http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Perutusan Hari Raya Aidil fitri 2006


Media Statement

by Lim Guan Eng



(Petaling JayaMonday): Sempena 1 Syawal yang mulia ini, saya bagi pihak parti pelbagai kaum DAP ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua kaum Muslimin dan Muslimat serta rakyat Malaysia amnya, dengan harapan bahawa hari yang berkat ini akan mengeratkan lagi hubungan kiat sesama insan tanpa mengira agama dan warna kulit.
 

Setelah hampir 50 tahun kita mencapai kemerdekaan, kita akui taraf hidup kita telah bertambah baik. Kemakmuran dan kesejahteraan yang kita kecapi selama ini bukan datang bergolek. Ia adalah hasil kerjasama erat sesama kaum dan sikap saling faham-memahami antara kita.
 

Namun, masih ada golongan yang enggan menerima hakikat hidup bersama. Mereka lebih rela memencilkan diri dan mahu pula memaksa orang lain mengikut fahaman sempit mereka. Sikap ini tidak akan membantu ke arah mewujudkan Bangsa Malaysia yang saksama dan sama taraf.
 

Rasa benci atau jijik terhadap orang lain yang tidak seagama atau sama kaum dengan kita akan membawa kepada kehancuran masyarakat. Kita harus mengelakkan diri daripada terjerumus dengan perasaan dan sikap yang keji ini.
 

Sambutan Aidilfitri kali ini, yang dirayakan tidak sampai seminggu selepas rakyat Malaysia beragama Hindu meraikan Deepavali, adalah mercu tanda kejayaan kita yang dapat hidup bersama tanpa pertumpahan darah.
 

Walaupun Hari Raya milik khusus umat Islam, kita di Malaysia sudah pun menerimanya sebagai satu perayaan utama yang dikongsi bersama oleh semua kaum dan agama. Malah, kita bangga dengan gelaran “Deepa Raya”, sebagaimana tahun lalu di mana Deepavali disambut hampir seiringan dengan Hari Raya.
 

Kita harus menaruh harapan bahawa bangsa Malaysia yang akan wujud suatu hari nanti akan berasaskan kepada perasaan saling percaya dan yakin dengan sepenuh-penuh kejujuran. Kita tidak mahu lagi melihat kaum-kaum tertentu diperlekehkan atas dasar diskriminasi kaum dan agama.
 

Memang politik dan ahli politik yang bersikap perkauman tidak akan lenyap dari bumi ini. Namun kita patut bertekad untuk tidak membenarkan perbezaan politik, kaum dan agama memecahbelahkan perpaduan kita. Sebaliknya, kita perlu terus gigih berusaha ke arah kemakmuran, kebebasan dan peluang serta hak saksama bagi setiap rakyat Malaysia.

Inilah perjuangan DAP dan kami percaya hanya sikap dan hati terbuka serta perpaduan ikhlas mampu menghakis perasaan syak wasangka antara kaum dan agama. Saya yakin semua agama dan kepercayaan mengajar kita supaya menghormati hak asasi dan hak milik orang lain. Mari kita jadikan Malaysia sebagai negara dan masyarakat yang lebih bebas, demokratik, toleransi dan makmur dalam masa yang terdekat ini.

(23/10/2006)


* Lim Guan Eng,  Secretary-General of DAP

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: