Memorandum kepada YAB Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Keselamatan Dalam Negeri oleh
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada 06.01.2006 di Putrajaya.
------------------------------------------------------------------------------------
YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi,
Menteri Keselamatan Dalam Negeri,
5 Januari 2006.
Kementerian Keselamatan Dalam Negeri,
Blok D1, Parcel D, Putrajaya.
DENGAN TANGAN
Yang Amat Berhormat Datuk Seri,
Memaksa Ketua Pengarang Dan
Ketua Pengarang Eksekutif China Press Dipecat Berlawanan Dengan
Jaminan Kebebasan Akhbar Dan Keinginan Membenarkan Rakyat Malaysia
Bebas Menyuarakan Pandangan Mereka.
========================================================================
DAP ingin membantah tindakanYAB
memaksa Ketua Pengarang China Press Encik Chong Choong Nam dan Ketua
Pengarang Eksekutif China Press Encik Wang Zhao Ping meletakkan
jawatan mereka dengan serta-merta kerana kesilapan pada edisi malamnya
pada 23 November 2006 bahawa wanita bogel dalam skendal ketuk ketampi
adalah seorang warga negara China. Di samping itu China Press juga
meminta maaf atas kesilapan yang dilakukan.
Tindakan sedemikian telah
menaikkan perasaan tidak puashati di kalangan pemberita dan juga
masyarakat China. Ia jelas berlawanan dengan jaminan YAB wujudnya
kebebasan akhbar dan keinginan membenarkan rakyat Malaysia bebas
menyuarakan pandangan mereka. Ia juga mempunyai kesan besar kepada
budaya demokrasi dan kebebaskan akhbar kerana bukan sahaja rakyat akan
takut menyuarakan pandangan berbeza dengan kerajaan tetapi pihak
suratkhabar akan takut mencetak sebarang berita yang tidak
menyenangkan kerajaan.
Sekiranya suratkhabar milikan
parti pemerintah pun tidak terlepas daripada tindakan sedemikian apa
lagi untuk suratkhabar lain? Mulai hari ini mana-mana Ketua Pengarang
dan Ketua Pengarang Eksekutif yang tidak mahu letak jawatan akan
menjadi patuh dan setia kepada parti pemerintah.
Lagipun Timbalan Perdana Menteri
YAB Datuk Seri Najib Tun Razak pun telah menyatakan pada 17 Disember
2005 bahawa pada awalnya beliau juga anggap perempuan tersebut adalah
warga negara China. Akan tetapi beliau tidak anggap kerakyatan atau
bangsa itu penting kerana isu ini bersangkut dengan hak asasi manusia
dan bukannya latar belakang mangsa tersebut. Sekiranya Datuk Seri
Najib pun rasanya kerakyatan mangsa itu tidak penting mengapa perlu
bertindak begitu keras ke atas China Press. Adakah suratkhabar bahasa
lain turut akan dikenakan tindakan kerana menyiarkan berita bahawa
mangsa tersebut dipercayai warganegara China?
DAP berpendapat kesilapan China
Press ini tidak berniat jahat dan memadai sekiranya China Press
meminta maaf secara terbuka tanpa memaksa siapa-siapa letak jawatan.
Jelas sekali tindakan ini samada secara sengaja atau tidak akan
menggertak dan menakut-nakutkan China Press dan suratkhabar lain untuk
akur dan patuh kepada kehendak parti pemerintah kelak.
Mengapa Datuk Noh Omar Boleh
Meminta Maaf Tanpa Dipecat Bila Melakukan Kesilapan Mendesak Orang
Asing Balik Kampung Kalau Anggap Polis Malaysia Zalim?
Sekiranya Timbalan Menteri
Keselamatan Dalam Negeri Datuk Noh Omar boleh meminta maaf atas
kesilapan mendesak orang asing balik kampong kalau anggap polis
Malaysia zalim, mengapa tidaknya China Press? Mengikut prinsip yang
sama ke atas China Press, Datuk Noh Omar sepatutnya dipecat dengan
segera. Kegagalan melaksanakan layanan sama ke atas China Press dan
Datuk Noh Omar akan memberikan gambaran wujudnya “double-standards”.
Oleh itu, adalah perlunya YAB
menjelaskan sebab musabab tindakan sedemikian dikenakan ke atas China
Press yang tidak dilaksanakan ke atas Datuk Noh Omar yang telahpun
ditegur oleh YAB sendiri. Adalah perlu tindakan ke atas kedua-dua
orang kanan China Press dikaji semula demi memelihara kebebasan akhbar
dan menegakkan akauntabiliti.
Di samping itu, layanan
berpilih-pilih ini tertera bila suratkhabar yang menyiarkan berita
50,000 pelancong warganegara China tidak balik dan hilang di Malaysia
tetapi tidak menyiarkan berita sebanyak 80,000 pelancong Jepun atau
3.8 juta pelancong Singapura hilang di Malaysia. Mengapa tidak ada
sebarang tindakan diambil ke atas suratkhabar berkenaan yang
menyiarkan berita palsu ini?
Memansuhkan Keperluan Memohon
Permit Cetak Secara Tahunan, Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak Dan
Penerbitan 1984.
Kami ingin meminta YAB
menunjukkan komitmen ke atas kebebasan akhbar dengan memansuhkan
keperluan pihak suratkhabar memohon permit cetak secara tahunan, Akta
Hasutan dan Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984. Bekas Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyatakan bahawa majoriti
terbesar BN dalam sejarah sebanyak 92% di Parlimen telah menyebabkan
ramai takut bersuara.
Tindakan ke atas China Press
hanya akan memperkukuhkan dakwaan Tun Dr Mahathir. Sekiranya YAB ingin
membuktikan Tun Dr Mahathir salah dan majoriti terbesar 92% tidak
menghalang sesiapa memberikan pandangan berbeza, adalah perlu YAB
menjaminkan kebebasan akhbar dan demokrasi dengan memansuhkan
undang-undang tersebut dan menarik balik tindakan ke atas kedua
pengarang kanan China Press. Sekian terima kasih.
Yang benar,
LIM GUAN ENG
SETIAUSAHA-AGUNG |