http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance
Perdana Menteri pada hari ini menghadapi pelbagai tekanan ke atas ke wibawaannya sebagai pemimpin utama parti pemerintahan dan pentadbiran Negara.
 

Ucapan semasa membahas usul terima kasih atas Titah DiRaja Yang DiPertuan Agong
oleh Chow Kon Yeow

(Parlimen, Khamis): Perdana Menteri pada hari ini menghadapi pelbagai tekanan ke atas ke wibawaannya sebagai pemimpin utama parti pemerintahan dan pentadbiran Negara.

Beliau memenangi pilihanraya umum tahun 2004 dengan sokongan yang begitu kuat kerana beliau mendapat kepercayaan rakyat.

Akan tetapi, selepas dua tahun beliau menerajui kerajaan yang baru, Perdana Menteri kini menghadapi “political seize” daripada pelbagai pihak.

Spanjang perbahasan di Dewan Rakyat ke atas usul terima kasih kepada Titah DiRaja, apa yang diperdengarkan adalah suara-suara lantang daripada Ahli-Ahli dari UMNO menentang hasrat Perdana Menteri untuk menubuhkan Independent Police Complaints and Misconduct Commission (IPCMC) dan gelombang suara ini menandakan Perdana Menteri tidak lagi menikmati keyakinan daripada orang sendiri, mungkin hasil pergolakan dalaman. 

Apa alasan yang digunakan oleh pihak atasan polis untuk “turn over” para ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional sehingga mereka sanggup membelakangkan hasrat dan sokongan Perdana Menteri terhadap penubuhan IPCMC. Mungkinkah perasaan perkauman digunakan memandangkan persepsi rakyat PDRM kebanyakan terdiri dari satu kumpulan etnik dan sebarang usaha menubuhkan IPCMC dianggap sebagai tindakan menentang kepentingan kumpulan etnik itu?

Kalau ini benar, ianya satu kebenaran yang amat menyedihkan dan serius implikasinya.

Dalam sistem demokrasi berparlimen, apabila seorang Perdana Menteri menghadapi satu keadaan di mana keyakinan yang beliau nikmati telah mula  dihakiskan, dia akan terpaksa membuktikan dia masih menikmati keyakinan ini. Beliau boleh membawa satu usul di Parlimen untuk membuktikan bahawa beliau masih ada kewibawaan untuk terus menerajui kerajaannya.

Kewibawaan ini amat penting kerana tanpanya, seorang pemimpin tidak lagi mempunyai hak untuk terus memegang kuasa.

Kewibawaan Perdana Menteri juga terus terjejas sebelum ini, apabila beliau menggunakan perogatif untuk merombak semula Kabinet pada 14hb Februari 2006 yang tidak diyakini oleh rakyat jelata.

Tamparan yang paling hebat kepada Perdana Menteri iaitu apabila kerajaan gagal menyakinkan rakyat atas dasar mengurangkan subsidi minyak sehingga beliau perlu memidas rakyat dan menyuruh rakyat supaya “berhenti menyoalkan”niat kerajaan menggunakan penjimatan sebanyak RM4.4 billion untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam.

Seorang penganalisa politik memerhatikan imej Perdana Menteri sudah menjunam apabila ia meminta rakyat menutup mulut mereka. Nampaknya personaliti Perdana Menteri kini nampak jauh berbeza dengan masa awalan apabila Perdana Menteri minta rakyat untuk mengutarakan kebenaran kepadanya dan bekerja bersama dengannya.

Perdana Menteri harus sedar bahawa rakyat amat menderita kerana kesan-kesan negatif kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barangan merata-rata. Rakyat juga kurang yakin dengan tindakan kerajaan untuk menggunakan dana awam untuk menyelamatkan syarikat berkaitan kerajaan.

Saya juga amat kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri apabila beliau mengarahkan memorandum mengenai pemasalahan kebebasan agama yang disampaikan oleh sembilan orang Menteri bukan agama Islam ditarikbalik.

Tindakan seperti ini tidak akan menyebabkan isu-isu kebebasan agama hilang begitu sahaja, malah ia akan menggugat ketenteraman apabila isu ini diketepikan sahaja.

Saya mohon sikap kebukaan untuk mendengar suara hati rakyat dari bukan agama Islam dan kerajaan bertanggungjawab untuk memberikan penyelesaian kepada pemasalahan agama ini.

Kontroversi yang dicetuskan oleh kes Moorthy dan kes Sharmala dan kes-kes sebelumnya menuntut pihak kerajaan memberi perhatian serius.

Sehingga hari ini, Parlimen masih belum berjaya menyediakan satu remedy kepada rakyat bukan agama Islam yang menghadapi penghakisan hak-hak asasi dan mungkin terjejas hak-hak mereka kerana suatu-suatu keputusan Mahkamah Syariah ataupun undang-undang dan peraturan-peraturan yang digariskan atas pertimbangan agama Islam.

Perlembagaan Malaysia yang ditakrifan sebagai “supreme law of the land” memberikan hak samarata kepada setiap rakyat. Akan tetapi, semangat ini sudahpun dihakiskan dan sekiranya tidak dicegah, penghakisan ini akan terus berlaku dan membawa implikasi yang serius kepada proses pembinaan Negara dan integrasi rakyat yang majmuk. 

Kerajaan harus memberi perhatian dan juga cuba memahami kebimbangan rakyat bukan agama Islam bahawa Perlembagaan Malaysia “is silently being rewritten, giving way to syariah law to become the supreme law of the land”.

Walaupun kita rasa kecewa dengan kepimpinan dan prestasi Perdana Menteri yang masih belum berhasil apa-apa, tetapi rakyat masih menaruh harapan keazaman Perdana Menteri dapat diperkukuhkan untuk menyampaikan keputusan yang memuaskan kepada initiatif yang diambil selama ini.

Kita masih memberi sokongan kepada Perdana Menteri untuk meneruskan agenda mengenai integriti, etika, good governance dan anti-korupsi. Sokongan luar dan rakyat amat penting pada masa ini apabila Perdana Menteri tidak dapat sokongan dalaman yang diharap-harapkan.

Pemimpin politik kita merasa seluruh Negara Malaysia dari Perdana Menteri sehingga rakyat biasa tahu bahawa kita perlu berhadapan dengan  masalah korupsi dan integriti. 

Soalan pokok yang menjadi teras keprihatian kami adalah sama ada kerajaan dan rakyat mempunyai keazaman politik yang tulen untuk menangani masalah korupsi dan keruntuhan etika dan integriti dalam ruangan awam Negara ini.

Walaupun kami pernah merasa sinis terhadap initiatif memerangi rasuah dalam Negara, kami juga sedia untuk memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri untuk membersihkan Malaysia dari masalah rasuah kerana kami mahu lihat Malaysia berjaya.

Kami menegaskan bahawa keazaman politik yang tulen menjadi faktor terpenting untuk menjayakan initiatif kali ini sebab negara tidak kurang apapun, baik dari segi pengetahuan mahupun keupayaan untuk memerangi korupsi.

Keazaman politik diperlukan kerana jika melakukan apa yang disyorkan sebagai langkah terbaik untuk menang dalam perjuangan ini mungkin bermakna kita sanggup mengorbankan dan membelakangkan kedudukan politik dan kepentingan peribadi demi meletakkan kepentingan Negara ke tempat yang atas.

Pemimpin negara amat tahu bahawa mengstruktur semula sistem-sistem ekonomi, politik, sosial dan legal ini boleh menjadikan Negara kita mengurangkan dan mencegah korupsi dari berlaku. Tetapi mereka juga tahu bahawa pengstrukturan semula landasan Negara ini akan boleh menjejaskan kedudukan politik dan kepentingan peribadi mereka dan sebab ini keazaman politik tidak dapat diperkukuhkan.

Bukan kerajaan tidak tahu bahawa kajian fenomena korupsi menunjukkan kebarangkalian berlaku korupsi ada kait rapat dengan bilangan peraturan yang ada dan kuasa discretionary yang dipegang oleh pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam dan swasta.

Bukan kerajaan tidak tahu pelaksanaan dasar-dasar ekonomi tertentu menggalakkan korupsi kerana ia satu sumber “rent-seeking”. Misalannya banyak, kepentingan dasar monopoli dan penswastaan, sekatan atas perdagangan asing, sistem subsidi, kawalan harga, kadar tukaran asing dan gaji rendah di perkhidmatan awam.

Bukan pemimpin kerajaan tidak tahu bahawa korupsi akan mempengaruhi struktur ekonomi Negara yang menimbulkan halangan yang amat besar kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi kerana ia akan melemahkan kadar persaingan Negara.

Keazaman politik lagi susah ditonjolkan apabila ia diperlukan untuk mengstruktur semula sistem politik yang selama ini mengurniakan kuasa dan kedudukan kepada pemimpin Negara.

Sekatan-sekatan ke atas peranan yang dimainkan oleh civil society menjadi satu lagi keadaan yang menggalakkan korupsi.Mana pemimpin mahu lihat civil society dan pembangkang menjadi kuat untuk memastikan keseimbangan dalam pengagihan kuasa.

Mana pemimpin kerajaan mahu mengaku bahawa apabila kuasa dicengkam berlebihan dalam satu kumpulan politik yang memegang kuasa dengan begitu lama , ia akan mewujudkan satu keadaan yang menggalakkan korupsi.

Kesan-kesan korupsi atas struktur politik akan menyebabkan kemerosotan kredibiliti dan legitimasi kerajaan dan sistem demokrasi.  

Struktur sosial sesebuah Negara membawa dan mengandungi nilai-nilai etika yang tertentu yang boleh menggalakkan ataupun mencegah berlakunya korupsi.

Kerajaan ada mengaku bahawa transformasi ekonomi Malaysia telah menyebabkan hakisan pada sistem nilai, termasuk pemusnahan alam sekitar, tingkah-laku sosial yang tidak bertanggungjawab dan korupsi.

Kesan korupsi atas struktur sosial kita dapat dinampak dalam sikap dan perasaan sinis para rakyat dan ini telah menggalakkan satu budaya kelakuan yang anti-sosial.

Kita mahukan sebuah masyarakat yang konstruktif, tetapi sebaliknya kita lihat sebuah masyarakat yang mempunyai rakyat yang negatif yang cuma minat untuk mendapat faedah yang banyak sekali untuk dirinya dan tidak peduli sangat apa yang berlaku kepada jran, masyarakat am ataupun negaranya.

Rakyat tidak mempunyai semangat solidariti kerana mereka sudah jadi sinis dan apathy kerana mereka mempunyai persepsi bahawa kerajaan, pemegang jawatan perkhidmatan awam dan ahli-ahli politik semuanya korup.

Bukan pemimpin kerajaan tidak tahu bahawa kelemahan dalam fungsi institusi-institusi struktur perundangan seperti Badan Pencegah Rasuah, Pejabat Peguam Negara, Badan Kehakiman dan Parlimen pun telah membawa kepada suasana yang menyuburkan fenomena dan gejala korupsi.

Mungkin Perdana Menteri benar-benar mahu menunjukkan keazaman politiknya apabila beliau setuju untuk menubuhkan Independent Commission on Police Misconduct and Complaints tetapi Pemuda UMNO dan pegawai kanan Polis DiRaja Malaysia semua membantah. Ini satu ujian yang besar kepada Perdana Menteri, sama ada kedudukan politiknya terancam jika ingin teruskan dengan keazaman politiknya untuk membaikpulih pasukan polis yang dilanda macam-macam kepincangan termasuk soal integriti dan rasuah.

Banyak pihak telah mempersendakan initiatif Perdana Menteri kerana belum nampak banyak kemajuan sejak ia melaungkan slogan pilihanraya memerangi rasuah. Ada yang khuatir sama ada beliau cukup kuasa politik untuk menjayakan kempennya walaupun menghadapi tentangan dari banyak pihak.

Misalnya dalam soal National Health Financing Scheme, kita ingin melihat integriti dan ketelusan dalam mengendalikan penswastaan healthcare di Negara ini. Tetapi apa yang kita nampak ialah kerajaan masih belum sedia untuk mengamalkan sikap ketelusan seperti berhubung dengan juru perunding yang dilantik.

Pada bulan Februari lalu, Economic Planning Unit (EPU) tidak mahu melayani satu permintaan untuk mendapat salinan Terms of Reference daripada Coalition Against Healthcare Privatisation kerana Akta Rahsia Rasmi.

Apakah Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan memberi jaminan bahawa cadangan dan syor-syor daripada Coalition akan ditimbangkan apabila memilih juruperunding dan melaksanakan National Health Financing Scheme.

Sehubungan ini, apakah perlu disulitkan maklumat dan apakah sebuah syarikat Kausar Corporation Sdn. Bhd. yang tidak pengalaman lansung mengenai health financing scheme juga terlibat untuk mendapat bisnes RM10 billion ini.

Cakap tentang integriti, saya juga Perdana Menteri boleh memberi penjelasan berhubung penjualan Menara UMNO Pulau Pinang di Jalan Macalister, Georgetown. Rakyat tidak faham bagaimana sebuah syarikat di bawah Ministry of Finance Incorporated dilibatkan untuk membeli  bangunan komersial itu daripada Amanah Capital Properties Sdn. Bhd. Yang dibina atas tanah yang dimiliki oleh Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang. Mengapa bangunan itu dinamakanMenara Umno apabila ia dimiliki oleh Amanah Capital Properties Sdn. Bhd  dan tanah pula di bawah jagaan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

Apakah peranan yang dimainkan oleh Perdana Menteri memandangkan beliau Menteri Kewangan dan juga Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang? Ini satu ujian kepada integriti Perdana Menteri.

(29/03/2006)


*   Chow Kon Yeow, Ahli Parlimen Tanjong

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: