Surat cadangan berkenaan 8 Strategi Utama Untuk Menjayakan Matlamat
Rasuah Sifar Di Malaysia yang diserahkan oleh Setiausaha Agung DAP,
Lim Guan Eng pada Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan
Rakyat Mengenai Integri,13.02.2006, bertempat di Parlimen
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
13 Februari 2006.
Y.B. Tan Sri Bernard Giluk Dompok
(Menteri di Jabatan Perdana Menteri)
Pengerusi
Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti,
Bilik Jawatankuasa 2,
Parlimen Malaysia,
Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen
50680 Kuala Lumpur.
DENGAN TANGAN
Yang Berhormat-Yang Berhormat,
8 Strategi Utama Berdasarkan
Penguatkuasaan, Pencegahan Dan Pendidikan(3P) Untuk Menjayakan
Matlamat Rasuah Sifar Di Malaysia.
Dengan hormatnya, kami percaya
hanya sebuah masyarakat membina dan maju yang berintegriti, bermoral
dan beretika dapat meningkatkan daya saing dan daya tahan negara. Oleh
itu parti DAP bersedia memberikan sokongan kepada Pelan Integeriti
Nasional (PIN) sekiranya ia dapat menyelamatkan Malaysia daripada
gejala rasuah yang mengancam keselamatan, kemakmuran dan nilai-nilai
murni masyarakat kita. Kami ingin ketengahkan 8 strategi utama
berdasarkan penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan(3P) untuk
menjayakan matlamat rasuah sifar di Malaysia.
Memang diakui umum gejala
rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa semakin bertapak di
Malaysia baik dalam pihak pentadbiran kerajaan sebagai penerima rasuah
ataupun pihak korporat dan awam sebagai pemberi rasuah. Selepas
kemenangan besar parti BN dalam pilihanraya besar 2004, YAB Perdana
Menteri telah menggubal PIN bagi meningkatkan
integriti dan etika, memerangi rasuah dan aktiviti tidak beretika yang
lain.
Bagi tempoh lima tahun pertama
iaitu antara tahun 2004 hingga 2008, PIN telah menetapkan 5 sasaran
yang dikenali sebagai Tekad 2008 adalah:
1.
mengurangkan
gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa secara berkesan;
2.
meningkatkan
kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam, dan mengatasi
karenah birokrasi;
3.
meningkatkan
tadbir urus korporat dan etika perniagaan;
4.
memantapkan
institusi keluarga; dan
5.
meningkatkan
kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.
Kita sudah masuk tahun kedua dan
pencapaian yang diperolehi amat tidak memuaskan. PIN tidak memenuhi
atau membuat sebarang kemajuan ke atas 5 sasaran di bawah Tekad 2008
ini. Contohnya, sasaran menaikkan skor dalam Indeks Persepsi Rasuah
yang digubal oleh Transparency International daripada 5.2 mata yang
dicatat oleh Malaysia pada tahun 2003 menjadi sekurang-kurangnya 6.5
mata menjelang tahun 2008, serta mengubah kedudukan ke-37 daripada 133
negara menjadi sekurang-kurangnya kedudukan ke-30 memang merosot bila
kedudukan Malaysia jatuh ke tangga 39 pada tahun lepas.
Institut Integriti Malaysia (IIM),
yang telah ditubuhkan sebagai jentera pelaksana PIN, tidak boleh
dipersalahkan keseluruhannya. Ini adalah kerana skop IIM adalah
terlalu terhad dan berfungsi semata-mata sebagai sebuah agensi
koordinasi dan pemantau. IMM memainkan peranan “think-tank” dalam
aspek pendidikan yang perlukan masa yang agak panjang dan mungkin
tidak berhasil sekiranya pihak kerajaan tidak menunjukkan iltizam dan
azam politik dan ekonomi untuk menghapuskan gejala rasuah yang
merupakan satu penyakit barah atau AIDS dalam sistem pentadbiran
negara.
Untuk menjayakan matlamat rasuah
sifar di Malaysia, kami ingin menggariskan 8 strategi utama merangkumi
penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan yang berteraskan iltizam dan
azam politik dan ekonomi kepimpinan negara.
1.
Pihak pentadbiran mesti
menunjukkan kepimpinan melalui teladan dengan menghindarkan diri
daripada menyalahgunakan jentera dan wang kerajaan untuk faedah dan
tujuan politik seperti menafikan peruntukan pembangunan dan
elaun-elaun tambahan kepada pihak pembangkang atau menyalahgunakan
wang rakyat untuk projek-projek mahal “gajah putih” dan pergi makan
angin di luar negara.
2.
Badan Pencegah Rasuah (BPR)
harus bebas, mempunyai kuasa pendakwaan dan akauntable hanya ke
Parlimen untuk mengelakkan sebarang persepsi campur tangan politik
bila ia diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri seperti sekarang;
3.
Menubuhkan satu Tribunal Rasuah
agar orangramai boleh merujuk kepada Tribunal ini mengambil tindakan
sekiranya Badan Pencegah Rasuah atas alasan-alasan tertentu yang susah
difahami enggan berbuat demikian atau tidak mahu menjawab tentang
laporan yang dibuat;
4.
Menggubal satu Akta Perlindungan
Pemberi Maklumat (Whistle-blower Act) untuk melindungi keselamatan
pemberi maklumat amalan rasuah dan juga memberikan ganjaran yang
sewajarnya kalau perlu;
5.
Teguran-teguran dan pendedahan
penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan oleh Ketua Audit Negara
mestilah disusuli dengan tindakan dan Ketua Audit Negara harus
diberikan kuasa menghukum mana-mana jabatan yang melakukan kesalahan;
6.
Menubuhkan satu Ombudsman untuk
menangani perkara-perkara berkaitan dengan amalan-amalan tidak sihat
yang tidak tertakluk di bawah takrifan rasuah serta meningkatkan urus
tadbir pentadbiran dan pihak korporat demi menjaminkan tanggungjawab
sosial korporat;
7.
Mengadakan satu sistem kawalan
dalam yang rapi dan berkesan dengan menubuhkan satu Jawatankuasa
Integriti di semua Kementerian dan jabatan kerajaan supaya sebarang
penyalahgunaan kuasa dan amalan tidak sihat dapat dikesan dengan
segera dan seterusnya dicegah sebelum ia berlaku; dan
8.
Memperkenalkan gejala rasuah
sebagai satu perkara wajib dalam sekolah-sekolah rendah, menengah dan
universiti tentang bahayanya rasuah untuk mendidik generasi muda
mengasingkan dan menjauhi diri daripadanya.
Kepimpinan Melalui Teladan
Kerajaan BN harus menghormati
prinsip Perlembagaan di mana undang-undang dilaksanakan secara sama
rata ke atas semua rakyat Malaysia. Peruntukan pembangunan kecil
tahunan sebanyak RM 50,000 – RM 100,000 untuk setiap DUN dan RM
500,000 setiap kawasan Parlimen harus diberikan kepada semua wakil
rakyat baik parti kerajaan ataupun pembangkang.
Oleh kerana tidak ada sebarang
penelitian atau audit yang rapi, banyak penyelewengan dan
penyalahgunaan peruntukan pembangunan kecil kawasan dan elaun
perjalanan telah berlaku. Contohnya YAB Ketua Menteri Melaka dan
ADUN-ADUN Negeri Melaka telahpun menyalahgunakannya untuk tujuan dan
menfaat politik dan peribadi seperti berkempen di pilihanraya kecil,
menghadiri mesyuarat parti, mengadakan sidang akhbar dengan pemberita,
mengadakan jamuan makan, membeli hamper Hari Raya, pergi luar negeri
makan angina, membeli lounge suit dan telefon bimbit.
Wakil rakyat BN Melaka diberikan
RM 5,000 setiap orang untuk adakan rumah terbuka pada hari perayaan di
mana perbelanjaan tidak diaudit langsung. Wakil rakyat yang bukan Ahli
EXCO dilantik sebagai Timbalan EXCO dan diberikan bayaran RM 2,000
sebulan sungguhpun tidak termasuk dalam Anggaran Belanjawan Negeri dan
jawatan tersebut tidak diperakukan dalam undang-undang ataupun
Perlembagaan Negeri.
Pimpinan tertinggi kerajaan BN
harus mengamalkan prinsip kepimpinan melalui teladan menghukum sesiapa
yang melakukan kesalahan tanpa kira kedudukan politiknya sekiranya
beriltizam dan ikhlas membenteras rasuah. Penghakiman Mahkamah Rayuan
yang dijatuhkan ke atas kes Metramac Corporation Bhd (Metramac) pada
bulan Januari 2006 ini adalah peluang yang paling ketara untuk
menunjukkan prinsip ini. Metramac mendapat tender membina, mengurus
dan mengutip Tol Cheras.
Mahkamah Rayuan melalui Hakim
Gopal Sri Ram telah memerhati tiga perkara dalam skendal Metramac ini.
Pertama, bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin telah
menyalahgunakan kuasanya dengan memihak kepada dua kroninya, Anuar
Othman dan Datuk Halim Saad sehingga membolehkan kedua-duanya
mengambil alih syarikat itu. Kedua, Tun Daim memain silap mata bila
menyatakan kerajaan tidak ada wang membayar wang ganti rugi tetapi
boleh membayar RM 756.7 juta sebaik sahaja syarikat itu diambil alih
oleh kedua-dua kroninya. Ketiga, kedua-dua kroni yang menjadi pengarah
syarikat telah mencuri dan melakukan pecah amanah dengan mengeluarkan
RM 32.5 juta daripada syarikat iu.
Pemerhatian tersebut oleh
Mahkamah Rayuan adalah sungguh serius sekali. Ahli Parlimen Cheras YB
Tan Kok Wai yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana
membantah kutipan tol di Cheras telah membuat laporan polis berkaitan
dengan pemerhatian Mahkamah Rayuan. Malangnya tidak ada sebarang
tindakan diambil. Sekiranya pemerhatian Mahkamah Rayuan pun tidak
cukup untuk mengambil tindakan, ilitzam dan kepimpinan melalui teladan
untuk membenteras rasuah memang menimbul tanda-tanya.
BPR Mesti Bebas Dan
Akauntable Kepada Parlimen
Sememangnya Perlembagaan
Persekutuan dan Akta Pencegahan Rasuah 1997 harus dipinda bukan sahaja
untuk memberikan taring kepada BPR supaya tidak dikenali sebagai
harimau tanpa gigi dan mengelakkan tanggapan umum bahawa BPR
beroperasi lebih untuk menutup daripada mencegah rasuah. Selagi BPR
masih di bawah naungan Jabatan Perdana Menteri, tidak bebas dan tidak
mempunyai kuasa pendakwaan, ia tidak berkesan mencegah rasuah
Saya telah menerima banyak aduan
bahawa BPR tidak bertindak malah tidak menjawab pun ke atas laporan
yang dibuat ke atasnya. Malah saya sendiri mempunyai pengalaman yang
sama bila laporan-laporan says kepada BPR tidak diambil perhatian
langsung. Sebelum tahun 2000, memang ada tindakan susulan oleh BPR ke
atas laporan saya. Tetapi sepanjang 5 tahun kebelakangan ini saya
telah membuat 5 laporan mengenai pentadbiran kerajaan negeri Melaka
kepada BPR Melaka, BPR tidak pernah menghubungi saya untuk mendapat
maklumat lanjut khususnya berkaitan dengan laporan rasuah ke atas YAB
Ketua Menteri Melaka.
Lapuran terkini terhadap
YAB Datuk Seri Hj. Mohd Ali bin Mohd Rustam
adalah pada tahun ini berkaitan dengan tabung misteri kebajikan
kesihatannya sebanyak RM 908,242.33 yang dikumpulkan daripada orang
awam sejak 19.12.2001 untuk membantu pesakit-pesakit miskin tetapi
disalahgunakan untuk membiayai kos rawatan hospital ahli keluarganya.
Seperti yang lazim dilakukan oleh saya, laporan kepada BPR dilampirkan
dengan semua dokumen berkaitan.
Usaha mendapat maklumat lanjut
tentang perkembangan terkini tentang siasatan baik di peringkat negeri
mahupun di ibupejabat menemui jalan buntu sahaja.
Sebaliknya, BPR Ibupejabat telah
meminta keterangan saya berkaitan satu kes yang tidak ada kena mengena
dengan saya. Saya telah mengeluarkan kenyataan tentang hutang-hutang
judi sebanyak RM 7 juta oleh bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Osu Sukam
kepada Ritz Casino di London. Saya mempersoalkan di mana bekas Ketua
Menteri Sabah mengumpulkan harta sebegitu besar untuk berjudi
berpuloh-puloh juta ringgit di London dan BPR harus siasat samada
kekayaan ini dikumpulkan semasa beliau menjadi Ketua Menteri Sabah
selama dua tahun.
Selepas kenyataan saya disiarkan
di suratkhabar, BPR pula dengan serta-merta bergegas ke Melaka
mendapat keterangan saya menanyakan di mana saya terima maklumat ini.
Sikap sedemikian seakan-akan menandakan BPR lebih berminat di mana
saya memperolehi maklumat amalan rasuah daripada mengambil tindakan ke
atas mereka yang lakukan rasuah.
BPR wajib melindungi pemberi
maklumat bukan menyusahkan mereka, dan bertanggungjawab memaklumkan
kemajuan siasatan samada diteruskan ataupun ditutup. Oleh itu suatu
Akta Perlindungan Pemberi Maklumat harus digubal untuk menggalakkan
pendedahan amalan-amalan rasuah ini.
Akhirnya, adalah dikesali
kerajaan tidak membenarkan atau BPR tidak berani mengambil tindakan ke
atas pemimpin-pemimpin UMNO yang digantung daripada memegang jawatan
UMNO kerana terlibat dalam politik wang. Kegagalan BPR bertindak atas
satu kesalahan yang jelas memenuhi takrifan rasuah di bawah Akta
Pencegahan Rasuah 1997 memang membuktikan betapa besarnya tugas BPR
memulihkan keyakinan rakyat terhadap keberkesanan dan integritinya.
Sebagai rumusan, PIN tidak akan
mencapai hasrat mewujudkan integriti dan etika sebagai budaya hidup
dan kerja rakyat, sistem pentadbiran kerajaan dan swasta sekiranya
kerajaan sendiri dianggap main-main dan sekadar “melepaskan batuk di
tangga”. Pihak DAP memang bersedia membantu dan bekerjasama dengan YAB
Perdana Menteri tetapi selagi kelapan-lapan strategi yang digariskan
di atas tidak dilaksanakan, agak sukar untuk melihat macam mana Tekad
2008 boleh tercapai.
Sekian terima kasih.
Yang benar,
LIM GUAN ENG
SETIAUSAHA-AGUNG
|