http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

 

1 Jun 2007

 

Kepada

YAB Dato' Seri  Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi

Perdana Menteri Malaysia

 

 

YAB  Dato' Seri,

 

Memorandum Berkenaan Dengan Masalah dan Permintaan Penduduk Kuala Lumpur

 

Kami sebagai wakil rakyat di Kuala Lumpur mengalu-alukan lawatan YAB Dato' Seri ke Kuala Lumpur. Di sini kami ingin mengambil kesempatan lawatan YAB Dato' Seri untuk membentangkan masalah dan permintaan penduduk di Kuala Lumpur untuk rujukan dan tindakan YAB Dato' Seri.

 

Permintaan Yang Paling Mendesak & Perlu Tindakan Segera  

 

1)  Membatalkan Cadangan Mengenakan Bayaran Masuk Ke Pusat Bandar Kuala Lumpur (Congestion Pricing) & Menjamin Cadangan Ini Tidak Akan Dilaksanakan

"Congestion Pricing" mungkin sesuai dilaksanakan di bandar di negara lain kerana Bandar-bandar tersebut mempunyai sistem pengangkutan yang effisien dan lengkap. Memandangkan sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Lembah Klang masih amat tidak memuaskan, maka adalah amat tidak sesuai dan tidak munasabah bagi DBKL untuk melaksanakan "congestion pricing".  

 

Cadangan ini hanya sesuai diamalkan sekiranya kadar penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang mencapai 70%, tetapi kadar penggunaan pengangkutan awam kita hanya mencapai 16% sahaja, jadi pengenaan "congestion pricing" akan lebih menyusahkan orang ramai, dan ia seolah-olah akan menjadi bayaran tol yang kedua yang membebankan rakyat.        

              

2)  Mempercepatkan Penjualan Unit PPR Kepada Penduduk

Kami mengalu-alukan cadangan kabinet untuk menjual unit PPR kepada penduduknya yang sedia ada.   Ini bukan akan meringankan beban DBKL terhadap PPR di Kuala Lumpur, ia juga akan menguatkan kepertanggungjawapan penduduk PPR terhadap komuniti mereka.  

 

Kami bercadang supaya kesemua penyewa unit PPR yang telah bermastautin di PPR akan diberikan tawaran penjualan, dan kesemua bayaran sewa yang telah dibayar oleh mereka pada tahun-tahun yang lepas haruslah dianggap sebagai  bayaran harga jualan unit PPR mereka.

Sehubungan dengan itu, kami juga ingin menyeru Kerajaan boleh menunaikan janjinya untuk menjual rumah kos rendah kepada penduduk setinggan yang dipaksa untuk membuka jalan untuk pembangunan projek KL Linear City pada tahun 1996/1997. Para setinggan KL Linear City ini telah menunggu rumah mereka selama 10 tahun, tetapi mereka masih belum mendapat rumah mereka sehingga hari ini walaupun isu ini telah dibangkitkan di Parlimen berpuluh-puluh kali oleh Ahli Parlimen Seputeh. Kami berharap Kerajaan boleh menunaikan janji kepada golongan setinggan ini dengan secepat mungkin.

   

3)  Menawarkan Tapak Alternatif Kepada Pengurus Industri Kecil & Sederhana Yang Beroperasi di Tanah Kerajaan 

DBKL tengah menjalankan operasi pembersihan setinggan kediaman dan setinggan Industri Kecil Sederhana (IKS) di tanah kerajaan di seluruh Kuala Lumpur demi mencapai objektif "setinggan sifar". Walaupun DBKL menawarkan unit PPR kepada penduduk setinggan kediaman, tetapi ia tidak memberi tapak alternatif kepada tuanpunya IKS yang beroperasi di tanah kerajaan. Keadaan ini menyebabkan ramai pengurus dan pekerja IKS menghadapi masalah ekonomi dan menganggur selepas bengkel mereka dirobohkan oleh DBKL.

 

Memandangkan IKS memang memainkan peranan yang penting dalam ekonomi negara, ia juga telah membekal peluang pekerjaan kepada orang ramai di samping merupakan pembayar cukai kepada DBKL dan kerajaan. Jadi kami bercadang supaya DBKL menangguhkan perobohan setinggan IKS sekiranya tempat itu tidak digunakan untuk mengadakan projek pembangunan. Selain itu, kami bercadang supaya DBKL boleh memperuntukkan tapak alternatif kepada IKS yang menduduki tanah kerajaan tersebut, sebagai langkah untuk membantu pengurus IKS yang kebanyakannya merupakan golongan yang kurang berada.     

  

Isu-isu Lain Yang Penting

 

1)   Mengadakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan di Kuala Lumpur Demi Meningkatkan Keberkesanan Perkhidmatan dan Menghapuskan Korupsi di DBKL

Memandangkan banyak tuduhan tentang penyalahgunaan kuasa, korupsi dan penyampaian urusan yang lambat telahpun dilempar oleh orang ramai terhadap kerajaan tempatan, termasuk DBKL, dan memandangkan para pembayar cukai kepada kerajaan tempatan dan DBKL telah dilupuskan hak untuk memilih Datuk Bandar dan anggota majlis perbandaran mereka, kami mencadangkan supaya kerajaan memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan yang telah digantung lebih daripada 41 tahun, memulangkan hak pemilihan Datuk Bandar dan anggota majlis perbandaran kepada para pembayar cukai kerajaan tempatan sebagai langkah untuk mengadakan pembaharuan, meningkatkan keberkesanan, akauntabiliti dan integriti dalam kerajaan tempatan kita, termasuk DBKL.  

 

Memandangkan perbelanjaan tahunan dan bajet DBKL adalah terbesar di kalangan majlis perbandaran di seluruh negara, dan perbelanjaan tahunannya (lebih kurang RM2 bilion setahun) malah lebih tinggi daripada bajet Kerajaan Negeri Selangor (lebih kurang RM1 billion), jadi kami bercadang supaya pilihan raya kerajaan tempatan diadakan di ibu kota Kuala Lumpur terlebih dahulu, sebelum ia diikuti oleh majlis perbandaran di negeri-negeri lain.

 

2)  Meningkatkan Keselamatan di Kuala Lumpur Dengan Menggunakan Anggota Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL Untuk Menjalankan Rondaan dan Menjaga Keselamatan

Memandangkan kadar jenayah di Kuala Lumpur telah meningkat dengan mendadak dan mengakibatkan keselamatan penduduk di Kuala Lumpur terancam, kami mencadangkan supaya anggota Direktorat Penguatkuasaan DBKL boleh dihantar untuk menjaga keselamatan penduduk di sekitar Kuala Lumpur, sebagai langkah untuk mencegah jenayah.

 

3)  Menambah SRJK(C) & SRJK (T) di Kuala Lumpur Untuk Memenuhi Kehendak Penduduk Pelbagai Kaum di Kuala Lumpur

Memandangkan semakin ramai ibu-bapa ingin menghantar anak-anak mereka ke SRJK(C) dan SRJK(T) sehingga kebanyakan sekolah rendah aliran ini menghadapi masalah kekurangan bilik darjah dan guru di Kuala Lumpur, kami ingin meminta kerajaan  menambahkan pembinaan SRJK(C) dan SRJK(T) di Kuala Lumpur demi memenuhi kehendak penduduk di ibu kota ini.

 

4)  Melarang Parti Komponen Barisan Nasional Untuk Mendirikan Pejabat Cawangan Mereka di Tanah Kerajaan dan Tanah Hijau

Banyak cawangan parti komponen Barisan Nasional di Kuala Lumpur menyalahgunakan kuasa mereka dengan mendirikan pejabat cawangan mereka di tanah hijau dan tanah kerajaan. Tindakan ini bukan sahaja bercanggah dengan dasar kerajaan untuk mencapai objektif "setinggan sifar", ia selalunya juga merampas hak orang ramai terhadap tanah hijau, malah menjejaskan projek pembangunan DBKL, seperti apa yang dilakukan oleh UMNO Seputeh di Jalan Kuchai Lama.  

 

Oleh itu, kami menyeru YAB Dato' Seri supaya menurunkan perintah untuk menegah semua parti komponen Barisan Nasional di Kuala Lumpur untuk menghentikan penyalahgunaan kuasa seperti ini dan menyerah balik tanah kerajaan yang diduduki oleh mereka kepada DBKL, sebagai langkah untuk menunjukkan integriti mereka dan menjalankan kepemimpinan melalui teladan.

 

5)  Menghormati Kebebasan Beragama dan Menghentikan Perobohan Tempat Sembahyang Hindu dan Buddha 

Perobohan tempat sembahyang orang bukan Islam, khususnya penganut Hindu dan Buddha telah menjadi satu isu yang sensitif dan menyakitkan hati ramai  penganut agama. Kami bercadang supaya YAB Dato' Seri mengarahkan DBKL untuk menghentikan tindakan perobohan tempat sembahyang bukan Islam ini, tetapi memberi tempat alternatif kepada para tuanpunya tempat sembahyang ini sebelum tindakan perobohan dijalankan.

 

Kami juga mencadangkan supaya DBKL boleh mengadakan perancangan yang lebih rapi di Kuala Lumpur dengan mengambil kira keperluan penganut semua agama bukan Islam di Kuala Lumpur. Kami juga bercadang supaya DBKL menetapkan tempat sembahyang alternatif bagi kesemua agama sebelum apa-apa projek pembangunan rumah yang besar diluluskan.     

 

Yang benar,

 

 

___________________

YB Dr Tan Seng Giaw

Ahli Parlimen Kepong

 

___________________ 

YB Tan Kok Wai

Ahli Parlimen Cheras

 

____________________  

YB Fong Kui Lun

Ahli Parlimen Bukit Bintang

 

_____________________ 

YB Teresa Kok

Ahli Parlimen Seputeh


(1/6/2007)     


*Teresa Kok, MP for Seputeh and Publicity Secretary of DAP

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: