http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Sasaran Melaka Maju 2010 harus merangkumi demokrasi dan keadilan untuk semua agar rakyat boleh senantiasa mengharapkan masa depan yang cerah dan hidup dengan lebih baik bukannya masa pilihanraya sahaja

 

______________________________________
Ucapan Di Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Melaka
by Betty Chew Gek Cheng 
_____________
____________________________

 

(Melaka, Tuesday) : Saya turut ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada TYT YDP Negeri Melaka kerana sudi menyampaikan ucapan Perasmian Persidangan di Dewan Undangan Negeri yang mulia ini. Saya ingin memulakan ucapan saya dengan menyampaikan takziah kepada keluarga mendiang Datuk Wira Poh Ah Tiam yang telah meninggal dunia pada 15 Mac 2007 yang merupakan kehilangan kepada kerajaan negeri. Saya juga ingin merakamkan ucapan takziah yang sama ke atas YAB KM ke atas kembalinya Allahyarhamah ibu mertua beliau ke Rahmatullah.

Berbalik kepada isu semasa, sasaran Melaka Maju 2010 harus merangkumi demokrasi dan keadilan untuk semua agar rakyat boleh senantiasa mengharapkan masa depan yang cerah dan hidup dengan lebih baik bukannya masa pilihanraya sahaja. Sekiranya kedua-dua prinsip ini diamalkan maka tanggapan tidak sihat rakyat bahawa masalah hanya boleh diatasi sekiranya ada pilihanraya dan bukanlah tertakluk kepada betul salah sesuatu isu.

Perasaan sinis rakyat adalah ketara dalam kes menara telekomunikasi setinggi 50 meter untuk syarikat telefon bimbit di Kampung Permai(Machap Umboo) seharusnya tidak didirikan di perkarangan Balai Polis Kampung Machap Umboo dua tahun yang lepas. Sungguhpun bantahan rakyat seluruh kampong baru begitu kuat atas gangguan kesihatan dari pancaran gelombang elektro-magnetik dari menara telekomunikasi, ia tidak dipedulikan.

Kerajaan hanya memberikan jaminan bahawa tidak ada kesan negatif kepada kesihatan penduduk sungguhpun ia dibina di depan sekolah rendah Cina dan tengah kawasan kediaman. Dua tahun rakyat Kampung Machap Umboo terpaksa menghadapi masalah sedemikian tanpa bantuan daripada pemimpin kerajaan negeri yang diharapkan.

Meminta maaf kepada penduduk Kampung Permai kerana berdegil mendirikan menara telekomunikasi tanpa mengendahkan bantahan rakyat

Tiba-tiba YAB KM mengumumkan bahawa menara telekomunikasi akan dipindahkan selepas pilihanraya kecil Machap pada 12 April 2007. Jelas YAB KM bertindak demikian untuk memancing undi dan keputusan memindahkan menara telekomunikasi adalah suatu kebaikan dan faedah segera yang dibawa oleh DAP kepada pengundi Machap hasil keputusan DAP bertanding dalam pilihanraya kecil ini.

 

Rakyat Kampung Machap Umboo bertanyakan mengapa ia tidak dipindahkan dengan serta-merta dan kena tunggu hanya selepas pilihanraya kecil. Ini menimbulkan keraguan samada kerajaan negeri akan menepati janji.

 

Di samping itu pemindahan menara telekomunikasi merupakan suatu pengakuan secara tidak langsung oleh YAB KM bahawa keputusan mendirikan menara telekomunikasi ini pada awal-awalnya adalah salah. Oleh itu kerajaan negeri harus meminta maaf kepada rakyat Kampung Machap Umboo kerana berdegil mendirikannya tanpa mengendahkan kesihatan dan pandangan rakyat.

 

Kami hendak tahu kos pemindahan menara telekomunikasi ini, siapa akan menanggungnya dan samada kerajaan akan bertindak konsisten dengan memindahkan menara telekomunikasi di kawasan-kawasan lain yang berdepan dengan kawasan kediaman seperti di Felda Kemendor Jasin. Atau adakah rakyat kenu tunggu pilihanraya barulah ada penyelesaian? Ini bukanlah amalan demokrasi yang sihat bila faedah yang diberikan dan masalah rakyat seharusnya diselesaikan sepanjang masa mengikut lunas keadilan dan demokrasi - bukan hanya lima tahun sekali.

Melanjutkan tempoh pajakan tanah ke 99 tahun di Kampung Permai serta bantuan kepada penduduk miskin di Machap

Sekiranya YAB KM bersikap ikhlas mengatasi masalah pengundi Machap maka beliau harus melanjutkan tempoh pajakan geran tanah Kampung Permai(Machap Umboo) yang tinggal 30 tahun sahaja. Sekiranya di kampong baru lain boleh dilanjutkan sampai 99 tahun, mengapakah geran tanah tidak boleh dilanjutkan sekarang ke 99 tahun?

 

Memandangkan kerajaan negeri begitu berminat sekarang tentang masalah pengundi Machap, beliau haruslah mengambil berat tentang masalah penduduk miskin di sana, termasuk yang miskin di kampong-kampung di Melaka Pindah dan Estet Tebong.

Menarik balik dan meminta maaf kenyataan bahawa SRJKŠ yang baru tidak patut dibina

Satu lagi perkara penting harus diperjelaskan oleh YAB KM berkaitan dengan pembangunan modal insan kepada pengundi di Machap yang cintai bahasa ibunda mereka. YAB Ketua Menteri harus meminta maaf dan menarik balik kenyataannya pada 11 Mac 2005 bahawa SRJKŠ baru tidak patut dibina demi perpaduan negara.

 

Kenyataan ini adalah salah kerana semua produk-produk SRJKŠ adalah rakyat setia dan cintai perpaduan negara. Lagipun sistem pendidikan Cina selama ini menggalakkan dan memupuk sikap cinta, patriotik dan melindungi negara.

 

YAB juga menyatakan SRJKŠ yang sedia ada akan terus dikekalkan kerana disebabkan dasar pendidikan yang lepas tetapi tidak boleh ditambah. Penambahannya dikatakan beliau akan menyebabkan rakyat tersisih dan terasing dan dipecah-belahkan secara berpuak-puak.

 

Ini tidak boleh diterima langsung. Sekiranya SRJKŠ hanya dikekalkan dan tidak boleh ditambah, masa depan SRJKŠ amat gelap sekali. Tidak ada sebab   bilangan SRJKŠ tidak boleh ditambah baik dalam aspek pembinaan sekolah baru ataupun memindahkan SRJKŠ di tempat yang kurang permintaan kepada kawasan bandar. Tuduhan SRJKŠ akan menyebabkan rakyat tersisih dan terasing tidak benar bila ada Menteri-menteri yang datang daripada SRJKŠ.

 

SRJKŠ menghadapi masalah kemudahan yang serba kekurangan sehingga terpaksa mendapat derma awam. Pengabaian pembangunan sekolah rendah Cina boleh dilihat bila ada guru mati di Kedah kerana kayu di makan anai-anai. Kerajaan hanya memberikan bantuan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 untuk sekolah rendah Cina sebanyak RM 174.3 juta dan sekolah rendah Tamil sebanyak RM 64.8 juta dari keseluruhan peruntukan pembangunan sekolah rendah sebanyak RM 4,837.3 juta. Ini merupakan 3.6% dari jumlah peruntukan pembangunan sungguhpun jumlah pelajar sekolah rendah Cina merupakan 21.2% semua pelajar sekolah rendah.

                                

YAB juga menambah pada masa itu bahawa sekiranya semua kaum meminta sekolah ibunda masing-masing dibina di kawasan kediaman mereka, pemimpin negara akan sibuk perkara ini sahaja. Dan menyatakan bahawa dasar ini tidak akan mara ke depan sebaliknya undur ke belakang kerana akan mencetuskan masalah perpaduan negara. Pandangan ekstremis ini tidak betul sama sekali.

 

Hak mempelajari bahasa ibunda adalah hak asasi manusia yang termaktub dalam Perisytiharaan Bangsa-bangsa Bersatu sehingga Bangsa-bangsa Bersatu menetapkan Februari 21 sebagai Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa. Penguasaan bahasa ibunda tidak menyebabkan kaum Cina kurang cintai negara sebaliknya merupakan satu kelebihan di pasaran berkembang di Cina dan sedikit sebanyak menyumbang kepada pembangunan negara.

 

Adalah diharapkan YB MCA, Gerakan dan MIC akan menasihatkan YAB KM menarik balik dan meminta maaf atas kenyataan ini yang masih diingati kaum Cina kerana menyinggung perasaan mereka selepas sokongan padu yang diberikan kepada beliau pada pilihanraya besar pada 2004.

 

Kegagalan MBMB menegakkan undang-undang dan merestui pencerobohan tanah dalam kes Tomyam Klasik di Jalan Sungai Putat, Jelutong

 

Adalah satu prestasi baik MBMB bi bawah pimpinan Datuk Bandar memenangi anugerah perdana di antara pihak berkuasa tempatan di Malaysia sungguhpun mutu perkhidmatan masih tidak memuaskan. Malangnya pegawai bawahan tidak mempunyai standard setinggi Datuk Bandar yang menyebabkan kelemahan ketara seperti kegagalan menguatkuasakan undang-undang dengan adil dan saksama sehingga timbul "double-standard" dan kerugian kepada pihak yang dianiayai.

 

Salah seorang mangsa adalah Encik Robert Chua dari Kampung Pantai yang diniayai oleh restoran Tomyam Klasik. Syarikatnya K.Y. Chua Sdn Bhd memiliki sebidang tanah seluas 38,000 kaki persegi di depan Jalan Sungai Putat PM 163 Lot 2356 Mukim Bukit Baru Daerah Melaka Tengah. Setengah tahun lepas tanpa diketahui beliau, tanahnya dicerobohi bila Tomyam Klasik membina jalan ke atas tanahnya menuju ke Jalan Sungai Putat. Ini adalah kerana Tomyam Klasik yang terletak bersebelahan dengan tanah Encik Chua tidak ada akses ke Jalan Sungai Putat. Tomyam Klasik  membuat pencerobohan tanah ini untuk memudahkan bas-bas dan pelanggannya masuk ke restoran,

 

Encik Chua tidak diberitahu dan tidak memberikan sebarang kebenaran kepada Tomyam Klasik untuk berbuat demikian. Bila Encik Chua membantah dan menanyakan Tomyam Klasik, beliau dikejutkan dengan berita bahawa tanah yang dicerobohi akan diambil alih secara paksa oleh pihak kerajaan negeri.

 

Encik Chua dimaklumkan kononnya pengambilan bahagian tanah yang diceroboh oleh Tomyam Klasik telahpun diwartakan pada 31 Ogos 2006 sungguhpun notis perisytiharaan pengambilan yang dicadangkan untuk "tujuan simpanan jalan" di bawah Borang D hanya dikeluarkan pada 2 November 2006 oleh Pengarah Tanah dan Galian Melaka.  

 

Encik Chua telah menulis surat kepada Tomyam Klasik menerusi peguam pada 14.11.2006 meminta tomyam Klasik mengosongkan tanahnya dan meninggalkan diri dari tanahnya dan juga berazam melawan pengambilan tanah yang zalim ini. Yang mengejutkan ialah macam mana Tomyam Klasik boleh mendapat kelulusan berniaga dan membina jalan tanpa kebenaran MBMB.

 

Tomyam Klasik bertapak pada tanahnya GMM 329 Lot 48, Mukim Bukit Baru, Daerah Melaka Tengah. Kategori kegunaan tanah adalah pertanian dengan syarat nyata untuk kampong sahaja. Macam mana Tomyam Klasik boleh mendapat kelulusan permit bangunan restoran bila kegunaan tanah masih belum ditukar kepada komersil.

 

Jelas sekali bahawa tidak ada Certificate Of Fitness for Occupation (CFO) yang dikeluarkan oleh MBMB sungguhpun ia telah beroperasi lebih setengah tahun. Dalam keadaan mana, lesen dan permit boleh dikeluarkan sungguhpun kegunaan tanah masih pertanian? Dan adakah MBMB membenarkan pencerobohan tanah yang dilakukan.

 

Jelas sekali peraturan bangunan dan undang-undang MBMB tidak dipatuhi. Dan mengapakah pihak kerajaan negeri nampaknya berpakat dengan Tomyam Klasik mengambil tanah secara paksa untuk faedah sebuah restoran swasta dan bukan tujuan kemudahan awam yang menguntungkan orang miskin. MBMB harus bersikap adil dan bukan double-standard dengan berpilih-pilih menguatkuasakan undang-undang.

 

Encik Chua sangat marah kerana beliau rasa dianiayai dan ditipu oleh jabatan kerajaan yang berkenaan yang berpakat untuk merampas tanahnya. Mengapakah tanahnya boleh diceroboh sebelum pengambilan tanah disempurnakan? Macam manakah Tomyam Klasik boleh beroperasi bila segala permit berkenaan masih belum diluluskan.

 

Sekiranya YAB KM menegakkan keluhuran undang-undang, maka tindakan tegas mesti diambil terhadap Tomyam Klasik serta pegawai yang merestui penyalahgunaan kuasa ini.

 

Dalam projek pengindahan Sungai Melaka, saya telah menerima aduan bahawa kerja pembinaan telah merosakkan rumah kedai di sepanjang Kampung Pantai. Adalah diharapkan pengusaha dan kontraktor projek ini bolehlah membayar wang gantirugi dan memperbaikinya. Kegagalan membuat demikian telah menimbulkan keresahan di kalangan penduduk.

 

Saya ingin tahu apakah kedudukan cadangan pembangunan ke atas tapak tanah kosong di belakang Lorong Hang Jebat bersebelahan dengan pasar lama yang kini dijadikan tempat letak kereta. Berapakah harga tapak tanah berhampiran Sungai Melaka dijual? Adakah tapak tanah swasta ini akan dibangunkan secara usahasama dengan tanah MBMB iaitu tapak pasar lama.

 

Mengapa tidak ada seorang pun didakwa kerana membuat tuntutan bantuan banjir RM 200 berkali-kali di kalangan 3,942 keluarga yang dikesan menipu kerajaan negeri sebanyak RM 698,400?

 

Mengapakah kerajaan negeri enggan membayar ganti rugi kepada mangsa banjir atas kegagalan kerajaan memaklumkan lebih awal kepada penduduk di Taman Merdeka bahawa kerajaan telah melepaskan air di stesen pam Durian Tunggal dan loji rawatan air Gadek pada 20 Disember 2006 yang menyebabkan banjir paling teruk dalam sejarah kawasan itu? Pengakuan kerajaan negeri melepaskan air dikeluarkan oleh YAB KM dalam suratkhabar dan Bernama pada 21.12.2006.

 

Rakyat tidak salahkan kerajaan lepaskan air tetapi kerajaan cuai bila tidak memberikan notis lebih awal untuk membolehkan penduduk memindahkan kereta dan menyelamatkan barangan bernilai. Oleh itu kerajaan negeri harus membuat bayaran ganti rugi untuk para penduduk yang menghadapi kerugian lebih RM 13 juta setakat maklumat yang dikumpul ini.

 

Adalah mengejutkan bahawa belum ada seorang pun didakwa kerana membuat tuntutan bantuan banjir RM 200 berkali-kali di kalangan 3,942 keluarga yang dikesan menipu kerajaan negeri sebanyak RM 698,400 sejak Disember 2006. Bantuan banjir harus diberikan kepada mangsa banjir yang benar dan hanya menerimanya sekali sahaja.

 

Sebanyak 19,389 tuntutan telah dibuat oleh mangsa banjir dan sejulah wang RM 3,877,000 diagihkan. Hanya   16,347 tuntutan adalah benar dan bakinya 3,942 adalah secara palsu. Dengan kadar tuntutan palsu sebanyak 18%, ini adalah suatu penipuan yang mengejutkan yang memaparkan kegagalan kawalan dalaman dan pengurusan dalam pentadbiran kerajaan negeri. Ketua Audit Negeri harus membuat satu audit tergempar untuk menentukan macam mana pegawai kerajaan boleh ditipu dengan begitu mudah dan samada mereka terlibat dalam penyalahgunaan kuasa sedemikian.

 

Semakan computer telah menunjukkan tuntutan bertindih sedangkan siasatan mendedahkan rumah-rumah yang dituntut telah kosong begitu lama. Di antara cara penipuan adalah menambahkan satu huruf dalam nombor rumah, menukarkan ejaan nama, tuan rumah membuat tuntutan bagi rumah yang disewa keluar.

 

Tindakan sedemikian adalah salah dan boleh dihukum di bawah banyak undang-undang termasuk penipuan di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan. Hukuman penipuan di bawah seksyen 417 adalah penjara selama 5 tahun dan/atau denda. Mengapa tidak ada seorang pun yang didakwa kerana membuat tuntutan berkali-kali ini?

 

Maka saya ada terima aduan laporan polis oleh setengah ahli keluarga yang belum menerima bantuan banjir baik RM 200 flood aid ataupun bantuan perabot sebanyak RM 500 kerana ada pihak ketiga tertentu yang membuat tuntutan bagi mereka. Sungguhpun laporan telah dibuat sejak bulan Januari tidak ada sebarang tindakan diambil oleh pihak polis atau kerajaan negeri. Lebih teruk ialah mangsa yang benar derita belum menerima bantuan yang dijanjikan.

 

Ada satu kes mangsa banjir di Taman Tamby Chik Karim yang tidak dapat wang sungguhpun namanya tercetak dalam geran tanah dan cukai pintu kerana mengikut rekod kerajaan tuan milik adalah orang lain dan cek ditulis pada nama orang lain. Mengapakah tindakan tidak diambil baik ke atas pegawai yang cuai atau mana-mana pihak yang melakukan penyelewengan ini.

 

Saya tidak faham mengapakah JKKK tidak boleh dipertugaskan mengedarkan bantuan banjir ini secara individu di rumah mereka. Buatlah kerja sikit bila dapat elaun. Memandangkan bantuan RM 500 dikeluarkan dalam bentuk cek, pegawai kerajaan bersama dengan JKKK harus bekerja lebih keras memberikannya dalam rumah mereka agar memastikan tuntutan adalah benar dan bukanlah satu penipuan.

 

Kes penipuan seperti ini bukan sahaja satu jenayah tetapi adalah tidak bermoral bila mangsamangsa menderita lebih susah bila tidak menerima bantuan yang dijanjikan. Kegagalan pihak kerajaan mengambil tindakan keras akan dilihat sebagai merestui penipuan demikian.

 

(27/3/2007)     


*Betty Chew Gek Cheng, Malacca State Assembly Opposition Leader and State Assemblywoman for Kota Laksamana

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: