YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,
Perdana Menteri Malaysia,
Jabatan Perdana Menteri Malaysia,
Blok Utama, Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 Putrajaya.
Menerusi Fax: 03-88883975
Yang Amat Berhormat Datuk Seri,
Prinsip Perlembagaan Malaysia Tentang Kesamarataan
Di sisi Undang-undang Mesti Ditegakkan Dan Perlunya Kelemahan Sistem
Saman Trafik Dan Komputer Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Diatasi Dan
Dikemaskinikan Demi Mengelakkan Rakyat Yang Tidak Bersalah
Dimangsakan.
Kami ingin mencadangkan perubahan dalam sistem saman trafik dan
komputer PDRM agar segala kelemahannya diatasi dan dikemaskinikan demi
mengelakkan rakyat yang tidak bersalah dimangsakan. Pada masa yang
sama adalah perlu polis menghormati prinsip Perlembagaan Malaysian di
bawah Perkara 8 bahawa semua rakyat adalah sama rata di sisi
undang-undang supaya tidak timbul tanggapan tidak sihat wujudnya
“double-standard” yang menyebelahi orang atas dan menganiayai orang
bawah.
Kami memang bersetuju tindakan keras diambil ke atas mereka yang cuai
sehingga mengakibatkan kemalangan yang membawa kerosakan hartabenda,
maut atau kecederaan jalanraya.Akan tetapi kami kurang bersetuju
dengan tindakan polis mengeluarkan waran tangkap, mengetuk pintu
tengah malam dan menggari pesalah-pesalah saman trafik ringan atas
sebab berikut:-
·
Kebanyakan pesalah saman trafik ringan tidak tahu mereka disaman atau
tidak terima notis saman;
·
Sistem komputer saman trafik ada kelemahan dan sering tidak berfungsi
dengan tepat;
·
Polis harus tumpukan perhatian dan sumber terhad mereka ke atas
jenayah yang kian berleluasa dan meningkat di masyarakat kita; dan
·
Kesalahan saman tersebut dipertikaikan kerana polis harus bekalkan
bukti gambar foto kesalahan mereka dengan sendirinya bersama dengan
saman tanpa diminta oleh pemandu kenderaan.
Sebenarnya, penyenaraihitaman yang diamalkan sekarang ke atas mereka
yang tidak bayar saman trafik dari memperbaharui lesen memandu atau
cukai jalan sudah mencukupi agar tidak menganiayai mana-mana pihak.
Tolong bayangkan betapa malunya sekiranya didapati saman yang
dikeluarkan, kalau tepat sekal pun, tidak disampaikan kepada penerima.
Kami yakin YAB sendiri tahu masalah yang ditimbulkan bila YAB tidak
tahu langsung tiga buah kereta milikan YAB iaitu WCH 13, WJB 2800 dan
WLP3142.telah dikeluarkan 11 keping saman trafik ringgan seperti
menghalang trafik, tidak letak kereta, letak kereta pada tapak yang
salah dan melebihi had laju. Sekiranya YAB sendiri pun tidak
dimaklumkan bahawa beliau telah diberikan saman trafik, macam mana
rakyat biasa boleh mendapat jaminan akan menerimanya seperti yang
didakwa oleh pihak polis. Sekeping senarai saman disertakan bersama
untuk perhatian YAB, yang tentunya tidak bermakna ia betul kerana YAB
masih berhak mempertikaikan kesahihannya.
Pada masa yang sama, kami harap pihak polis boleh lanjutkan diskaun
saman yang diberikan kepada YAB kepada semua pihak. Jumlah kompaun
untuk 11 keping saman adalah RM3,300 dan tanpa pengetahuan dan rayuan
oleh YAB, diskaun secara automatik sebanyak 70% atau RM2,300 telah
diberikan, menjadikan jumlah yang dibayar adalah RM 1,000/-. Oleh
demikian pihak polis harus memberikan diskaun serupa sebanyak 70%
kepada semua kenderaan demi mengelakkan polis bertindak secara
“double-standard”.
Timbalan Ketua Polis Negara telah melahirkan perasaan janggal macam
mana kenderaan rasmi YAB Perdana Menteri turut disaman. Ini dengan
sendirinya menunjukkan kelemahan yang sedia ada. Kami memang bersetuju
bahawa pihak polis bertindak betul dengan mengeluarkan saman trafik ke
atas kenderaan rasmi kerana tidak ada keistimewaan ke atas mana-mana
pihak dalam penguatkuasaan undang-undang.
Akhir kata, sikap YAB terbuka menerima kritikan oleh pihak kami dan
berterimakasih kepada DAP kerana memaklumkan perkara ini adalah baik.
Kami percaya YAB akan menjelaskannya sekiranya dimaklumkan oleh pihak
polis. Masalah yang timbul adalah kerana kegagalan dan kelemahan
sistem saman trafik yang sedia ada sehingga ada saman pada 29 Jun 2002
bagi kereta WJB 2800 tidak dimaklumkan. Ada yang tertanya-tanya
mengapa YAB tidak tersangkut pada Ops Warta oleh Polis Trafik yang
menahan beribu-ribu orang?
Mujurlah pihak polis tidak mengetuk pintu rumah YAB pada larut malam.
Itulah sebabnya amalan ketuk pintu dan gari pesalah trafik ringan
haruslah diberhentikan bila tidak semestinya pihak polis betul 100%
seperti dalam kes YAB. Secara rumusan, parti DAP ingin meminta YAB
mengarahkan amalan mengetuk pintu pada larut malam dan menggari
pesalah saman trafik yang mungkin tidak tahu atau berpeluang
mempertikaikannya, harus diberhentikan dengan serta-merta sehingga
kelemahan yang ditimbul di atas diatasi oleh pihak polis demi
mengelakkan yang tidak bersalah dimangsakan.
Yang benar,
LIM GUAN ENG
SETIAUSAHA-AGUNG DAP
|