http://dapmalaysia.org Forward Feedback
Najib Patut Batalkan Modul Penggunaan Senjata Api M16 di Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)
Kenyataan Akhbar oleh
Fong Po Kuan
(Perak ,
Rabu):
DAPSY membantah keputusan Kementerian Pertahanan
menjadikan latihan penggunaan senjata api M16 sebagai sebahagian
daripada modul di PLKN.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin telah
dilaporkan menyatakan bahawa latihan penggunaan senjata api M16 akan
dimulakan dan diwajibkan ke atas pelatih PLKN bagi sesi Jun ini dan ia
akan melibatkan seramai 32,000 orang pelatih.
Pelatih adalah diwajibkan mengikuti modul baru latihan
penggunaan senjata api M16 tersebut dan pengecualian hanya akan
diberi jika mempunyai surat pengesahan daripada doktor mengenai
ketidaksesuaian tahap kesihatan.
Modul latihan penggunaan senjata api M16 patut
dibatalkan kerana ia adalah;
Satu, bercanggah dengan
tujuan dan objektif perlaksanaan PLKN iaitu untuk menanam semangat
patrotisme, memupuk perpaduan kaum dan membentuk perwatakan positif
dan bukan kerahan tenaga.
Datuk Zainal ada menjelaskan
bahawa beliau yakin latihan menembak ini akan memberi pendedahan yang
cukup berguna dalam usaha negara melahirkan generasi muda yang berjiwa
kental.
Persoalannya, bagaimanakah pengajaran secara teori
selama 8 jam dan latihan menembak di padang sasar selama 10 minit
dapat mencapai ketiga-tiga objektif PLKN tersebut? Tambahan ia adalah
satu keajiban jika tempoh singkat latihan dan pendedahan menembak itu
dapat melahirkan generasi muda yang berjiwa kental.
Kedua, bukannya
keselamatan negara sedang diancam oleh kuasa asing sehinggakan
anak muda kita perlu diwajibkan menjalani latihan penggunaan senjata
api ini.
Ketiga, kerajaan sepatutnya
melatih anak muda mencintai Negara dengan mempromosikan keamanan di
dalam penyelesaian perbalahan atau konflik dan bukannya melalui
keganasan, iaitu melalui penggunaan senjata api.
Keempat, walaupun PLKN ini
telah dilaksanakan sejak akhir tahun 2003, keselamatan di dalam kem
masih tidak memuaskan atau mampu dikawal dengan baik.
Kematian Hafiz Jaafar yang berpunca daripada satu
pergaduhan di dalam Kem PLKN pada bulan April yang lalu, adalah jelas
bahawa langkah keselamatan di dalam kem masih belum ditahap yang
memuaskan.
Keputusan mewajibkan latihan penggunaan senjata api
M16 tersebut ke atas anak muda berumur 18 tahun ini tidak akan
membantu memulihkan keyakinan terhadap tahap keselamatan di dalam
perlaksanaan PLKN, begitu juga dengan kata-kata jaminan oleh Ketua
Pengarah JLKN, Abdul Halim Abdul Hamid bahawa kem PLKN akan bebas
kejadian rogol dan pergaduhan.
Berdasarkan sebab-sebab di atas, Datuk Seri Najib Tun
Razak patut membatalkan modul latihan penggunaan senjata api M16 di
PLKN dan menjimatkan penambahan perbelanjaan di dalam perlaksanaan
PLKN. Sebelum ini, PLKN dilaporkan membelanjakan lebih kurang RM 500
juta setahun.
DAPSY menegaskan bahawa polisi serta sistem pendidikan
yang patut diteliti semula oleh Najib bagi mengenalpastikan kegagalan
dan kelemahan yang wujud sehinggakan arus perdana pendidikan 11 tahun
tidak dapat mencapai ketiga-tiga objektif PLKN itu.
(07/06/2006)
*
Fong Po Kuan, Ahli Parlimen
Batu Gajah dan Timbalan Pengerusi Belia DAP (DAPSY) |