http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Ucapan YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh Dalam Perbahasan Rang Undang-Undang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 Pada 3 Julai 2007

Definisi Sisa Pepejal

Dalam fasal 2 di Bahagian II,  sisa pepejal sekarang diklasifikasikan kepada beberapa ketegori. Apakah perbezaan di antara sisa pepejal khas dengan sisa pepejal di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan peraturannya? Apakah maksud “sisa pepejal yang diimport” dalam rang undang-undang ini? Apakah pendirian kerajaan ke atas sisa pepejal yang diimport dari luar negeri? Apakah sisa pepejal yang diimport ke Malaysia mengikut kehendak Basel Convention on the Control of Transboundary Movement of Hazardous Waste Disposal? Apakah klasifikasi sisa pepejal merbahaya atau “hazardous waste” sejajar dengan konvensyen tersebut? Kenapakah definisi dan interpretasi sisa pepejal bahaya ataupun “hazardous waste” tidak terkandung dalam rang undang-undang ini?   

Dari segi definisi sisa pepejal, e-waste, ataupun sisa pepejal eletronik/eletrikal. Banyak keluarga membuang banyak sisa pepejal eletrikal dan eketronik, tetapi ia tidak disebut dalam rang undang-undang ini.   

Kuasa Terlalu Besar Diberi Kepada Ketua Pengarah Mudah Disalahgunakan    

Mengikut fasal 5 Bahagian II dalam rang undang-undang ini, Menteri diberi kuasa untuk melantik Ketua Pengarah, apa-apa bilangan Timbalan Ketua Pengarah, dan Pengarah, Timbalan Pengarah, Penolong Pengarah dan pegawai lain dalam Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam ini. Menteri juga boleh memberi arahan kepada Ketua Pengarah, dan sekiranya mana-mana orang yang terkilan dengan apa-apa keputusan Ketua Pengarah dari segi pentadbiran, mereka boleh merayu kepada Menteri dan keputusan Menteri adalah muktamad.  

Dari segi peruntukan perlesenan dalam Bahagian IV, Menteri yang memberi lesen kepada operator pengutipan sampah dan pembersihan awam atas syor Ketua Pengarah.  

Kalau kita baca rang undang-undang ini secara keseluruhan, Menteri dan Ketua Pengarah perbadanan ini pun seolah-olah menjadi de facto Datuk BandarPusat  yang paling berkuasa, dan yang tidak boleh dicabar.   

Seksyen 105 dalam rang undang-undang ini menyatakan tiada tindakan atau pendakwaan boleh dibawa, dimulakan atau dikekalkan di dalam mana-mana mahkamah terhadap Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah, Pengarah, Timbalan Pengarah, Penolong Pengarah atau mana-mana pegawai lain yang dilantik atau diberi kuasa dengan sewajarnya di bawah Akta ini. ---- seksyen ini menjadikan perbadanan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam ini seolah-olah “untouchable”, tiada tindakan mahkamah boleh diambil ke atasnya.   

Dalam undang-undang sekarang, orang ramai boleh membawa Datuk Bandar dan Ketua Pengarah Kerajaan Tempatan ke mahkamah apabila berlakunya kemalangan dan kesalahan di kerajaan tempatan, tetapi dalam rang undang-undang ini, orang ramai tidak diberi kuasa untuk membawa Ketua Pengarah dan kesemua pegawai dalam perbadanan ini ke mahkamah, ini memang tidak adil. Kuasa yang terlalu besar yang diberi kepada Ketua Pengarah dan pegawai-pegawai kanan perbadanan ini adalah mudah disalah-gunakan.  

Sekirannya perbadanan ini menggunakan wang yang dibayar oleh pembayar cukai, kenapakah pemegang jawatan yang tertinggi di perbadanan ini ditegah untuk dibawa ke mahkamah?  Di manakah sekatan dan imbangan terhadap kuasa yang terlalu besar yang diberi kepada Ketua Pengarah dan pegawai kanan perbadanan ini?  

Selain itu, dari segi kelulusan bagi pembinaan, pengubahan atau penutupan kemudahan pengurusan sisa pepejal yang ditetapkan yang termaktub dalam Bahagian III dalam rang undang-undang ini, kelulusannya hanya diberi kepada Ketua Pengarah sahaja, memandangkan lokasi kemudahan pengurusan sisa pepejal selalunya merupakan isu yang sensitif, jadi kerajaan seharusnya menubuhkan satu badan yang bebas untuk memutuskan isu yang melibatkan kepentingan orang ramai ini.  

Kekeliruan Di Antara Tanggungjawab Kerajaan Tempatan Dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007  

Perbadanan ini mengambil-alih kebanyakan tugas dan tanggungjawab kerajaan tempatan. Bagi kerajaan tempatan di luar bandar, tugas pengumpulan sampah dan pembersihan hampir merupakan tugas utama bagi kerajaan-kerajaan tempatan ini. Sekiranya peranan kerajaan tempatan yang utama ini diambil-alih oleh perbadanan ini, apa lagi tugas bagi pegawai kerajaan tempatan yang sedia-ada sekarang?   

Selepas rang undang-undang ini diluluskan, Perbadanan ini pun merupakan pusat kerajaan tempatan, tetapi kita masih membayar cukai pintu kepada kerajaan tempatan, di samping itu,  perbadanan juga diberi kuasa untuk mengutip bayaran daripada orang ramai yang membuang sampah. Bukankah ini merupakan bayaran cukai dua kali bagi kebanyakan pembayar cukai pintu?   

Memandangkan perbadanan ini diberi kuasa untuk mengutip fi dan levi daripada pemunya sampah dan penghuni. Apakah yang saya bimbang ialah ia akan menggalakkan lebih tapak pembuangan sampah yang haram di banyak tempat?  

(3/7/2007)    


*Teresa Kok, Publicity Secretary of DAP and MP for Seputeh

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: