http://dapmalaysia.org Forward Feedback
Menambah anggota polis 100% di Melaka demi menangani kenaikan indeks jenayah di Melaka melebihi kenaikan kadar nasional
______________________________ Betty Chew Gek Cheng
(Melaka, Monday) : Saya membawa usul ini demi melahirkan perasaan tidak puashati rakyat tentang keadaan keselamatan awam yang kian tidak menentu kebelakangan ini akibat peristiwa jenayah yang menjadi-jadi. Ini dicerminkan oleh angka dan statistik rasmi pihak PDRM yang menunjukkan bahawa kenaikan kadar jenayah pada tahun 2006 (5,978 kes) adalah 22.6% berbanding dengan 2005 (4,876 kes). Kenaikan kadar jenayah 22.6% adalah jauh lebih tinggi daripada kadar kenaikan nasional sebanyak 15.7% pada tahun 2006. Sungguhpun pihak polis Melaka telah berusaha mencegah kejadian jenayah maka kadar kenaikan indeks jenayah masih melebihi kadar nasional. Pengumuman indeks jenayah untuk enam bulan pertama 2007 berbanding dengan tempoh masa sama tahun lepas menunjukkan kenaikan indeks jenayah sebanyk 10.31% di Melaka berbanding dengan kenaikan nasional sebanyak 5.1%. Selangor merupakan negeri kenaikan kadar jenayah yang paling tinggi di negara manakala Melaka menduduki tempat kelima. Oleh itu kami ingin menyeru bahawa DUN membuat permintaan agar anggota polis di Melaka ditambah 100% demi mengatasi keadaan jenayah begitu serius ini. Pada tahun 2003 hanya ada 34 pegawai penyiasat di Melaka untuk 3,494 kes dan jumlah ini harus ditambah sekali ganda memandangkan kes jenayah pun telah tambah sekali ganda. Ketua Polis Negara menyatakan 60,000 anggota baru diperlukan untuk memerangi jenayah. Bilangan anggota di jabatan Siasatan Jenayah di seluruh negara tidak melebihi 10,000 sedangkan anggota Cawangan Khas adalah sebanyak 7,000 orang. Mengapakah anggota Cawangan Khas ini tidak boleh dipindahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah untuk membenteras jenayah yang lebih bermakna daripada mengintip pemimpin parti pembangkang yang tidak mencuri harta rakyat, mencederakan orang, mengugut dengan pistol atau ditangkap dengan isteri orang lain? Sebagai pusat pelancongan utama di Malaysia, adalah perlu keselamatan terjamin demi memastikan lebih ramai orang dapat menikmati penginapan di Melaka dengan selamat. Pada 14 Jun 2007, seorang pelancong Singapura Puan Chua Geok Cheng telah menjadi mangsa curi ragut di luar City Bayview Hotel semasa hendak menyeberangi jalanraya. Kehilangan wang adalah satu tetapi sikap anggota polis di Pejabat Daerah Melaka Tengah yang tanyakan, “You want police to take action?” mengejutkannya. Apa gunanya membuat laporan polis di balai polis kalau bukan untuk menuntut agar tindakan diambil? Penduduk dan peniaga tempatan telah menuntut agar sebuah pondok polis didirikan di tempat ini yang menjadi tumpuan penjenayah yang tahu pelancong asing merupakan sasaran mudah yang lumayan yang jarang sekali membuat laporan polis. Malah peniaga tempatan juga bersedia mengeluarkan membiayai kos sepenuhnya membina pondok itu. Malangnya cadangan ini yang dibuat berkali-kali tidak diendahkan langsung. Tentu sekali pihak polis akan menambahkan rondaan tetapi sekiranya ia menjadi “hotspot” penjenayah, mengapa tidak boleh dirikan pondok polis yang dibiayai penuh oleh peniaga tempatan? Perlu diingatkan, sekiranya keselamatan tidak terjamin maka ia akan menjejaskan imej dan nama baik Melaka. Pihak kerajaan tempatan harus dipersalahkan kerana tidak menerangkan tempat-tempat yang menjadi pilihan penjenayah. Apa gunanya pemasangan CCTV sekiranya ia tidak berfungsi ataupun tidak ada anggota polis yang mencukupi untuk memantaunya sepanjang masa? Saya ingin tahu status dan kedudukan CCTVnya sekarang, bilangannya, kosnya dan lokasinya. Adakah satu penangkapan dibuat hasil penggunaan CCTV ini? Sekiranya tidak ini menunjukkan pemasangan CCTV hanyalah indah khabar dari rupa yang membazirkan wang rakyat. Di samping itu, penderitaan yang dialami oleh mangsa-mangsa begitu menyayat hati dan menimbulkan ketakutan yang amat sangat di kalangan rakyat, khususnya golongan wanita dan kanak-kanak. Berapakah banyak kes jenayah seksual terhadap wanita seperti rogol dan kejayaan mengatasinya. Pihak pendakwaan oleh polis agak lambat dalam kes rogol seperti dalam kes seorang budak Melayu bawah umur yang dirogol sehingga melahirkan anak sungguhpun sudah dua tahun Repot No. 4329/05 Balai Polis Bandar Hilir pada 23/9/2005. Saya pernah tanyakan di manakah “kawasan hitam” yang jadi pilihan penjenayah dan jawapannya tidak ada kawasan hitam. Ini membimbangkan kerana aduan orangramai seakan-akan menyokong pandangan ini bahawa kes jenayah berlaku di merata-rata tempat baik di kawasan bandar ataupun luarbandar. Tidak ada satu tempat yang boleh dikira selamat baik di Cheng, Kampung Lapan, Ujong Pasir, Taman Malim Jaya, Taman Merdeka, Bandar Hilir, Taman Kota Laksamana mahupun di tempat pelancongan seperti Jonker Walk. YAB Perdana Menteri semasa membuka Kompleks Ibupejabat Kontinjen Polis bernilai RM70 juta pada 2005 menyatakan tiga prinsip anggota polis agar menjadikan ia terima umum oleh rakyat iaitu bersikap serius, peka dan adil kepada semua semasa menjalankan tugas. Yang pertama adalah diharapkan polis harus menyiasat dengan teliti sebelum menangkap orang. Tindakan tangkap dahulu baru siasat mencabuli hak asasi rakyat. Dan adakah gambar photo dan cap jari orang kena tahan akan dimusnahkan selepas mereka bebaskan kerana tidak ada kes. Contohnya orang awam yang ditahan tanpa sebab munasabah berlaku pada Encik Soo Poh Chiew dan dua rakannya di Balai Polis Alor Gajah pada 13 April 2007. Soo telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Durian Tunggal 001539/07 9 April dan Balai Polis Melaka Tengah 001270/07 pada April 16 kerana ditangkap tanpa sebab munasabah terhadap Inspektor polis yang menyalahgunakan kuasa dan pihak yang membuat laporan polis palsu terhadapnya. Tidak ada sebarang tindakan diambil. Satu lagi kes ialah kesilapan pegawai pendakwa C/Inspektor Meran Anak Emai menarik balik kesemua pertuduhan di Mahkamah Alor Gajah pada 14/10/2005 ke atas Voon Hann Cheng memalsukan cek Encik Liem Kiat sungguhpun tidak diarahkan begitu oleh Pendakwa Raya. Tidak ada sebarang tindakan diambil ke atas C/Inspektor ini atau menentukan samada wujudnya latar belakang tidak sihat mengapa beliau bertindak menarik balik kes pertuduhan tanpa arahan. Selagi anggota polis yang menyalahgunakan kuasa atau tidak menunjukkan prestasi yang baik tidak diambil tindakan adalah sukar untuk memulihkan keyakinan orangramai ke atas kemampuan polis, yang terjejas kebelakangan ini, untuk membenteras jenayah. Saya memang sokong kenaikan gaji anggota polis sebanyak 7.5% ke 35%, tetapi pihak polis mesti membalasnya dengan menunjukkan prestasi dan hasilnya yang lebih baik sebanyak 35%. Sebagai pembayar cukai, rakyat memang berhak menikmati persekitaraan yang selamat menjalankan kehidupan harian bekerja, belajar, menginapi and beriadah. Oleh itu saya harap Dewan yang mulia ini akan menyokong usul saya yang berbunyi, “Bahawa Dewan yang mulia ini membuat ketetapan melahirkan prihatin tentang masalah jenayah yang kian serius dan menyatakan komitmen kerajaan negeri, polis dan rakyat memerangi dan membenterasnya sama sekali demi memenuhi empat hak asasi keselamatan rakyat iaitu hak bekerja, hak belajar, hak menduduki dan hak beriadah dalam keadaan yang selamat dan bebas dari ancaman jenayah.”
(16/7/2007)
|