http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

6 JULAI 2007

 

Kepada:

Pemerintah Indonesia

Jakarta, Indonesia

 

 

Melalui:

Tuan Yang Terutama Konsul Jeneral Republik Indonesia,

Pejabat Konsulat Jeneral,

467, Burma Street,

10350 Penang, Malaysia                                                                                         DENGAN TANGAN

 

Tuan Yang Terutama,

Menggesa Pemerintah Indonesia supaya Mengambil Tindakan Segera dalam Menangani Masalah Pencemaran Jerebu yang Melanda Malaysia Setiap Tahun

Bagi pihak 26 juta rakyat Malaysia, DAP berasa kesal atas masalah jerebu yang sekali lagi melanda negara kita sejak kebelakangan ini.

2. Ini menunjukkan bahawa pemerintah Indonesia tidak mengambil tindakan serta sikap yang serius terhadap masalah jerebu, khasnya Indonesia sehingga hari ini belum lagi meratifikasi Perjanjian Jerebu Merentas Sempadan Asean yang dipersetujui pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Bahaya Kebakaran Hutan dan Tanah tahun 2002. 

3. Jerebu yang melanda negara-negara Asean pasti akan membawa pelbagai kesan negative, khasnya terhadap kesihatan semua kita. Punca utama masalah ini bukannya daripada masalah pembakaran terbuka dalam negeri tetapi dari luar negara, ataupun lebih tepat lagi, Indonesia.   

4. Kaedah pertanian di Indonesia yang mengizinkan pembakaran terbuka seperti di Sumatera, Riau dan Kalimantan telah menjadikan Malaysia, khususnya di sekitar Lembah Kelang, Perai, Sungai Petani dan Taiping sebagai kawasan tadahan asap sehingga kita semua terpaksa menanggung dosa yang dilakukan oleh orang lain. 

5. Kita tidak boleh menerima hakikat ini sebagai hokum alam. Lebih-lebih lagi, ini bukan fenomena semula jadi malah angkara manusia sendiri. Jerebu bukan sekali-sekala tetapi melanda negara kita setiap tahun. Nampaknya Indonesia tidak belajar daripada episod-episod jerebu yang menyelubungi sebahagian besar Asia Tenggara. Tiada sebarang jaminan daripada pihak Indonesia bahawa masalah ini tidak akan berulang lagi. 

6. Sejak tahun 1997, Malaysia, Singapura dan Negara Thai terpaksa mengalami kerugian dalam sektor pertanian, pengangkutan dan pelancongan sebanyak beratus-ratus bilion ringgit ekoran masalah jerebu yang berlaku setiap tahun. Jikalau keadaan bertambah serius sehingga darurat terpaksa diumumkan, maka segala aktiviti harian kita pastinya tergendala. 

7. Sebagai negara jiran dan juga rakan negara anggota Asean, kita tidak berniat untuk campur tangan dalam hal-ehwal negara Indonesia, tetapi masalah yang dihadapi oleh Indonesia perlulah kita selesai bersama. Malaysia pernah menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (Smart) serta Pasukan Bomba dan Penyelamat untuk membantu Indonesia dalam mengawal kebakaran hutan yang serius. 

8. Namun begitu, Indonesia haruslah bersikap serius dalam menangani masalah pembakaran terbuka dalam negaranya. Sebagai langkah pertama, Perjanjian Jerebu Merentas Sempadan Asean haruslah diratifikasikan dengan serta-merta. Kita tidak mahu negara jiran kita memberi lagi alasan yang sama bahawa mereka tidak mampu menguatkuasakan undang-undang. Kita memang yakin bahawa keazaman yang kuat serta komitmen yang tinggi dapat mengatasi masalah ini. 

9. Kami bersyukur bahawa Menteri Alam Sekitar Indonesia Bapak Rachmat Witoelar telah berusaha dalam menggesa ahli-ahli Parlimennya supaya memberi kelulusan ke atas proses ratifikasi perjanjian tersebut. Beliau mengakui bahawa “meratifikasi perjanjian itu akan memberi impak yang lebih positif kepada Indonesia atas sebab pencemaran jerebu yang merentasi sempadan bukan sahaja mempengaruhi penduduk dan ekonomi tempatan, tetapi juga negara-negara asing. Ini juga akan membantu kita dalam melindungi alam sekitar.” 

10. Jikalau tidak, pemerintah Indonesia bukan sahaja menjadi perkara tuduhan negara-negara asing, tetapi juga dikritik oleh penduduk-penduduk tempatan yang juga dipengaruhi oleh pencemaran jenis ini. Sebarang kelewatan dalam proses ratifikasi pasti akan membawa cabaran terhadap Jakarta dalam mengagihkan sumber keperluannya untuk menangani masalah tersebut. 

11. Walau bagaimanapun, beberapa ahli Parlimen Indonesia mengkritik perjanjian tersebut dengan alasan bahawa “semua tanggungjawab terhadap jerebu diletakkan ke atas Indonesia” dan mereka inginkan Jakarta “meratifikasi perjanjian tersebut dengan dengan sikap yang tersimpan”. 

12. Bagi kita, hanyalah dengan perjanjian tersebut diratifikasikan tanpa sebarang was-was barulah semangat Asean dapat direalisasikan. Jiran yang baik bukan sahaja seorang yang tidak menyusahkan jirannya, malah turut menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan bersama.

Sekian. Terima kasih.

Yang Benar,

 

_____________________

(NG WEI AIK)

Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agong DAP

 

(6/7/2007)    


*Ng Wei Aik, Political Secretary to DAP Secretary General

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: