http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Y.B. Dato’ Dr. Teng Hock Nan,                                                                                     DENGAN TANGAN

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas,

Penerangan dan Perhubungan Masyarakat,
Pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang,                                 

Tingkat 53, Komtar,                                                                                                                      
10503 Pulau Pinang.
                                                                                                                                   23 JULAI 2007

 

Dato’ Dr Teng, 

Menggesa Kerajaan Mengkaji Semula Sistem Kadar Tambang RapidPenang yang Kurang Mesra Penumpang serta Mengambil Kira Impaknya ke atas Kepentingan Syarikat-syarikat Bas Awam dan Pemandu-pemandu Teksi yang Sedia Ada  

1. Dengan segala hormatnya, saya ingin menarik perhatian pihak kerajaan negeri bahawa operasi RapidPenang, anak syarikat Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) yang ditubuhkan bagi mengendalikan perkhidmatan bas awam dalam negeri dan dijadualkan bermula pada 31 Julai ini akan membawa pelbagai masalah yang sehingga hari ini masih belum ditangani.  

2. Walaupun DAP dan warga negeri Pulau Pinang menghargai usaha kerajaan dalam penstrukturan semula sistem pengangkutan bas awam dalam negeri, namun segala faktor haruslah diambil kira dalam proses perancangan dan pengimplementasian sistem yang baru. 

3. Tujuan kita mempertingkatkan sistem pengangkutan bas awam dalam negeri adalah untuk menggalakkan lebih ramai orang menggunakan sistem tersebut dan pada masa yang sama kurang menggunakan kenderaan sendiri.  

4. Mengikut perangkaan rasmi, walaupun populasi penduduk dalam negeri Pulau Pinang hanya sejumlah 1.44 juta orang namun kenderaan bermotor yang berdaftar sejumlah 1.47 juta. Dalam erti kata lain, terdapat lebihan kenderaan bermotor sebanyak 30,000 jika dibandingkan dengan populasi dalam negeri. 

5. Ini bermakna sistem pengangkutan bas awam yang berkesan, menepati jadual masa, mesra penumpang serta mengenakan kadar tambang yang sesuai dengan kemampuan seseorang adalah mustahak dalam menarik minat lebih ramai orang menggunakan sistem ini. 

6. Sebanyak 150 buah bas akan beroperasi di 33 laluan meliputi 26 laluan di bahagian pulau manakala bakinya beroperasi di Seberang Perai. RapidPenang juga akan menyediakan 10 buah bas untuk mengangkut penumpang dari Butterworth ke bahagian pulau dan sebaliknya melalui Jambatan Pulau Pinang. Bas-bas yang bakal digunakan adalah bersaiz panjang 7 meter, 10 meter dan 12 meter di mana bagi bas yang bersaiz panjang 10 meter dan 12 meter adalah merupakan bas yang berlantai rendah untuk kemudahan orang kurang upaya. 

7. Walau bagaimanapun, mengikut pengumuman Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop baru-baru ini, kadar tambang perkhidmatan RapidPenang yang dikenakan selepas 2 Ogos adalah di antara RM1.00 dan RM3.50 bergantung kepada destinasi dan laluan bas berkenaan. 

8. Sistem kadar tambang RapidPenang tersebut tidak berbeza sangat dengan kadar tambang yang dikenakan oleh bas-bas awam yang sedia ada. Walaupun kadar tambang RapidPenang bagi sesetengah laluan adalah lebih murah daripada bas-bas yang lain, namun terdapat juga kadar tambang bagi laluan tertentu lebih mahal daripada kadar tambang yang sedia ada dikenakan. 

9. Bagi pendapat DAP, sistem kadar tambang yang baru-baru diumumkan adalah berorientasikan keuntungan serta memanfaatkan pihak syarikat RapidPenang sahaja. Sistem kadar tambang yang dikenakan ke atas seseorang setiap kali apabila dia menaiki bas tidak mengambil kira kepentingan serta tidak berprihatin terhadap mereka yang berpendapat rendah. Contohnya, seseorang yang menaiki bas dari Batu Ferringhi ke Balik Pulau dan sebaliknya terpaksa membayar RM10 sehari. Bagi mereka yang berpendapatan rendah, RM10 adalah lebih daripada separuh gaji pendapatan harian mereka. 

10. Dengan ini, pihak DAP menggesa kerajaan negeri dan RapidPenang supaya menggunakan konsep pensubsidian-silang (cross-subsidization) dalam mengkaji semula kadar tambang baru yang ditetapkan bagi RapidPenang, di mana keuntungan yang diperolehi daripada laluan perkhidmatan yang banyak penumpang digunakan untuk menyokong laluan-laluan perkhidmatan tertentu yang kekurangan penumpang. 

11. Tambahan pula, kadar tambang yang berbeza-beza bagi setiap laluan pula akan mengelirukan para penumpang. Pada peringkat permulaan, RapidPenang yang hanya dapat menerima tambang bas secara syiling juga akan mengakibatkan kesengseraan pada pihak pelanggan. 

12. Untuk mengatasi masalah ini, DAP mencadangkan sistem kadar tambang bas piawai bagi menggantikan sistem kadar tambang bas yang bakal dilaksanakan oleh RapidPenang, di mana hanya tiga jenis kadar tambang dikenakan iaitu RM1.00, RM2.00 dan RM3.00: 

(1) Tiket Sehala RM1.00: Bagi penumpang yang menaiki bas dari stesen ke stesen dalam laluan perkhidmatan yang sama dan tidak boleh bertukar stesen serta tidak boleh digunakan bagi laluan bas dari bahagian pulau ke Seberang Perai dan sebaliknya. Tiket ini adalah luput setelah penumpang tersebut turun bas. 

(2) Tiket Sehari RM2.00: Tiket jenis ini boleh digunakan tanpa had dalam tempoh sehari selepas dibeli, boleh digunakan sehingga saat terakhir bagi perkhidmatan sehari walaupun bas terakhir yang dinaiki telah melepasi jam 12.00 tengah malam. Tiket ini terhad digunakan di bahagian Pulau atau di Seberang Perai sahaja dan tidak boleh digunakan bagi laluan bas dari bahagian pulau ke Seberang Perai atau sebaliknya. 

(3) Tiket Sehari Melalui Jambatan RM3.00: Sifatnya dan fungsinya adalah sama dengan tiket sehari. Namun tiket jenis ini boleh digunakan di bahagian pulau dan Seberang Perai, dan juga digunakan bagi laluan bas dari bahagian pulau ke Seberang Perai dan sebaliknya pada hari yang sama. 

13. DAP berpendapat sistem kadar tambang sedemikian adalah lebih praktis dan dapat menarik minat lebih ramai orang untuk bertukar jenis pengangkutan yang digunakan oleh mereka, khasnya bagi mereka yang biasanya memandu dari rumah ke tempat bekerja dan sebaliknya.  

14. Jikalau bilangan kenderaan bermotor tidak dapat dikurangkan dengan pelancaran RapidPenang, kesesakan lalulintas pastinya akan bertambah serius kelak dengan begitu banyak bas, termasuk juga bas-bas lain baik bas yang bersaiz besar mahupun bas mini yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat bas awam tersedia ada yang berjalan serta berhenti-henti pada masa yang sama. 

15. Sehingga hari ini, kerajaan negeri kelihatan tidak membuat perancangan yang terapi serta menyeluruh terhadap syarikat-syarikat bas awam yang sedia ada, seperti KGN-Hin Bus Company, Transit Link, Milan Travel dan termasuk juga syarikat-syarikat bas mini seperti Siang Cemerlang, Angkasa Barisan, Inter Runner, Milan Travel dan sebagainya. 

16. Walaupun kerajaan memberi jaminan bahawa permit syarikat-syarikat bas awam tersebut tidak akan ditarik tetapi sebaliknya terus dibenarkan untuk beroperasi, namun mereka menyedari bahawa tidak mampu bersaing dengan RapidPenang yang mempunyai sumber kewangan yang lebih banyak. 

17. Atas sebab ini, syarikat-syarikat bas awam tersebut terpaksa bersaing dengan RapidPenang melalui cara pemotongan kadar tambang bas dengan sesuka hati. Jika tidak, syarikat-syarikat tersebut terpaksa menamatkan operasi mereka serta mengakibatkan masalah pengangguran yang serius. 

18. Pada masa yang sama, kami juga khuatir bahawa banyak bas yang lama serta permitnya belum diperbaharui yang dimiliki oleh syarikat-syarikat tersebut akan terus beroperasi sehingga membahayakan orang awam. Persaingan yang tidak sihat ini seterusnya akan mendatangkan impak besar terhadap pemandu-pemandu teksi yang sedia ada pula. 

19. Disebabkan perkara-perkara yang kami bangkitkan adalah serius dan berkepentingan awam, kami menggesa pihak kerajaan supaya mengambil tindakan-tindakan yang proaktif dalam menangani masalah-masalah tersebut. Kerajaan tidak harus bersikap berat sebelah di mana hanya kepentingan dan keuntungan RapidPenang diutamakan sehingga mengabaikan kepentingan syarikat-syarikat bas awam yang lain. 

20. Diharapkan pandangan kami yang bernas dapat dipandang serius oleh pihak kerajaan. Biarlah kita sama-sama berusaha dalam menjayakan rancangan penstrukturan semula sistem pengangkutan bas awam secara khasnya dan juga sistem pengangkutan awam secara amnya demi kebaikan dan kepentingan bersama warga negeri Pulau Pinang. 

Sekian, terima kasih. 

Yang Benar,

 

(NG WEI AIK) 

Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP

 

(23/7/2007)    


*Ng Wei Aik, Political Secretary to DAP Secretary General

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: