kanak-kanak yang melakukan kecuaian dan kesalahan. Misalnya sekiranya kematian kanak-kanak ataupun kebakaran berlaku dalam sesebuah taman asuhan kanak-kanak, kementerian haruslah membatalkan lesen ataupun mengelak taman asuhan kanak-kanak tersebut. Sekiranya taman asuhan kanak-kanak yang melakukan kecuaian yang serius ingin memohon lesen daripada kementerian semula, ia juga tidak diharus untuk diberi kepada pengusaha yang sama sebagai langkah untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak kecil dan ibubapa mereka.

 

v) Walaupun pegawai kementerian diberi kuasa untuk mengelak taman asuhan kanak-kanak yang tidak berdaftar, kementerian juga harus mengadakan garispanduan semasa menjalankan pengelakan. Ia tidak harus dijalankan sebagaimana serbuan yang dilakukan oleh kerajaan tempatan terhadap setinggan dan penjual VCD cetak rompak, kerana ia melibatkan kanak-kanak. Sebarang serbuan ataupun pengelakan terhadap taman asuhan kanak-kanak harus dijalankan dengan cara yang berhati-hati dan tidak menakutkan kanak-kanak dalam taman asuhan kanak-kanak berkenaan.

 

vi) Akhirnya, saya ingin tanya macam manakah kementerian memantau kualiti taman asuhan kanak-kanak? Apakah kementerian mempunyai rancangan untuk mengklasifikasikan taman asuhan kanak-kanak kepada beberapa gred, sebagai langkah untuk menggalakkan taman asuhan kanak-kanak yang berkualiti.

 

(25/08/2006)


* Teresa Kok Suh Sim, MP for Seputeh and National Publicity Secretary

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: