http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

6 November 2007

(Menerusi Setiausaha Sulit Kepada TYT Tuan Shamsudin bin Salim)

Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Mohd. Khalil bin Yaakob,
Yang di Pertua Negeri Melaka,
Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di Pertua Negeri,
Jalan Seri Negeri, Ayer Keroh,
75450 Melaka.



DENGAN TANGAN


Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama,

Membela kemuliaan darjah dan martabat Melaka dengan menarik balik penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) daripada Hasnoor bin Sdg Husin yang mempunyai rekod jenayah pecah amanah dan ditegur keras oleh YAB Perdana Menteri kerana membuat ucapan ekstremis yang mengancam kaum bukan Melayu.

Dengan segala hormatnya dan penuh rendah diri kami ingin memohon TYT membela kemuliaan darjah dan pingat kebesaran negeri Melaka serta martabat Melaka dengan menarik balik penganugerahan DMSM daripada Hasnoor bin Sdg Husin yang mempunyai rekod jenayah pecah amanah dan ditegur oleh YAB Perdana Menteri pada Disember 2006 kerana membuat ucapan ekstremis pada Persidangan Agung UMNO tahun lepas yang mengancam kaum bukan Melayu.

Hasnoor telah dianugerahkan DMSM pada 29 Oktober 2007 bersama dengan 87 orang penerima darjah ini. Selama ini TYT telahpun memastikan penerima anugerah DMSM perlu mempunyai sifat mulia dan kelakuan baik selain daripada sumbangan terpuji kepada masyarakat umum di Melaka. Oleh demikian kami ingin menarik perhatian TYT bahawa Hasnoor gagal memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan sepertimana yang tercatit dalam surat yang dilampirkan bersama.

Hasnoor disabitkan kesalahan pecah amanah di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan dan telah dijatuhi hukuman 9 bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 28 April 1995. Selepas rayuan ke Mahkamah Tinggi Melaka terhadap hukuman berat, pada 16 Oktober 1995 hukuman telah diringankan kepada 1 hari penjara dan denda RM 1,500 jika gagal bayar 6 bulan penjara. Dengan kata lain, Hasnoor adalah penjenayah pecah amanah!

Selain itu Jawatankuasa Pengurusan UMNO telah memberikan teguran keras kepada Hasnoor kerana membuat ucapan berapi-api dan ekstremis yang mengugut kaum bukan Melayu pada Persidangan Agung UMNO 2006 tahun lepas. Dalam siaran secara langsung di kaca mata televisyen Hasnoor memberikan amaran kepada kaum bukan Melayu bahawa UMNO sedia mengorbankan nyawa dan bermandi darah untuk mempertahankan bangsa dan agama.

YAB Perdana Menteri Datuk Seri Utama Abdullah Badawi telahpun menyatakan pada Disember 2006 bahawa Hasnoor adalah di antara tiga pemimpin UMNO yang diberikan teguran keras atas ucapan melampau yang boleh merosakkan hubungan kaum. YAB menambah mereka telahpun diberikan amaran untuk berhati-hati semasa berucap agar tidak menyalahi undang-undang.

Nasihat YAB Perdana Menteri nampaknya terlewat kerana beliau tidak dimaklumkan bahawa Hasnoor telahpun menyalahi undang-undang jenayah lebih awal lagi pada tahun 1995. Kami yakin bahawa TYT juga tidak dimaklumkan tentang rekod jenayah dan juga sejarah ekstremis berbau kaum anti-bukan Melayu oleh Hasnoor yang menjadikan beliau tidak sesuai dianugerahkan DMSM.

Kami memohon agar TYT mengambil tindakan yang sewajarnya agar pengaugerahan darjah dan bintang kebesaran tidak tercemar oleh pihak yang tidak layak menerimanya. Sekian terima kasih.


Yang benar,


_____________________
(LIM GUAN ENG)
SETIAUSAHA-AGUNG
                                                                                            

 

(6/11/2007)


* Lim Guan Eng, Secretary-General of DAP

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: