http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Adalah peri pentingnya bahawa Kerajaan dan rakyat sama-sama berikhtiar untuk memenuhi piawaian antarabangsa dalam semua bidang termasuk politik, ekonomi, pentadbiran, kebudayaan, dan pelancongan

________________
Perbahasan Titah Diraja
by Dr Tan Seng Giaw  
_____________
______

(Dewan Rakyat, Monday) : Saya bangun untuk mengambil bahagian di dalam perbahasan ini dengan perasaan runsing tentang keadaan yang kurang baik yang dihadapi oleh para peniaga walhal jumlah perdagangannya melepasi paras RM1 trilion,
indeks persepsi ketelusan (CPI) 44 pada 2006 berbanding dengan 38 pada 2005 dan kes-kes jenayah yang masih tinggi.

Wawasan 2020 hanya tinggal 13 tahun. Adalah peri pentingnya kita berikhtiar untuk mencapai matlamat ini dengan memenuhi piawaian antarabangsa dalam segala bidang.

Berakit-rakit ke hulu,
   Berenang-renang ke tepian;
Bersakit-sakit dahulu,
   Makanya senang kemudian.

Pada 19 Mac, 2007, Ke Bawah Duli telah menyentuh perpaduan sebagai yang paling penting. Perpaduan rakyat adalah kunci kejayaan negara dan masyarakat. Saya setuju. Ketika kita menyambut Kemerdekaan 50 tahun ini, kita terpaksa mengkaji dengan menyeluruh pencapaian atau kekurangannya dari segi perpaduan.

Kebebasan beragama ada peri mustahaknya untuk memupukkan perpaduan. Menurut kurun Masihi, Nabi Isa lahir pada 24 Disember, 2007 yang lampau, dan Krismas disambut dan dihayati pada 24 Disember setiap tahun. Mengikut Hijrah hijah, 12hb Rabiulawal 1425 bersamaan dengan 31 Mac, 2007 adalah Maulidur Rasul, hari lahir Nabi Muhammad. Sambutan,
penghayatan dan pencarian kenangan terindah hari ini dengan perarakan ke Stadium Putra, Bukit Jalil, tentulah berjaya.

Buddha sebagai Siddhattha Gautama lahir pada 15 purnama, Wesak, akhir April hingga Mei 623 tahun sebelum Masihi. Tahun ini, di Malaysia sambutan Wesak adalah pada 15 purnama 1 Mei, tetapi di lain-lain negara seperti Singapura, Wesak disambut pada 31 Mei, 2007, yang juga 15 purnama. Saya berharap Kerajaan dapat menjelaskan mengapa terdapat
perbezaan ini. Saya membangkitkan hal ini secara rasional.

Pada 23 Mac, 2007, Persidangan Invest Malaysia 2007, YAB PM menekankan bahawa pengenalan jualan singkat terkawal baru-baru ini dan pinjaman sekuriti serta pemberian telah menunjukkan komitmen kita dalam memastikan piawaaian antarabangsa dari segi kualiti pasaran. Kita mestilah sentiasa menunjukkan komitmen ini.

Piawaian antarabangsa ini perlu diwujudkan di bidang-bidang yang lain. Kebawah Duli dan YAB mengulangi jumlah perdagangannya melepasi paras RM1 trilion, eksport berkembang 10.3%, lebihan dagangan RM109 bilion dan rizab antarabangsa AS$87.3 bilion serta defisit bajet di kurangkan dari 5.8% KDNK pada 2003 kepada 3.5% KDNK. Bagaimanapun, saya menyeru supaya Kerajaan menterjemahkan semua ini kepada suasana yang lebih baik bagi perniagaan dalam negara.

Setakat ini kita diberitahu bahawa Kerajaan tidak akan mengenakan syarat 30% Bumiputera di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di selatan Johor. Kerajaan mestilah memastikan hak-hak semua kaum tidak akan dirampaskan oleh sesiapapun. Hak semua kaum termasuk Orang Melayu mestilah dipelihara. Selain daripada itu, piawaian antarabangsa
haruslah diadakan di WPI, Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Koridor Pantai Timur, Koridor Sabah dan Koridor Sarawak.

Di Johor, Kerajaan perlu mengambil initiatif untuk menarik lebih ramai pelancong dari Singapura. Jumlah pelancong ke Malaysia dari negara itu adalah hampir 9.7 juta pada 2006. Jumlah pelancong ke Malaysia pada tahun itu adalah 17.6 juta. Tahun ini, Tahun Melawat Malaysia, matlamatnya 20.1 juta pelancong. Singapura sedang melaksanakan pusat tempat peranginan bersepadu, integrated resort, yang akan menarik lebih ramai pelancong ke negara itu.

YAB Timbalan Perdana Menteri, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet untuk pelancongan patut meneliti segala aspek yang boleh membantu dan menggalakkan pelancong datang ke Johor. Misalnya, imigresen di pintu-pintu masuk, keselamatan, CCTV, Lapangan terbang Changi ke KLIA, Laluan Kedua dan feri.

Mengapa para pelancong Singapura mengelakkan Laluan Kedua yang hanya menampung 1/10 lalulintas. 24 kaunter imigresen di Laluan Kedua tidak sibuk. Kadar bayaran RM70 untuk satu kereta bagi satu hala adalah terlalu mahal. Saya mencadangkana supaya kadar ini dikurangkan kepada misalnya RM35.

Keraajaan mestilah mengkaji sama ada perkhidmatan feri di antara Johor Bahru dengan Singapura dapat diadakan.

Kerajaan haruslah menentukan peruntukan seperti RM4 bilion untuk WPI dan juga peruntukan bagi koridor-koridor lain dapat digunakan dengan berkesan. Menurut YB Menteri Kerja Raya, dari 1990 hingga akhir 2006, sebanyak 9,235 projek telah berjaya dilaksanakan. Sehingga kini, Kementeriannya mempunyai rekod 180 kontraktor yang gagal dan telah dimansuhkan. Perbelanjaan wang rakyat adalah berpuluh bilion ringgit. Sesetengah projek menghadapi masalah, seumpama bangunan Matrade di Jalan Duta, KL, jejambat MRR2, Kepong, dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star. Semua kementerian patutlah mempelajari daripada kelemahan-kelemahan projek-projek tersebut. Kita perlu mengkaji peranan Unit Perancang Ekonomi, Kementyerian Kewangan dan Kemnterian Kerja Raya dalam perancangan, tender, pelaksanaan dan pemantauan projek-projek, lalu memperbaiki kaedahnya, cocok  dengan piawaian antarabangsa.

 

(26/3/2007)  


*Dr Tan Seng Giaw ,  DAP National Deputy Chairman and MP for Kepong

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: