http://dapmalaysia.org 
  
Forward  
 Feedback 
 
 
| 
     
     
      
                               
                                                                           
    MEMORANDUM 
        
      
    Kepada:         Tan Sri Dato Seri Hj Ab. Rashid Bin Ab. Rahman, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia 
      
    Daripada:       YB En Su Keong Siong, Ahli Dewan Undangan Negeri Perak, 
    Kawasan Pasir Pinji (N.27). 
      
    Tarikh:            8 hb Oktober, 2007. 
      
    Perkara:          Pemindahan 
    pengundi-pengundi daripada kawasan Parlimen Gopeng (P.071) ke kawasan 
    Parlimen Ipoh Timur (P.064), Peningkatan pemilih pos dan Rang Daftar Pemilih 
    Suku Ke-2 Tahun 2007. 
        
      
     
      
    Memorandum ini adalah kesinambungan daripada pertemuan di antara Yg Bhg Tan 
    Sri dengan wakil-wakil rakyat DAP yang terdiri daripada YB M.Kula (Ahli 
    Parlimen Ipoh Barat), YB Tan Kok Wai (Ahli Parlimen Cheras), YB Fong Kui 
    Loon (Ahli Parlimen Bukit Bintang), YB Fong Po Kuan (Ahli Parlimen Batu 
    Gajah) bersama saya telah diadakan di Pejabat Yg Bhg Tan Sri pada 12/9/2007 
    di mana kami telah membangkitkan isu-isu yang berkaitan kepada Yg Bhg Tan 
    Sri. Namun begitu, kami masih belum mendapat sebarang jawapan dan atau 
    keputusan daripada pihak Yg Bhg Tan Sri sehingga hari ini. 
      
    Memorandum ini adalah bertujuan sekali lagi untuk menitik-beratkan isu-isu 
    yang telah di bangkitkan oleh saya pada pertemuan terdahulu di pejabat Tan 
    Sri yang mana saya yakin satu penjelasan yang munasabah patut di berikan 
    kepada kami agar rakyat jelata dapat pasti bahawa pilihan raya yang bakal 
    dijalankan adalah tidak tercemar dengan alegasi-alegasi daftar pemilih yang 
    terpengaruh dan/atau cara-cara yang tidak adil, teratur dan bersih. 
      
    2.0       Pemindahan pengundi-pengundi secara besar-besaran seramai 2231 
    orang pengundi:- 
      
    2.1       Saya telah pada pertemuan yang lalu memberitahu Yg Bhg Tan Sri 
    bahawa pihak SPR telah memindah seramai 2231 orang pengundi daripada kawasan 
    DUN Sungai Rapat (N.24) ke dalam kawasan DUN Pasir Pinji (N.27) iaitu dalam 
    kawasan Parlimen Gopeng ke kawasan Parlimen Ipoh Timur. Kami telah dapati 
    bahawa pemindahan secara besar-besar ini telah dijalankan oleh pihak SPR 
    setelah Pilihan Raya Umum 2004 dan hanya pengundi-pengundi daripada satu 
    daerah mengundi di DUN Sungai Rapat (071/43/04  PENGKALAN PEGOH) yang 
    terlibat sahaja. 
      
    2.2       Daripada 
    2231 orang pengundi yang telah dipindahkan dari kawasan DUN Sungai Rapat ke 
    kawasan DUN Pasir Pinji, 1065 orang adalah terdiri daripada pengundi 
    berbangsa Melayu, 1052 orang pengundi berbangsa Cina dan 114 orang pengundi 
    berbangsa India dan lain-lain. Kami amat berharap pihak SPR akan merujuk 
    semula tindakan pihak SPR untuk memindah pengundi-pengundi tersebut dan 
    samada ia adalah tidak melanggari perundangan pilihanraya sediada. Kami juga 
    berharap pihak SPR akan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk meneliti 
    dan mengkaji samada pihak SPR mempunyai bidangkuasa untuk berbuat demikian. 
      
    2.3      Di 
    antara persoalan yang timbul ialah :- 
      
    a)        Berapakah kawasan Parlimen dan 
    DUN yang telah terlibat di mana pengundi-pengundi telah dipindahkan secara 
    besar-besaran dengan cara sedemikian? 
      
    b)        Berapakah orang pengundi yang 
    terlibat bagi setiap kawasan yang wujud pemindahan pengundi-pengundi 
    sedemikian? 
      
    c)        
    Bilakah pemindahan pengundi-pengundi ini dijalankan oleh SPR dan samada ia 
    masih dijalankan atau telah dihentikan? 
      
    d)        Mengapakah Ahli Parlimen dan 
    Ahli Dewan Undangan Negeri yang terlibat tidak dimaklumkan berkenaan dengan 
    pemindahan pengundi-pengundi di kawasan masing-masing? 
      
    e)        
    Apakah SPR ada dan/atau akan memaklumkan pengundi-pengundi yang telah 
    dipindahkan ini berkenaan tempat mengundi yang baru bagi mengelakkan 
    kekeliruan tempat daerah mengundi semasa pilihan raya umum? 
      
    3.0       Peningkatan 
    undi pos yang tinggi:- 
      
    3.1       Daripada jawapan yang diterima oleh YB Fong Po Kuan dalam sesi 
    pertanyaan Dewan Rakyat pada 5/9/2007, kami telah dapati bahawa jumlah 
    keseluruhan pemilih tidak hadir (pengundi pos) bagi setiap Parlimen yang 
    berikut sehingga 31 Mac 2007 adalah seperti berikut :- 
      
    a)         P.064 Ipoh Timur             4311 
    orang 
      
    b)         P.065 Ipoh Barat             4229 orang 
      
    c)         P.066 Batu Gajah             668 orang 
      
    3.2       Untuk makluman Yg Bhg Tan Sri, ini bermakna kini terdapat 
    peningkatan sebanyak 3208 orang pengundi pos jika dibandingkan dengan 
    senarai pemilih pos dalam pilihan raya umum untuk tahun 2004. Di dalam 
    senarai pemilih untuk pilihan raya umum tahun 2004, hanya terdapat 1103 
    orang pengundi pos di dalam kawasan Parlimen Ipoh Timur. Saya lampirkan di 
    sini senarai pemilih pos untuk pilihanraya umum tahun 2004 mengikut 
    daerah-daerah mengundi masing-masing.  
      
    3.3       Di antara persoalan yang timbul:- 
      
    a)         Apakah rasional 
    peningkatan pemilih pos secara mendadak di dalam kawasan Ipoh Timur dan Ipoh 
    Barat? 
      
    b)         Berapakah orang pemilih 
    pos yang terlibat bagi setiap kawasan yang wujud pemindahan 
    pengundi-pengundi sedemikian mengikut daerah-daerah mengundi masing-masing 
    di kawasan Parlimen Ipoh Timur dan Ipoh Barat? 
      
    c)         Adakah kesemua pemilih 
    pos yang kini dimasukkan ke dalam kawasan Parlimen Ipoh Timur dan Ipoh Barat 
    adalah bermastautin di kawasan ini? 
      
    4.0       Rang 
    Daftar Pemilih Tambahan Untuk Suku ke-2 Tahun 2007:- 
      
    4.1       Daripada 
    semakan yang dijalankan oleh kami terhadap Rang Daftar Pemilih Tambahan 
    Untuk Suku ke-2 Tahun 2007, kami juga mendapati bahawa jumlah pemilih yang 
    baru dan tukar alamat yang terlibat dalam daerah mengundi telah meningkat 
    dengan secara mendadak iaitu seramai 3024 orang dengan DUN Pasir 
    Pinji mencatat jumlah yang paling tinggi iaitu seramai 1222 orang 
    pengundi yang terlibat. 
      
    4.2       Jika 
    dibandingkan dengan kedudukan pemilih baru dan tukar alamat bagi kawasan 
    Parlimen Ipoh Timur bagi Suku Ke-1 tahun 2007 (tempoh 1/1/2007 ke 
    31/3/2007), hanya seramai 450 orang pemilih baru dan tukar alamat yang 
    terlibat. 
      
    4.3       Untuk 
    pemilih yang baru dan tukar alamat bagi Suku Ke-2 tahun 2007, antara kawasan 
    DUN Pasir Pinji yang mencatakan jumlah yang tinggi adalah Taman Temara yang 
    mencatat jumlah 45 orang, Taman Lapangan Ria yang mencatat 66 orang dan 
    Taman Pengkalan Jaya yang mencatat jumlah 57 orang sementara Pasir Pinji N/V 
    mencatat jumlah 303 orang. 
      
    4.4       Dengan 
    ini, persoalan yang timbul adalah :- 
      
    a)         Adakah 
    terdapat manipulasi senarai pemilih-pemilih kawasan Parlimen dan DUN di 
    kawasan Ipoh Timur oleh pihak-pihak yang tertentu? 
      
    b)         Adakah 
    kawasan Parlimen yang lain yang mencatatkan jumlah yang tinggi sedemikian 
    untuk setiap suku tahun yang sama? 
      
    c)         Adakah 
    kesemua penukaran alamat pemilih untuk suku ke-2 tahun 2007 adalah berasas 
    dan tulen? 
      
    5.0       Penutup 
    kata 
      
    Saya amat berharap isu-isu yang di bangkitkan oleh saya di sini benar-benar 
    mendapat perhatian Yang Berbahagia Tan Sri agar pihak SPR dapat menjalankan 
    satu penyemakan semula daftar pemilih-pemlih untuk kawasan Parlimen Ipoh 
    Timur dan Kawasan DUN yang terlibat, terutamanya kawasan DUN Pasir Pinji. 
    Satu penjelasan dan maklumat sewajarnya patut diberikan kepada kami. 
      
    Segala perhatian dan tindakan awal daripada Yang Berbahagia Tan Sri dalam 
    perkara ini adalah amat dihargai. 
      
     
      
      
    Yang Benar, 
      
      
     
 
    YB Su Keong Siong 
    ADUN Kawasan Pasir Pinji 
    No. 49, Jalan Sultan, 
    Pasir Pinji, 
    31650 Ipoh, 
    Perak Darul Ridzuan 
    Tel: 05-3233054 (pejabat) 
      
    (8/10/2007) * Su Keong Siong SA for Pasir Pinji.  |