http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance
Adakah Muhyiddin mampu mendedahkan cara pengiraan ekuiti Bumiputera yang dikatakan pada tahap18.9% itu?

 


Media Statement

by Ronnie Liu Tian Khiew


(Petaling Jaya, Thursday): Mengikut satu lapuran hari ini dari Muar, Johor, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan kenyataan sebuah kumpulan penyelidik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bahawa orang Melayu kini sudah menguasai 45 peratus kekayaan ekonomi di negara ini.

Sambil menyifatkan laporan yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan bukan berbahasa Melayu (The Sun) semalam sebagai mengelirukan, beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, orang Melayu hanya mencapai 18 peratus penguasaan ekonomi.

Muhyiddin  Yassin telah membuat satu kesilapan yang besar kerana nampaknya beliau terkeliru dengan perbezaan di antara ekuiti bumiputra dengan kekayaan ekonomi, walaupun ekuiti merupakan sebahagian daripada kekayaan ekonomi.

Apa yang dibentangkan oleh ASLI adalah ekuiti bumiputra telah mencapai 45% pada tahun 2005, dan bukannya 18.9% yang dikatakan oleh kerajaan BN dalam RMK 9.

 

Muhyiddin juga  berkata, peratusan itu tidak berganjak sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) tamat pada 1990 iaitu kira-kira 16 tahun lalu, berbanding bukan bumiputera yang menunjukkan peningkatan.

 

Jika ini benar, apakah kerajaan BN yang didominasikan oleh UMNO sendiri sudah gagal selama ini? Apakah UMNO selama ini tidak mampu ataupun kurang 'idea' untuk membantu kaum Bumiputra dalam usaha mempertingkatkan ekuiti mereka?

Kami juga tidak bersetuju dengan komen beliau kerana beliau mendakwa bahawa kenyataan yang dikeluarkan itu seolah-olah cuba menunjukkan bahawa orang Melayu di Malaysia sudah cukup kaya dan mendapat banyak kuasa ekonomi di negara ini.

 

Tujuan kenyataan itu ialah menunjukkan ekuiti Bumiputera telah mencapai matlamat DEB, iaitu 30%, maka DEB tidak haruslah dilanjutkan lagi.

 

Tiada sesiapa yang katakan semua orang Melayu ataupun Bumiputera sudah cukup kaya.  Tentunya ada yang kaya dan ada yang miskin dalam setiap kaum di Malaysia. Tentunya YTL, Lim Goh Tong dan Ananda Krishanan bukannya orang Melayu dan Datuk Syed Mokhtar Al Bukhary dan Datuk E, Datuk K dan Datuk R bukannya orang Cina atau India.

Dakwa Muhyiddin juga kurang tepat apabila beliau katakana ''penyelidik NGO yang tidak perlu saya namakan itu memberikan contoh syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC), yang kita sedia maklum ia adalah milik kerajaan dan bukannya orang Melayu kecuali Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang sememangnya ditubuhkan untuk membantu orang Melayu."

 

Ini adalah kerana ASLI tidak pernah mengambil kira bahawa semua ekuiti dalam GLC adalah 100% dimiliki Bumiputera. Hanya separuh ekuiti dalam GLC dianggap sebagai ekuiti Bumiputera. Adakah Muhyiddin anggap semua ekuiti dalam GLC dimiliki oleh bukan Bumiputera ataupun orang asing?

 

Sebenarnya, mengikut ASLI, jika ekuiti dalam GLC tidak diambil kira, ekuiti Bumiputera sudah pun mencapai tahap lebih daripada 30%.

Bagaimanapun, kami bersetuju dengan cadangan Muhyiddin bahawa memandangkan laporan yang dibuat oleh kumpulan penyelidik itu telah dihantar kepada kerajaan, maka perkara tersebut perlu diperjelaskan semula oleh kerajaan atau agensi yang bertanggungjawab seperti Unit Perancang Ekonomi.

Kami tidak pernah mempertikaikan usaha kerajaan membantu kaum Melayu. Pada masa yang sama, kerajaan harus membantu semua lapisan masyarakat dan golongan miskin tanpa mengira kaum dan latarbelakang mereka.

 

Masalah DEB ialah dasar ini telah diimplimentasikan untuk memanfaatkan golongan yang sudah kaya dan mereka yang rapat dengan kuasa pemerintah.

 

Golongan yang kaya dan berkuasa ini terdiri daripada tokoh-tokoh politik dan ahli-ahli perniagaan yang rapat dengan pemimpin UMNO, MCA, MIC, PBB, Gerakan dan SUPP. Rakyat jelata di akar umbi terus merana kerana mereka tidak mendapat apa-apa bantuan yang signifikan seperti golongan atasan.

 

Dan 'mental subsidi' yang tidak sihat juga dilahirkan kerana pelaksanaan DEB yang kurang tepat dan berkesan dan ini sudah menjadi satu halangan yang besar untuk kaum Bumiputera sendiri.

 

Kita perlukan satu dasar ekonomi yang lebih baik dan berkesan untuk semua lapisan masyarakat di Malaysia, baik miskin mahupun kaya. Rasa tidak puas hati di kalangan bukan Melayu pasti akan tercetus di negara ini jika DEB diteruskan walaupun ikuiti Bumiputera telah tercapai 30%.

 

Ya, kami dalam DAP memang  pertikaikan dengan angka yang diberikan dalam RMK9 itu. Kami masih menunggu pihak kerajaan memberi penjelasan bagaimana (dengan pendedahan cara pengiraan) mereka mendapat angka ikuiti Bumiputera yang dikatakan hanya pada tahap 18.9% itu

(05/10/2006)


*Ronnie Liu Tian Khiew, DAP CEC member and NGO Bureau Chief

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: