http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Perbahasan Usul 18 (1) Yang Dibawa Oleh YB Daripada Kubang Kerian Mengenai Kenyataan Yang Dibuat Oleh Pope Benedict XVI
 


Speech

by Teresa Kok Suh Sim



(
Parliament, Tuesday
): Datuk yang DiPertua, saya menyertai perbahasan usul tergempar yang dibawa oleh YB dari Kubang Kerian dengan hati yang berat dan kesal. Saya merasa kesal kerana kita membahas satu isu yang tidak merupakan tujuan sebenar Pope Benedict XVI, selain itu, kita juga membahaskan satu isu yang telah dipohon maaf oleh Vatican dan Pope Benedict XVI sebanyak dua kali selepas petikannya disalah-fahamkan oleh media dan pihak-pihak tertentu.  

Sebelum kita membahaskan ucapan Pope Benedict XVI, kita mesti baca teks ucapannya yang sebenar dan juga mesti faham ucapan Pope Benedict XVI yang menimbulkan kontroversi ini sebenarnya disampaikan dalam satu forum di University Regensburg di Negeri German. Pope Benedict XVI merupakan seorang pensyarah Theology ataupun Teolog, beliau sebenarnya dijemput untuk memberi kuliah akademik yang bertema “Faith, Reason and the University: Memories and Reflections” ataupun dalam Bahasa Malaysia “Iman, Akal dan Universiti” di universiti lama yang beliau pernah berkhidmat.

Tesis kuliah akademik ini ialah akal mempunyai peranan yang penting dalam iman, dengan itu theologi   mempunyai  peranan yang penting dalam universiti. Dalam Bahasa Inggeris ia berbunyi: “reason has an important role in faith, thus theology has an important role in the university”.

Dalam kuliah Pope Benedict XVI, beliau memetik satu dialog di antara Byzantine Emperor Manuel II  dan seorang sarjana Parsi atas subjek agama Kristian dan Islam. Pope Benedict XVI hanya memetik apa yang muncul dalam dialog tersebut yang bersekitaran pada isu akidah. Sekiranya kita baca ucapan kuliah tersebut secara teliti, beliau sebenarnya tidak menyokong pandangan Emperor Manuel II atas Islam, tetapi beliau hanya menggunakan dialog ini sebagai asas ataupun contoh untuk hujah-hujah berkenaan peranan Akal dalam agama dan iman.  Dengan kata lain, tesis kuliah Pope Benedict XVI tersebut langsung tidak bertujuan untuk merendahkan ajaran Islam dan jihad. Ucapannya sebenarnya telah disalah-tafsirkan oleh media dan pihak-pihak tertentu.   

Setelah kuliah akademik Pope Benedict XVI disalah-fahamkan, pada 16 September 2006, Secretary of State of His Holiness di Vatican telah mengeluarkan kenyataan yang menerangkan ucapan kuliah Pope Benedict XVI dan memohon maaf bagi pihak Pope. Kenyataan Vatican tersebut juga menyatakan penghormatan Gereja Katholik terhadap agama Islam. Kenyataan itu berbunyi, “The position of the Pope concerning Islam is unequivocally that expressed by the conciliar document Nostra Aetate: “ The Church regards with esteem also the Muslims. They adore the one God, living and subsisting in Himself; merciful and all-powerful, the Creator of heaven and earth ……. “ 

Kenyataan Vatican itu juga menyebut bahawa Pope Benedict XVI amat komited pada dialog di antara agama dan antara budaya. Dalam pertemuan di antara Pope Benedict XVI dengan komuniti Muslim di Cologne di Negeri German pada 20 Ogos 2005, beliau malah menyifatkan dialog di antara Kristian dan Muslim tidak boleh dielakkan. Beliau berkata, “The lessons of the past must help us to avoid repeating the same mistakes. We must seek paths of reconciliation and learn to live with respect for each other’s identity.

Sehari kemudian, pada 17 September 2006, Pope Benedict XVI mengeluarkan satu kenyataan lagi dan meminta maaf sekali lagi. Kenyataannya termasuk, “........ at this time, I wish also to add that I am deeply sorry for the reactions in some countries to a few passages of my address at the University of Regensburg, which were considered offensive to the sensibility of Muslims. These in fact were a quotation from a medieval text, which do not in any way express my personal thought.”  Ini adalah kali pertama dalam sejarah Gereja Katholik di mana seorang Pope meminta maaf atas kenyataannya sendiri.

Saya berharap kesalahfahaman yang wujud di antara penganut Kristian dan Islam akan berakhir dengan dua kenyataan memohon maaf daripada Vatican dan Pope Benedict XVI. Saya juga berharap kedua-dua komuniti agama ini akan mengadakan lebih dialog agama pada masa yang akan datang, untuk mengelakkan kesalahfaman seperti ini diulangi lagi. Saya juga berharap seruan pelbagai phak kepada kerajaan untuk menubuhkan “Inter-faith Council” yang bertujuan untuk memupuk persefahaman di antara agama yang berlainan akan disahut dan dilaksanakan oleh kerajaan.

 

(19/09/2006)


*Teresa Kok Suh Sim, DAP National Publicity Secretary & MP for Seputeh

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: