http://dapmalaysia.org Forward Feedback
Kerajaan Malaysia Digesa Untuk Memainkan Peranan Gigih Dalam Konflik
Israel Palestin
Perbahasan Usul Tergempar
(Parlimen ,
Selasa):
Datuk yang diPertua, saya ingin bangun menyokong usul
tergempar yang dibawa oleh YB Kubang Kerian berkenaan dengan penahanan
anggota kabinet kerajaan Palestin dan krisis Israel Palestin yang
semakin meruncing. Pertempuran di antara Israel dan Palestin yang
telah berlarutan berpuluh-puluh tahun ini telah menjadi semakin
meruncing pada hari-hari kebelakangan ini. Pada hari Isnin, Perdana Menteri Israel Ehud
Olmert menolak sebarang perundingan dengan pihak Palestin dan tentera
Israel akan terus menyerang Gaza secara offensive. Pihak Palestin pula
enggan mengumumkan apa-apa maklumat tentang keadaan terbaru askar
Israel Gilat Shalit atas alasan keengganan Israel untuk melepaskan
1500 tahanan Palestin mengikut tarikh tamat yang ditetapkan oleh
mereka. Sekarang, Israel malah telah
menangkap lebih satu pertiga daripada anggota kabinet kerajaan
Palestin oleh pihak Israel. Pertempuran di antara Israel dan
Palestin secara berdarah dan ketegangan di antara mereka sekarang
adalah amat merisaukan. Beberapa negara-negara Islam di Timur Tengah
telahpun mencari jalan untuk cuba menyelesaikan konflik terbaru di
antara kedua-dua negara ini, dan banyak kerajaan di dunia telahpun
membuat kenyataan berkenaan dengan isu ini, jadi tibalah masanya bagi
Parlimen kita dan kerajaan kita untuk mengadakan satu pendirian
berkenaan dengan krisis Israel dan Palestin yang terbaru ini.
Wakil Palestin di PBB Riyad Mansour telahpun
memohon kepada Majlis Keselamatan di PBB supaya menghentikan serangan
Israel terhadap Palestin. Selain itu, wakil negara-negara Arab di PBB
juga telah mengadakan satu mesyuarat tertutup untuk membuat keputusan
samada mereka perlu meminta Majlis Keselamatan di PBB untuk mengadakan
apa-apa resolusi berkenaan dengan krisis terbaru ini, tetapi malangnya
tiada apa-apa keputusan dicapai dalam mesyuarat mereka ini setakat
sekarang. Saya menyeru kerajaan Malaysia menggunakan
saluran diplomatiknya untuk mendesak Majlis Keselamatan di PBB untuk
mengeluarkan satu resolusi berkenaan dengan konflik di antara Israel
dan Palestin seperti apa yang dikehendaki oleh wakil Palestin. Selain
itu, saya juga menyeru kerajaan mendesak PBB dan pemimpin dari
kuasa-kuasa dunia untuk bercampurtangan menyelesaikan masalah di
antara Israel dan Palestin ini. Datuk yang diPertua, tibalah masanya bagi
kerajaan sebagai Pengerusi NAM dan OIC untuk memainkan peranan yang
lebih gigih usaha pendamaian di antara Israel dan Palestin, dengan
tujuan supaya konflik Israel Palestin tidak dibesarkan dan diburukkan
lagi sehingga mengorbankan lebih nyawa yang tidak berdosa.
(04/07/2006)
*
Teresa Kok Suh Sim, Setiausaha Publisiti DAP dan Ahli Parlimen Seputeh |