23 JUN 2006
YB Datuk Hj. Mohd Shafie bin Hj. Apdal
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal
Pengguna
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal
Ehwal Pengguna
Lot 2G3, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Precint 2, Putrajaya, Malaysia.
62623.
DENGAN TANGAN
YB Datuk,
MENGATASI KELEMAHAN DALAM KEMENTERIAN SUPAYA MASALAH KEKURANGAN GULA
DAPAT DIBENDUNG
--------------------------------------------------------------------------------------------------------
Dengan segala hormatnya kami ingin menghantarkan memorandum untuk
melahirkan kerumitan peniaga dan pengusaha makanan dan minuman ekoran
kegagalan pihak Kementerian memastikan bekalan gula yang mencukupi
sebagaimana dijanjikan.
2. Seperti yang sedia maklum, masalah kekurangan gula telah
berlanjutan sejak bulan April yang lepas. Masalah ini telah
menimbulkan pelbagai kesulitan kepada pengguna dan yang lebih serius
lagi menyebabkan operasi pelbagai industri khasnya perusahaan
makanan dan minuman terganggu. Kesannya amat ketara ke atas pengusaha
restoran dan penjaja kecil yang tidak dapat mata pencarian mereka
kerana kekurangan gula ini.
3. Pihak Kementerian YB Datuk telah membuat pelbagai kenyataan
rasmi khasnya daripada YB Timbalan Menteri yang mengatakan bahawa
masalah kekurangan gula adalah terkawal. Mengikut beliau, salah satu
punca kekurangan bekalan gula di seluruh negara dikenalpasti
disebabkan sektor perindustrian membeli gula di pasaran tempatan.
Menurut laporan Bernama pada 19 Jun yang lepas yang memetik Timbalan
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk S.
Veerasingam berkata, “sektor perindustrian yang mengkhusus dalam
pembuatan makanan termasuk yang beroperasi di negara asing memilih
untuk membeli gula di pasaran tempatan disebabkan harga yang murah
berbanding harga gula di pasaran terbuka”.
4. Namun, pihak Kementerian YB Datuk telah memutuskan untuk
tidak membenarkan sektor perindustrian untuk membeli bekalan gula di
pasaran tempatan yang dikhaskan untuk kegunaan domestik dan ada di
antara syarikat pengilang gula yang mengatakan bahawa bekalan gula
adalah mencukupi. Ini memberi gambaran bahawa masalah kekurangan gula
ini sudah dapat diatasi. Namun pada hakikatnya, masalah ini masih
berlanjutan dan masih berlaku di beberapa negeri. Saya telah menerima
aduan daripada pengedar-pengedar besar khasnya di Seremban dan Melaka
bahawa hantaran bekalan gula daripada syarikat pengilang telah
berkurangan secara drastik.
5. Pengedar-pengedar mengatakan bahawa terdapat pengilang gula
yang tidak menghantar bekalan sejak 2 bulan yang lepas. Walaupun masih
ada pengilang yang menghantar bekalan secara biasa namun bekalan
adalah berdasarkan kuota bulanan yang ditetapkan mengikut pesanan
mereka yang terdahulu. Ini menimbulkan keadaan bekalan yang tidak
mencukupi untuk menampung permintaan. Keadaan ini merumitkan
peniaga-peniaga kecil dan juga pengusaha kilang-kilang roti dan kek
yang bergantung kepada gula untuk pengeluaran mereka.
6. Hari ini pula ada laporan suratkhabar New Straits Times
bahawa pihak tertentu menyorok bekalan gula ini untuk memaksa harga
gula naik. Sekiranya benar, pihak Kerajaan tidak harus melayan desakan
menaikkan harga gula yang hanya menguntungkan pihak tertentu yang
tidak bertanggungjawab dan membebankan rakyat jelata. Jelas sekali
kegagalan penguatkuasaan pihak Kementerian memastikan arahan yang
dikeluarkan dipatuhi merupakan salah satu punca utama kekurangan
bekalan gula ini. Kelemahan seperti ini haruslah diatasi supaya
masalah kekurangan bekalan gula dapat dibendung.
7. Parti DAP ingin menyeru Kementerian YB Datuk untuk
mengambil tindakan dan langkah-langkah yang secepat mungkin untuk
menyelesaikan masalah kekurangan bekalan gula ini. Pihak Kementerian
perlu menyiasat samada pihak pengilang gula telah secara sengaja
menurunkan pengeluaran mereka untuk menimbulkan satu keadaan
ketidakseimbangan pasaran di mana permintaan melebihi penawaran dan
memaksa kerajaan bersetuju dengan kehendak mereka untuk menaikkan
harga gula. Sekiranya keadaan ini berlaku, kerajaan perlu mengambil
tindakan yang sekeras-kerasnya ke atas pengilang-pengilang ini.
Kerajaan mesti bertegas dalam perkara ini dan memelihara kepentingan
rakyat dengan memastikan kenaikan harga gula yang terkawal ini tidak
dibenarkan sama sekali kerana sebarang kenaikan harga barangan
keperluan asas hanya akan memburukkan lagi keadaan inflasi di negara
kita yang disebabkan oleh kenaikan harga minyak dan tarif elektrik
baru-baru ini.
8. Pihak Kementerian juga perlu segera mengenal pasti segala
masalah-masalah yang timbul yang dijadikan alasan dalam masalah
kekurangan bekalan gula ini seperti masalah logistik dan pengedaran
dan mengambil tindakan untuk mengatasi segala pemasalahan ini dalam
kadar yang paling segera. Sekiranya masalah kekurangan bekalan gula
ini berlanjutan, ini akan menyebabkan kesulitan yang besar kepada
seluruh rakyat Malaysia dan mungkin memaksa pengusaha-pengusaha
industri yang bergantung kepada gula untuk mengurangkan operasi mereka
dan ini tentu akan membawa kesan negatif kepada pekerja-pekerja di
sektor tersebut. Keberkesanan pentadbiran kerajaan khasnya Kementerian
YB Datuk adalah menjadi ujian sekarang samada masalah seperti ini
boleh ditangani dan diselesaikan dengan segera.
Sekian. Terima kasih.
Yang benar
LIM GUAN ENG
SETIAUSAHA AGUNG
|