http://dapmalaysia.org Forward Feedback
Kementerian Pengajian Tinggi harus memberhentikan
pengajaran subjek Hubungan Etnik serta menarik balik modulnya dengan
serta-merta.
Ucapan
Usul Tergempar
oleh
Chong Chieng Jen
(Parlimen ,
Selasa):
Terlebih dahulu, saya ingin berterima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua
Dewan Rakyat kerana membenarkan saya mengemukakan usul tergempar yang
berkenaan dengan kursus wajib Hubungan Etnik yang memutarbelitkan
fakta-fakta sejarah yang sedang diajar di beberapa IPTA tempatan,
khususnya di Universiti Putra Malaysia.
Kursus ini diperkenalkan sejak awal tahun ini. UPM merupakan IPTA yang
pertama mengajar Hubungan Etnik, dan diikuti oleh
universiti-universiti yang lain, kecuali Universiti Malaya dan
Universiti Islam Antarabangsa. Bagi UPM, kursus ini telah diwajibkan
untuk mahasiswa/i tahun pertama pada semester yang lepas, manakala
untuk IPTA-IPTA yang lain, kursus ini diajar mulai semester yang baru
ini.
Bagi pihak DAP, kita menyokong baik pengenalan Hubungan Etnik sebagai
suatu subjek wajib di IPTA-IPTA tempatan, demi menyuburkan perpaduan
bangsa di Malaysia. Namun, kami meragui niat yang terselindung di
sebalik pengenalan kursus ini, di mana berdasarkan Panduan Pengajaran
dan Pembelajaran yang kami dapati di UPM, terdapat banyak kesilapan
fakta yang nyata serta tidak mematuhi kehendak-kehendak akademik.
Terdapat kecenderungan-kecenderungan yang bias dalam modul yang telah
dirangkakan, di mana peranan UMNO dalam proses menuntut kemerdekaan
negara daripada pihak penjajah telah diagung-agungkan. Ini adalah
tidak adil bagi golongan-golongan lain yang turut menyumbang dalam
proses tersebut. Pada hakikatnya, tanpa sokongan padu dan jitu
daripada semua rakyat yang berbilangan kaum, tidak mungkin dengan
gigih usaha UMNO sendiri dapatlah kemerdekaan dituntut untuk Malaya
pada masa tersebut.
Mengikut Panduan dan Rujukan untuk Peperiksaan Am Kerajaan yang
berjudul “Malaysia Kita”, selain daripada Parti Perikatan yang
ditunjangi oleh UMNO, terdapat parti-parti politik lain yang turut
aktif di ambang kemerdekaan, iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)
yang ditubuhkan pada Oktober 1945, ASAS 50, Hizbul Muslimin, Parti
Malaya Merdeka (IMP) yang ditubuhkan pada Ogos 1951, Parti Negara,
Parti Buruh SeMalaya dan Parti Progresif Perak (PPP).
Terdapat kesalahan-kesalahan fakta yang lain terkandung dalam modul
subjek tersebut, iaitu: Unit IX: Pembangunan Politik dalam Konteks
Hubungan Etnik II: Perkembangan Politik Semasa Mukasurat 78: Tragedi
13 Mei 1969 “DAP yang kebanyakannya terdiri daripada orang-orang Cina telah
mengadakan perarakan di Kuala Lumpur sambil menghina dan mengeluarkan
kata-kata yang menyakitkan hati orang-orang Melayu. Rentetan daripada
itu, orang-orang Melayu telah bertindak balas.”
Mengikut Pesuruhjaya Suhakam dan juga pakar sejarah Malaysia yang
terkemuka, Profesor Emeritus Dr. Khoo Kay Kim bahawa Gerakan dan bukan
DAPlah yang menyertai perarakan secara besar-besaran di Kampung Baru,
Kuala Lumpur yang seterusnya mencetuskan peristiwa 13 Mei. Mukasurat 78:
Peristiwa Kampung Medan 2001 “Perbuatan anasir luar yang ingin mengganggu ketenteraman di
kawasan tersebut dan mewujudkan ketidakstabilan politik. Masyarakat
Melayu di kawasan tersebut telah hilang sabar terhadap sikap anti-sosial
sekumpulan remaja India dan mereka ingin memberi suatu pengajaran.” Mukasurat 79: Tuntutan
Ekstremis Suqiu “Tuntutan Suqiu ini dilihat sebagai satu langkah untuk
menghapuskan ‘kontrak sosial’ yang telah dicapai oleh orang-orang
Melayu dengan orang bukan Melayu sebelum ini. Isu ini boleh
mencetuskan konflik dan pergaduhan antara kaum kerana perkara-perkara
pokok yang menjadi tunjang hubungan antara kumpulan etnik yang telah
termaktub dalam Perlembagaan Malaysia tidak seharusnya dipersoalkan
oleh mana-mana pihak.”
Profesor Khoo Kay Kim turut menyatakan bahawa penggunaan istilah
“ekstremis” untuk menyifatkan tuntutan-tuntutan Suqiu adalah
bertentangan dengan matlamat-matlamat perngenalan subjek Hubungan
Etnik.
Beliau berkata, “Banyak orang tidak melihat mereka sebagai ekstremis.
Adalah sah bagi mereka menuntut perkara-perkara yang tertentu. Adakah
anda bersetuju dengan mereka atau tidak, inilah perkara yang lain.
Tetapi… bukan menyifatkan mereka sebagai ekstremis.”
Tambahan pula, sebelum pilihanraya pada tahun 1999, bekas Perdana
Menteri Dr. Mahathir Mohamad telah bersetuju secara prinsip dengan 83
tuntutan yang dikemukakan oleh Suqiu. Akan tetapi, kerajaan telah
menunjukkan sikap yang berlainan sebaik sahaja pilihanraya telah
selesai.
Terdapat lagi satu kesalahan serius yang dilihat sebagai niat penulis
yang sengaja memutarbelitkan peruntukan yang termaktub dalam
Perlembagaan Persekutuan, iaitu:
(mukasurat 59 - 71 dan 73 - 77) dan sebagainya. Ini tidak semestinya
dapat memperbaiki hubungan etnik dalam negara kita, tetapi
mendatangkan implikasi negatif terhadapnya.
Unit X: Islam Hadhari dan Hubungan Etnik: 10 Prinsip Islam Hadhari
dan Hubungan Etnik Mukasurat 85:
Kebebasan Beragama dan Islam Hadhari “Larangan penyebaran agama selain Islam kepada orang bukan
Islam (Artikel 11(4), Perlembagaan Persekutuan)”
Adakah ini sekadar penterjemahan yang kurang profesional, atau
terdapat niat-niat yang jahat di sebaliknya? Kami memandang perbuatan
ini secara serius, di mana sikap yang tidak akademik ini tidak boleh
dimaafkan, malah boleh dilihat sebagai percubaan penulis untuk menulis
semula perlembagaan kita.
Ini adalah sejajar dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Seri Nazri Aziz bahawa kandungan yang tertentu dalam panduan
pengajaran dan pembelajaran tersebut adalah bersifat hasutan. Jikalau
tuduhan ini adalah berasas, maka saya mendesak supaya kerajaan
mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawai kerajaan atau ahli-ahli
akademik yang terlibat di bawah Akta Hasutan 1948.
Mengikut kenyataan Profesor Shamsul Amri Baharuddin yang
bertanggungjawab untuk merangka modul tersebut, tiada buku teks yang
berkenaan dengan subjek Hubungan Etnik telah diterbitkan. Namun, modul
yang menggariskan kursus tersebut boleh didapati secara meluas oleh
mahasiswa/i kita.
Pokok persoalan kita ialah: mengapakah modul tersebut yang diragui
oleh banyak pihak dapat digunakan sebagai panduan untuk pengajaran dan
pembelajaran. Adakah modul ini bertujuan untuk memberi panduan yang
silap kepada tenaga-tenaga pengajar, dan seterusnya mempengaruhi
generasi-generasi muda kita melalui proses pembelajaran mereka.
Terdapat juga bahagian-bahagian lain yang cuba mengagung-agungkan
konsep Sekolah Wawasan (mukasurat 99 - 100), Dasar Kebudayaan
Kebangsaan (mukasurat 100 - 101), Islam Hadhari (mukasurat 81 - 88),
Politik Kepartian yang berunsurkan Barisan Nasional
Memandangkan terdapat banyak kesalahan-kesalahan fakta, baik dari segi
sejarah ataupun dari segi keperluan akademik dalam modul Hubungan
Etnik yang telah diperkenalkan, adalah sewajarnya pihak Kementerian
Pengajian Tinggi memberhentikan pengajaran subjek ini serta menarik
balik modul tersebut dengan serta-merta. Selepas itu, suatu kajian
semula yang terperinci terhadap isi kandungannya perlu dijalankan,
sehingga satu permuafakatan dapat dicapai oleh kesemua pihak. Sekian, terima kasih.
(18/07/2006) * Chong Chieng Jen, MP for Bandar Kuching, ADUN for Kota Sentosa and Deputy Chief of DAPSY |