http://dapmalaysia.org Forward Feedback
Gugurkan Pertuduhan Terhadap Lima Orang
Mahasiswa USM
oleh DAPSY Penang (Penang, Rabu):
Kami, Pemuda DAP Pulau Pinang, mendesak
supaya pihak pentadbir Universiti Sains Malaysia (USM) menggugurkan
pertuduhan tanpa syarat dengan serta merta terhadap lima orang
mahasiswa-mahasiswi di bawah Kaedah USM (Tatatertib Pelajar) 1999.
Kelima-lima pelajar tersebut telah
diminta untuk menghadiri satu prosiding tatatertib pada 27hb Februari
2006 (Isnin) untuk menjawab pertuduhan secara berasingan iaitu
melakukan kesalahan mengedar risalah atau memberi kenyataan kepada
wartawan akhbar tanpa kelulusan Naib Canselor terlebih dahulu.
Hukuman berat boleh dikenakan ke atas
mereka termasuk menggantung status sebagai pelajar untuk tempoh
tertentu dan hukuman maksimum ialah dipecat dari Universiti.
Pertuduhan ke atas kelima-lima pelajar
USM tersebut adalah bercanggah dengan hak kebebasan bersuara yang
dijamin oleh Perisytiharan Antarabangsa berkenaan Hak Asasi Manusia
1948 dan Perlembagaan Persekutuan. Kami ingin menarik perhatian umum kepada
petikan wawancara Naib Canselor USM, Prof Datuk Dzulkifli Abdul Razak
yang diterbitkan di mukasurat 4 akhbar New Straits Times (NST)
bertarikh 20hb Februari 2006 yang berbunyi antara lain: " with the Universities and University
colleges Act hanging over their heads, students are afraid to
articulate their thoughts" Pendapat Naib Canselor USM tersebut
sebenarnya adalah selari dengan apa yang dititah oleh Yang di-Pertuan!
Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail pada 7hb Februari
2006. Dalam ucapan
perasmian Persidangan Antarabangsa Pentadbir Universiti-universiti
yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara, baginda bertitah,
antara lain, "University administrators must be
prepared to listen to ideas from others although these might not be in
line with their aspirations.! Silent culture is not a healthy culture
in an institution of higher education"
seperti yang dilaporkan oleh Bernama.
Pertuduhan ke atas lima orang mahasiswa adalah bercanggahan dengan titah oleh Yang di-Pertuan
Agong yang pernah menjadi Canselor USM. Malahan, Prof Naib Canselor
juga mengakui Akta Kolej dan Kolej Universiti 1971 merupakan satu
bebanan ke atas pelajar sehingga mereka takut untuk menyatakan
pendapat mereka. Kami berpendapat universiti adalah sebuah
tempat untuk melatih pemuda-pemudi kita untuk membaca, berfikir,
mengeluarkan pendapat serta bersosial. Mahasiswa hendaklah diberi
ruang lingkup luas. Sebarang kekangan birokrasi harus dielakkan sama
sekali. Kaedah 12(1) Kaedah USM (Tataterib
Pelajar) 1999 menyebut: Tiada pelajar¡.. tanpa kebenaran
terdahulu Naib Canselor, boleh menerbitkan, membahagi-bahagikan atau
mengedarkan apa-apa dokumen-dokumen di dalam Kampus atau di luar
kampus
Kaedah 15 pula adalah berkenaan
sekatan representasi berhubungan dengan Universiti. Kami berpendapat kedua-dua kaedah
tersebut adalah ultra vires (bercanggahan) dengan Artikel 10
Perlembagaan Persekutuan kerana mengenakan sekatan yang terlampau luas
dan tidak sah dari segi undang-undang terhadap kebebasan bersuara.
Adakah ini bermaksud seseorang mahasiswa
perlu mendapatkan kebenaran Naib Canselor setiap kali dia menulis emel,
mengemaskinikan halaman web atau blog? Kegiatan yang disebutkan tadi
adalah terjumlah kepada penerbitan, pembahagian, pengedaran dokumen
serta representasi berhubungan dengan Universiti. Ini sememangnya
kerenah birokrasi tahap tertinggi dan merupakan satu bebanan atas
kepala mahasiswa seperti yang disebutkan oleh Prof Naib Canselor.
Sekira kita meneliti ungkapan Prof Naib Canselor di NST, beliau
sememangnya memberikan kebenaran tersirat dan menyahut titah Yang
dipertuan Agong. Dengan ini, kami, Pemuda DAP Pulau Pinang,
menuntut supaya 1. kelima-lima pelajar
tersebut dilepaskan daripada pertuduhan tanpa syarat dan dengan
serta-merta. 2. Kaedah USM (Tatatertib
Pelajar) 1999 dan Akta Kolej dan Kolej Universiti 1971 digantikan
dengan perundangan baru demi memberikan nafas baru kepada
universiti-universiti awam di negara ini. Perundangan yang baru harus
berorientasikan kebebasan akademik dengan penekanan untuk melahirkan
budaya membaca, berfikir, berkomunikasi supaya mahasiswa kita dapat
bersaing dengan mahasiswa universiti yang bertaraf dunia.
(23/02/2006)
* Pemuda Sosialis DAP Penang,
DAPSY |