http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

 

Setiausaha,

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia,

Aras 4 & 5, Blok C7, Kompleks C,

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,

62690 Putrajaya.

 

Melalui:

Pengarah Pilihan Raya Negeri Melaka.                                                            6 APRIL 2007

Tuan,

 

Aduan terhadap Calon BN yang Menjanjikan Peruntukan Kewangan semasa Pilihan Raya Kecil Machap (N8) 

Merujuk kepada perkara di atas, saya ingin membuat aduan rasmi kepada pihak tuan bahawa Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihanraya Kecil Machap (N8), Melaka iaitu Lai Meng Chong telah menjanjikan peruntukan kewangan kerajaan negeri Melaka kepada penduduk-penduduk di sekitar Kampung Machap Baru. 

2. Mengikut laporan akhbar Sin Chew Daily pada 5hb April 2007, semasa lawatan turun padang ke sekitar Kampung Machap Baru, Lai Meng Chong telah menjanjikan peruntukan kewangan kerajaan negeri Melaka untuk membina semula rumah atau memperbaiki bahagian-bahagian rumah yang rosak. Peruntukan kewangan yang dijanjikan adalah di antara RM6,000 hingga RM13,000 bagi setiap unit rumah kediaman.  

             “Lawatan Turun Padang Lai Meng Chong

Lima Penduduk Kampung Dapat Peruntukan untuk Memperbaiki Rumah 

Jasin, 4hb – Calon BN yang mempertandingkan kerusi Dewan Undangan Negeri bagi Machap, Lai Meng Chong dengan serta-merta telah memulakan lawatan turun padang pagi ini. Dengan bantuan beliau, lima penduduk-penduduk yang menghuni di Kampung Machap Baru akan mendapatkan peruntukan kewangan kerajaan negeri untuk membina semula atau memperbaiki rumah kediaman mereka. 

Salah sebuah rumah yang dimiliki oleh penduduk Melayu termiskin yang bernama Osman akan memperolehi peruntukan kewangan kerajaan negeri sebanyak RM13,000 untuk membina semula rumahnya yang seluas 20 kaki x 28 kaki dan berbilik dua.

Selain itu, empat lagi rumah yang dimilik oleh penduduk-penduduk Cina akan mendapatkan peruntukan kewangan di antara RM6,000 hingga RM10,000 demi memperbaiki bahagian-bahagian rumah yang rosak. 

Turut bersamanya termasuklah Penolong Khas kepada Ketua Menteri Melaka Mahadevan* dan Shahril*, Pemimpin Jentera Pilihan Raya MCA Peng Fei Xun* serta ahli-ahli yang lain. Mereka melawat ke rumah-rumah kediaman tersebut dan menjanjikan peruntukan kewangan dengan serta-merta…” 

3. Secara jelas, Lai Meng Chong telah menyalahgunakan sumber kewangan dan jentera kerajaan negeri Melaka untuk kepentingan peribadi serta parti politik yang diwakilinya. Ini adalah tindakan yang cuba menyogok pemilih-pemilih yang terlibat. 

4. Mengikut Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tindakan beliau sebegini bolehlah disifatkan sebagai bersalah atas kesalahan menyogok di mana 

“tiap-tiap orang yang, sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, memberi, meminjamkan atau bersetuju untuk memberi atau meminjamkan, atau menawarkan, mejanjikan, atau berjanji akan mendapatkan atau akan berusaha untuk mendapatkan, apa-apa wang atau balasan bernilai kepada atau untuk mana-mana pemilih atau pengundi, atau kepada atau untuk mana-mana orang bagi pihak mana-mana pemilih atau pengundi atau kepada atau untuk mana-mana orang lain, bagi mendorong mana-mana pemilih atau pengundi, atau yang secara rasuah melakukan apa-apa perbuatan yang disebut terdahulu oleh sebab pemilih atau pengundi itu telah mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana pilihan raya.” 

5. Tidak kira Lai Meng Chong masih menyandang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Sumber Manusia, beliau memang tidak berkuasa untuk mengunakan sumber kewangan kewangan dan jentera kerajaan negeri. Pada masa yang sama, pegawai-pegawai kerajaan negeri yang hadir bersamanya juga tidak berkuasa untuk menjanjikan peruntukan kewangan tersebut. 

6. Bagi setiap calon tanpa mengira parti politik yang diwakilinya, mereka haruslah bertanding secara adil dalam pilihan raya dan tidak menyalahgunakan jentera dan sumber kewangan kerajaan negeri atau persekutuan. 

7. Saya mendesak pihak tuan mengambil tindakan tegas terhadap Lai Meng Chong termasuk menghadapkan mereka yang terlibat ke mahkamah, demi menjamin kebersihan serta keadilan proses pilihan raya yang sedang dan bakal berlangsung. Segala tindakan tegas pihak tuan adalah dihargai.

 

Sekian, terima kasih. 

 

_____________________

(LIOU CHEN KUANG)

Calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil Machap /

Setiausaha Organisasi DAP Melaka

 

  


*Liou Chen Kuang, DAP Melaka State Organising Secrectary and candidate for Machap

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: