http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Rang Undang-undang Pelindung perlu melalui proses rundingan yang terperinci dan mendalam dengan pelbagai pihak berkepentingan (stakeholders) dan Ahli-ahli Parlimen sebelum ianya dibentangkan dan diluluskan di Dewan Yang Mulia ini.

 


Perbahasan Terhadap Rang Undang-undang Pelindung
oleh Chong Eng


(Parlimen, Rabu): Saya ingin merakamkan perasaan kecewa dan terkejut dengan pembentangan rang Undang-undang Pelindung ini kerana sekali lagi kita telah melihat satu lagi Rang Undang-undang yang dibentangkan oleh Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa di Dewan Yang Mulia ini tanpa menjalani sebarang rundingan awam dengan pihak berkepentingan, mahupun mengadakan sebarang taklimat kepada Ahli-ahli Parlimen untuk memberi penjelasan dan penerangan yang mencukupi kepada Ahli-Ahli yang Berhormat di Dewan Yang Mulia ini.

Tindakan ini adalah penting untuk memberi pengetahuan yang mencukupi kepada mereka supaya mereka boleh menyampaikan intisari-intisari dan kesan-kesan yang akan dibawa oleh implementasi Rang Undang-undang ini kepada rakyat, khususnya rakyat kawasan luar bandar yang kebanyakkan daripada mereka terlibat dalam aktiviti pertanian, di mana golongan berkepentingan ini juga merupakan golongan lemah yang pasti akan terdedah kepada risiko persaingan sengit apabila pasaran makanan Malaysia dibuka kepada pengusaha-pengusaha makanan dari luar negara.

 

Selari dengan Perjanjian Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) tahun 1995, yang membenarkan negara-negara memperkenalkan pendekatan-pendekatan sementara (temporary measures) untuk melindungi pasaran dalam negeri daripada kemudaratan serious, iaitu suatu kemudaratan keseluruhan yang ketara terhadap kedudukan suatu industri dalam negeri akibat daripada persaingan yang tidak adil.

 

Saya ingin menegaskan walaupun tindakan Kerajaan untuk menggubal Rang Undang-undang ini merupakan satu tindakan wajar untuk melindungi industri-industri domestik, tetapi kita mesti ingat bahawa Rang Undang-undang Pelindung ini hanya memberi perlindungan jangka pendek. Misalnya untuk Langkah Perlindungan Sementara (Provisional Safeguard Measure) hanya dihadkan kepada maksimum dua ratus hari. Untuk Langkah Perlindungan Muktamad (Definitive Safeguard measure) pula, tempoh maksimum untuk Kerajaan mengenakan langkah perlindungan (iaitu sama ada menetapkan satu duti pelindung, satu kuota import ataupun kedua-duanya sekali) ialah empat tahun sahaja melainkan jika ia dilanjutkan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 37.

 

Saya juga melafazkan perasaan kecewa kerana Rang Undang-undang ini sepatutnya diperkenalkan pada masa yang lebih awal, iaitu pada tahun-tahun awal Malaysia menandatangani perjanjian, dan bukannya pada masa sekarang apabila terdapat sesetengah industri dalam negeri sudah boleh dikatakan pupus sama sekali apabila Rang Undang-undang Pelindung ini dapat dikuatkuasakan nanti, antaranya ialah Industri Perabot negara di mana kebanyakkan pengusaha-pengusaha Industri Kecil dan Sederhana.

 

Apa yang penting pada masa sekarang adalah untuk Kerajaan mengenalpasti mana-mana industri yang perlu diperkasakan daya saingannya kerana langkah-langkah perlindungan yang dinyatakan di dalam rang Undang-undang ini, sama ada Langkah Perlindungan Sementara ataupun Langkah Perlindungan Muktamad hanya merupakan langkah-langkah perlindungan buat sementara waktu. Dalam perkataan yang lain, apa yang diperuntukkan dalam Rang Undang-undang ini hanya satu alat untuk Kerajaan membeli masa daripada negara-negara pengeksport demi menyelamatkan industri-industri domestik yang lemah.

 

Industri-industri domestik tidak akan maju dan berkembang sekiranya kerajaan tidak mempertingkatkan daya saingan industri-industri di persada antarabangsa. Antara langkah-langkah yang perlu diambil oleh kerajaan ialah untuk mengambil mereka yang betul-betul berkebolehan ke dalam agensi-agensi kerajaan untuk membangunkan industri-industri dalam negeri agar Malaysia boleh diri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pesaing-pesaing dari luar negara,

 

Ini merupakan satu persoalan yang secara langsung berkaitan dengan cara pengendalian sumber manusia di Malaysia. Malaysia tidak boleh lagi terus mengalami brain drain yang secara langsung mengikis daya saingan Malaysia dalam pelbagai bidang dan sektor.

 

Dengan itu, saya meminta supaya Menteri apabila menjawab soalan nanti, dapat memberi satu senarai sektor-sektor industri yang masih lemah, kurang berdaya saingan tetapi masih boleh dilindungi buat sementara waktu apabila Rang Undang-undang ini berkuatkuasa nanti. Senarai ini adalah penting untuk pengusaha-pengusaha industri domestik, khususnya Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang merupakan industri yang paling mudah terdedah kepada saingan sengit apabila pasaran Malaysia dibuka kepada pesaing-pesaing dari luar negara kelak.

 

Saya juga meminta Kementerian untuk memberi makluman terhadap prestasi industri-industri domestik ini dalam lima tahun yang lepas, begitu juga dengan langkah-langkah yang sedang dijalankan untuk memperkasakan industri-industri domestik.

 

Kementerian juga harus diingat bahawa sebarang bentuk Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) khususnya FTA yang sedang berada dalam proses rundingan seperti FTA dengan Australia dan FTA dengan Amerika Syarikat akan membawa implikasi yang lebih besar terhadap industri-industri domestik.

 

Pada 8hb Mac 2006 ini, Malaysia dan Amerika Syarikat telah mengumunkan keinginan mereka untuk mengadakan rundingan dua hala terhadap Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA). Matlamatnya adalah untuk mengambil kesempatan “fast track authority” Presiden Amerika Syarikat yang akan berakhir pada pertengahan tahun 2007 supaya FTA dapat dimeterai di antara Malaysia dengan Amerika Syarikat, sungguhpun Kerajaan pernah memberi penjelasan di Dewan yang Mulis ini bahawa Kerajaan Malaysia tidak akan terikut dan tunduk kepada kemahuan Amerika Syarikat ini.

 

Seperti yang difahamkan, rundingan-rundingan ini meliputi banyak sektor dan industri tempatan yang mempunyai kepentingan yang amat besar terhadap rakyat Malaysia, termasuk keselamatan dalam tawaran pekerjaan, makanan, pembangunan industri-industri domestik dan pengusaha-pengusaha sektor perkhidmatan dan lain-lain.

 

Selain daripada dengan apa yang dibincangkan dalam Rang Undang-undang Pelindung ini, Kerajaan juga harus menjalankan satu penilaian Cost-Benefit (Cost-Benefit Assessment) yang komprehensif di mana penilaian ini perlu dimaklum kepada masyarakat umun seperti apa yang sedang dijalankan dalam Environmental Impact Assessemnts (EIA) dan Social Impact Assessments yang baru-baru ini dilancarkan.

 

Biasanya, penilaian Cost-Benefit ini adalah amat diperlukan untuk kita semua menilai kedudukan sebenar kita dalam mana-mana rundingan FTA yang akan memberi implikasi besar terhadap hidup-mati industri-industri domestic kita. Malaysia tidak mampu untuk menjalankan sebarang rundingan FTA dengan mana-mana negara tanpa melakukan penilaian yang sebegitu asas ini.

 

Buat makluman semua, satu Penilaian Cost-Benefit yang menyeluruh haruslah merangkumi aspeck-aspek berikut:

  1. Keuntungan dan kerugian dari segi perdagangan, misalannya dalam aktiviti import dan eksport;
  2. Keuntungan dan kerugian dari segi peluang pekerjaan;
  3. Fleksibiliti yang masih dipunyai oleh sesebuah negara itu dalam penggubalan dasar-dasar kerajaan selepas menandatangani FTA.
  4. kesan-kesan sosial, misalannya akses terhadap ubat, pengetahuan dan bekalan makanan.
  5. kesan-kesan terhadap pemindahan dan pembangunan teknologi
  6. kos sosial dan alam sekitar yang membawa kesan meluas.

 

Kegagalan ini hanya memberitahu kita semua bahawa Kerajaan sekali lagi gagal dalam melibatkan Parlimen dalam penggubalan undang-undang yang mempunyai implikasi dan kesan mendalam terhadap masa depan pembangunan negara.

 

Sebagai langkah remedi awal, saya ingin mencadangkan supaya Penilaian Cost-Benefit ini diwajibkan di dalam Bahagian IV Penyiasatan, Fasal 20 (Penentuan Awal)

 

Parlimen sepatutnya dilibatkan dalam keseluruhan proses rundingan ini daripada awal lagi demi memainkan peranan pemantauannya. Satu Jawatankuasa Pilihan Khas terhadap Perdagangan Antarabangsa yang mana skopnya juga akan merangkumi FTA perlu ditubuhkan agar Ahli-Ahli Parlimen dapat memberi input yang bernas dalam penggubalan mana-mana Rang Undang-undang dan dasar-dasar kerajaan.

 

 (05/07/2006)


* Chong Eng, Timbalan Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: