http://dapmalaysia.org Forward Feedback
18 September 2007 YAB Datuk Seri Hj. Mohd. Ali bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka, Pejabat Ketua Menteri, Blok Bendahara, Aras 4(Suite) Seri Negeri, Ayer Keroh, 75450 Melaka. DENGAN TANGAN Yang Amat Berhormat, Kerajaan negeri Melaka mesti akur kepada arahan Kabinet dan YAB Timbalan Perdana Menteri agar tidak menjalankan operasi pemusnahan khinzir secara besar-besaran dan terus membenarkan penternakan khinzir dalam keadaan yang mematuhi kawalan alam sekitar Bagi pihak DAP, kami ingin mendesak YAB akur kepada arahan Kabinet dan YAB Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar tidak menjalankan operasi pemusnahan khinzir secara besar-besaran dan terus membenarkan penternakan khinzir dalam keadaan yang mematuhi kawalan alam sekitar. Dalam satu temubual khas dengan suratkhabar Sin Chew Jit Poh pada 16 hb September 2007, YAB Datuk Seri Najib dipetik bercakap, di mana penterjemahan disediakan dalam lampiran untuk tatapan YAB Ketua Menteri dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri.
Jelas sekali, kerajaan negeri tidak boleh menjalankan operasi secara besar-besaran. Memandangkan kerjaan negeri Melaka juga adalah kerajaan BN sama dengan kerajaan pusat dan YAB Timbalan Menteri adalah ketua YAB Ketua Menteri dalam UMNO, tidak mungkin YAB Ketua Menteri lawan atau mencabar arahan ini. Kerajaan Negeri tidak boleh gunakan tindakan keras dan ganas sepertimana yang digunakan pada 4 hb September 2007, di mana penduduk yang patuhi undang-undang dan hidup aman di Kampung Paya Mengkuang, Kampung Baru Man Lok, Ayer Moleh dan Bukit Beruang di kawasan Kuala Sungai Baru diburu seperti pengganas dan penjenayah. Peristiwa hitam itu di mana 2,000 anggota kerajaan termasuk FRU, kereta perisai air dan helicopter mengepung penduduk mengingatkan kami macam mana penduduk Palestin dikongkong, didera dan dianiayai oleh rejim Israel yang begitu ganas dan tidak berperikemanusiaan. Adalah dikesali YAB masih belum mengumumkan penerimaan cadangan penyelesaian oleh Kabinet baik dalam aspek membatalkan operasi besar-besaran memusnahkan khinzir pada atau selepas 21.9.2007 mahupun membenarkan ternakan khinzir diteruskan. Sebaliknya YAB meria-riakan sokongan padu daripada dua ahli EXCO MCA dengan mengumumkan bahawa EXCO Negeri Melaka menerima cadangan MCA mengurangkan pengeluaran ternakan khinzir daripada 145,241 kepada 48,000 ekor khinzir. Perlu diingatkan ada kilang-kilang yang diambil tindakan kerana mencemarkan aliran Sungai Melaka. Akan tetapi kerajaan tidak sampai hati menutup kilang tersebut selain daripada mengenakan hukuman denda. Mengapa ladang ternakan khinzir yang bersih dan tidak mengotorkan aliran sungai kena ditutup tetapi tidaknya kilang yang mencemarkan sungai dengan bahan kimia toksid yang memudaratkan kesihatan rakyat? Sebelum ini, DAP telahpun mencadangkan enam langkah untuk menyelesaikan krisis penternakan khinzir agar mengelakkan peristiwa yang tidak diingini sekiranya berlakunya operasi pemusnahan secara ganas oleh pihak berkuasa dan pada masa yang sama memenuhi kawalan alam sekitar yang bersih dan sihat. Enam langkah adalah:- a) Menutup lading ternakan khinzir yang kotor atau gagal memenuhi standard alam sekitar selepas suatu tempoh masa yang diberikan di mana tempoh masa ini akan dirundingkan di antara penternak khinzir dan Jabatan Haiwan dan Jabatan Alam Sekitar; b) Mengeluarkan lesen ternakan khinzir kepada penternak yang dibenarkan menternak khinzir kerana bersih dan akur kepada piawaian alam sekitar; c) Mengarahkan kedua-dua ahli EXCO Negeri Melaka MCA Datuk Koh Nai Kwong dan Datuk Seah Kwi Tong menarik balik cadangan mereka kepada EXCO negeri untuk mengurangkan pengeluaran khinzir daripada 145,241 ekor khinzir kepada 48,000 ekor khinzir dalam masa 15 hari yang sama dengan arahan menutup ladang khinzir tanpa kira bersih atau tidak; d) Sekiranya lading ternakan khinzir di ambil oleh kerajaan makan bayaran ganti rugi yang penuh mesti dibayar termasuk bangunan, alat perkakas, jentera dan ternakan khinzir agar mereka tidak kehilangan segala hasil darah dan titik peluh mereka. e) Memastikan Notis 7B yang dikeluarkan kepada penternak khinzir di bawah seksyen 129 Kanun Negara tetap terbatal dan mengambil tindakan disiplin ke atas pegawai Pejabat Tanah Alor Gajah yang mahu merampas tanah mereka tanpa sebarang bayaran pampasan. f) Membatalkan sebarang tindakan ganas yang dicadangkan pada atau selepas 21.9.2007 untuk memusnahkan ternakan khinzir secara paksa yang akan menghancurkan harmoni dan muafakan sosial di kalangan masyarakan majmuk negara. Secara prinsip am, cadangan YAB Datuk Seri Najib adalah sama dengan cadangan DAP. Sekiranya YAB enggan menerima pun cadangan DAP, tak kan YAB Timbalan Perdana Menteri pun tak diterima pakai! Jawapan awal YAB perlu supaya pegawai kerajaan yang tidak bertanggungjawab seperti YB Setiausaha Kerajaan tidak dibenarkan bermaharajalela yang menyalahgunakan kuasa menimbulkan ketegangan serius dalam masyarakat kita. Kami ingin menarik perhatian bahawa YB Setiausaha Kerajaan Negeri telahpun dikecam oleh seluruh masyarakat Cina sebagai melampau termasuk parti MCA yang hanya menyatakan ini dalam suratkhabar Cina tetapi tidak di depan YAB ataupun di suratkhabar bukan Cina. YAB harus menimbang samada YB Setiausaha Kerajaan Negeri masih berkemampuan dan berkesan menjalankan tugas untuk semua rakyat Negeri Melaka tanpa kira kaum atau agama atau lebih suka mainkan sentiment perkauman. Jelas sekali, YB Setiausaha Kerajaan tidak boleh lagi merupakan wadah perpaduan rakyat tetapi unsur perpecahan rakyat Melaka, maka beliau harus dipecat dengan serta-merta. Sekian. Yang benar,
LIM GUAN ENG SETIAUSAHA-AGUNG
(18 /9/2007)
* Lim Guan Eng, Secretary-General of DAP |