http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance
Bajet 2007 merupakan satu bajet yang agak menyeluruh berbanding dengan tahun lepas, tetapi malangnya ia telah gagal menyentuh banyak isu ekonomi dan  politik.

 


Speech

by Teresa Kok Suh Sim



(Parliment, Tuesday): Datuk yang diPertua, Bajet 2007 merupakan satu bajet yang agak menyeluruh berbanding dengan tahun lepas, tetapi malangnya ia telah gagal menyentuh banyak isu ekonomi dan  politik.

Dana Pelaburan Terus (FDI) Berkurangan

1) Dana Pelaburan Asing Terus ataupun FDI. Bajet 2007 tidak menyentuh tentang cara-cara kerajaan ingin menarik kemasukan FDI ke negara kita. Sekiranya kita membuat satu perbandingan di antara kemasukan FDI di rantau ini, kita akan mendapati Malaysia merupakan negara yang menikmati kemasukan FDI yang paling kurang. Misalnya, FDI di Indonesia bertambah daripada RM3.7 billion kepada RM12.96 billion, FDI di Thailand bertambah daripada RM5.18 billion; FDI di India bertambah daripada RM19.6 billion kepada RM22.2 billion.  Sebaliknya FDI di Malaysia berkurangan daripada RM17 billion pada tahun lepas ke RM15.54 billion.    

 

Kerajaan mesti mengkaji kenapakah pelabur asing enggan datang ke Malaysia. Negara kita mempunyai sumber asli yang banyak dan pekerja yang berpendidikan tinggi yang semakin bertambah, kenapakah kita gagal menarik mereka untuk terus melabur ke Malaysia? Apakah ini disebabkan oleh negara kita kekurangan alam perniagaan (business environment) yang memuaskan? Apakah ini disebabkan oleh korupsi, kekurangan efisiensi dan ketidakadilan dari segi peluang persaingan di antara kaum yang berlainan yang telah menjadi budaya di negara kita?  Kenyataan yang diluahkan oleh Menteri Perdagangan dan Perindustrian bahawa pelabur asing yang tidak suka tentang sistem 30% kuota kepada kaum Bumiputera adalah lebih baik tidak datang ke Malaysia. Kenyataan yang angkuh dan sombong seperti ini sudah tentu menakutkan pelabur asing daripada datang ke Malaysia dan kita akan rugi pada akhirnya.       

 

Selain itu, saya juga menerima aduan daripada pelabur asing bahawa kontrak yang dimeterai oleh mereka dengan kerajaan Malaysia tidak dipatuhi dan dihormati. Contoh yang paling ketara ialah kes syarikat InvenQjaya, di mana kerajaan sekarang tidak mengikuti kesemua tawaran dan syarat yang termaktub dalam perjanjian, dan malah menggunakan polis untuk membeku akaun bank dan aset syarikat tersebut selama satu setengah tahun tanpa sebab-sebab yang munasabah, menyebabkan pelabur asing tersebut terpaksa mendakwa kerajaan di mahkamah. Kes seperti ini pun telah menakutkan pelabur asing daripada melabur di Malaysia. Saya ingin minta pihak Kementerian Kewangan memberi satu penerangan di dewan ini sebab kerajaan tidak menunaikan janji dan mematuhi kontrak dengan InvenQjaya.   

 

Soalan saya ialah, apakah langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk membetulkan keadaan ini dan menarik kemasukan FDI ke Malaysia?

 

Kerajaan Harus Mengkaji Dasar Untuk Menarik Talent ke Malaysia   

2) Sehubungan dengan itu, tiap-tiap tahun kita mempunyai beribu-ribu rakyat Malaysia yang belajar di luar negeri pilih untuk bekerja di luar negeri. Selain itu, ramai orang asing yang mempunyai kemahiran dalam bidang tertentu ingin bekhidmat dan bermastautin di Malaysia menghadapi permohonan mereka ditolak. Penawaran kewarganegaraan yang ketat ini pun menyebabkan ramai orang asing yang belajar ataupun berkhidmat di Malaysia terpaksa berhijrah ke negara lain yang sudi menerima mereka sebagai pemastautin tetap ataupun warganegara.

 

Saya ingin mencadangkan supaya kerajaan mencontohi dasar negara lain yang mengalu-alukan talent asing. Misalnya ASEAN Scholarship yang ditawarkan oleh kerajaan Singapura telah menarik beribu-ribu warga asing yang mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang untuk belajar dan akhirnya bekerja di Singapura. Biasiswa ini juga telah menarik beratus-ratus pelajar Malaysia yang cerdik-pandai untuk belajar dan berkhidmat di Singapura, dan ramai di antara pelajar Malaysia ini akhirnya menjadi pemastautin tetap di Singapura. Begitu juga dengan dasar kerajaan Australia yang menawarkan status pemastautin tetap kepada pelajar asing yang mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang di negaranya, penawaran ini juga berjaya menarik ramai warga asing, termasuk orang Malaysia yang mempunyai kemahiran dan berpendidikan yang tinggi untuk menyumbang kebolehan mereka kepada ekonomi Australia.

 

Sekiranya Malaysia ingin mencapai status negara maju, kita mesti mempunyai dasar yang  menarik talent dan orang yang cerdik-pandai untuk bermastautin dan bekerja di Malaysia. Di Amerika Syarikat, masyarakat orang Asian di negara itu telahpun menyumbang USD3 trillion kepada ekonomi Amerika Syarikat, dan sumbangan mereka adalah amat penting kepada ekonomi Amerika Syarikat. 

 

Sebaliknya, dasar kerajaan yang mengamalkan hak kewarganegaraan yang ketat telahpun menyusahkan orang asing yang mempunyai kemahiran tinggi yang berkahwin dengan warga Malaysia. Ramai suami asing dan isteri asing yang merupakan professional mengadu bahawa mereka ditegah daripada bekerja dan permohonan untuk mendapat kewarganegaraan Malaysia. Dasar ini pun secara tidak langsung menyebabkan kita kehilangan tenaga kerja yang berkemahiran daripada menyumbang kepada ekonomi kita. Ini adalah dasar yang harus dikajisemula oleh kerajaan. 

 

Membantah Ahli Politik Menjadi Datuk Bandar KL 

Datuk yang diPertua, baru-baru ini terdapat ahli-ahli politik BN mencadangkan jawatan Datuk Bandar DBKL dipegang oleh ahli politik dan bukannya pegawai kerajaan. Saya amat tidak setuju tentang cadangan ini kerana ia adalah membuka pintu bagi korupsi dan kronisme BN berlaku pada tahap tinggi berlaku dengan lebih serius di Kuala Lumpur.

 

Pada waktu sekarang, orang yang paling menyalahgunakan kuasa dan mencabuli undang-undang ataupun peraturan DBKL ialah  ahli politik daripada Barisan Nasional dan bukannya parti pembangkang. Cawangan-cawangan BN selalu mencerobohi tanah hijau dan mendirikan premis cawangan mereka atas tanah kerajaan. Contoh yang paling ketara ialah bangunan Cawangan UMNO Seputeh. Bangunan UMNO Seputeh ini telahpun didirikan di tanah kerajaan di Jalan Kuchai Lama selama beberapa tahun. Ahli-ahli UMNO Seputeh ini enggan berpindah apabila DBKL menjalankan pembinaan jambatan bertingkat yang bertujuan meredakan kesesakan trafik di sekitar kawasan itu sehingga projek tersebut terpaksa tergendala selama 1 tahun lebih. Sekarang, bangunan UMNO Seputeh dipindah ke Taman Desa. Saya difahamkan bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan memberi peruntukan kepada pembinaan premis cawangan baru tersebut atas nama Pusat Khidmat Masyarakat Kawasan Parlimen Seputeh. Selain itu, bangunan cawangan itu sekali lagi dibina pada tapak permainan kanak-kanak di Taman Desa. Soalan saya ialah, bukankah ini satu bentuk korupsi dan penyalahgunaan kuasa yang diinstitusikan melalui dana dan jentera kerajaan? Kenapakah Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL membenarkan penyalahgunaan kuasa yang begitu ketara dilakukan oleh UMNO Seputeh? Saya percaya masalah penyalahgunaan kuasa ini akan lebih serius sekiranya jawatan Datuk Bandar diipegang oleh ahli politik Barisan Nasional. 

 

Penyalahgunaan kuasa ini juga dilakukan oleh MCA. Bangunan MCA Cawangan OUG juga diletakkan pada tanah hijau di sebelah Jalan Awan Besar. Semasa  jalan tersebut dilebarkan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dari Kawasan Bandar Tun Razak malah mengarahkan kontraktor projek berkenaan untuk membantu MCA membesarkan halaman MCA OUG di tanah hijau tersebut. Arahan itu tidak dijalankan kerana penduduk di sekitar keluar membantah tindakan ini.   

 

Sebagai wakil rakyat, saya jarang berjumpa dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur kecuali saya ada isu rakyat yang amat penting yang perlu campurtangan daripada Datuk Bandar. Perbezaan di antara wakil rakyat DAP dengan ahli politik BN ialah, kami jumpa Datuk Bandar atas isu rakyat tetapi ahli politik BN berjumpa dengan Datuk Bandar demi kepentingan mereka sendiri, kebanyakan mereka berjumpa dengan Datuk Bandar kerana ingin minta projek. Apabila permintaan untuk mendapatkan projek ditolak oleh DBKL berkali-kali, mereka pun berpakat untuk mendesak Datuk Bandar ditukar kepada ahli politik.  Pada pandangan saya, walaupun Datuk Bandar sekarang mungkin pernah membuat kesilapan sana-sini, tetapi beliau sebenarnya lebih profesional dan lebih mesra berbanding dengan bekas Datuk Bandar yang lebih pro- ahli politik BN.  

 

Datuk yang diPertua, sekiranya kerajaan berikhtiar untuk membasmikan rasuah dan kronisme daripada sistem kerajaan kita, maka pihak kerajaan, khususnya Badan Pencegah Rasuah haruslah bertumpu pada agensi-agensi kerajaan tempatan, khususnya majlis perbandaran dan pejabat tanah. Sekiranya kerajaan ingin melantik ahli politik untuk menjadi Datuk Bandar, maka perlantikan ini sepatutnya dibuat oleh penduduk di Kuala Lumpur melalui pilihan raya kerajaan tempatan. Biarlah pembayar cukai di Kuala Lumpur untuk membuat keputusan siapakah yang patut menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur, biarlah keputusan ini dibuat oleh rakyat dan bukannya Barisan Nasional.  

 

Masa Depan Kereta Proton dan Penyelewengan Dalam Syarikat Proton

Ucapan bajet 2007 tidak menyentuh tentang perancangan kerajaan terhadap kereta Proton. Saya difahamkan bahawa terdapat 42,000 unit stok kereta Proton pada harga RM40,000 setiap unit setakat Jun 2006. Di antaranya 5,000 unit stok kereta Proton ini adalah dibuat pada tahun 2005. Kereta baru yang tidak jual dalam tempoh 3 bulan selepas ia dibuat akan menjadi rosak. Jumlah unit stok kereta yang tertinggal dan tidak dijual ini bernilai sebanyak RM1.68 billion.

 

Pada bulan September 2005, syarikat Proton telah memberi diskaun sebanyak RM150 juta kepada dealer ataupun pembekal dan juga pembeli, sekiranya kita menambah kos pengiklanan, jumlahnya telah menjadi RM200 juta. Projek yang dipanggil P21 ini pun telah menjadi kereta Proton tidak beruntung. Sekarang terwujudnya persaingan pemotongan harga jualan kereta Proton kerana kereta Proton memang tidak laku di pasaran kereta kita.

 

Sehubungan dengan itu, saya difahamkan bahawa wang tunai di syarikat Proton juga telah jatuh daripada RM2.4 billion kepada RM500 juta dalam tempoh 12 bulan. Saya ingin minta kementerian memberi penjelasan tentang sebab pengurangan wang tunai di syarikat Proton dan memberi pecahan penggunaan wang tunai ini. Selain itu, saya juga ingin tanya, projek kenderaan baru yang telah dijanjikan ialah RM4 billion, memandangkan Syarikat Proton sekarang hanya mempunyai RM500 juta di tangannya, macam manakah syarikat Proton mencari RM3.5 billion untuk melancarkan projek-projek kenderaan baru? Sekiranya syarikat Proton tidak mengeluarkan kereta Proton baru, maka syarikat Proton tentu susah untuk diteruskan lagi.

 

Datuk yang diPertua, perniagaan dan industri Proton akan menghasilkan impak terhadap 40 ribu orang yang bergantung kepada kereta Proton yang telah meletakkan pelaburan yang berjumlah dalam anggaran RM13 billion ke dalam industri ini. Sebenarnya 80% pembekal Proton dan 40% vendor Proton telah menghadapi kerugian yang serius. Soalan yang saya ingin tanya ialah, kerajaan telah menukar CEO dan anggota lembaga syarikat Proton selama satu tahun, kenapakah kereta Proton menghadapi kerugian yang semakin teruk selepas orang baru mengambil-alih lembaga pengarah? Apakah rancangan lembaga pengarah syarikat Proton untuk menyelamatkan kereta Proton?

 

Sehubungan dengan itu, saya difahamkan bahawa Pengerusi bukan eksekutif (non-executive chairman) syarikat Proton dibayar elaun bulanan sebanyak RM24,000  manakala bekas pengerusi hanya menerima RM 50,000 hingga RM60,000 setahun. Saya juga difahamkan bahawa beliau dan keluarganya diberi layanan penerbangan kelas pertama untuk pergi ke mana-mana tempat di dunia ini, beliau diberi penjaga keselamatan untuk rumahnya, selain itu, beliau dan seluruh keluarganya diberi layanan perubatan dan perubatan gigi secara percuma. Sekiranya seseorang hanya memegang jawatan bukan eksekutif, kenapakah beliau diberi layanan yang begitu istimewa memandangkan syarikat Proton mengalami kerugian yang begitu teruk dan wang tunai yang semakin berkurangan sekarang?

 

Datuk yang diPertua, saya amat meragui jawapan yang diberi oleh Timbalan Menteri Kewangan terhadap soalan lisan saya pada 5 September 2006 bahawa kereta Proton dijangka akan mencipta keuntungan pada tahun 2006. Saya ingin minta pihak kementerian memberi satu jawapan yang terperinci tentang rancangan kerajaan untuk menyelamat kereta Proton.

 

Bilakah Rang Undang-undang Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah dikuatkuasakan?

Datuk yang diPertua, kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah meluluskan rang undang-undang Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah dalam sidang Parlimen Jun dan Julai tahun ini. Kedua-dua rang undang-undang ini merupakan hasil pengumpulan pandangan orang ramai dan rundingan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang telah memakan masa selama dua tahun. Banyak pindaan dalam kedua-dua rang undang-undang ini telah mendatangkan sambutan yang baik daripada banyak pihak, khususnya beberapa fasal yang memelihara hak asasi manusia, termasuk fasal 113 dan 117 dalam Kanun Tatacara Jenayah, dan juga denda khimat masyarakat terhadap pesalah muda. Banyak pihak sekarang tertanya-tanya, bilakah rang undang-undang ini akan dikuatkuasa dan dilaksanakan supaya fasal-fasal yang mempertahankan hak asasi manusia ini boleh dilaksanakan.   

 

Datuk yang diPertua, saya difahamkan bahawa satu rundingan beberapa pihak telahpun dipanggil oleh Peguam Negara terhadap hukuman Khidmat Masyarakat yang termaktub dalam rang undang-undang Kanun Tatacara Jenayah beberapa minggu lepas kerana pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata mereka belum bersiap-sedia dalam program Khidmat Masyarakat dan mereka tidak mempunyai tenaga yang cukup untuk mengendalikan program ini. Selain itu, ada juga pihak yang berkata fasal berkenaan tidak memberi keperincian yang cukup. 

 

Sebagai salah seorang anggota dalam Jawatankuasa Pilihan Khas ini, saya merasa kesal terhadap kenyataan seperti ini kerana wakil Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, JAKIM dan Peguam Negara telah bermesyuarat bersama Jawatankuasa Pilihan Khas ini selama 2 tahun. Kesemua wakil kementerian ini sepatutnya telah memanjangkan hasrat dan keputusan Jawatankuasa Pilihan Khas ini kepada jabatan-jabatan berkenaan, kenapakah pihak agensi-agensi kerajaan ini sekarang berkata bahawa fasal rang undang-undang itu tidak  terperinci dan kementerian tidak bersiap-sedia untuk melaksanakannya. Bukankah ini merupakan satu alasan ataupun excuse yang tidak munasabah? Perdana Menteri kita telah banyak kali menekankan sistem penyampaian dalam kerajaan dan beliau menekankan lagi dalam ucapan bajet 2007 ini, kenapakah agensi kerajaan kita masih melengah-lengah untuk melaksanakan usaha ahli Parlimen yang cuba memajukan   undang-undang jenayah kita ini?  Saya berharap kementerian yang berkaitan boleh memberi satu penjelasan terhadap perkara ini, dan saya ingin menyeru kerajaan akan melaksanakan rang undang-undang yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas dengan secepat mungkin.         

 

Suruhanjaya Pilihan Raya Haruslah Menjalankan Pembaharuan

Datuk yang diPertua, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memanggil satu rundingan pelbagai pihak terhadap cadangan pindaan kepada saiz dan cara pemasangan bahan-bahan kempen pilihan raya. Saya merasa agak hairan bahawa mesyuarat dipanggil oleh SPR terhadap isu yang begitu remeh-temeh ini, tetapi bukan membincangkan isu tentang reformasi ataupun pembaharuan SPR yang lebih penting dan besar.  

 

Datuk yang diPertua, kalau Islam Hadhari itu mewakili kejujuran and ketelusan, maka pilihan raya mestilah bebas, saksama, jujur dan telus. Tanpa kebebasan, kesaksamaan, kejujuran dan ketelusan, proses pilihanraya itu menjadi suatu formaliti yang tidak bermakna dan malah suatu penipuan.

 

Isu pertama ialah Daftar pemilih SPR. Daftar Pemilih ini penuh dengan data yang tidak lengkap dan tidak benar. Menurut analisis oleh sistem komputer SISMEP12 Parti Keadilan Rakyat dalam buku Sham Democracy, terdapat 223,950 orang pengundi tidak diberikan saluran pendaftar di Negeri Selangor dalam Pilihan Raya 2004. Angka ini merupakan 16% daripada jumlah pengundi di negeri itu (1,422,274 orang) dalam tahun 2004.  Selain itu, kajian tersebut juga menunjukkan terdapat sebanyak 20,048 orang pengundi berumur 90 hingga 122 tahun ke atas di di Selangor, WP Kuala Lumpur, Perak, Penang, Kedah dan Pahang, iaitu lebih kurang 20 tahun lebih tua daripada jangkaan hayat rakyat Malaysia. Macam manakah ini boleh berlaku?


Selain itu, Daftar Pemilih kita juga penuh dengan pengundi yang mempunyai alamat yang tidak wujud lagi. Ramai penduduk setinggan telahpun berpindah tetapi alamat mereka tetap wujud. Misalnya di sebuah kedai runcit di Kampung Kerinci di Kuala Lumpur, terdapat 142 orang bermastautin di sebuah kedai kecil?

 

SPR telah banyak kali berkata bahawa sistem komputernya telah menyambung sistem komputer di Jabatan Pendaftaran Negara, tetapi kenapakah kesilapan seperti ini masih wujud dalam Daftar Pemilih SPR? 

 

Saya tidak setuju dengan kenyataan SPR bahawa SPR akan meminda undang-undang untuk menghadkan alamat pengundi dalam kad pengenalan mereka mestilah sama dengan alamat dalam Daftar Pemilih, sekiranya ini dilaksanakan, maka ini tentu akan menyusahkan pengundi di luar bandar yang bekerja di kawasan bandar yang mana kebanyakan mereka suka balik kampong untuk membuang undi.

 

Saya mencadangkan supaya Daftar Pemilih di setiap kawasan seharusnya dipaparkan di tempat umum seperti balai polis dan majlis perbandaran bagi semakan orang ramai untuk memastikan pengundi yang tersiar dalam Daftar Pemilih itu merupakan orang yang didaftarkan di alamat benar.  Selain itu, orang yang mati juga haruslah disingkir daripada Daftar Pemilih.

 

Mengecatka Indelible Ink Pada Jari Pengundi

Selain itu, tibalah masanya bagi SPR untuk mengamalkan seruan yang dibuat oleh pelbagai pihak, iaitu mengecatkan jari pengundi yang telah membuang undi dengan dakwat kekal ataupun indelible ink seperti apa yang dilaksanakan di banyak negara seperti India, Filipina dan sebagainya, untuk mengelakkan seseorang pengundi menggunakan kad pengenalan orang lain ataupun orang yang sudah mati untuk membuang undi.

 

Undi Pos Dihapuskan

Undi pos bagi pihak polis dan tentera pada asalnya diperuntukkan kerana anggota-anggota angkatan keselamatan kita terpaksa memerangi gerila komunis. Hari ini kita tidak menghadapi ancaman keselamatan yang begitu serious di mana anggota-anggota keselamatan tidak boleh mengambil giliran untuk mengundi. Ancaman kita hari ini semasa pilihan raya bukanlah Komunis, tetapi ketidaktelusan dan ketidakjujuran SPR. Dalam pilihanraya yang lepas, terdapat sebanyak 5,000 undi yang telah dikutip tetapi tidak dibuang di kawasan Parlimen Lumut. Pengerusi SPR Tan Sri Rashid menjelaskan kepada pihak akhbar pada 13 April bahawa keadaan ini berlaku kerana anggota-anggota tentera laut telah keluar ke laut, akhirnya SPR memotong 5 ribu undi daripada keputusan terakhir yang diwartakan. Soalannya ialah, macam manakah 5 ribu orang tentera laut yang telah mengutip kertas undi mereka sanggup keluar ke laut tanpa membuang undi semasa kempen pilihan raya pada 17-21 Mac 2004?  Bukankah ini satu perkara yang aneh?  

 

Sekiranya SPR ingin mengembalikan kewibawaannya sebagai badan yang boleh dan mampu menganjurkan pilihan raya yang adil dan bebas, ia harus bermula dengan menghapuskan dua pengundian yang mendatangkan banyak kecurigaan, ia mesti melakukan:

1.pengemaskinian daftar pengundi dengan meneliti aduan daripada parti pembangkang dan orang awam di bawah Peraturan 10, Peraturan-peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihanraya,  
2. Meminda peraturan pilihan raya supaya sebarang penyingkiran pengundi daripada sesuatu kawasan pengundian itu mesti diumumkan untuk pemeriksaan dan pemantauan orang awam,
3. Menggunakan dakwat kekal pada jari pengundi dalam pilihan raya akan datang;  
4. Membatalkan undi pos kecuali kepada warganegara dan pegawai diplomat yang berkhidmat di luar negeri.

 

Datuk yang diPertua, saya juga ingin mencadangkan supaya ahli suruhanjaya di SPR dipilih daripada orang yang berwibawa dan bebas, seperti bekas hakim, dan bukannya kakitangan kerajaan, kerana pegawai kerajaan akan sentiasa terpaksa untuk menunduk kepada kuasa parti pemerintah dan terpaksa melakukan pelbagai taktik untuk memastikan kemenangan parti pemerintah, dan ini telahpun diakui oleh Tan Sri Rashid dalam wawancara dengan Malaysiakini di September 2003.

 

Kerajaan seharusnya mencontohi negara-negara Eropah Timur yang mana anggota-anggota SPR terdiri daripada wakil-wakil parti mengikut peratusan undi dan kuota lain. Jadi, saya mencadangkan Perkara 114 dalam Perlembagaan Perseketuan, iaitu keanggotaan SPR dikaji semula.

Gaji dan Elaun Anggota Polis Harus Dinaikkan  

Datuk yang diPertua, banyak cadangan telah dibuat oleh Suruhanjaya DiRaja untuk menambahbaikan prestasi PDRM, termasuk memberi lebih peruntukan kepada PDRM dan menambah gaji dan elaun anggota polis kita. Saya merasa hairan kerajaan tidak mengambil cadangan yang penting ini dalam bajet 2007, apa yang naik hanyalah elaun gantian motosikal yang sedia ada untuk polis peronda daripada RM80 kepada RM120 sahaja.

 

Datuk yang diPertua, kadar jenayah di negara kita telahpun menaik dengan kadar yang mendadak dan kita memerlukan pasukan polis yang berkesan untuk melawan dan menawan penjenayah yang semakin dahsyat dan kejam. Saya merasa hairan bahawa kerajaan hanya memberi peruntukan untuk pemasangan CCTV di kawasan yang sering berlaku jenayah, menambah 2 ribu unit kereta peronda polis dan 3 ribu pemandu polis, tetapi bukan memberi lebih peruntukan untuk meningkatkan gaji dan elaun anggota polis kita.

 

Sekiranya kita menghendaki PDRM menjadi pasukan polis kelas dunia pertama, maka kita mesti menaikkan gaji dan elaun mereka yang begitu rendah dengan dua atau 3 lipat ganda, supaya PDRM boleh menarik lebih pemuda yang cerdik pandai dan gagah berani untuk menyertai PDRM. Saya difahamkan bahawa pasukan polis di banyak negara, khususnya United Kingdom adalah lebih tinggi daripada profesional biasa, selain itu, mereka juga diberi elaun kerja lebih masa sekiranya mereka dikehendaki untuk berbuat demikian. Begitu juga dengan Singapura, gaji yang dibayar kepada  polis adalah lebih tinggi daripada tentera. Malangnya ini tidak berlaku di negara kita.

 

Saya difahamkan bahawa PDRM masih kekurangan 1,500 pegawai pentadbiran sehingga ramai anggota polis tidak dapat melakukan kerja rondaan dan siasatan tetapi membuat urusan pentadbiran dan kerani di PDRM. Saya juga diberitahu bahawa elaun telefon bergerak RM200 yang dijanjikan diberi kepada pegawai polis pada tahun lepas, tetapi apa yang mereka dapat pada akhirnya ialah RM50 sebulan sahaja. Kenapakah ini berlaku?

 

Datuk yang diPertua, sekiranya kita meneliti bajet kita setiap tahun, peruntukan yang diberi kepada Kementerian Pertahanan adalah jauh lebih tinggi daripada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri. Dalam bajet 2007, dari segi perbelanjaan pengurusan, Kementerian Pertahanan diberi RM8.62 billion, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri diberi RM4.62 billion. Bagi Perbelanjaan Pembangunan pula, Kementerian Pertahanan diberi RM4.76 billion manakala Kementerian Keselamatan Dalam Negeri diberi RM1.6 billion. 

 

Datuk yang diPertua, negara kita bukannya dalam peperangan, kenapakah dana yang begitu banyak disalur kepada Kementerian Pertahanan? Kenapakah kerajaan tidak memberi lebih peruntukan kepada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri demi menaikkan gaji dan elaun pegawai polis, kerana musuh utama kita sekarang ialah penjenayah?

 

Akhirnya, saya menyeru kerajaan menerima cadangan daripada Suruhanjaya DiRaja untuk menubuhkan IPCMC dan juga menaikkan gaji dan elaun polis.

 

(12/09/2006)


* Teresa Kok Suh Sim, MP for Seputeh and National Publicity Secretary

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: