http://dapmalaysia.org Forward Feedback
Panduan Utama Kerajaan Negeri Membantu Rakyat Menghadapi Cabaran Ekonomi.Sekarang Adalah Berkongsi Di mana Semua Hasil Dinikmati Dan Segala Tanggungan Dipikul Bersama Dengan Rakyat. oleh Betty Chew (Dewan
Undangan Negeri Melaka, Selasa):
Kami memang bersetuju dengan TYT bahawa perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan bangsa adalah penting. Kami berpendapat perpaduan mestilah berteraskan nilai bersama demokrasi, kebebasan, keadilan, integriti dan martabat insan tanpa kira kaum dan agama. Perpaduan hanya diberikan makna dengan memastikan perkembangan kekayaan dan pembahagiannya dengan saksama. Tujuannya ialah untuk memastikan kesamarataan hak politik dan keadilan sosio-ekonomi. Selanjutnya untuk mencapai status Melaka negeri maju pada 2010, kita perlu bertanyakan jenis negeri maju yang diinginkan. Adakah negeri maju hanya untuk satu golongan atau dihantui pembangunan tidak seimbang di mana banjir kilat masih berlaku sepertimana yang berlaku di Shah Alam baru-baru ini? Apakah perancangan menghentikan banjir kilat di bandaraya Melaka ini? Atau adakah hasil negeri maju akan dinikmati bersama dengan rakyat supaya semua golongan diberikan tempat yang sewajarnya? Masalah Penternak Khinzir Di Melaka. Kerajaan negeri mengisytiharkan Tahun 2005 sebagai tahun pertanian negeri Melaka maka tahun 2006 mungkin dianggap titik hitam bagi penternak khinzir. Di sini saya ingin mengecam dan mengkritik peranan talam dua muka yang dimainkan oleh MCA yang bukan sahaja mengelirukan penternak khinzir, masyarakat Cina tetapi juga YAB Ketua Menteri Melaka. Permainan talam dua muka parti MCA bermula kerana pemimpin MCA cakap sesuatu di depan masyarakat Cina tetapi buat dan cakap yang lain pula di depan YAB. Selama ini MCA secara terbuka memberikan jaminan akan membela nasib penternak khinzir untuk memastikan mereka boleh meneruskan penternakan tertakluk kepada kawalan alam sekitar. MCA juga berjanji akan membantu penternak menguruskan kawalan alam sekitar dan kebersihan yang diperlukan. Nilai janji ini boleh dilihat bila dua buah ladang ternakan khinzir ditutup di daerah Jasin dan tindakan lanjutnya diambil terhadap 82 buah keluarga ternakan khinzir yang lain. Selepas bantahan kuat para penternak, ladang ternakan Pengerusi Penternak-penternak Melaka Chin Nan Yi di Air Salak perlu ditutup kerana dianggap memimpin protes mempertahankan mata pencarian mereka. Tindakan sedemikian merupakan susulan balas dendam dan hasad dengki MCA terhadap Persatuan Penternak-penternak Melaka dan adalah suatu penaniayaan yang sungguh tidak adil dan tidak beretika sehingga MCA mahu ladang ternakannya Pengerusinya dikorbankan semata-mata untuk melepaskan geram. Di situ, saya ingin mendapat jaminan YAB adakah 81 buah keluarga yang menternak di Kampung Paya Mengkuang, Kampung Man Lok dan Kampung Bukit Bruang boleh meneruskan kegiatan perniagaan mereka tanpa diganggu oleh pihak berkuasa? Bilakah lesen akan diberikan untuk menghalalkan perjalanan perusahaan mereka? Kedua, adakah penternak-penternak boleh dipersalahkan kononnya tidak menyampaikan pelan atau rancangan kawalan alam sekitar yang mengikut keperluan YAB Ketua Menteri bila tugas ini adalah tanggungjawab MCA. Janji MCA ini memang dihebohkan secara umum dan terbuka. Dengan kata lain adalah tidak adil untuk menghukum penternak bila yang patut dipersalahkan ialah MCA yang gagal menjalankan tanggungjawab, tugas dan janji menguruskan permohonan dan pelan alam sekitar yang diperlukan oleh YAB. Ketiga, mengapakah ladang ternak khinzir milikan Chin perlu ditutup bila ia memenuhi syarat kebersihan dan alam sekitar yang ditetapkan. Malah pada 19 Januari 1979, ladang ternakannya dianggap oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar sebagai model untuk menyelesaikan masalah najis babi yang harus diikuti oleh negeri lain dan di mana system yang dicadangkan untuk 5,000 ekor babi adalah memuaskan. Tidak ada peraturan yang menyatakan Chin tidak boleh menjalankan perusahaan ternakan khinzir di daerah Melaka Tengah. Beliau telah berbuat demikian selama 30 tahun ini di kawasan perindustrian yang jauh daripada kawasan perkampungan dan penginapan penduduk. Malah kegunaan tanahnya telah diwartakan sebagai pertanian dan bukanlah perindustrian seperti yang diomong-omongkan oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab. Sekiranya kerajaan negeri ingin menutup ladang ternakannya berdasarkan factor kebersihan dan kawalan alam sekitar, mengapa kebersihan dan hakikat ia adalah model yang diiktirafkan oleh Kementerian Alam sekitar pada masa itu tidak diambil kira? Saya ingin meminta maaf dulu dengan cadangan bahawa YAB sendiri lawat ladang ternakan khinzir tersebut untuk menyaksikan dengan mata sendiri keadaan terkawal di ladang itu. Sekiranya hukum agama tidak mengizinkan, saya ingin mencabar YB Ayer Keroh berbuat demikian. Sehingga sekarang, YB Ayer Keroh tidak pernah melawat ladang ternakan Chin. Mengapa takut berbuat demikian bila tidak ada hukum agama yang melarang beliau berbuat demikian? Atau adakah YB Ayer Keroh sudah peluk Islam dan tidak boleh melawat ladang ternakan khinzir? Sekiranya begitu, saya boleh maafkan beliau. Tetapi kalau tidak, saya rasa beliau sungguh tidak bertanggungjawab dan tidak profesyenal. Saya minta YB Ayer Keroh janganlah membuat kenyataan tanpa berasas atau dikuasi oleh perasaan benci peribadi terhadap Chin - pergilah lihat dengan mata sendiri. Sekiranya beliau takut pergi, saya boleh menemani beliau bersama khinzir tidak akan gigit anda. Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab harus menegakkan prinsip akauntabiliti dan ketelusan. Apakah sebabnya ladang ternakan khinzir Chin ditutup? Saya ingin tegaskan bahawa DAP tidak akan mempertahankan mana-mana ladang ternakan khinzir yang mencemarkan alam sekitar tertakluk kepada syarat pihak berkuasa bertindak adil bahawa peraturan yang sama dikenakan ke atas ternakan lembu, kambing dan ayam. Saya meminta hukumlah yang mengotori kawasan persekitaraan bukanlah yang bersih. Chin telah membelanjakan begitu banyak untuk mendirikan sistem pengawalan najis babi terkini – apa yang beliau perlu lakukan lagi? Perlu diingatkan di sini bahawa kebanyakan penternak khinzir adalah ahli dan penyokong kuat MCA, kalaulah ini layanan MCA berikan ke atas ahli dan penyokong setia, memang MCA tipu dan mengkhianati rakyat dalam pilihanraya besar 2004 bila berkata, “dalam kerajaan lebih senang buat kerja” Perusahaan ternakan khinzir memberikan peluang pekerjaan kepada 5,000 orang di Melaka selain daripada 82 keluarga penternak. Nilai dan sumbangannya kepada ekonomi negeri hampir RM 200 juta setahun dan akan membawa kesan buruk kalau ditutup. Oleh itu kami mendesak kerajaan mengambil sikap toleransi dan positif demi kepentingan ekonomi semua tanpa meminggirkan sesiapa. Pemusnahan Tokong Buddha, Rumah Beribadat Dan Rumah Kediaman Lee Ah Kau Di Bemban, Jasin. Islam hadhari menjaminkan pembelaan hak kumpulan minoriti tetapi nampaknya kerajaan negeri cakap tak serupa bikin dalam kes pemusnahan tokong Buddha, rumah beribadat dan rumah kediaman Lee Ah Kau di Bemban Jasin pada waktu subuh 4 Janauri 2006. Lee adalah tuanpunya tanah pertanian dan telah mulai membina rumah beribadat dan patung Buddhanya sepanjang 60 kaki pada 8 tahun lepas. Pada tahun lepas beliau telah diberikan notis oleh Majlis Daerah Jasin di bawah Seksyen 72 Akta Jalan, Parit dan Bangunan untuk merobohkan patung Buddha dan rumah beribadat peribadi. Tidak ada sebarang notis untuk memusnahkan kediaman peribadi saya. Tapak tanah Lee adalah di kawasan pedalaman yang diduduki oleh penduduk bukan Islam dan tidak dididuki oleh penduduk Islam. Beliau tidak menerima sebarang aduan daripada sesiapa selama ini. Beliau telah meminta bantuan daripada YB Air Panas MCA yang berjanjikan secara hitam putih dan disusuli oleh kenyataan akhbar Pengerusi MCA Melaka YB Macap bahawa rumah beribadat akan dikekalkan sekiranya Patung Buddha dirobohkan. Encik Lee telah mulai merobohkan Patung Buddha seperti yang dikehendaki. Tetapi sebelum beliau sempat habiskan kerja pemusnahannya, pihak penguatkuasa dan polis sebanyak 300 orang telah mengepong dan menyerbu tempatnya dalam satu operasi besar-besaran. Semua bangunan dirobohkan termasuk rumah kediamannya, di mana Majlis Daerah Jasin tidak keluarkan satu notis pun. Malah setiap patung Buddha dipancung kepalanya. Hanya satu rumah burung tertinggal, semua bangunan dihancurkan sampai pasir dalam operasi 15 jam ini. Kerugian yang dialaminya adalah RM 300,000/-. Beliau tidak diberikan masa mengangkat wang dan milikan peribadi seperti peti sejuk dan peti televisyen. Adakah ini Islam hadhari yang diamalkan oleh kerajaan negeri Melaka? Kalau begitu, maka Jasin mungkin merupakan tempat di mana tidak ada kebebasan agama seperti yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 4A Perlembagaan Negeri Melaka. Memang mengecewakan sikap tidak toleransi ini didokong oleh MCA yang berlawanan dengan hak berperlembagaan mengamalkan agama masing-masaing secara aman dan harmonis. Kami ingin mendesak pihak berkuasa meminta maaf dan memberikan pampasan kepada Encik Lee kerana merobohkan rumah kediamannya yang tidak diberikan notis pun. Tindakan sedemikian oleh Majlis Daerah Jasin bersama MCA memang biadab, tidak bertamadun dan berlawanan dengan Islam Hadhari yang ditonjolkan oleh YAB Perdana Menteri. Mungkin YB Air Panas tidak perlukan sokongan masyarakat bukan Islam dalam pilihanraya, tetapi beliau harus menjadi wakil rakyat kepada semua bukan satu golongan sahaja. Penekanan Kepada Integriti Dalam Pentadbiran Kerajaan Negeri Kami juga kesal bahawa pihak pentadbiran negeri tidak memberikan penekanan yang sewajarnya kepada nilai integriti dalam pentadbiran kerajaan negeri. Contohnya YAB Ketua Menteri masih belum menjelaskan tentang tabung misteri kebajikan kesihatannya sebanyak RM 908,242.33 yang dikumpulkan daripada orang awam sejak 19.12.2001 untuk membantu pesakit-pesakit miskin tetapi digunakan untuk membiayai kos rawatan hospital ahli keluarganya dan beberapa Datuk. Apakah kedudukan tabung ini sekarang? Kami tidak mempertikaikan hak ahli keluarga YAB mendapat rawatan di hospital swasta sunggunhpun berhak mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan. Yang menjadi isu bukan pembayaran oleh YAB Ketua Menteri sekiranya menggunakan wang sendiri tetapi mengapa wang yang dikutip oleh orang awam digunakan bukan untuk membantu orang miskin tetapi orang berada dan ahli keluarganya. Di samping itu, mengapakah perbelanjaan RM 450,000 untuk mengecat semula Hospital Putra(dulunya Southern Hospital) tidak diberikan secara tender terbuka. Adakah tender ini sah diberikan melalui Jawatankuasa Tender mengikut peraturan tender. Bilakah mesyuarat ini diadakan dan siapakah yang hadiri mesyuarat ini? Kerajaan BN harus menghormati Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan di mana undang-undang dilaksanakan secara sama rata ke atas semua rakyat Malaysia. Peruntukan pembangunan kecil tahunan sebanyak RM 50,000 – RM 100,000 untuk setiap DUN harus diberikan kepada semua wakil rakyat baik parti kerajaan ataupun pembangkang. Oleh kerana tidak ada sebarang penelitian atau audit yang rapi, banyak penyelewengan dan penyalahgunaan peruntukan pembangunan kecil kawasan dan elaun perjalanan telah berlaku. Contohnya YAB Ketua Menteri Melaka dan ADUN-ADUN Negeri Melaka telahpun menyalahgunakannya untuk tujuan dan menfaat politik dan peribadi seperti berkempen di pilihanraya kecil, menghadiri mesyuarat parti, mengadakan sidang akhbar dengan pemberita, mengadakan jamuan makan, membeli hamper Hari Raya, pergi luar negeri makan angina, membeli lounge suit dan telefon bimbit. Wakil rakyat BN Melaka diberikan RM 5,000 setiap orang untuk adakan rumah terbuka pada hari perayaan di mana perbelanjaan tidak diaudit langsung. Wakil rakyat yang bukan Ahli EXCO dilantik sebagai Timbalan EXCO dan diberikan bayaran RM 2,000 sebulan sungguhpun tidak termasuk dalam Anggaran Belanjawan Negeri dan jawatan tersebut tidak diperakukan dalam undang-undang ataupun Perlembagaan Negeri. Kenaikan Cukai Tanah Harus Dibatalkan Demi Membantu Rakyat Meringankan Beban Ekonomi Ekoran Kenaikan Harga Minyak. Semua fi bayaran kerajaan seperti kenaikan cukai tanah harus dibatalkan demi membantu rakyat meringankan beban ekonomi ekoran kenaikan harga minyak. Adalah tidak bertanggungjawab dan tidak munasabah cukai pintu dinaikkan bukan 20% seperti yang diumumkan tetapi 122% dan ada pula di Jasin sampai 62 kali ganda. Apakah keseluruhan cukai tanah, dan tambahannya ekoran kenaikan ini? Soal pokoknya adakah kenaikan ini perlu pada masa ekonomi yang kian mencabar khususnya golongan tidak berada. Saya kesal usul saya mengenai masalah ekonomi rakyat tidak langsung diterima tanpa sebarang sebab diberikan. Mengapa perlu takut menghadapinya untuk sesuatu perkara yang berkepentingan awam. Adakah wang tambahan daripada kenaikan cukai tanah digunakan untuk kebaikan rakyat atau digunakan untuk buat projek “gajah putih” seperti Jejantas Sentral sebanyak RM 4.5 juta di mana 4 buah kedai di atas belum dibuka lagi, atau Air Pancut Hang Tuah Jaya sebanyak RM 370,000 boleh menarik pelancong luar negeri ataupun RM 10.7 juta untuk Media House yang selain daripada Melaka Minggu Ini tidak ada media massa lain yang berminat. Demi menggerakkan pertumbuhan Keluaran Negeri Kasar sebanyak RM 7.9 bilion ke tahap yang lebih tinggi, kerajaan mesti menambahkan nilai dari sektor perindustrian, pertanian dan perkhidmatan. Selagi kerajaan negeri ingin mencapai sasaran pelancong negeri sebanyak 5 juta tahun ini maka ia mesti dilihat sebagai toleransi, bersih cekap dan amanah. Tindakan menutup ladang khinzir atau merobohkan patung Buddha memang tidak memberikan gambaran positif dan menggalakkan. Akhir kata, selagi perpaduan berdasarkan nilai bersama tidak dihormati dan panduan berkongsi bersama hasil dan beban ekonomi tidak diutamakan maka akan ujudnya ketidakadilan dan golongan terpinggir di masyarakat kita.
(28/03/2006)
*
Betty Chew Gek Cheng,
Ketua Pembangkang Dan ADUN Kawasan Kota Laksamana |