http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Masalah yang dihadapi oleh penduduk di Tawau, Sabah
 


Ucapan Perbahasan
by Teresa Kok

(Parliament, Monday): Ucapan YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh Dalam Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah:

Pertama sekali, saya ingin menyentuh tentang masalah yang dihadapi oleh penduduk dari Andrassy, Bukit Tajam dan Serudong.

 

Terdapat 120 penanam yang merupakan bekas pegawai kerajaan dan juga penerima pencen kerajaan di Tawau telah membuka sekeping tanah yang terbalak di hutan simpanan di Andrassy lebih daripada 20 tahun yang lepas. Pada September tahun ini, 52 daripada rumah mereka dibakar oleh pegawai daripada Jabatan Perhutanan di Sabah. Mereka merasa amat kecewa kerana rumah mereka dibakar walaupun mereka telah membentangkan aduan mereka kepada Ketua Menteri Sabah.

 

Saya difahamkan bahawa mereka pernah membentangkan permohonan mereka kepada kerajaan untuk menjalankan penanaman di tanah kerajaan. Permohonan mereka juga telah mendapat sokongan daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan ADUN di Sabah, mereka telahpun menggunakan wang simpanan seumur hidup mereka untuk membuka tanah dan menjalankan penanaman, kesalnya kesemua permohonan daripada bekas pegawai kerajaan ini ditolak.

 

Sehubungan dengan itu, 250 orang Murut selama 6 generasi di Serudung di Sabah yang telah membentangkan permohonan 1,000 ekar tanah juga merasa amat kecewa kerana tanah nenek-moyang yang mereka pohon itu telahpun diberi kepada syarikat swasta.  Mereka pernah membuat permohonan kepada Jabatan Tanah dan Pengukuran sejak tahun 70-an, di samping itu, nenek-moyang mereka merupakan pemastautin yang paling awal di Serudung Lama, malah sebelum negara kita mencapai kemerdekaan, tetapi permohonan mereka masih ditolak oleh kerajaan. Keputusan pihak kerajaan Sabah ini amat mengecewakan Golongan orang Murut di Tawau ini.

 

Perkara yang agak sama juga berlaku di kawasan Mount Pock, Tanjong Nagos di Semporna, di mana 141 keluarga yang kebanyakannya terdiri daripada kaum Melayu telahpun menjalankan penanaman di tanah di Semporna selama 30 tahun. Mereka telah membuat permohonan tanah lebih daripada 20 tahun sejak zaman pemerintahan PBS tetapi kesalnya permohonan mereka tidak diluluskan.

 

Pada akhir tahun 2005, tanah mereka disewa kepada Syarikat Warisan Jayamakmur Sdn Bhd dengan sewa tahunan RM524,000. Pegawai Jabatan Perhutanan masuk ke kawasan kediaman dan penanaman mereka membakar rumah-rumah mereka, merampas kesemua hartanah termasuk kambing, ayam, mesin, kenderaan dan menebang semua pokok buah-buahan mereka. Mereka yang enggan mengosongkan tanah mereka pula ditangkap dan dimasukkan ke penjara.  Selepas itu, syarikat Warisan Jayamakmur Sdn Bhd mengambil-alih kesemua buah-buahan dan hasil tanaman yang ditanam oleh kesemua keluarga tempatan.

 

Datuk Pengerusi, saya difahamkan bahawa ADUN di kawasan Semporna telahpun membentangkan masalah para penduduk di Mount Pock dan Tanjong Nagos secara bertulis kepada Ketua Menteri Sabah pada Januari 2006, tetapi kesalnya masalah yang dihadapi oleh kesemua 141 keluarga ini masih tidak diselesaikan, oleh itu, saya membawa isu ini ke Dewan yang mulia ini. Saya berharap pihak kementerian yang ingin membasmikan kemiskinan boleh menunjukkan keprihatinan dan menghulurkan bantuan kepada para penanam dan peneroka di luar bandar tersebut.  

(13/11/2006)


*Teresa Kok, MP for Seputeh and DAP Publicity Secretary

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: