http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

9 Ogos 2007

YB Pengerusi,

Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti,

Dewan Tun Mutahir,

Dewan Undangan Negeri Melaka,

Melaka.                                                                             DENGAN TANGAN

           

Yang Berhormat-Yang Berhormat,                     

Sebaik Malaysia jadi pengimpot minyak pada 2011, negara tidak mampu lagi kehilangan US$ 100 Bilion (RM 380 Bilion) kerana rasuah

Minggu lepas, bekas Presiden Institut Integriti Malaysia Tunku Abdul Aziz Ibrahim mengejutkan orangramai dengan menyeru kerajaan bertindak tegas membendung gejala rasuah di  Government-Linked Companies (GLCs)  kerana kegagalan berbuat demikian ke atas pihak pengurusan eksekutif yang tidak jujur boleh menjejaskan ekonomi negara. Ini boleh dilihat dalam GLCs seperti FAMA dan Tenaga Nasional Bhd yang melibatkan berpuloh-puloh juta ringgit.  

Masalah rasuah semakin menular di peringkat kerajaan sehingga GLC pun tidak terkecuali dari gejala ini. Ini disebabkan kekurangan azam politik untuk membendung gejala rasuah, khususnya kegagalan mengambil 8 strategi utama yang pernah dicadangkan oleh pihak kami pada 13 Februari 2006 iaitu:-

1.          Menggubal satu Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Whistle-blower Act) untuk melindungi keselamatan pemberi maklumat amalan rasuah dan juga memberikan ganjaran yang sewajarnya kalau perlu bukan menyiasat pelapor rasuah seperti berlaku terhadap saya dalam kes bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Osu Sukam;

2.         Badan Pencegah Rasuah (BPR) harus bebas, mempunyai kuasa pendakwaan dan tidak terpaksa merujuk kepada Peguam Negara seperti sekarang serta akauntable hanya ke Parlimen untuk mengelakkan sebarang persepsi campur tangan politik bila ia diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri seperti sekarang;

3.         Menubuhkan satu Tribunal Rasuah agar orangramai boleh merujuk kepada Tribunal ini mengambil tindakan sekiranya Badan Pencegah Rasuah atas alasan-alasan tertentu yang susah difahami enggan berbuat demikian atau tidak mahu menjawab tentang laporan yang dibuat;

4.         Memperkenalkan gejala rasuah sebagai satu perkara wajib dalam sekolah-sekolah rendah, menengah dan universiti tentang bahayanya rasuah untuk mendidik generasi muda mengasingkan dan menjauhi diri daripadanya.

5.         Pihak pentadbiran mesti menunjukkan kepimpinan melalui teladan dengan menghindarkan diri daripada menyalahgunakan jentera dan wang kerajaan untuk faedah dan tujuan politik seperti menafikan peruntukan pembangunan dan elaun-elaun tambahan kepada pihak pembangkang atau menyalahgunakan wang rakyat untuk projek-projek mahal “gajah putih” dan pergi makan angin di luar negara;

6.         Teguran-teguran dan pendedahan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan oleh Ketua Audit Negara mestilah disusuli dengan tindakan dan Ketua Audit Negara harus diberikan kuasa menghukum mana-mana jabatan yang melakukan kesalahan;

7.         Menubuhkan satu Ombudsman untuk menangani perkara-perkara berkaitan dengan amalan-amalan tidak sihat yang tidak tertakluk di bawah takrifan rasuah serta meningkatkan urus tadbir pentadbiran dan pihak korporat demi menjaminkan tanggungjawab sosial korporat; dan

8.         Mengadakan satu sistem kawalan dalam yang rapi dan berkesan dengan menubuhkan satu Jawatankuasa Integriti di semua Kementerian dan jabatan kerajaan supaya sebarang penyalahgunaan kuasa dan amalan tidak sihat dapat dikesan dengan segera dan seterusnya dicegah sebelum ia berlaku. 

Sekiranya tidak semua 8 strategi boleh diterima, empat strategi pertama pun sudah cukup untuk memenangi peperangan terhadap gejala rasuah ini. Kegagalan menerima pakai 8 strategi ini merupakan sebab utama Pelan Integriti Nasional (PIN) tidak memenuhi atau membuat sebarang kemajuan ke atas sasarannya. Contohnya, sasaran menaikkan skor dalam Indeks Persepsi Rasuah yang digubal oleh Transparency International daripada 5.2 mata yang dicatat oleh Malaysia pada tahun 2003 menjadi sekurang-kurangnya 6.5 mata menjelang tahun 2008, serta mengubah kedudukan ke-37 daripada 133 negara menjadi sekurang-kurangnya kedudukan ke-30 memang merosot bila kedudukan Malaysia jatuh ke tangga 44 pada tahun lepas dengan 5.0 mata pada tahun lepas. 

Kami tidak mahu rujuk kepada banyak kes siasatan BPR ke atas orang atas yang ditutup diperingkat nasional. Kami juga tidak mahu berulang-ulang kritikan terhadap Badan Pencegah Rasuah(BPR) yang gagal menjalankan siasatan terhadap laporan rasuah yang dibuat kami baik terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Mohd Ali Rustam pada awal bulan Januari 2006 kerana menyalahgunakan wang awam yang dikutip untuk membantu pesakit miskin untuk membiayai kos rawatan hospital ahli keluarganya mahupun terhadap Ahli Parlimen Kawasan Jasin Jasin Datuk Mohd Said Yusof kerana menyalahgunakan kuasanya dengan meminta Jabatan Kastam dan Eksais untuk “tutup sebelah mata” dalam penguatkuasaan undang-undang demi kepentingan peribadi beliau pada 11 Mei 2006. Kegagalan ini yang menyebabkan orang awam kehilangan keyakinan terhadap BPR yang digelarkan sebagai Badan Penutup Rasuah. 

Baru-baru ini Ketua Menteri Melaka telah senyap-senyap pergi makan angin ke Latin Amerika dan Peranchis dengan mengetuai satu rombongan besar yang makan perbelanjaan lebih RM 1 juta. Kerana segan bila dibongkarkan, beliau tidak berani menyatakan kos sebenar sungguhpun ditanya di mesyuarat Dewan Undangan Negeri Melaka. 

Kegagaalan integriti dalam pengswastaan seperti konsesi lebuhraya serta subsidi gas kepada Tenaga Nasional Bhd dan Independent Power Producers

Kami ingin memberikan focus kepada kegagalan integriti yang menyebabkan kerugian nasional besar bila sesebuah badan memiliki kuasa monopoli baik dalam bidang komunikasi, tenaga ataupun pengangkutan. Dua contoh yang ketara adalah pemberian konsesi lebuhraya dan subsidi gas Petronas kepada Tenaga Nasional Bhd dan Independent Power Producers (IPPs). 

Kos tinggi dalam pengswastaan kontrak menimbulkan tanda-tanya mengapa kerajaan tidak bina lebuhraya sendiri yang jauh lebih murah daripada diswastakan. Ini boleh dilihat daripada kutipan tol oleh orang awam sebanyak RM 23.7 bilion sehngga sekarang. Tetapi kalau ditambah wang pampasan sebanyak RM 38.5 bilion yang dibayar oleh kerajaan kerana menangguhkan atau mengurangkan kenaikan kadar tol, jumlah besar yang diperolehi oleh syarikat tol adalah RM 62.2 bilion. 

Kos pembinaan dan penyelenggaraan adalah dianggarkan sebanyak RM 27 bilion iaitu jauh lebih kurang sebanyak RM 35 bilion berbanding dengan jumlah kutipan RM 62.2 bilion.  Tempoh konsesi pun ada 30 tahun lagi dan syarikat tol akan untung lebih banyak daripada RM 35 bilion. Bukankah ini satu bentuk rasuah untuk membenarkan satu dua syarikat memperolehi keuntungan yang begitu tinggi yang seharusnya menjadi milikan negara dan sekaligus mengorbankan kepentingan 27 juta rakyat Malaysia? 

Pada 2006, TNB dan IPPs menerima menfaat RM 11.7 bilion dalam subsidi gas daripada Petronas. Adakah TNB telahpun mempertingkatkan perkhidmatannya selepas kenaikan kadar tariff 12% tahun lepas dan subsidi gas tahunan RM 5 bilion yang membolehkannya mencapai keuntungan besar untuk 9 bulan pertama sebanyakRM 3.9 bilion berbanding dengan RM 1.4 billion setahun sebelumnya?  

Jawapannya tidak dengan 8,000 aduan setiap bulan oleh pelanggan terhadap gangguan bekalan letrik. IPP mendapat subsidi gas RM 6.7 bilion setahun dan perlu ditanyakan mengapa syarikat besar IPP yang dapat keuntungan besar perlu mendapat subsidi gas yang begitu besar? Bukankah polisi dan tujuan subsidi adalah membantu golongan yang miskin dan bukannya yang kaya-raya? 

Mengukuhkan prinsip integriti di seluruh peringkat kerajaan, termasuk memulihkan pilihanraya kerajaan tempatan

Di samping itu prinsip integriti harus diperkukuhkan di seluruh peringkat kerajaan termasuk memulihkan pilihanraya kerajaan tempatan. Masalah penyalahgunaan kuasa, penyelewengan kewangan, pilih kasih dan rasuah adalah satu kelaziman dan hanya boleh dibenteras dengan memulihkan pilihanraya kerajaan tempatan.  

Satu usaha baik telah dibuat oleh penduduk kaum Portugis di Perkampungan Portugis di mana untuk kali pertama Regedor atau Ketua Kampung yang baru dipilih secara undi oleh penduduk tempatan. Menerusi usaha orang kampong sendiri, sebanyak 269 orang daripada 700 penduduk telah keluar mengundi untuk menolak Regedor yang dilantik dan memilih Regedor baru Alfred Danker, seorang jurutera muda, yang dapat memperjuangkan dan membela nasib mereka. Demokrasi akar umbi ini yang harus diamalkan sepertimana dilakukan di negara komunis seperti Cina supaya ketua kampong adalah pilihan tepat dan sebenar penduduk.


Usaha kedua adalah layanan samarata kepada semua rakyat Malaysia tanpa kira kaum, agama ataupun latarbelakang politik mereka. Pemberian RM 30,000 setiap kawasan Parlimen untuk perayaan Hari Kemerdekaan tanpa kira ia diwakili oleh parti pembangkang atau pemerintah memang baik. Ia harus diperluaskan kepada peruntukan pembangunan kecil tahunan sebanyak RM 2 juta setiap kawasan Parlimen. Oleh kerana tidak ada sebarang penelitian atau audit yang rapi, banyak penyelewengan dan penyalahgunaan peruntukan pembangunan kecil kawasan telah berlaku untuk tujuan dan menfaat politik dan peribadi seperti makan angin dan membeli telefon bimbit. 

Usaha ketiga adalah perlunya pengasingan di antara kepentingan kerajaan dan perniagaan. Kerajaan negeri telah gagal mengambil tindakan ke atas pemaju swasta yang menipu orang awam. Ada dua buah projek terbengkalai Pulau Melaka sebanyak RM 1 bilion dan Projek Perindustrian Ayer Keroh sebanyak RM 100 juta di Melaka yang membabitkan hampir 2,000 pembeli di Melaka.  

Tidak ada sebarang tindakan diambil ke atas pemaju tersebut sungguhpun laporan polis telahpun dibuat. Malah Pengarah Pakatan Mawar Sdn Bhd yang mengusahakan Projek Perindustrian Ayer Keroh dan menipu wang pembeli, Datuk Taufik Abdullah, masih menjadi Pengerusi Pelabuhan Tanjung Pelepas. 

Samada kepentingan tertentu, kerajaan negeri juga enggan membela nasib pembeli bila tidak mahu bertindak lebih awal ke atas pemaju. Kerajaan negeri Melaka tidak mahu menuntut cukai tanah tertunggak daripada Pulau Melaka selama 6 tahun dan hanya berbuat demikian bila syarikat telah digulung. Rawatan harus diberikan semasa pesakit hidup kerana apa gunanya memberi rawatan bila orang sudah mati?  

Rasuah memang musuh No. 1 negara dan bukannya dadah. Oleh kerana wujudnya rasuah barulah najis dadah menghantui generasi muda kita. Hanya dengan membenteras rasuah barulah kita boleh menghapuskan najis dadah ini. 

Malaysia tidak dapat lagi menampung lagi kerugian besar daripada amalan rasuah. Dalam keluaran majalahTime Asia pada March 15 2004, pakar ekonomi Asia Tenggara Morgan Stanley (dana kewangan terkemuka Amerika Syarikat) Daniel Lian menganggarkan Malaysia kehilangan U$$100 bilion atau RM 380 bilion sejak awal 1980 kerana rasuah. Ini adalah kehilangan yang maha besar. Semua ini dapat berlaku kerana keuntungan hasil minyak di mana Petronas telahpun meraih keuntungan sebanyak RM 500 bilion sejak ia ditubuhkan pada 1974. 

Malangnya hasil minyak tidak akan wujud selama-lamanya. Sebaik Malaysia menjadi pengimpot minyak menjelang 2011, Malaysia sudah tidak mampu kehilangan wang sebesar seperti US$ 100 bilion sebelum ini daripada rasuah. Oleh itu selain daripada langkah-langkah di atas, satu kempen kesedaran anti-rasuah harus dilancarkan agar ia dapat menyelamatkan Malaysia daripada gejala rasuah yang mengancam keselamatan, kemakmuran dan nilai-nilai murni masyarakat kita. Sekian. 

 

Yang benar,

 

LIM GUAN ENG

SETIAUSAHA-AGUNG

 

(9/8/2007)


* Lim Guan Eng, Secretary-General of DAP

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: