http://dapmalaysia.org Forward Feedback
Young offenders figures shocking
_________________________________________________________________
Ucapan
perbahasan
peruntukan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
(Parliament, Tuesday) : Datuk Pengerusi, kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat merupakan satu kementerian yang amat penting. Kebanyakan isu yang dirangkumi di bawah kementerian ini merupakan isu dan agenda yang paling penting di negara-negara maju, khususnya negara yang mementingkan dasar kebajikan sosial. Kementerian ini juga adalah amat penting untuk meralisasikan objektif “Masyarakat Penyayang” yang termaktub dalam Wawasan 2020, tetapi sedihnya, peruntukan yang diberi kepada kementerian ini selalu adalah jauh lebih kurang daripada kementerian-kementerian yang lain. Keadaan ini menunjukkan kerajaan pusat kita sebenarnya tidak begitu mementingkan isu yang berkaitan dengan wanita dan kebajikan sosial. Di sini, saya ingin membangkitkan beberapa isu untuk perhatian YB Menteri: 1) Tahanan remaja dalam penjara Saya diberitahu bahawa kebanyakan pusat pemulihan akhlak bagi penjenayah remaja sudahpun penuh dan tidak dapat muat orang baru lagi, sehingga sekarang terdapatnya 550 tahanan remaja di Penjara Sungai Buluh dan 450 tahanan remaja di Penjara Kajang, dan juga terdapat segolongan tahanan remaja dikurung di Pusat Tahanan Simpang Renggam. Kebanyakan tahanan remaja ini adalah di bawah umur 18 tahun, kesalahan mereka termasuk kesalahan kecil seperti menjual VCD cetak rompak, mat rempit dan pergaduhan, sehingga jenayah serius seperti merompak, merogol dan sebagainya. Kebanyakan tahanan remaja di penjara ini menunggu perbicaraan atas kes mereka. Oleh kerana proses mahkamah kita adalah begitu perlahan, oleh itu ramai di antara mereka terpaksa merengkuk di dalam penjara berbulan-bulan dan malah bertahun-tahun. Mereka tidak diberi kaunseling dan tidak diberi peluang untuk menyertai apa-apa bentuk pendidikan. Sekiranya mereka dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, maka mereka terpaksa merengkuk lebih lama di dalam penjara dan bergaul dengan penjenayah lain yang lebih berpengalaman. Dengan itu, apabila mereka keluar dari penjara, mereka pun ‘dilatih’ menjadi penjenayah yang dahsyat ataupun ‘hard core criminal’. Oleh itu, saya ingin menyeru pihak kementerian memberi keprihatinan kepada tahanan remaja di penjara kita sekarang dan bekerjasama dengan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri untuk menangani masalah tahanan remaja yang semakin meningkat tersebut. Selain daripada membina lebih pusat pemulihan akhlak bagi penjenayah remaja ini, adalah penting bagi kementerian untuk memberi pendidikan dan kaunseling kepada penjenayah remaja bawah umur ini. 2) Perlaksanaan hukuman khidmat masyarakat yang menggantikan pemenjaraan dalam Kanun Tatacara Keseksaan Datuk Pengerusi, selain itu, adalah penting bagi kementerian untuk memberi lebih tumpuan terhadap program khidmat masyarakat atas pesalah muda yang termaktub dalam pindaan terbaru dalam Kanun Tatacara Keseksaan (Criminal Procedure Code) yang akan dilaksanakan pada 1 Januari 2007. Saya faham tentang masalah untuk melaksanakan program khidmat masyarakat ini kerana ini bukan sahaja perkara baru bagi kementerian Pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, tetapi ia juga melibatkan kerjasama dengan kementerian yang lain dan memerlukan lebih pegawai untuk melaksanakan program khidmat masyarakat bagi penjenayah remaja ini, oleh itu, saya mencadangkan supaya kementerian mengadakan kerjasama yang lebih erat dengan kementerian pendidikan, jabatan penjara dan kerajaan tempatan, supaya kita boleh sama-sama menyempurnakan program khidmat masyarakat demi membantu penjenayah remaja untuk bertaubat dan balik ke pangkuan masyarakat. 3) Kementerian harus membina lebih rumah perlindungan bagi golongan kurang bernasib Saya ingin menyeru pihak kementerian memberi tumpuan untuk mengadakan pusat perlindungan bagi golongan yang kurang bernasib, seperti rumah orang tua, rumah orang cacat, rumah pesakit HIV AIDS, rumah wanita yang beranak tanpa nikah-kahwin (unwed mothers) dan sebagainya. Kita mendapati rumah-rumah kebajikan ini selalunya dibina dan diselenggarakan oleh sektor swasta dan NGO, memandangkan golongan yang kurang bernasib ini telah semakin meningkat, jadi adalah penting bagi kementerian untuk mengadakan rumah perlindungan kerajaan untuk memenuhi permintaan masyarakat tersebut. 4) Pengemis yang semakin bertambah di kawasan bandar Datuk Pengerusi, kita mendapati pengemis di kawasan bandar telah semakin meningkat, selalunya kita lihat pengemis yang cacat, tanpa kaki dan tanpa kanan meminta sedekah di Kuala Lumpur dan kawasan bandar. Terdapatnya khabar angin yang mengatakan bahawa pengemis-pengemis tersebut adalah merupakan mangsa yang diperalatkan oleh sindiket. Saya minta pihak kementerian menghulurkan bantuan kepada mangsa pengemis tersebut. 5) Masalah pendatang asing dan pelarian wanita dari segi kos perubatan Pendatang asing dan pekerja asing dikenakan kos perubatan yang lebih tinggi apabila mereka minta rawatan perubatan di hospital kerajaan. Pendapatan pendatang dan pekerja asing selalunya jauh lebih rendah daripada kita semua, tetapi adalah tidak adil bagi mereka, khususnya golongan pendatang asing wanita. 6) Setinggan yang tidak berkahwin gagal mendapat rumah PPR kerajaan tempatan Saya menghargai usaha YB Menteri yang memberi perlindungan kepada ibu tunggal, tetapi saya juga berharap YB Menteri boleh memberi perlindungan kepada orang yang bujang dan pilih tidak berkahwin. Dalam operasi “setinggan sifar” yang dilancarkan oleh kerajaan sekarang, setinggan yang bujang dinafikan hak untuk peruntukan rumah PPR, ini adalah amat tidak adil bagi mereka. Jadi saya minta pihak kementerian juga boleh memperjuangkan nasib golongan yang tidak berkahwin tersebut. (05/12/2006)
|