http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Kontroversi Kesahihan Lapuran Ketua Audit Negara Tahun 2005 Mengelirukan Rakyat Bahawa Prestasi Kewangan Negeri Melaka Adalah Baik Bila Ia Sebenarnya Sudah Jadi Bankrap Kerana Menggunakan Prinsip Perakaunan Berbeza Dengan Tahun Sebelumnya Yang Menutup Liabiliti Kumpulan Wang Amanah Awam Sebanyak RM 194.57 Juta.


Letter

by Lim Guan Eng


                                                                                                                  11 September 2006.

Y. Bhg. Tan Sri Dato' Setia Haji Ambrin bin Buang

Ketua Audit Negara,

Pejabat Ketua Audit Negara

Jabatan Audit Negara

Aras 4, Lot 2G4, Presint 2,

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan

62518 W.P. PUTRAJAYA                                                                  Fax : +6 03 8888 9703

 

 

Yang Berbahagia Tan Sri,

 

Kontroversi Kesahihan Lapuran Ketua Audit Negara Tahun 2005 Mengelirukan Rakyat Bahawa Prestasi Kewangan Negeri Melaka Adalah Baik Bila Ia Sebenarnya Sudah Jadi Bankrap Kerana Menggunakan Prinsip Perakaunan Berbeza Dengan Tahun Sebelumnya Yang Menutup Liabiliti Kumpulan Wang Amanah Awam Sebanyak RM 194.57 Juta.

Kami merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2005, khususnya penemuan yang kurang tepat dan mungkin mencemarkan prestasi dan nama baik pihak Jabatan Audit Negara sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab, berprofesyenal serta mempunyai standard dan etika kerja yang tinggi.

 

Kedudukan kewangan negeri Melaka 2005 dinilai di Kumpulan Wang Disatukan di Lembaran Imbangan dan Penyata Akaun Memorandum. Dalam Perenggan 3.3.2 (mukasurat 3), aset telah berkurangan sebanyak RM 19.03 juta daripada RM 221.76 juta kepada RM 202.73 juta. Namun aset RM 202.73 juta ini melebihi tanggungan jangka pendek sebanyak RM 83.47 juta atau kelebihan sebanyak RM 119.26 juta seperti petikan berikut:-

“Dari segi kedudukan kewangan kerajaan negeri adalah didapati asset yang berjumlah RM 202.73 juta dapat menampung keseluruhan tanggungan berjumlah RM 83.47 juta yang terdiri daripada Akaun Kena Bayar sejumlah RM 10.65 juta, Deposit sejumlah RM 24.99 juta dan tunggakan bayaran balik pinjaman berjumlah RM 48.53 juta.”

 

Kelebihan aset sebanyak RM119.26 juta tahun ini adalah sungguh cemerlang sekiranya di banding dengan prestasi kewangan tahun lepas di mana kerajaan negeri dalam kedudukan “insolvent” atau bangkerap dengan defisit sebanyak RM 35.76 juta. Memetik ungkapan 3.3.2 Lapuran Ketua Audit Negara 2004,

“Dari segi kedudukan kewangan kerajaan negeri adalah didapati asset yang berjumlah RM 221.77 juta tidak dapat menampung keseluruhan tanggungan berjumlah RM 257.53 juta yang terdiri daripada Akaun Kena Bayar sejumlah RM 12.23 juta, Deposit sejumlah RM 21.11 juta, Kumpulan Wang Amanah Awam berjumlah RM 174.07 juta dan tunggakan bayaran balik pinjaman berjumlah RM 50.12 juta.”

 

Tetapi adakah kerajaan negeri benar-benar memperbaiki prestasi kewangan daripada deficit RM 35.76 juta pada 2004 kepada kelebihan aset RM 119.26 juta? Memeriksa Lapuran Ketua Audit Negara untuk kedua-dua tahun dengan lebih teliti, terdapat perbezaan ketara di mana Kumpulan Wang Amanah Awam sebanyak RM 194.57 juta tidak diambilkira pada 2005 sepertimana yang dibuatnya pada tahun 2004. Sekiranya jumlah RM 194.57 juta diambilkira sebagai tanggungan maka aset kerajaan negeri pada 2005 tidak berkelebihan sebanyak RM 119.26 juta sebaliknya mengalami defisit sebanyak RM 75.31 juta. Dengan kata lain, kewangan kerajaan negeri sebenarnya sama-sama “insolvent” atau bangkrap dalam tahun 2005 seperti tahun 2004.

 

Soal utama ialah mengapa kesilapan sebegini di mana jumlah begitu besar dalam Kumpulan Wang Amanah Awam tidak dikira sebagai keseluruhan tanggungan dalam 2005 sepertimana yang diguna pakai sebelum ini? Keguguran Kumpulan Wang Amanah Awam sebanyak RM 194.57 juta dalam tahun 2005 menjadikan prestasi kewangan negeri sebenar yang mengalami defisit besar berubah kepada kelebihan besar. Ini bercanggah dengan prinsip perakaunan yang diterima umum di mana applikasinya mestilah konsisten setiap tahun.  Kegagalan menggunakan prinsip perakaunan yang sama setiap tahun akan menjadikan penyata kewangan tiap-tiap tahun tidak dapat dibandingkan bersama.

 

Di samping itu, kedudukan jangka panjang bagi tahun 2005 juga tidak memuaskan dengan menunjukkan aset sebanyak RM 934.02 juta tidak dapat menampung tanggungan hutang kerajaan negeri berjumlah RM 1.03 bilion. Ini bermakna baik jangka pendek mahupun jangka panjang kedudukan kewangan kerajaan negeri Melaka di bawah pimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Mohd Ali Rustam adalah bankrap.

 

Yang Bhgia Ketua Audit Negara dikehendaki di bawah Perkara 106 dan 107 Perlembagaan Persekutuan mengaudit Penyata kewangan serta pengurusan kewangan kerajaan negeri dan mengemukakan laporan mengenainya kepada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agung dan Tuan Yang Terutama Yang di Pertua Negeri Melaka untuk dibentangkan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Melaka. Bagi mematuhi tanggungjawab ini Jabatan Audit Negara perlu menjalankan pengauditan penyata kewangan dan pengurusan kewangan.

 

Pengauditan penyata kewangan kerajaan negeri menggambarkan kedudukan benar dan saksama serta rekod perakaunan mengenai diselenggarkan dengan teratur dan kemas kini manakala pengauditan pengurusan kewangan adalah untuk menentukan undang dan peraturan kewangan dipatuhi.

 

Jelas sekali, Lapuran Ketua Audit Negara 2005 berkaitan dengan Melaka adalah tidak benar dan saksama serta ketara tidak mengikuti prinsip-prinsip perakaunan yang diamali. Ini adalah perkara serius kerana membentangkan lapuran yang tidak benar kepada Yang di Pertuan Agung dan Tuan Terutama Yang di Pertua Negeri Melaka.

 

Kami telah berkali-kali menghubungi pegawai Jabatan Audit Negara di Melaka, termasuk Timbalan Pengarah, mengenai perkara ini. Malangnya sehingga hari kami belum menerima sebarang jawapan sungguhpun telahpun dijanji.

 

Memandangkan bahawa isu ini boleh menjatuhkan imej, keyakinan orangramai dan kredibiliti Jabatan Ketua Audit Negara, adalah perlu satu siasatan di adakan untuk menentukan punca kesilapan dan mengambil tindakan tegas ke atas pegawai terbabit. Akauntabiliti dan ketelusan perlukan jawapan segera yang menyeluruh dan pembetulan dibuat.

 

Sekiranya pegawai berkenaan masih tidak mampu memberikan jawapan kepada kami maka ada keperluan untuk mengaudit Lapuran Ketua Audit Negara Tahun 2005 negeri Melaka demi bertanyakan mengapa prinsip perakaunan digunakan, berbeza dengan tahun sebelumnya, dan mengelirukan rakyat bahawa prestasi kewangan negeri Melaka adalah baik bila ia sebenarnya sudah jadi bankrap.

 

Adalah perlu diselesaikan kontroversi kesahihan Lapuran Ketua Audit Negara 2005 yang mengelirukan rakyat bahawa prestasi kewangan negeri Melaka adalah baik bila ia sebenarnya sudah jadi bankrap kerana menggunakan prinsip perakaunan berbeza dengan tahun sebelumnya yang menutup liabiliti Kumpulan Wang Amanah Awam sebanyak RM 194.57 juta. Sekiranya tidak maka nama baik, prestasi dan komitmen Jabatan Audit Negara kepada pengauditan dan pelaporan yang berkualiti dan profesional selaras dengan standard pengauditan antarabangsa bukan sahaja diragui maka tercemar.

 

Jawapan yang awal adalah dihargai.

 

 

Yang benar,

 

 

 

LIM GUAN ENG

SETIAUSAHA-AGUNG

                                                                                                         

(12/09/2006)


* Lim Guan Eng,  Secretary-General of DAP

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: