http://dapmalaysia.org Forward Feedback
DAPSY akan mengadakan Bengkel kerja yang bertujuan untuk membincangkan serta menetapkan draf untuk rang undang-undang pemansuhan AUKU yang akan dibawa ke dalam parlimen .
oleh
Thomas Su (Parlimen, Selasa):
Seperti yang kita sedia maklum, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)
yang diperkenalkan sejak 1971 amat menyekat kebebasan para mahasiswa/i
dan ahli akademik yang berkhidmat di institusi-institusi pengajian
tinggi awam.
Sebagai tindakan pertama, DAPSY akan mengundang pertubuhan-pertubuhan
mahasiswa, pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia, Majlis Peguam dan
sebagainya untuk menghadiri bengkel kerja yang akan diadakan pada 11
Februari 2005 dan bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Selangor. Ini
adalah juga menyahut saranan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Shafie
Salleh untuk mengkaji peruntukan-peruntukan yang sedia terkandung
dalam AUKU.
Namun, tuntutan-tuntutan kami lebih menjurus kepada pemansuhan AUKU
yang sedia ada, di mana pindaan terhadap peruntukan-peruntukan yang
tertentu sahaja seperti yang dicadangkan oleh sesetengah pihak adalah
tidak mencukupi. Sejak diperkenalkan, AUKU telah menyekat kebebasan
para mahasiswa/i untuk berucap, berkumpul dan berpersatuan secara aman,
lebih-lebih lagi kebebasan ahli-ahli akademik untuk mengeluarkan
pandangan dan pendapat yang kritis terhadap kerajaan juga amat
terkongkong.
Perlantikan Naib Canselor dan Timbalan-Timbalan Naib Canselor yang
terus diputuskan oleh Menteri Pengajian Tinggi bukanlah satu tatacara
yang dialu-alukan. Pada kebiasaannya, kriteria-kriteria perlantikan
adalah lebih berkisar kepada keputusan politik dan bukannya
berdasarkan kelayakan dan pencapaian akademik seseorang. Hakikatnya,
tahap pencapaian akademik universiti-universiti telah jatuh secara
mendadak, di mana kedudukan Universiti Malaya telah jatuh dari tempat
ke-89 sehingga tempat ke-169, Universiti Sains Malaysia pula terkeluar
daripada 200 universiti terbaik di dunia, mengikut tinjauan Times
Higher Education Supplement (THES) yang diumumkan tahun lepas.
Bengkel kerja yang disebutkan tadi bertujuan untuk membincangkan serta
menetapkan draf untuk rang undang-undang pemansuhan AUKU yang akan
dibawa ke dalam parlimen nanti. Kita berharap bahawa rang
undang-undang tersebut dapat disiapkan dengan secepat mungkin supaya
dapat dibentangkan dalam sesi parlimen yang bermula dalam bulan Mac.
Ini adalah percubaan yang ulung kali lagi murni diadakan. Bagi kami dan para mahasiswa/i yang sering dihantui oleh
ketakutan terhadap AUKU, bengkel ini amatlah penting dan bolehlah
dianggap sebagai suatu anjakan paradigma dalam gerakan pemansuhan AUKU.
Untuk berpuluh-puluh tahun yang lepas, perbincangan terhadap AUKU
hanya tertumpu kepada persoalan-persoalan sama ada untuk meminda atau
memansuhkan AUKU. Kali ini, fokus kita bukan lagi tertumpu kepada
persoalan-persoalan tersebut, malah bergorak langkah kita ke arah
perundangan yang melibatkan kerja-kerja pemansuhan AUKU.
Selain daripada pertubuhan-pertubuhan yang tersebut di atas, kita juga
akan mengundang pimpinan dari Pemuda BN, terutamanya wakil-wakil
Pemuda UMNO, Pemuda MCA, Pemuda Gerakan dan Pemuda MIC untuk sama-sama
berusaha ke arah mengembalikan universiti-universiti kepada imej yang
asal. Susulan daripada bengkel kerja, DAPSY juga akan melancarkan
gerakan kesedaran terhadap AUKU, seperti menganjur ceramah, seminar,
forum dan sebagainya di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Sesiapa yang berminat untuk menyertai bengkel kerja, sila
berhubung dengan ibu pejabat DAP (No. Telefon: 03-79578022/8127)
(03/01/2006)
* Thomas Su
Keong Siong, Naib Ketua DAPSY merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri bagi
Pasir Pinji |