http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

8 strategi utama berdasarkan penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan (3P) untuk menjayakan matlamat rasuah sifar di Malaysia

_________________________________________

Speech at Pelancaran Kempen Anti-Rasuah Bersama Gerak

by Lim Guan Eng

_____________________________________________________

 

(Ipoh, Sunday): Bekas Presiden Institut Integriti Malaysia Tunku Abdul Aziz Ibrahim mengejutkan orangramai semalam bila menyeru kerajaan bertindak tegas membendung gejala rasuah di Government-Linked Companies (GLCs) seperti Tenaga Nasional Bhd kerana kegagalan berbuat demikian ke atas eksekutif yang tidak jujur boleh menjejaskan ekonomi negara.  Masalah rasuah memang menular bila sesebuah badan memiliki kuasa monopoli baik dalam bidang komunikasi, utility ataupun pengangkutan.  

Memang diakui umum gejala rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa semakin bertapak di Malaysia baik dalam pihak pentadbiran kerajaan sebagai penerima rasuah ataupun pihak korporat dan awam sebagai pemberi rasuah. Selepas kemenangan besar parti BN dalam pilihanraya besar 2004, YAB Perdana Menteri telah menggubal PIN bagi meningkatkan integriti dan etika, memerangi rasuah dan aktiviti tidak beretika yang lain.  

Kita sudah masuk tahun ketiga dan pencapaian yang diperolehi amat tidak memuaskan. PIN tidak memenuhi atau membuat sebarang kemajuan ke atas 5 sasaran di bawah Tekad 2008 ini. Contohnya, sasaran menaikkan skor dalam Indeks Persepsi Rasuah yang digubal oleh Transparency International daripada 5.2 mata yang dicatat oleh Malaysia pada tahun 2003 menjadi sekurang-kurangnya 6.5 mata menjelang tahun 2008, serta mengubah kedudukan ke-37 daripada 133 negara menjadi sekurang-kurangnya kedudukan ke-30 memang merosot bila kedudukan Malaysia jatuh ke tangga 44 pada tahun lepas dengan 5.0 mata. 

Betapa seriusnya gejala rasuah juga mencerminkan betapa besarnya kegagalan kerajaan membasminya. DAP percaya hanya sebuah masyarakat membina dan maju yang berintegriti, bermoral dan beretika dapat meningkatkan daya saing dan daya tahan negara. Untuk menjayakan matlamat rasuah sifar di Malaysia, kami ingin menggariskan 8 strategi utama merangkumi penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan (3P) yang berteraskan iltizam dan azam politik dan ekonomi kepimpinan negara.

1.         Pihak pentadbiran mesti menunjukkan kepimpinan melalui teladan dengan menghindarkan diri daripada menyalahgunakan jentera dan wang kerajaan untuk faedah dan tujuan politik seperti menafikan peruntukan pembangunan dan elaun-elaun tambahan kepada pihak pembangkang atau menyalahgunakan wang rakyat untuk projek-projek mahal “gajah putih” dan pergi makan angin di luar negara.

2.         Badan Pencegah Rasuah (BPR) harus bebas, mempunyai kuasa pendakwaan dan tidak terpaksa merujuk kepada Peguam Negara seperti sekarang serta akauntable hanya ke Parlimen untuk mengelakkan sebarang persepsi campur tangan politik bila ia diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri seperti sekarang;

3.         Menubuhkan satu Tribunal Rasuah agar orangramai boleh merujuk kepada Tribunal ini mengambil tindakan sekiranya Badan Pencegah Rasuah atas alasan-alasan tertentu yang susah difahami enggan berbuat demikian atau tidak mahu menjawab tentang laporan yang dibuat;

4.         Menggubal satu Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Whistle-blower Act) untuk melindungi keselamatan pemberi maklumat amalan rasuah dan juga memberikan ganjaran yang sewajarnya kalau perlu;

5.         Teguran-teguran dan pendedahan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan oleh Ketua Audit Negara mestilah disusuli dengan tindakan dan Ketua Audit Negara harus diberikan kuasa menghukum mana-mana jabatan yang melakukan kesalahan;

6.         Menubuhkan satu Ombudsman untuk menangani perkara-perkara berkaitan dengan amalan-amalan tidak sihat yang tidak tertakluk di bawah takrifan rasuah serta meningkatkan urus tadbir pentadbiran dan pihak korporat demi menjaminkan tanggungjawab sosial korporat;

7.         Mengadakan satu sistem kawalan dalam yang rapi dan berkesan dengan menubuhkan satu Jawatankuasa Integriti di semua Kementerian dan jabatan kerajaan supaya sebarang penyalahgunaan kuasa dan amalan tidak sihat dapat dikesan dengan segera dan seterusnya dicegah sebelum ia berlaku; dan

8.         Memperkenalkan gejala rasuah sebagai satu perkara wajib dalam sekolah-sekolah rendah, menengah dan universiti tentang bahayanya rasuah untuk mendidik generasi muda mengasingkan dan menjauhi diri daripadanya.                                  

Peruntukan pembangunan kecil tahunan sebanyak RM 2 juta setiap kawasan Parlimen harus diberikan kepada semua wakil rakyat baik parti kerajaan ataupun pembangkang. Oleh kerana tidak ada sebarang penelitian atau audit yang rapi, banyak penyelewengan dan penyalahgunaan peruntukan pembangunan kecil kawasan dan elaun perjalanan telah berlaku untuk tujuan dan menfaat politik dan peribadi. Seperti berkempen di pilihanraya kecil, menghadiri mesyuarat parti, membeli hamper Hari Raya, pergi luar negeri makan angina dengan kos mewah berjuta-juta ringgit, membeli lounge suit dan telefon bimbit. 

Selagi BPR tidak bertindak terhadap laporan-laporan yang dibuat, ia akan dikenali sebagai Badan Penutup dan bukannya Badan Pencegah Rasuah. Dakwaan rasuah terhadap Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Johari Baharom dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hasan memang sudah diduga tidak akan lekat. 

Saya sendiri mempunyai pengalaman yang sama bila laporan-laporan says kepada BPR tidak diambil perhatian langsung. Sebelum tahun 2000, memang ada tindakan susulan oleh BPR ke atas laporan saya. Tetapi sepanjang 5 tahun kebelakangan ini saya telah membuat 10 laporan mengenai pentadbiran kerajaan negeri Melaka kepada BPR Melaka, BPR tidak pernah menghubungi saya untuk mendapat maklumat lanjut khususnya berkaitan dengan laporan rasuah ke atas YAB Ketua Menteri Melaka.  

Sebaliknya, BPR Ibupejabat nampaknya lebih berminat mengetahui di mana saya memperolehi maklumat daripada mengambil tindakan ke atas mereka yang lakukan rasuah. BPR wajib melindungi pemberi maklumat bukan menyusahkan mereka, dan bertanggungjawab memaklumkan kemajuan siasatan samada diteruskan ataupun ditutup.   

Oleh kerana kerajaan gagal membendung gejala rasuah ini, DAP menyeru orang awam dan NGO seperti Gerak bersama-sama berusaha melancarkan kempen kesedaran anti-rasuah agar ia dapat menyelamatkan Malaysia daripada gejala rasuah yang mengancam keselamatan, kemakmuran dan nilai-nilai murni masyarakat kita.

 

(5/8/2007)


* Lim Guan Eng, Secretary-General of DAP

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: